BLOG ENCIK SUAMI

Friday, January 30, 2009

Harga Tiket Bas Naik Musim Cuti

MUSIM perayaan adalah masa dinantikan oleh kebanyakan masyarakat mahasiswa. Ketika inilah mahasiswa mengambil peluang pulang ke kampung halaman bertemu keluarga dan sahabat handai di samping melepaskan tekanan sebagai mahasiswa di kampus.

Ironinya, semangat untuk pulang ke kampung menjadi hambar apabila menyaksikan kerakusan sesetengah pihak yang cuba menangguk di air yang keruh. Pengusaha bas mahupun teksi sewenang-wenangnya menaikkan caj perkhidmatan pada musim perayaan.

Sebagai contoh, kos perjalanan dari Skudai ke Melaka menggunakan perkhidmatan bas ekspres dinaikkan daripada RM19 (termasuk 30 peratus surcaj) kepada RM22, manakala dari Skudai ke Kuala Lumpur dinaikkan daripada RM31.20 mencecah RM35.

Lebih memeranjatkan ada pengusaha tiket bas menaikkan harga sehingga 100 peratus. Kos perjalanan ke Utara (Kedah) sebagai contoh meningkat daripada RM73 kepada RM150. Ini belum menyentuh sikap pemandu teksi di Skudai yang rata-rata menggantikan bahan bakar petrol kepada NGV untuk mengurangkan kos.

Fakta menunjukkan, seunit liter NGV yang digunakan memakan kos hanya 68 sen seliter, bermakna penggunaan satu kilometer bagi teksi hanya sekitar 4 hingga 8 sen satu kilometer. Dengan jarak perjalanan dari Skudai ke Universiti Teknologi Malaysia (UTM) kurang 10km dan keadaan trafik yang sentiasa lancar, mahasiswa dikenakan caj RM12 hingga RM20 bagi sebuah teksi.

Caj RM7 seorang pula dikenakan untuk destinasi berbeza mahupun masih dalam UTM. Jika didarabkan kepada empat penumpang sebuah teksi, sekali perjalanan pemandu teksi mendapat kutipan caj mencecah RM28.

Justeru, selaku mahasiswa yang responsif kami Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Teknologi Malaysia (MPP UTM 2008/09) menyeru pihak yang terbabit supaya mematuhi undang-undang dan tidak mengeksploitasikan keadaan.

Pihak bertanggungjawab pula diminta supaya mengenakan tindakan tegas kepada pengusaha yang sering mengambil kesempatan.

ABDUL HADI ABDUL HALIM,
Presiden Majlis Perwakilan Pelajar 2008/09,
Universiti Teknologi Malaysia.

Sumber: Berita Harian - 30/01/09



Tuesday, January 27, 2009

Sekitar Program GAMIS Bersama Masyarakat

Pada 26 Januari 2009 bersamaan dengan 29 Muharam 1430H, Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia cawangan Johor (GAMIS) telah mengadakan program ziarah dan dakwah ke Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru bersempena dengan Tahun Baru Cina. Program ini diketuai oleh saudara Mohd. Zulhilmey Makmud selaku Presiden GAMIS Johor yang turut disertai oleh 3 buah kampus yang terletak di cawangan selatan iaitu Universiti Teknologi Malaysia, Politeknik Johor Bahru dan Universiti Tun Hussein Onn. Seramai 86 orang peserta iaitu 70 orang peserta dari UTM dengan diketuai oleh saudara Mohd. Amin bin Hamami selaku Presiden Persatuan Mahasiswa Islam, UTM, 11 orang peserta dari UTHM dengan diketuai oleh Saudara Hazufi dan 5 orang peserta dari Politeknik JB.

Tepat jam 12.00 tengahari, semua peserta telah berkumpul di hadapan hospital untuk sesi pembahagian kumpulan dan seterusnya mendengar sedikit taklimat daripada saudara Mohd. Wafi sebelum memulakan aktiviti ziarah dan dakwah kepada pesakit-pesakit di Hospital Sultanah Aminah.

Program yang bertujuan untuk menziarah para pesakit dan seterusnya membawa agenda dakwah tidak kira kaum, agama dan usia ini menjadi salah satu “platform” yang baik untuk kita selaku penggerak dakwah Islam khususnya di Johor ini bagi memulakan langkah untuk mendekati masyarakat. Salah satu agenda yang dilaksanakan ialah pengagihan buah limau kepada setiap pesakit di situ. Disamping itu, semua peserta tidak melepaskan peluang untuk beramah mesra dan membina hubungan silaturrahim bersama pesakit-pesakit seterusnya menyelitkan unsur-unsur dakwah seperti menunjukkan akhlak yang baik kepada pesakit serta kepada keluarga pesakit yang ada.

