BLOG ENCIK SUAMI

Friday, December 12, 2008

Iktibar Daripada Kesusahan

"Iktibar Daripada Kesusahan" - kata-kata pada kad nama paling besar yang pernah ana miliki selama berprogram itu terbayang-bayang di mata apabila menilai setiap perkara yang telah berlaku akhir-akhir ini. Beberapa orang sahabat ana sahaja yang sangat faham tentang ini kalau ana ceritakan.

Seawal jam 4.00 pagi dua hari lalu, ana dan sahabat-sahabat ana bersiap-siap untuk bertolak ke tapak program. Program tersebut bermatlamat untuk memantapkan ukhwah antara kami, program rehlah semata-mata. Ana ulang, program rehlah semata-mata, bukan program kampus atau yang sewaktu dengannya. Kami yang sepatutnya bertolak dengan 4 buah kereta hanya bertolak dengan 3 buah kereta pada pagi itu. Kereta yang keempat akan bertolak lewat kerana ada hal lain yang perlu diselesaikan.

Sepanjang perjalanan, ana dan empat orang sahabat lain tidak putus-putus berbincang tentang masa depan. Suasana pagi itu agak berkabus dan ini menyukarkan sedikit pemanduan pilot kereta yang kami naiki. Co-pilot pula sentiasa memerhatikan papan tanda di tepi-tepi jalan untuk memastikan kami menuju ke destinasi yang betul. Pilot kami sentiasa berpesan agar kami bersama-sama memerhatikan jalanraya di hadapan kerana masalah penglihatannya. Sekali kami hampir melanggar bahu jalan kerana jarak penglihatan yang agak pendek akibat kabus tebal pagi itu.

Ana ingat-ingat lupa pada pukul berapa agaknya kami sedang asyik bercerita sehingga tidak perasan pemeriksaan polis di hadapan kami. Kereta di tahan, pilot menurunkan cermin kereta di sebelahnya. Aduh, bagaimana kami semua boleh terlupa untuk saling mengingatkan! Kedua-dua pilot dan co-pilot tidak memakai tali pinggang keledar sejak keluar dari stesyen minyak beberapa ratus kilometer yang lepas! Ana yang selama ini sering mengingatkan sahabat-sahabat ana yang duduk di hadapan agar memakai tali pinggang keledar pun entah mengapa boleh terlupa untuk melakukannya pada pagi ini. Kami diarahkan untuk berhenti di tepi jalan bagi memberi laluan untuk kenderaan lain di belakang kami. Dua kereta yang dinaiki sahabat-sahabat lain di belakang kami dibenarkan untuk meneruskan perjalanan.

Pilot dan co-pilot keluar dari kereta. Ana dan dua orang sahabat ana menunggu dalam kereta dengan perasaan berdebar-debar. Entah berapa agaknya saman yang akan dibayar. Masing-masing menyatakan penyesalan kerana tidak mengingatkan mereka berdua untuk mengenakan tali pinggang keledar. Telefon bimbit ana berbunyi. Nama sahabat ana yang menaiki kereta lain tertera di skrin telefon. Dia memberitahu bahawa mereka mengambil jalan lurus ke hadapan selepas melalui lampu isyarat, pesanan untuk pilot kami. Ana menyimpa pesanan itu sebentar dalam kotak ingatan ana. Sebentar kemudian telefon bimbit ana berbunyi lagi. Kali ini, dari sahabat selaku ketua program yang menaiki kereta ketiga. Dia bertanya akan apa yang telah berlaku sehingga kami ditahan. Ana menerangkan perihal tali pinggang keledar itu kepadanya dan memberitahu supaya meneruskan perjalanan.

Agak lama juga kami menunggu di dalam kereta sebelum pilot dan co-pilot kami kembali ke dalam kereta. Mereka bersosek-sosek tentang saman yang dikenakan. RM300 seorang? RM600 untuk dua orang? RM250 ke? Kami yang berada di belakang tidak senang duduk. Berapa sebenarnya saman yang dikenakan? Pilot tidak menjawab apabila ditanya. Co-pilot usah ditanya kalau pilot sudah tidak mahu memberitahu. Ana segera menyampaikan pesanan sahabat ana kepada mereka berdua. Pilot meminta co-pilot menghubungi sahabat dari kereta yang lain itu. Ana kurang jelas akan apa yang mereka bincangkan, yang pasti mereka telah memasuki simpang yang salah. Alhamdulillah mereka tidak terlalu jauh ke hadapan kerana kami berjumpa semula di lampu isyarat kedua di simpang empat. Kereta kami kembali mendahului dan berhenti sebentar di surau berdekatan untuk solat Subuh sebelum meneruskan perjalanan ke tapak program. Sepanjang perjalanan itu kami tidak tidur. Sejak daripada malam tadi sebenarnya kami semua tidak tidur.

