BLOG ENCIK SUAMI

Saturday, July 19, 2008

Ikramah Penentang Jadi Pembela

"Dahulu aku berperang untuk al-Latta dan al-Uzza. Sekarang, aku serahkan jiwaku dengan ikhlas kepada ALLAH." - Ikramah bin Abu Jahal.

Salam alaik... Alhamdulillah, seperti yang tertera pada muka depan novel sejarah Islam karya Abdul Latip Talib ini, sebegitulah jalan cerita novel berjudul "Ikramah Penentang Jadi Pembela" yang kini berada di tangan Akh Hadid. Seronok mendalami kisah perjuangan Ikramah selama 2 hari mencetuskan keinginan ana untuk berkongsi rentetan peristiwanya dengan para pembaca. Ikramah yang pada zaman kebatilannya begitu memusuhi Rasulullah S.A.W merupakan anak kepada Abu Jahal. Para pengikutnya sentiasa memberi perumpamaan 'ke mana tumpahnya kuah kalau bukan ke nasi' bagi menggambarkan peribadi Ikramah yang lebih kurang sama dengan ayahnya. Ikramah sebelum Islamnya sangat membenci Rasulullah S.A.W. Ikramah pernah membantu bapanya Abu Jahal melemparkan najis kepada Rasulullah S.A.W yang ketika itu sedang sembahyang di depan Kaabah. Pada hari yang lain dia membantu bapanya mencekik leher Rasulullah S.A.W. Malah dalam satu mesyuarat yang dihadiri oleh pembesar Quraisy, Ikramah mencadangkan supaya Rasulullah S.A.W dibunuh. Setelah menjadi salah seorang pahlawan Quraisy, Ikramah menentang pahlawan Islam dalam peperangan Uhud dan Badar namun gagal membunuh Rasulullah S.A.W dalam kedua-dua peperangan tersebut. Dia akhirnya lari ke Yaman sebelum ke Habsyah. Di Yaman kehadirannya tidak diterima oleh Raja Yaman. Semasa dalam pelayaran ke Habsyah pula, kapal yang tumpanginya dilanda ribut dan hampir karam. Semua penumpang dalam kapal itu berdoa termasuk Ikramah. Pada mulanya, dia berdoa kepada al-Latta dan al-Uzza namun doanya tidak berhasil meredakan ribut. Akhirnya dia cuba berdoa kepada ALLAh, kalau selamat dari bencana itu dia akan kembali ke Mekah untuk menemui Nabi Muhamad. Dengan izin ALLAH, ribut yang menggila akhirnya reda. Apabila kembali ke Mekah, isterinya yang bernama Atikah tidak berjaya ditemui. Anak Ikramah, Omar mengatakan ibunya telah pergi mencari Ikramah bersama seorang hamba abdi bernama Laila. Ikramah yang mendengar kata-kata anaknya itu berasa risau akan keselamatan isterinya. Dia keluar semula dari Mekah untuk mencari Atikah. Setelah menemuinya, beliau dikejutkan dengan berita Atikah yang telah memeluk Islam dan sanggup merayu kepada Rasulullah S.A.W untuk memaafkan suaminya. Di sinilah terpancar keikhlasan seorang isteri kepada suami yang dicintainya. Ikramah juga memeluk Islam setelah berjumpa dengan Rasulullah S.A.W dan menjadi salah seorang pahlawan Islam dalam beberapa peperangan. Pengislamannya kadang-kadang dipertikaikan oleh beberapa pengikutnya yang lebih awal memeluk Islam daripadanya. Mereka mengatakan Ikramah ada udang di sebalik batu dan mengesyaki dia ingin membunuh Rasulullah S.A.W secara halus. Bagaimanapun, mereka silap apabila Ikramah menunjukkan rasa cinta yang tidak berbelah bahagi kepada Islam walaupun setelah kewafatan baginda. Peperangan terakhir yang diikuti oleh Ikramah ialah Perang Yarmuk di mana dia mengetuai pasukan berani mati seramai 400 orang. Semangat pasukannya yang berkobar-kobar menegakkan kebenaran Islam menaikkan semangat jihad tentera Islam yang lainnya. Mereka turut menyerbu ke arah musuh lalu berjuang bermati-matian sehingga beroleh kemenangan. Ikramah telah menemui syahid di Yarmuk. Detik-detik ketika Ikramah menemui ajal agak menyayat hati. Dapatkan novel ini di pasaran untuk mengetahui lebih lanjut kisahnya.