Selain itu, program ini juga merupakan kerja lapangan kepada mahasiswa/i untuk mempraktikkan segala teori dakwah yang telah diperolehi di kampus masing-masing. Melalui kerja lapangan ini, mereka dapat menghayati serta merasai keperitan dan kesakitan yang ditanggung oleh pesakit. Justeru itu, para peserta dapat bermuhasabah dan bersyukur atas segala nikmat kesihatan yang masih lagi dikecapi dan dirasai disamping berasa beruntung kerana dapat melaksanakan ibadah kepada Allah dengan mudah dan selesa tanpa sebarang kesakitan. Program ini berjalan dengan lebih lancar lagi dengan bantuan beberapa orang pegawai keselamatan yang bekerja di hospital tersebut dengan bertindak sebagai pemandu arah untuk menunjukkan wad-wad pesakit untuk dilawati.

Pada jam 1.30 petang, para peserta telah berkumpul semula di hadapan Hospital Sultanah Aminah untuk mendengar ucapan daripada setiap wakil kampus. Dimulakan dengan ucapan daripada wakil kampus UTHM iaitu saudara Hazufi, diikuti pula wakil daripada Politeknik JB, seterusnya ucapan daripada muslimat yang diwakili oleh saudari Anis Afidah binti Mohd. Azli. Ucapan terakhir telah diberikan oleh saudara Mohd. Amin Bin Hamami selaku wakil daripada GAMIS Johor.

Program ziarah dan dakwah ini disudahi dengan bacaan doa daripada Mohd. Firdaus bin Ab Rahman dan sesi mengambil gambar. Tepat jam 2.05 petang, program telah berakhir dan para peserta pulang ke kampus bagi meneruskan semula agenda dakwah di tempat masing-masing. Semoga perkara yang sedikit ini besar nilai ganjarannya di sisi Allah Ta’ala dan juga menjadi salah satu wadah untuk masyarakat menerima Islam. Amiin.

SITI NAZIRAH BINTI BUTAI
TAHUN 2 SAINS FIZIK KESIHATAN
UNIVERSITI TEKNOLOGI MALAYSIA, SKUDAI JB

Lagi gambar sekitar Program GAMIS Bersama Masyarakat

Muslimin bergambar di hadapan hospital

Muslimat tekun mendengar ucapan

Sumber GAMIS Johor



Sunday, January 25, 2009

Bubur Asyura Kedah

Alhamdulillah baru selesai satu program pertama kolej untuk semester ini, iaitu program sambutan Hari Asyura pada 17 Januari 2009 yang lalu. Ana yang turut serta mengacau bubur tidak melepaskan peluang untuk berkongsi pengalaman ini bersama pembaca. Bubur asyura kali ini berbeza dengan bubur asyura yang biasa dibuat di Johor. Kali ini AJK Pelaksana memperkenalkan menu baru kepada warga KTC iaitu bubur asyura Kedah.

Sesi mengacau bubur, macam kacau dodol~

Bubur yang sudah siap dimasak

Pengisian selepas maghrib

Jamuan makan selepas ceramah

Sumber gambar daripada Salfiza Rowida



Friday, January 23, 2009

Program GAMIS Bersama Masyarakat

Bersempena dengan Tahun Baru Cina yang bakal menjelang, Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) Johor akan mengadakan Program GAMIS Bersama Masyarakat bertempat di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru. Program yang bertujuan untuk meraikan pesakit-pesakit berbangsa Cina di hospital tersebut diharapkan dapat menggambarkan keindahan perpaduan rakyat berbilang kaum di negara ini disamping memperkenalkan GAMIS Johor kepada masyarakat. Mahasiswa yang berminat untuk bersama-sama menyelami perasaan pesakit-pesakit berbangsa Cina yang tidak berpeluang untuk menyambut Tahun Baru Cina bersama keluarga di rumah amat dialu-alukan untuk menghubungi Akhi Zul Hilmey (013-7143840) untuk maklumat lanjut mengenai program ini.

Pencetus Revolusi Mahasiswa Selatan



Tuesday, January 20, 2009

Prof. Dr. Marzuki TNC ( Inovasi dan Penyelidikan) UTM

UTM Skudai: Pengarah Pusat Universiti Malaysia-Jepun, Prof. Dr. Marzuki Khalid dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (TNC) Bahagian Inovasi dan Penyelidikan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bagi tempoh tiga tahun iaitu mulai tahun ini hingga 2012.