Lebih kurang pukul 7.30 pagi, kami sampai ke tapak program. Alhamdulillah, syukur dipanjat kepadaNYA kerana kami semua sampai dengan selamat. Tentang kes saman itu, ana pun kurang pasti apa yang berlaku antara pilot dan co-pilot kami dengan pihak yang menahan kereta kami dan bagaimana penyelesaiannya. Yang pasti, ia telah diselesaikan dengan baik.


Sampai sahaja di tapak program, kami terpesona dengan keindahan alam ciptaanNYA. Pemandangan di hadapan kami begitu menyejukkan mata. Sempat sahaja kami meniti gigi air dan mengambil gambar sebelum ke pasar untuk membeli bahan-bahan masakan. Pasar di kawasan itu agak jauh dari tapak program kami. Apabila tiba di pasar, ana agak terkejut. Hampir kesemua peniaga di situ dari kaum Cina, hanya dua ‘booth’ (booth ke?) sahaja yang dimiliki oleh kaum ana. Hendak membeli ayam pun berfikir banyak kali. Nasib baik ada ‘booth’ kaum ana yang menegur kami ketika kami mendekati ‘booth’ seorang peniaga Cina yang menjual ayam. Alhamdulillah, RM60 kami habiskan untuk membeli lima ekor ayam yang siap dipotong. Kami tidak berpeluang untuk membeli ikan mahupun sotong, lalu berpesan kepada sahabat yang masih belum bertolak untuk membeli sotong dalam perjalanan ke sini nanti. Ingat lagi ada sebuah kereta yang masih belum bertolak? Sahabat itulah yang ana maksudkan. Kami juga membeli beberapa bungkus roti untuk membuat sarapan.

Kami menyediakan sarapan roti sandwic berintikan sardin untuk santapan semua pada pagi itu. Panjaga chalet sampai di tapak program kira-kira pukul 10.00 pagi. Alhamdulillah, masuk juga kami ke dalam chalet setelah menunggu sejak awal pagi. Kami menyewa tiga buah bilik. 7:5:4, pecahan yang agak pelik, tapi itulah yang kami bahagikan sejak awal lagi. Sahabat-sahabat ana yang mengikuti program tentu faham. Kami berehat di dalam bilik sementara menunggu pukul 11.00 pagi untuk menyediakan makanan tengahari. Ana sendiri tertidur kerana kepenatan. Akan tetapi, tiga kali ana terbangun dari tidur. Kali pertama ana terbangun, ana ‘mengecaj’ telefon bimbit ana yang telah kehabisan bateri sejam sebelum itu (ana memang perlu membeli telefon bimbit baru semester hadapan). Kemudian ana kembali memejamkan mata. Kali kedua ana bangun kerana kurang selesa, ana berpindah ke katil bujang. Kali ketiga ana tersedar apabila pendingin hawa tiba-tiba berhenti berfungsi. Ana tidak terfikir apa-apa pada masa itu, lalu kembali ‘melayari peta dunia’. Kira-kira 11.30 pagi ana bangun kerana terlalu panas, kali ini ana bangun terus. Seorang sahabat ana telah berpindah ke bawah kipas, mungkin kerana hawa bilik yang terlampau panas. Ana memeriksa pendingin hawa. Ana tekan mana-mana butang dan cuba memusing timer. Masih tidak berfungsi. Telefon bimbit ana yang telah penuh baterinya ana periksa. Ada satu mesej diterima daripada ketua program. “Bangun, masak lunch”. Begitu bunyi mesejnya kalau tak silap. Ana segera mengejutkan sahabat-sahabat lain untuk bersama-sama memasak tomyam ayam, lauk tengahari itu. Sambil menunggu sahabat-sahabat lain bersiap-siap, ana memeriksa pendingin hawa sekali lagi. Kali ini ana pusing timer ke arah berlawanan. Bunyi mesin di dalam kotak pendingin hawa itu memenuhi ruang bilik. Alhamdulillah, berfungsi semula. Rupa-rupanya ana tersalah arah sebelum ini.