Wednesday, July 9, 2008

Salahudin Penakluk Jerusalem

Salam... Novel yang ingin ana kupas kali ini merupakan salah satu karya Abdul Latip Talib, novel sejarah Islam yang berjudul "Salahudin Penakluk Jerusalem". Novel 289 halaman ini diterbitkan oleh PTS Fortuna dan dijual dengan harga RM 26.90 di Semenanjung Malaysia, manakala RM 29.90 di Sabah dan Sarawak. Novel ini mengisahkan tentang sejarah hidup pahlawan Islam bernama Salahudin Ayubi dari usia sekecil cili padi hingga ke usia kewafatannya. Salahudin yang dilahirkan di Tikrit(Iraq) pada tahun 534H dibesarkan dengan ilmu ketenteraan dan keagamaan oleh ayah dan datuknya. Sejak berpindah ke Mesir, Salahudin sangat cintakan jihad sehingga jihad menjadi topik perbincangan yang amat digemarinya kerana semangat yang berkobar-kobar untuk memerangi tentera Salib. Kemuncak perjuangan Salahudin adalah apabila tentera pimpinannya berjaya mengalahkan tentera Salib semasa Perang Hittin pada 4 Julai 1187. Kejayaan ini akhirnya menjurus kepada kejatuhan Baitul Maqdis ke dalam pemerintahan Islam pada 15 Oktober 1187. Kemudiannya Salahudin dan angkatan tenteranya berjaya merampas semula Jerusalem daripada tentera Salib tanpa berlaku pertumpahan darah. Setiap tentera Salib mahupun penduduk beragama Kristian dibenarkan meninggalkan kota Jerusalem dengan membayar tebusan mengikut kemampuan masing-masing. Tiada seorang pun penduduk bukan Islam yang dianiaya dengan kejam sebagaimana seksaan yang dihadapi oleh penduduk Islam ketika Jerusalem ditawan oleh tentera Salib pada 15 Oktober 1099. Memetik kata-kata Ibnu Khaldun, "Tentera Salib yang ganas dan kejam itu telah mengganas di Baitul Maqdis selama seminggu. Mereka melakukan rompakan, perkosaan dan membakar rumah-rumah penduduk. Apabila dihitung jumlah mayat di sekitar masjid, dalam rumah dan di sepanjang jalan, jumlahnya tidak kurang tujuh puluh orang."
Selepas mengikat perjanjian damai dengan tentera Salib, Salahudin kembali ke Damsyik dan hidup secara sederhana. Beliau jatuh sakit pada 16 Safar 598H dan meninggal dunia pada malam 27 Safar 598H ketika berumur 55 tahun. Bagi mereka yang gemarkan sejarah Islam dan ingin mengkaji cara Islam meluaskan wilayah taklukan, novel ini amat sesuai menjadi bahan bacaan ketika lapang. Dahulu ana tertarik untuk memiliki novel ini kerana kata-kata Salahudin Ayubi yang tertera pada muka depan novel, "Sesiapa yang menguasai Palestin, dia menguasai dunia." Ayuh mujahid wa mujahidah! Bangunlah! Pintu jihad tidak pernah tertutup buatmu!


Sunday, July 6, 2008

Syabab Musafir Kasih

Salam buat semua peminat novel Islamik dan para pemikir yang tidak pernah berhenti mengkaji setiap persoalan. Sudah terlalu lama ana tidak mengemaskini blog ini kerana kekangan masa. Di kesenggangan yang ada ini, ana ingin berkongsi sebuah lagi novel Islamik yang menarik hati. "Syabab Musafir Kasih" - karya Fatimah Syarha Mohd. Noordin merupakan novel terbaru daripada penulis "Tautan Hati". "Syabab Musafir Kasih" mengisahkan tentang seorang kanak-kanak kecil bernama Syabab yang hidupnya seperti kanak-kanak terbiar kerana kurangnya perhatian daripada seorang ibu tunggal. Syabab anak bongsu dalam keluarganya, mempunyai sifat yang berbeza daripada adik-beradiknya yang lain. Kelincahan Syabab di kampung tempat tinggalnya kadang-kadang mengundang rasa kurang selesa penduduk kampung tersebut. Banyak ibu bapa yang melarang anak-anak mereka bergaul dengan Syabab kerana anak kecil itu agak nakal dan sentiasa mencetuskan masalah. Seorang jiran bernama Mumtazah yang sanggup memberikan perhatian kepada Syabab seperti adik kandung sendiri. Perhatian yang diberi kadang-kadang melebihi perhatian terhadap adik sendiri sehingga mencetuskan rasa cemburu di hati seorang adik. Walau bagaimanapun, perhatian yang diberi akhirnya membesarkan Syabab dalam suasana Islam. Syabab membesar menjadi seorang pemuda yang hebat, menjadi salah seorang pejuang Islam di kampung halamannys yang penuh dengan pemuda yang kurang faham tentang Islam. Tanggungjawab Syabab agak besar untuk membimbing pemuda kampungnya ke arah kehidupan yang lebih bermakna termasuk adik-beradiknya sendiri agar mereka tidak terus hanyut dengan kehidupan dunia yang melalaikan. Memilih Mumtazah yang lebih tua darinya sebagai suri hidup banyak membantu dalam perjuangannya sebagai seorang mujahid. Jika ingin tahu lebih lanjut bagaimana Mumtazah boleh menjadi isterinya sedangkan gadis itu lebih tua darinya, pernah berkahwin dan mempunyai anak, dapatkan novel ini di www.telagabiru.net.my ataupun di kedai-kedai buku terkemuka di kawasan anda.


Novelog Miss Ran: Aku, Dia, dan Paparazzi

Kuntuman Sakura

Blog (167) Blog Review (110) Blogger (57) BM (17) Books (26) Cerpen (14) Cici (41) cinta (34) Dakwah (65) Eh Ustazah (42) gathering (8) iklan (24) Info Sihat (26) Jalan-jalan (46) lirik (22) Motivasi (52) muhasabah (34) Nukilan Jiwa (55) Palestine (21) perkahwinan (38) Puisi (45) Puisi Islamik (15) Ramadhan (21) Review Filem (3) Sakura (33) Tazkirah (87) Tutorial (27) WordlessWednesday (54)
Ini adalah blog peribadi. Sebarang pendapat yang saya nukilkan di sini adalah dari saya sendiri, tidak melibatkan sesiapa kecuali jika saya letakkan nama pemiliknya. Sebarang COPYPASTE dari laman Sunah Suka Sakura dot com adalah dibenarkan dengan syarat dikreditkan ke blog ini. Sama-sama menyebarkan perkara yang bermanfaat. Terima kasih.