Prof. Dr. Marzuki, 50, merupakan seorang yang berpengalaman luas dalam bidang inovasi serta penyelidikan dan dilantik menjadi TNC selepas Jawatankuasa Pemilih dianggotai Naib Canselor dan Timbalan Naib Canselor menyokong pelantikannya memegang jawatan itu. Beliau menerima diploma 'First Class' dalam bidang Kejuruteraan Elektrik (Kuasa) dan Anugerah Pelajar Terbaik daripada Universiti Teknologi Malaysia pada tahun 1980. Beliau menyambung master di Cranfield Institute of Technology, United Kingdom dan menerima PhD dalam bidang Neuro-Control di University of Tokushima, Jepun pada tahun 1994. Beliau turut mendapat anugerah "International Exchange Award for Outstanding Research Accomplishment" daripada Graduate School of Engineering di University of Tokushima, Jepun dan anugerah daripada C&C Foundation, NEC, Jepun (1992). Lagi mengenai Prof. Dr. Marzuki

Pemilihan beliau selaras dengan dasar baru UTM yang sedang menuju menjadi universiti berteraskan penyelidikan kerana kelayakan memegang jawatan dalam bidang penyelidikan robotik dan kecerdasan buatan (Centre for Artificial Intelligence and Robotics (CAIRO)).

Beliau berkata, jawatan TNC penting kerana ia membabitkan banyak tanggungjawab dan berharap dengan kepercayaan Jawatankuasa Pemilih itu, mampu melaksanakan dasar baru UTM sekali gus mengharumkan nama universiti.

http://pmiutm.blogspot.com



Friday, January 16, 2009

AHLI JAWATANKUASA JURUTEK 2009

PRESIDEN
MOHD FARIZI SUKORYOH 3 SET

TIM PRESIDEN 1
HISYAM ABDUL RAHMAN 2 SEM

TIM PRESIDEN II
SH NUR ASYIKIN SY ABD RAHIM 3 SEE

SETIAUSAHA
UMI KALSOM MOHAMAD 1 SEP

BENDAHARI
MAJIDAH ABD RAHIM 2 SEP

BIRO PENERBITAN
MUHAMMAD SAFWAN B AHMAD KAMAL 2 SEE
SITI NOR ZAWANI BT AHMMAD 2 SEP

BIRO AKADEMIK
MUHAMMAD ISMAIL ABU ZARIN 2SEE
ILI NAJAA AIMI BT MOHD NORDIN 2SEP

BIRO PERHUBUNGAN
THAMMA RIEZKY MAHENDRA 3 SET
NORFADILA UYOP 2 SEP

BIRO KEBAJIKAN
AHMAD HAZWAN B AB RAHIM 1 SEL
SAIFUL HAZIQ AHMAD SHAFIAI 1 SEL

BIRO AKTIVITI
MUHAMMAD ASYRAF AZMAN 2 SEM
NUR AISYAH ZEIDUN 1 SEL


Sekitar Taklimat AUKU

Salam mahasiswa. Semalam, 15 Januari 2009 bersamaan 18 Muharram 1430H, barisan majlis perwakilan mahasiswa (MPP) Universiti Teknologi Malaysia, Skudai telah menyertai taklimat khas mengenai Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) (pindaan 2008) bertempat di Sofitel, Johor. Talimat yang turut disertai oleh mahasiswa dari Universiti Teknikal Melaka (UTEM) dan Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) Johor itu bermula pada pukul 2.30 petang dengan sedikit penerangan dalam Bahasa Inggeris oleh Prof. Dr. Akram (pensyarah UIA). Walaupun permulaan taklimat agak 'terganggu' dengan sedikit teguran daripada wakil MPP UTM, saudara Muhammad Zaki yang meminta supaya taklimat diberikan dalam Bahasa Melayu, para mahasiswa yang hadir memberi respon yang sangat memberansangkan semasa sesi soal jawab.

Saudara Chai Woei Dar, wakil MPP UTM, antara mahasiswa pertama yang mempersoalkan sebab perlunya mengawal pelajar dengan AUKU. Ahli panel dari Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang hadir menerangkan bahawa AUKU bukan sesuatu yang menyekat pelajar, tetapi status sebagai seorang mahasiswalah yang sebenarnya menyekat pelajar. Biarpun bertemakan "Intrusting Students With Freedom", kebebasan yang diberikan kepada pelajar bukan kebebasan mutlak. AUKU juga berfungsi untuk melancarkan proses pembelajaran di kampus selari dengan harapan ibu bapa yang mahu anak-anak mereka belajar di kampus tanpa gangguan politik.