Kami keluar dari bilik. Sahabat-sahabat yang menghuni dua bilik lain masih tidak kelihatan. Kami segera menyediakan bahan-bahan untuk memasak tomyam. Sempat juga kami berpesan kepada sahabat dari kereta terakhir untuk membeli beberapa bungkus gula untuk membuat sirap mangga. Agak banyak juga bahan yang terlupa kami beli sebelum bertolak ke sini. Namun, kami tidak putus harapan kerana masih ada sebuah kereta dalam perjalanan ke sini. Di samping memasak tomyam dan menggoreng ayam, kami juga menyediakan bahan-bahan untuk memerap ayam untuk dipanggang pada malamnya. Ana mengisar bahan rempah di dalam bilik. Beberapa kali sahabat ana keluar masuk bilik untuk menjenguk dan menghantar bahan yang perlu dikisar. Namun, kerja-kerja mengisar bahan perap ayam diberhentikan sebentar setelah pengisar menunjukkan tanda-tanda terlalu panas akibat telah lama bekerja.

Ana keluar dari bilik dan meletakkan bahan-bahan yang telah dikisar di atas meja di luar bilik. Ketika itulah ana terpandang wajah-wajah yang penuh kekalutan itu. Ketua program ana kelihatan keluar dari bilik mereka sambil mencapai jaketnya. Dengan tergesa-gesa, pilot kereta yang ana naiki ke sini pagi tadi masuk ke dalam kereta bersama-sama dengan co-pilot dan ketua program. Ana tidak terfikir apa-apa. Ana masuk semula ke dalam bilik untuk mengemas barang-barang yang digunakan untuk mengisar tadi. Ketika itu, sahabat ana masuk ke dalam bilik untuk solat jamak takdim. Ana melihat jam di telefon bimbit ana. Jam hampir pukul 2.00 petang, tapi kereta yang terakhir masih belum sampai. Hati ana sudah kurang senang, lambatnya.

Ketika gundah itulah seorang lagi sahabat ana masuk ke dalam bilik. “Eh, macam mana dengan mereka tu? Dengar kata, ada accident.” Ana terkesima. Segera ana dail nombor ‘dia’, sahabat yang naik kereta terakhir. Panggilan tidak disambut. Ana mula risau. Nombor sahabat lain yang menaiki kereta keempat itu pula ana dail. Lama ana menunggu baru butang telefon bimbit di sebelah sana ditekan. Ana bertanya situasi mereka ketika ini setelah salam bersambut. Suara sahabat ana putus-putus memberitahu bahawa mereka telah terlibat dengan kemalangan. Tentang hujan, tentang lori, tentang dia yang duduk di sebelah pemandu, tentang darah, tentang klinik kesihatan. “Aku ok, tapi ‘dia’... ‘dia’ teruk~” Air mata ana mengalir laju. Innalillahi wa inna ilaihi rajiuun. Musibah telah menimpa kami. Kala itu panggilan terputus. Sahabat yang mendengar perbualan kami menenangkan ana. Inikah puncanya hati yang gundah sebentar tadi? Ya ALLAH, KAU lindungilah mereka. Jauhkan dari sebarang malapetaka yang lain.

