Ticker

6/recent/ticker-posts

Perginya Seorang Pemimpin Berjiwa Rakyat

YANG Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Ja’afar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman mangkat di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), Seremban pada pukul 11.45 pagi semalam pada usia 86 tahun.

Jenazah Almarhum baginda ditempatkan di Dewan Balairong Seri, Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah untuk penghormatan terakhir daripada kerabat diraja, pemimpin dan orang ramai. Istiadat pengebumian jenazah Almarhum baginda akan diadakan esok selepas solat Asar. Pelantikan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang baru akan diumumkan esok sebelum jenazah Almarhum Tuanku Ja’afar disemadikan di makam diraja Seri Menanti.

Menantu Almarhum, Datuk Seri Tengku Azlan Almarhum Sultan Abu Bakar, 59, berkata, Almarhum seorang raja yang baik dan sentiasa memikirkan mengenai pembangunan Negeri Sembilan selain mempunyai minat mendalam terhadap bidang sukan dan sentiasa mahu melihat generasi muda bergiat aktif dalam bidang itu.

Sebagai seorang ketua keluarga, Almarhum sentiasa mengingatkan anak-anak baginda supaya menjadi seorang yang bertanggungjawab dan bekerja keras, kata Tengku Azlan yang juga Anggota Parlimen Jerantut dan bekas Timbalan Menteri Pengangkutan.

Sementara itu, bekas pengawal peribadi Almarhum, Ismail Maidin, 62, berkata, Almarhum Tuanku Ja'afar seorang yang suka merendah diri walaupun menjadi pemerintah negeri.

Masih kekal dalam ingatan Ismail peristiwa ketika beliau mengiringi Almarhum ke London suatu masa dahulu apabila ada seorang wanita tua di situ menegur baginda.

"Sir, from your style (pakaian) you must be somebody, kata perempuan itu dan baginda menjawab, No, I'm only a train driver on holiday," katanya.

Ismail, yang lebih dikenali sebagai Pak Tam berkata, Almarhum sangat disegani kerana selalu berpakaian kemas dan menghormati sesiapa sahaja yang baginda temui.

Bagi bekas pemandu Almarhum, Koperal (B) Mohd Isa Othman, 56, Almarhum bukan sahaja seorang raja yang prihatin tetapi juga seorang yang amat dihormati oleh rakyat.

Mohd. Isa yang berkhidmat dengan Almarhum dari tahun 1990 sehingga 1994 menyifatkan Almarhum bukan sahaja sebagai seorang raja tetapi juga seorang sahabat dan majikan yang prihatin tentang kebajikan pekerja.

"Saya selalu membawa Almarhum, adakalanya baginda akan memandu, untuk bersiar-siar dan saya akan duduk di sebelah baginda sambil bersembang mengenai kemajuan Negeri Sembilan," katanya.

Beliau berkata, antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan apabila bapanya sakit dan Almarhum menyuruhnya membawa bapanya (bapa Mohd. Isa) berjumpa dengan doktor peribadi Almarhum.

"Almarhum juga amat prihatin dengan pendidikan anak-anak pekerja. Almarhum pernah menyumbangkan bantuan untuk pendidikan anak-anak saya," katanya.

Sumber: Bernama dan Utusan Malaysia Online

Semoga kepimpinan almarhum menjadi contoh buat bakal-bakal pemimpin akan datang.

Post a Comment

2 Comments

  1. erm, masa ni YDP N9 merupakan penaung Kor JLJ, smpat terlibat ngan majlis pengebumian Almarhum baginda.

    ReplyDelete
  2. assalamualaikum sunah...al-fatihah ye..:)

    ReplyDelete

Thank you for coming by. Comments are your responsibility. Any comments are subjected to the Act 588 MCMC 1988. Comment wisely, and do it with pure intentions. Any comment with link(s) will be deleted to avoid spam.

For any inquiries, email: sunahsakura@gmail.com