Saudara Mohd Izwan, juga dari UTM menghangatkan sesi soal jawab dengan mempersoalkan kebebasan pelajar luar negara dalam berpolitik. Panel memberi respons bahawa pelajar luar negara tidak terlalu terikat dengan AUKU kerana AUKU tidak boleh melangkaui sempadan negara. Kesan berpolitik pelajar Malaysia di luar negara juga tidak terlalu ketara kerana bilangan mereka yang minoriti. Saudara Nik Mohd Afiq dari UTEM pula mempersoalkan tentang kemunasabahan pelajar yang merupakan ahli politik dibenarkan menuntut di sesebuah universiti sedangkan kebimbangan pelajar tersebut untuk menyebarkan ideologi politik itu ada. Ahli panel memberitahu bahawa pelajar masih boleh menjalankan tugas sebagai ahli politik di luar kampus, tetapi tidak boleh membuat kenyataan politik di dalam kampus. Pihak Hal Ehwal Pelajar juga sudah tidak dibenarkan untuk membuat sebarang tafsiran melulu ke atas pelajar yang membuat kenyataan berbaur politik selagi kenyataan tersebut responsif dan berdasarkan fakta.

Saudara Mohd Affendi dari UTM turut mempersoalkan tentang kebebasan mahasiswa bersuara di kampus dalam membawa agenda mahasiswa semasa proses PRK. Respons ini diutarakan berbangkit daripada gelaran "pembangkang" kepada Pro-Mahasiswa dan khabar angin yang mengatakan Pro-Mahasiswa membawa agenda politik luar ke dalam kampus sedangkan Pro-Mahasiswa sebenarnya membawa suara mahasiswa, yang terjadi adalah sekatan kepada pihak Pro-Mahasiswa (termasuklah sekatan blog oleh websense di kolej tertentu sekitar UTM) dalam memperjuangkan hak mahasiswa. Persoalan ini yang berkait rapat dengan respons tentang penyalahgunaan AUKU yang diutarakan oleh saudari Syahadah dari UTEM dijawab oleh ahli panel dengan menerangkan bahawa jika terdapat fakta dan bukti tentang penyalahgunaan AUKU di dalam kampus, pelajar boleh membuat aduan kepada Lembaga Pengarah universiti.

Respons mahasiswa sepanjang taklimat itu begitu memberangsangkan sehingga mahasiswa yang hadir meminta untuk diberi peluang bertanya beberapa soalan lagi ketika sesi soal jawab sudah sampai ke penghujung. Biarpun sudah tidak berkesempatan untuk bertanya soalan semasa sesi soal jawab, para mahasiswa tidak melepaskan peluang untuk berjumpa dengan ahli panel di luar dewan untuk mendapatkan lebih kefahaman mengenai AUKU. Harapan ana, semoga lebih banyak sesi perkongsian idea antara mahasiswa dan KPT seperti ini diadakan di masa akan datang agar kepentingan pelajar, harapan ibu bapa, dan kepentingan masa depan pelajar seperti yang dikatakan oleh ahli panel dari KPT, dapat dipelihara.



Wednesday, January 14, 2009

Pro-Mahasiswa Menang 10 Kerusi di UTM

Alhamdulillah, semalam merupakan pilihanraya kampus bagi UTM. Perjalanan hari pengundian di semua Fakulti berjalan lancar. Pengundian telah bermula pada pukul 9 pagi dan berakhir pada 5 Petang.

Keputusan PRK 2008:

Fakulti Kejuruteraan Awam
3 kerusi dimenangi oleh Aspirasi (menang tanpa bertanding)

Fakulti Alam Bina
3 Kerusi dimenangi oleh Aspirasi (menang tanpa bertanding)

Fakulti Pendidikan
2 kerusi dimenangi Pro Mahasiswa, 1 kerusi Aspirasi

Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Sumber Asli
1 Kerusi dimenangi Pro Mahasiswa, 2 Kerusi Aspirasi

Fakulti Sains
1 Kerusi dimenangi Pro Mahasiswa, 2 Kerusi Pro Aspirasi

Fakulti Sains Komputer dan Sumber Maklumat
3 Kerusi dimenangi Pro Aspirasi

Fakulti Kejuruteraan Elektrik
1 Kerusi dimenangi Pro Mahasiswa, 2 Kerusi Pro Aspirasi

Fakulti Kejuruteraan Sains Geoinformasi
3 Kerusi dimenangi Pro Aspirasi

Fakulti Pengurusan dan Pembangunan Sumber Manusia
1 Kerusi dimenangi Pro Mahasiswa, 2 Kerusi Pro Aspirasi

Fakulti Kejuruteraan Mekanikal
3 Kerusi dimenangi Pro Aspirasi

Kerusi Umum : 2 Kerusi dimenangi Pro Mahasiswa, 8 Kerusi Pro Aspirasi
Kerusi UTMKL: 2 Kerusi dimenangi Pro Mahasiswa, 3 Kerusi Pro Aspirasi

ProMahasiswa telah memenangi 10 daripada 45 kerusi yang dipertandingkan.