Kami keluar dari bilik. Berita itu dikhabarkan kepada sahabat-sahabat yang lain. Semua wajah di sekeliling ana nampak murung. Kebimbangan bertaut di hati masing-masing. Kami meminta izin untuk turut ke klinik. Kami ingin menenangkan sahabat-sahabat di sana. Namun, co-pilot yang ana hubungi menegaskan agar kami tidak ke klinik. Mungkin kerana bimbang kalau-kalau kami akan hilang kawalan di sana. Kami bersedih kerana tidak dibenarkan untuk ke klinik. Entah apa nasib sahabat-sahabat ana di sana. Kami yang tinggal di tapak program menunggu penuh sabar. Sebarang bunyi dari telefon bimbit dan pergerakan kenderaan di jalan masuk menjadi sensitiviti bagi kami. Entah beberapa kali kami menoleh ke jalan masuk, namun kereta biru yang diharapkan tidak muncul-muncul. Telefon bimbit ana berbunyi entah untuk ke berapa kali. Pilot yang menelefon dan meminta kami menjamah makanan terlebih dahulu. Baru ana sedar perut kami semua belum terisi sejak selepas sarapan pagi tadi. Ana sempat bertanya bagaimana keadaan di sana. ‘Dia’ masih dalam wad kecemasan. Pilot berpesan kepada dua orang sahabat ana agar keluar sebentar untuk membeli nasi. Dengan hati yang berat kami menghantar mereka dengan pandangan mata. Hati yang galau membuntukan fikiran. Kami bertekad untuk tidak mengkhabarkan berita ini kepada sesiapa di luar program sebelum mendapat kepastian yang lebih lanjut tentang keadaan dia. Pelbagai nama terbayang-bayang di fikiran ana. Kami menunggu kepulangan mereka dengan sabar. Benar, penantian itu satu penyeksaan. Namun, fikiran ana hanya mengharapkan ketiga-tiga sahabat yang menaiki kereta terakhir itu tidak apa-apa dan akan kembali bersama-sama kami pada petang ini juga.

Beberapa kali kami menoleh ke jalan masuk. Sudah beberapa buah kereta masuk namun bukanlah kereta-kereta yang kami harapkan. Agak lama kami menunggu sahabat-sahabat yang membeli nasi, hingga timbul kegusaran yang meningkat-ningkat. Seorang sahabat yang bersama-sama ana menghubungi mereka. Mereka dalam perjalanan ke chalet. Walaupun dalam perjalanan, itu masih tidak meredakan rasa bimbang di hati kerana kemalangan yang berlaku sebentar tadi tidak jauh dari tapak program. Mereka sudah hampir sampai, namun segala-galanya berlaku sekelip mata. Alhamdulillah, kelibat sahabat-sahabat yang membeli nasi kelihatan tidak lama selepas itu. Sahabat itu memberitahu kami agar bersedia dengan apa sahaja keadaan dan mengemas barang-barang kerana mungkin kami akan pulang pada malam itu juga. Semuanya bergantung kepada keputusan ketua program. Sahabat itu juga memberitahu bahawa ‘dia’ akan dipindahkan ke hospital di kota. Ya ALLAH, teruk sangatkah keadaan ‘dia’ hingga perlu ke hospital lain? Kami menerima segala berita terkini dengan bermacam-macam harapan baru.

Sambil menjamah makanan, kami muhasabah diri. Mengenang setiap detik yang dilalui untuk melaksanakan program ini. Menilai setiap matlamat dan niat kami. Saat itu juga penjaga chalet datang. Dia telah mengetahui tentang berita kemalangan itu. Dia juga yang bersungguh-sungguh menceritakan keadaan kereta yang terlibat dalam kemalangan dan memberitahu kami agar segera mengambil barang-barang di dalam kereta tersebut kerana khuatir akan berlaku kecurian. Bersungguh-sungguh dia ingin membantu kami hinggakan dia sendiri yang menghubungi ketua program untuk memastikan keadaan pada masa itu. Masya ALLAH, dia sungguh baik hati. Semoga ALLAH sentiasa memberkatinya. Ketika itu, telefon bimbit ana berbunyi lagi. Nama pilot kereta yang ana naiki pagi tadi tertera pada skrin telefon. Sebaik sahaja ana menyambut panggilan itu, kedengaran bunyi ambulans di hujung talian. Pilot memberitahu bahawa mereka sedang dalam perjalanan ke hospital. ‘Dia’ berada dalam keadaan separa sedar. Pemandu kereta terakhir turut berada di dalam ambulans tersebut. Pilot berpesan agar kami bersedia untuk menyambut sahabat ana yang lagi seorang. Sahabat yang ana hubungi sebaik mengetahui tentang kemalangan tersebut. Dia sempat bertanya keadaan kami dan meminta agar ana menjaga sahabat-sahabat lain di sini. Mungkin pada malam itu kami akan pulang atau pagi esoknya, bergantung kepada ketua program.

Ketika sahabat ana yang terlibat dengan kemalangan itu sampai, ana menyambutnya. Dia tersenyum. Ana nampak jahitan di kelopak mata kanannya. Tudung yang dipakai berlumuran darah. Sempat pula dia menyerahkan bekas air yang telah pecah dan penutupnya dicemari darah. Ana menunjukkan bilik kami. Dia berjumpa dengan sahabat-sahabat yang lain. Hampir sahaja dia menitiskan air mata ketika menceritakan bagaimana kemalangan itu boleh terjadi. Sebak hati ana apabila melihat luka-luka dan lebam-lebam di tubuhnya. Dia membersihkan diri ketika kami mengemas barang-barang program. Ana tidak ingat jam berapa, ketua program dan co-pilot sampai ke tapak program petang itu. Dia memberitahu bahawa kami akan pulang pagi esok kerana perlu menguruskan hal kereta dan laporan kemalangan di balai polis. Ibu ‘dia’ telah diberitahu tentang anak bongsunya dan alhamdulillah, tenang sahaja ibunya mendengar perkhabaran ini. Petang itu juga ana dan dua orang sahabat ana bersama-sama dengan ketua program bertolak ke hospital di kota. Sahabat yang lain akan menunggu di chalet yang telah dipenuhi dengan orang-orang yang tidak dikenali pada petang itu. Orang-orang ini bak kata ketua program, pekerja-pekerja dari kilang berdekatan. Ana kurang pasti kebenarannya, abaikanlah.

Kami sampai di hospital setelah maghrib. Pilot menyambut kami di sana dan membawa kami ke wad kecemasan. Kelihatan sahabat yang memandu kereta terakhir duduk lesu di luar wad. Dia tidak sedar kehadiran kami. Ana dan seorang sahabat ana mendekati dan memeluknya. Ya ALLAH, sedihnya kala itu. Kesusahan tergambar di wajahnya yang pucat. Air mata kami mengalir melihat keadaannya ketika itu. Baju putih yang dipakainya dicemari darah yang telah kering. Dia tidak henti-henti menyatakan rasa bersalah dan mengungkapkan kata maaf. Ketika itu, seorang pesakit lain menegur kami. Dia memberitahu bahawa sahabat kami yang masuk wad kecemasan telah keluar dibawa ambulans ke hospital JB sebentar tadi. Kami terkejut, tidak menyangka akan terlepas ambulans. Selepas satu, satu pula yang menimpa. Akhirnya kami memutuskan untuk membuat laporan di balai polis terlebih dahulu setelah memberitahu ibu ‘dia’ akan berita terkini tentang anaknya.

Hati bertambah sebak melihat keadaan sahabat yang memandu kereta terakhir apabila dia berdiri dan mula melangkah. Langkahnya perlahan dan terhincut-hincut. Ya ALLAH, hati kami risau seandainya berlaku apa-apa pada kaki kirinya. Tidak putus-putus kami menasihatinya agar membuat pemeriksaan doktor terlebih dahulu. Bimbang kalau-kalau ada bahagian yang retak kerana sebelum ini dia pernah patah tulang pada kaki kirinya. Dia bersetuju untuk melakukan pemeriksaan pada keesokkan hari. Semasa di balai polis, pemilik sebenar kereta terakhir sampai dan menyatakan rasa leganya apabila mengetahui semua yang terlibat dengan kemalangan selamat. Ana sendiri hampir menitiskan air mata apabila sahabat ana berkali-kali meminta maaf kepada pemilik kereta terakhir itu. Pemilik kereta itu tidak kisah dengan kereta yang sudah hampir tidak boleh dipakai akibat enjin yang telah rosak teruk kerana kos membaiki kereta itu masih boleh ditampung dengan insurans. Dia, isterinya dan seorang kawannya bersama-sama kami menemani sahabat ana membuat laporan kemalangan. Ana lihat beberapa kali sahabat ana menitiskan air mata semasa membuat laporan itu. Wajah bengis dan hati batu pencatat laporan langsung tidak membantu menenangkan perasaan sahabat ana. Lama kami menunggu barulah sahabat ana itu keluar dari bilik tersebut.