Calon Fakulti Pro Mahasiswa Yang Telah Menang PRK '08

Mohd Fais Bin Yahya
2 SPI
Pengajian Islam
(931 Undi)



Mohd Syahir Bin Hassim
2 SPI
Pengajian Islam
(933 Undi)



Nor Arizal b Ramli
3 SKP
FKKKSA




Mohd Ariffudin Bin Shamsudin
2 SSE
FS




Siti Hasunah Bt Mohammad
3 SET
FKE
(844 undi)

Wong Ye Sing
2 SHR
FPPSM

Calon Umum Pro Mahasiswa Yang Telah Menang PRK '08

Nur Azim Fahada bin Ahmad
2 SEM
FKE
(6509 undi)



Mohd Affendi bin Ismail
2 SAW
FKA
(8623 undi)



Student..Power!!!

**Maklumat terkini akan di kemaskini dari masa ke semasa

http://promahasiswautm.blogspot.com



Tuesday, January 13, 2009

Negara Islam Perlu Bersatu - Ahmadinejad

ALGIERS 12 Jan. - Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad menyeru negara-negara Islam supaya bersatu bagi menamatkan pembunuhan kaum yang giat dilakukan oleh Israel ke atas penduduk Palestin di Genting Gaza.

Beliau membuat seruan itu selepas rundingan dengan Presiden Algeria, Abdelaziz Bouteflika, di sini semalam.

Mahmoud memberi amaran, jika langkah-langkah global tidak diambil segera oleh negara-negara bebas dan merdeka untuk menghentikan pengeboman Israel ke atas Gaza, "rantau ini, dunia Islam dan umat manusia seluruhnya akan berdepan dengan malapetaka kemanusiaan terbesar dalam sejarah."

Beliau menggesa sekatan politik dan ekonomi dikenakan secara bersepadu ke atas Israel.

Menurut Presiden itu, Iran akan memberikan "segala bentuk sokongan" untuk memerangi keganasan Israel dan mencegah "peringkat genosid baru" dalam kempen rejim Zionis itu ke atas rakyat Palestin.

Sambil memberi amaran dunia Islam serta para pemimpinnya memikul "tanggungjawab terbesar dalam sejarah" untuk bertindak, Mahmoud berkata, rakyat dan kerajaan negara Islam "mampu memarakkan intifada Palestin."

Beliau merujuk kepada dua pemberontakan Palestin menentang pendudukan Israel pada 1987 dan 2000.

Israel mula mengerahkan askar simpanannya memasuki Genting Gaza semalam ketika pertempuran sengit terus meletus sekalipun Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah menuntut agar gencatan senjata dilaksanakan di wilayah Palestin itu.

- AFP

Sumber:http://utusan.com.my



Calon Evolusi Mahasiswa Bakal Lompat Parti?

video

Pilihanraya kampus UTM semakin panas dengan kenyataan,Saudara Hafiz selaku Ketua Jentera Pro Mahasiswa dalam rapat umum hari ini bertempat di Arked Cengal apabila beliau menyatakan beberapa orang calon dari Evolusi Mahasiswa bakal “melompat parti” kepada Pro Mahasiswa selepas menang pilihanraya yang akan berlangsung pada esok hari. Keadaan ini disebabkan ketidakpuashatian calon-calon umum mahupun calon-calon fakulti Evolusi Mahasiswa terhadap pengurusan jentera yang "menganak tirikan” mereka dalam kempen-kempen yang diadakan sama ada melalui rapat umum ataupun jumlah poster-poster yang digantung terlalu sedikit berbanding calon-calon yang lain.

video

Kenyataan terbuka saudara Hafiz berkenaan "lompat parti" kepada Pro Mahasiswa dilihat sebagai satu peluang besar kepada Pro Mahasiswa untuk menguasai kerusi MPP dalam pilihanraya kampus kali ini. Beberapa calon bebas yang tidak berpihak kepada mana-mana kumpulan sama ada Evolusi atau Pro Mahasiswa sebelum ini juga dikatakan bakal bersama Pro Mahasiswa setelah menang dalam pilihanraya kampus nanti kerana tertarik dengan perjuangan dan agenda yang ingin dibawa oleh Pro Mahasiswa. Apapun yang berlaku, Pro Mahasiswa Sentiasa bersedia untuk memimpin Mahasiswa UTM dan memperjuangkan hak-hak serta kebajikan mereka. Student Power!!!


http://promahasiswautm.blogspot.com

Sunday, January 11, 2009

Calon Pro-M UTM mendekati mahasiswa

10hb Januari 2009: Duta-duta Pro Mahasiswa hari ini telah memulakan rapat umum untuk bertemu mata dengan mahasiswa UTM bertempat di Arked Meranti. Rapat Umum ini diadakan bagi memperkenalkan Pro Mahasiswa yang bertanding untuk Kerusi Umum. Anis Bin Abd Wahab dalam ucapannya menerangkan berkenaan manifesto Pro Mahasiswa yang di bawa pada pilihanraya kali ini. Empat agenda dalam manifesto yang akan di bawa oleh Pro Mahasiswa iaitu berkenaan Akademik, Kebajikan, Kepimpinan dan Perpaduan. Rapat umum ini diihat berjaya untuk menarik perhatian Mahasiswa yang hadir.