Kami diminta menunggu kedatangan seorang pegawai berpangkat sarjan untuk melengkapkan proses laporan sebelum beredar. Dua orang sahabat ana pergi mengisi perut dan membelikan makanan untuk kami sementara menunggu kedatangan sarjan tersebut. Emosi sahabat ana yang menjadi pemandu kereta terakhir nampak lebih tenang sedikit daripada ketika di hospital tadi. Dengan bersandar beralaskan lengan ana, dia masih menyatakan rasa bersalahnya. Ana dan seorang sahabat ana tidak putus-putus menyuntik kata-kata semangat agar dia tidak menyalahkan dirinya sendiri kerana semua yang berlaku ini adalah ketentuan dariNYA. Kalau bukan dia yang memandu pun, jika ALLAH kehendaki, kemalangan tetap akan berlaku (2:117).

Ketika menunggu itu, kami mendapat tahu bahawa ‘dia’ sedang menunggu untuk menjalankan proses pembedahan. ‘Dia’ telah menghantar mesej kepada sahabat ana yang tinggal di chalet. Kami segera membuat panggilan telefon untuk mengetahui keadaannya. Sahabat ana yang memandu kereta terakhir mengucapkan kata maaf untuk ke berapa kali kepada ‘dia’. Kali ini air matanya tidak tertahan lagi untuk mengalir. Kami berusaha menenangkannya. Ana juga berkesempatan untuk bercakap-cakap dengan ‘dia’. Mendengar suaranya yang serak-serak seperti baru selepas menangis menambah sebak di hati ana. ‘Dia’ memberitahu bahwa mungkin dia perlu membuat pembedahan plastik kerana keadaan luka di kelopak matanya agak teruk. ‘Dia’ sendiri tidak tahu sama ada matanya turut terjejas kerana mata kirinya dibalut. Ana asyik bertanya sama ada ‘dia’ berasa sakit atau tidak. Sempat juga ana berseloroh memintanya supaya jangan menangis kerana khuatir akan menambahkan rasa sakit. Gelak tawanya kedengaran sayu di telinga ana. Ana tidak lupa memberitahu bahwa ibunya telah mengetahui hal yang telah berlaku dan berpesan kepadanya agar segera menelefon ibunya selepas ini. Sahabat ana yang memiliki telefon bimbit itu pula tidak berputus asa menaikkan semangat ‘dia’, memberitahu bahawa kami semua akan melawatnya keesokkan hari, berpesan supaya ‘dia’ mesti segera sembuh dan keluar wad agar boleh menyaksikan ‘persembahan’nya (entah apa sahajalah persembahan yang dimaksudkan... :p) sebelum memutuskan talian.

Ketika menunggu itu jugalah sepupu sahabat ana yang memandu kereta terakhir yang tinggal di kawasan berdekatan datang dan bertanyakan keadaannya. Mereka turut bersama-sama kami menuggu kedatangan sarjan. Dua orang sahabat ana yang pergi membeli makanan kembali tidak berapa lama kemudian. Tidak lama selepas itu juga sarjan yang ditunggu sampai. Berbeza sekali perwatakan sarjan tersebut dengan pegawai pencatat laporan sebentar tadi. Sarjan itu lebih ramah dan tidak lupa untuk bertanyakan keadaan sahabat ana yang terlibat dengan kemalangan. Selepas melengkapkan proses laporan, sarjan itu memberitahu kami bahawa dia telah melihat keadaan ‘dia’ di hospital. Luka di kelopak mata kiri dan di dahi sahabat ana yang lagi sorang itu agak teruk juga, katanya. Ana berdoa di dalam hati agar tidak ada apa-apa yang lebih teruk lagi menimpanya. Sahabat ana dikenakan saman sebanyak RM300. Sebelumnya, mahu sahaja sarjan itu mengenakan saman RM5000 kerana kesalahan pemandu yang menyebabkan kecederaan kepada orang lain, tetapi melihatkan sahabat ana masih seorang pelajar, dia mengurangkan jumlah saman kepada RM300. Alhamdulillah.

Selepas beberapa minit berbincang, kami memutuskan untuk kembali ke chalet pada malam itu juga. Ketua program terpaksa akur dengan kedegilan kami setelah puas memujuk agar salah seorang daripada kami menumpang pemilik kereta terakhir untuk kembali ke kampus. Akhirnya seorang sahabat yang lain menawarkan diri untuk menumpang pemilik kereta itu. Ana, sahabat yang memandu kereta terakhir, pilot, ketua program, dan seorang sahabat ana segera bertolak ke tapak program tidak lama selepas itu. Sepanjang perjalanan, ana berusaha untuk tidak tidur kerana bimbang setelah apa yang berlaku siang tadi. Akan tetapi, beberapa kali ana tersengguk-sengguk kerana terlalu mengantuk. Sahabat di sebelah ana telah lama tertidur. Jam menunjukkan lepas tengah malam apabila kami tiba di chalet.

Astaghfirullah, hati ana terkejut melihat keadaan di chalet. Benarlah kata-kata seorang sahabat yang tinggal di chalet melalui mesej yang diterima di balai polis semasa menunggu sarjan tadi. ‘Orang-orang lain’ yang turut menyewa chalet itu telah menguasai tapak program. Lagu-lagu dipasang sekuat-kuatnya seolah-olah mahu ikan-ikan di dalam laut turut menari bersama-sama mereka, pergaulan tidak terbatas antara lelaki dan perempuan, pakaian yang seakan tidak cukup kain, dan bermacam-macam lagi perkara maksiat di hadapan mata kami. Ya ALLAH, adakah perkara ini yang ingin KAU jauhkan daripada kami? Begitu indah ketentuanMU, ya ALLAH. Kami segera masuk ke bilik, tidak mahu terus menghadap semua itu. Sahabat-sahabat lain yang menunggu kami menyambut kedatangan kami. Entah kenapa ana rasakan senyuman di wajah-wajah itu bukan dari dasar hati. Dua orang sahabat ana kelihatan seperti baru lepas menangis. Ana bertanya apa yang telah berlaku semasa ketiadaan kami sehingga mata mereka bengkak memerah, namun tiada jawapan yang ana dapat. Ana biarkan sahaja dahulu. Semua telah kepenatan, sahabat-sahabat ana terus tidur selepas bersama-sama menjamah ayam panggang dan berkongsi kisah sahabat yang terlibat dengan kemalangan. Hanya ana dan seorang sahabat ana yang bersama-sama ke hospital sahaja masih berjaga untuk mengemas makanan. Ketika mencuci perkakas makanan, dia memberitahu ana perkara yang mengganggu ketenangan hatinya sekembali dari balai polis tadi. Tentang wajah muram sahabat-sahabat yang lain, tentang mata dua orang sahabat kami yang bengkak memerah kerana menangis, tentang seorang sahabat yang hampir mengatakan sesuatu, tetapi ditahan supaya tidak terkeluar terus kata-kata yang ingin diluahkan. Seperti ada sesuatu yang lain telah mengundang keresahan sahabat-sahabat yang tinggal di chalet, tetapi kami tidak tahu apa yang telah berlaku.

Pagi esoknya, ketua program memberitahu kami akan bertolak pulang lewat sedikit kerana tayar kereta biru telah pancit. Kami perlu menunggu sehingga tayar itu ditukar. Ana membuat panggilan telefon kepada sahabat yang menemani ‘dia’ di hospital. Sahabat ana di JB yang sepatutnya ikut sama ke program tetapi terpaksa dibatalkan hasratnya kerana ada hal lain yang tidak dapat dielakkan. Begitu indah aturan ALLAH, sahabat ana itu rupa-rupanya telah diatur untuk berada disamping ‘dia’, menemaninya di hospital. Andai kata sahabat itu ikut sama ke program, entah siapa-siapalah yang rela hati untuk menjaga ‘dia’ di sana. Ana bertanya sama ada luka di kelopak mata ‘dia’ telah dijahit (entah kenapa doktor tidak jadi melakukan pembedahan plastik). Sahabat ana memberitahu proses jahitan belum dilakukan kerana doktor belum datang lagi. Ana juga memberitahu bahawa kami akan ke hospital tengahari ini bergantung kepada masa bertolak kerana tayar kereta yang pancit.

Pukul 11 lebih kami bertolak ke JB. Pada masa itu, luka ‘dia’ telahpun dijahit. Memandangkan masa yang begitu suntuk, ketua program memutuskan untuk melawat pada sebelah petang kerana kalau kami sampai di JB nanti, masa melawat pada waktu tengahari tentu sudah habis. Kami mengisi perut di sebuah kompleks membeli-belah dalam perjalanan ke JB sambil membeli buah tangan untuk ‘dia’. Pukul 4.00 petang, kami bertolak ke hospital JB.