Respon yang diterima selepas rapat umum berakhir sangat baik dan kebanyakannya teruja untuk mengikuti siri-siri rapat umum seterusnya. Pro Mahasiswa berterima kasih kepada semua yang sudi meluangkan masa untuk mendengar sedikit ucapan dari duta-duta Pro M termasuk wakil Evolusi mahasiswa. Terima kasih juga kepada pihak keselamatan UTM yang banyak membantu dan menjaga Pro M sepanjang pilihanraya berlangsung. Student Power!!




Saturday, January 10, 2009

Sepahit Perjuangan, Semanis Syurga

Salam perubahan. Hari ini hati ana diduga dengan pelbagai macam hal yang berlaku di sekeliling ana. Perasaan yang ana lalui ketika ini hanya ALLAH yang tahu. Betullah apa yang termaktub dalam kalamNYA, 'Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: "Kami telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi? Dan sesungguhnya KAMI telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya ALLAH mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya DIA mengetahui orang-orang yang dusta.' [29:2-3]

Ana teringat lirik lagu kumpulan Hijjaz, '...berjuang memang pahit..kerana syurga itu manis...' yang sangat diminati oleh salah seorang sahabat ana. Sesungguhnya perjuangan itu bukan sesuatu yang mudah. Ketika inilah hati kita akan diuji dengan pelbagai ujian dariNYA. Hati kita akan diuji dengan pengorbanan. Pengorbanan: memberi segala apa yang paling kita sayang. Sejauh mana kita mahu berkorban demi sebuah perjuangan yang belum pasti kemenangannya milik kita? Sejauh mana kita mahu menggunakan tenaga dan masa yang sepatutnya kita gunakan bagi menelaah buku pelajaran untuk turun ke medan perjuangan? Sejauh mana kita sanggup melepaskan sahabat-sahabat kita demi sesuatu yang lebih tinggi?

'Katakanlah: "Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai daripada ALLAH dan RasulNYA dan (dari) berjihad di jalanNYA, maka tunggulah sampai ALLAH mendatangkan keputusanNYA." Dan ALLAH tidak memberi petunjuk kepada orang-orang fasik.' [9:24]

Sahabat-sahabat seperjuangan, ujian yang kita hadapi saat berkempen untuk PRK ini hanya sedikit jika dibandingkan dengan apa yang Para Sahabat lalui di zaman kegemilangan Islam dahulu. Pesanan untuk diri ana sendiri, kuatkan hati kita dan teruslah istiqamah dalam perjuangan ini. Biar sehebat mana tentangan dan taktik yang digunakan oleh pihak sebelah sana, teruskan perjuangan. Banyakkan doa dan munajat hanya kepada ALLAH agar segala urusan dipermudahkan olehNYA.

'Maka bersabarlah kamu, sesungguhnya janji ALLAH adalah benar dan sekali-kali janganlah orang-orang yang tidak meyakini (kebenaran ayat-ayat ALLAH) itu menggelisahkan kamu.' [30:60]

"Ya ALLAH, bantulah kami untuk membantu agamaMU."

Syukran sahabat. Semoga ALLAH memberkati setiap derap langkah dalam kehidupanmu.



Friday, January 9, 2009

Pro-Aspirasi mendahului di UTM Skudai

malaysiakini
Jimadie Shah Othman & Ling Fong Ng | Jan 9, 09 5:56pm

Kumpulan Pro-Aspirasi di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) memenangi enam kerusi tanpa bertanding selepas selesai proses pencalonan bagi pilihanraya kampus di universiti tersebut di Skudai, Johor semalam.

Ini ekoran kegagalan kumpulan Pro-Mahasiswa - yang dianggap sebagai anti-establishment - mengemukakan calon mereka bertanding di kerusi terbabit.

Pro-Aspirasi yang cenderung kepada kerajaan, menang tiga kerusi di Fakulti Kejuruteraan Awam dan tiga lagi di Fakulti Alam Bina.

Situasi di universiti di Selatan Semenanjung itu berbeza sekali dengan keputusan awal di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) semalam yang memihak kepada kumpulan Pro-Mahasiswa selepas proses penamaan calon.

Kumpulan Pro-Mahasiswa UKM itu menang empat kerusi tanpa dilaporkan menang tanpa bertanding.