Sampai sahaja di hospital, kami terserempak dengan sahabat ana yang menjaga ‘dia’ (ana tidak pasti sama ada dia memang menunggu kami atau terserempak secara kebetulan). Sahabat ana membawa kami ke wad ‘dia’. Dari jauh, ana nampak ‘dia’ sedang tidur. Mata kirinya berbalut. Sebaik terdengar suara kami, ‘dia’ terbangun. ‘Dia’ tersenyum dan melambaikan tangannya ke arah kami. Alhamdulillah. Noktah.

Muhasabah diri – balik sahaja dari hospital petang itu kami berkumpul di bilik sahabat ana yang memandu kereta terakhir. Kami bermuhasabah diri, menilai setiap yang telah berlaku. Banyak perkara telah kami pelajari dari program kali ini. Setiap apa yang berlaku itu nyata ketentuan dariNYA (2:216). DIA telah mengatur segalanya dengan begitu indah agar kami mengambil iktibar daripadanya. Mungkin kami telah merancang untuk mengeratkan ukhwah antara kami dengan cara kami, tapi DIA punya caraNYA sendiri untuk mengeratkan ikatan itu. Dari segala kesusahan yang telah kami lalui bersama dalam program kali ini, nyata ukhwah antara kami selepas ini menjadi lebih erat. Mungkin juga DIA mahu menjauhkan kami dari kemaksiatan yang berlaku di chalet selepas kedatangan ‘orang-orang lain’ itu. Alhamdulillah. Kami turut diuji dengan ketaatan kepada pemimpin. Mungkin sebelum ini kami asyik mengikut kepala kami, hati kami, tanpa mahu mengikut kata-kata pemimpin kami. Maka kali ini, DIA menguji kami dengan apa yang telah berlaku akibat daripada tidak patuh kepada pemimpin. Setiap daripada kami menilai niat dalam hati masing-masing. Apa sebenarnya niat kami ke program kali ini? Sejauh mana hati kami ikhlas ke program kali ini untuk mengeratkan ukhwah antara kami? Dalam setiap perkara, niat itu perkara paling utama – “betulkan niat, ikhlaskan hati” – kata-kata yang sering menjadi ‘tagline’ sesama kami. Mata hati kami turut dibuka untuk menilai kepercayaan yang ada antara kami dan pihak di sekeliling kami. Kepercayaan itu bukan sesuatu perkara yang mudah, untuk membentuknya memerlukan masa dan kebersamaan. Kepercayaan itu boleh dinilai apabila kita berada dalam kesusahan, kepada siapa dahulu kita memberi seribu pergantungan (sahabat-sahabat yang tinggal di chalet semasa ketiadaan kami yang ke hospital di kota tentu faham). Selepas ini, kami akan bersama-sama memulihkan semangat antara kami setelah apa yang berlaku. Semoga setiap kesusahan yang kita alami memberi iktibar kepada kita. Induksi terakhir, induksi penuh makna. Sahabat-sahabat, uhibbukum fillah!

Adakah ini sekadar fantasi pena? Tidak, ini realiti kehidupan 22-23 November 2008.


Novelog Miss Ran: Aku, Dia, dan Paparazzi

Kuntuman Sakura

Blog (167) Blog Review (110) Blogger (57) BM (17) Books (26) Cerpen (14) Cici (41) cinta (34) Dakwah (65) Eh Ustazah (42) gathering (8) iklan (24) Info Sihat (26) Jalan-jalan (46) lirik (21) Motivasi (52) muhasabah (34) Nukilan Jiwa (55) Palestine (21) perkahwinan (38) Puisi (45) Puisi Islamik (15) Ramadhan (21) Review Filem (3) Sakura (33) Tazkirah (87) Tutorial (27) WordlessWednesday (54)
Ini adalah blog peribadi. Sebarang pendapat yang saya nukilkan di sini adalah dari saya sendiri, tidak melibatkan sesiapa kecuali jika saya letakkan nama pemiliknya. Sebarang COPYPASTE dari laman Sunah Suka Sakura dot com adalah dibenarkan dengan syarat dikreditkan ke blog ini. Sama-sama menyebarkan perkara yang bermanfaat. Terima kasih.