Calon mereka menang tanpa bertanding dua kerusi Fakulti Kejuruteraan dan satu kerusi di Fakulti Pengajian Islam apabila kumpulan Pro-Aspirasi gagal mengemukakan tiga calon.

Manakala satu lagi kerusi dimenangi apabila bantahan calon Pro-Mahasiswa terhadap calon Pro-Aspirasi, diterima pihak suruhanjaya pilihanraya kampus universiti berkenaan.

UTM akan mengadakan pilihanrayanya kampusnya 13 Januari ini - dengan tempoh berkempen ditetapkan selama lima hari, mulai semalam.

Seramai 85 calon akan bertanding merebut 45 kerusi - iaitu 30 kerusi fakulti, 10 kerusi umum serta lima lagi kerusi di kampus Kuala Lumpur.

Proses penamaan calon semalam difahamkan berlangsung tanpa sebarang insiden tidak diingini.




Gelombang Oren menghangatkan PRK UTM 2009

UTM Skudai, 8 Januari: Hari yang ditunggu-tunggu telah tiba. Kehadiran Gelombang "Oren" Pro Mahasiswa hari ini telah menghangatkan kembali Politik Kampus UTM pada hari pertama penamaan calon.

Seawal 7.45 AM, Sebanyak 50 buah Motosikal telah mula berarak di sekitar UTM bagi memberi isyarat kepada awal kepada Mahasiswa khususnya ASPIRASI bahawa Pro Mahasiswa telah bersedia untuk berpencak di gelanggang dan bersungguh-sungguh dalam pilihan raya Kampus pada kali ini.

Pro Mahasiswa UTM kemudiannya berkumpul dan berarak bermula dari bangunan Persatuan Pelajar (SUB) untuk mengiringi duta-duta Pro Mahasiswa UTM sehingga ke Pusat penamaan calon bertempat di Rumah Alumni UTM. Laungan "Student Power!!" memecahkan kesunyian sepanjang perarakan berlangsung.

Kehadiran Penyokong Pro Mahasiswa di pusat penamaan calon telah mendapat perhatian ramai "jurugambar" yang telah di tugaskan "khas" untuk Pro Mahasiswa. Sesuatu yang berbeza dengan kampus-kampus lain, bayang-bayang penyokong ASPIRASI @ Evolusi Mahasiswa yang di khabarkan akan keluar dengan seragam merah tidak kelihatan sepanjang penamaan calon berlangsung. Namun, Kehadiran Pengetua-pengetua kolej, staf HEP, dan pegawai keselamatan di pusat penamaan calon sekurang-kurangnya memeriahkan pilihan raya kampus UTM pada kali ini dengan reaksi yang pelbagai dalam menyambut kehadiran Pro Mahasiswa.

Perjalanan sepanjang penamaan Calon hari ini dilihat berjalan lancar walaupun ada sedikit sekatan semasa perarakan yang di lakukan oleh Pegawai Keselamatan UTM, akan tetapi masalah tersebut dapat diselesaikan dengan baik hasil perbincangan saudara Hafiz Mohamad, Selaku ketua Jentera Pro Mahasiswa dengan pihak keselamatan. Sebelum bersurai, Lagu UTM - Keunggulan terbilang di nyanyikan menandakan kesediaan Pro Mahasiswa bersama-sama universiti bagi membangunkan UTM pada masa akan datang.

Penamaan Calon hari ini berakhir dengan aman dan tenteram walaupun sebelum ini ada ugutan dan amaran yang telah di terima oleh penyokong mahupun calon Pro Mahasiswa itu sendiri.

"Mahasiswa tidak perlu gentar dan takut dengan ugutan atau amaran seperti ini kerana kita sebagai mahasiswa mempunyai hak dalam pilihanraya kampus." Tegas Saudara Hafiz selaku ketua jentera Pro Mahasiswa.

Anis Bin Abd Wahab dalam ucapannya juga berharap pihak pentadbiran memberi ruang yang seluas-luasnya kepada Mahasiswa untuk berpencak di arena pilihanraya kampus pada kali ini agar tidak wujud sebarang ketidakpuashatian dan sebarang tindakan provokasi pada masa akan datang.

Pro Mahasiswa juga berharap pilihanraya pada kali ini lebih bersih, adil dan telus dan bebas dari sebarang campurtangan pihak "atasan". Berikan hak mahasiswa kepada mahasiswa. Seluruh jentera Pro Mahasiswa UTM akan berusaha upaya bagi memastikan pilihanraya kampus kali ini bakal merubah kepimpinan kampus UTM ke arah lebih mantap. Student..Power!!!

http://promahasiswautm.blogspot.com


Wednesday, January 7, 2009

Rapat Umum Selamatkan Gaza

Rakyat Malaysia di jemput hadir dalam Rapat Umum Selamatkan Gaza bagi menyatakan sokongan terhadap rakyat Palestin di Gaza dan mengutuk kezaliman yang dilakukan olah rejim Zionis ke atas mereka.

Anjuran : Aman Palestin
Tarikh : 10 Januari 2009M/13 Muharram 1430h
Masa : 10 pagi hingga 12 tengahari.

Objektif
-Menyatakan kebersamaan rakyat Malaysia dalam menghadapi penderitaan yang dialami oleh rakyat Palestin di Gaza.
-Memberi sokongan dan kepedulian rakyat Malaysia terhadap saudara mereka di Gaza.
-Megutuk kezaliman yang dilakukan oleh rejim Zionis Yahudi ke atas rakyat Palestin di Gaza.

Aktiviti
Tayangan multimedia, deklamasi sajak, perasmian kempen Selamatkan Gaza, ucapan khas isu Gaza, doa dan lain-lain.

sumber : http://amanpalestin.org/


Aduhai al-Quds










O Muslim...please...show your sensitivity...


Sunday, January 4, 2009

Mahasiswa UTM Mengecam Tindakan Israel

UTM Skudai, 2 Januari 2009: Keganasan Zionis terhadap umat Islam di Palestin pada 27hb Disember 2008 lepas telah meletuskan api kemarahan Umat Islam di seluruh dunia. Rentetan daripada peristiwa tersebut, lebih kurang 800 Mahasiswa Islam UTM yang terdiri daripada pimpinan-pimpinan pelajar, staf-staf UTM telah berkumpul di perkarangan Masjid Sultan Ismail UTM bagi menyatakan ketidakpuashatian terhadap kekejaman yang menyebabkan hampir 400 nyawa terkorban dan 2000 yang lainnya cedera di Palestin.

Himpunan aman hari ini dimulakan dengan laungan-laungan Semangat 'hidup Islam, hancur yahudi' sambil diselang-selikan dengan laungan Takbir untuk menarik perhatian golongan-golongan mahasiswa bagi bersama-sama di dalam himpunan tersebut. Pelbagai Sepanduk dan poster yang mengutuk kekejaman Israel telah dinaikkan. Turut bersama-sama dalam perhimpunan hari ini adalah pelajar-pelajar antarabangsa (Indonesia, Iran, Palestin, Turki dll) yang menuntut di UTM Skudai

Himpunan hari ini telah diketuai oleh Saudara Mohd Amin Bin Mohd Hamami, selaku wakil Mahasiswa Islam UTM . Beliau telah memberikan sedikit ucapan bagi menaikkan dan membangkitkan semangat bencikan Israel. Ini merupakan respon dari mahasiswa UTM terhadap tindakan Israel yang telah menafikan hak kemanusiaan rakyat Palestin. Saudara Amin juga meminta umat Islam pada keseluruhannya supaya memberikan bantuan dan sumbangan semampu yang boleh bagi memastikan saudara seakidah kita di palestin tidak terus teraniaya oleh kekejaman Zionis. Selain itu, beliau juga meminta supaya Umat Islam khususnya di UTM memboikot barangan-barangan yahudi dan tidak menggunakan produk-produk keluaran Yahudi ada di dalam negara kita. Baca lagi

Tahniah buat mahasiswa yang telah berjaya melontarkan suara membantah keganasan Israel. Di sinilah bermulanya langkah awal mahasiswa ke arah menjana minda yang mampu berfikir, apatah lagi buat mahasiswa Muslim; apabila dikaitkan dengan isu Palestin. Semoga semangat mahasiswa Muslim sedar UTM untuk mempertahankan kalimah ALLAH di muka bumi akan menimbulkan kesedaran di kalangan mahasiswa lain yang sebelum ini buat endah tak endah pada isu Palestin. Walau bagaimanapun, ana tetap ingin menyatakan rasa kesal pada sesetengah sahabat yang bagaikan tidak peduli akan nasib saudara seagama di Palestin apabila memberi respons "malas la", "nak tidur la" ketika ana mengajak bersama-sama membantah serangan Israel ke atas Palestin. Apatah lagi apabila membeli-belah, walaupun tahu tentang barangan yahudi, masih tetap ingin membelinya. Ana betul-betul kecewa kerana entah ke mana sensitiviti sahabat-sahabat sebagai Muslim apabila melihat saudara seagama diperkotak-katikkan sedangkan sebelum ini kita sama-sama membantah tindakan Israel menawan Baitulmaqdis. Semoga ALLAH memberi kesedaran kepada sahabat-sahabat dan semoga ALLAH terus memberi kekuatan kepada ana untuk membuka minda sahabat-sahabat supaya mereka mampu menilai setiap tindakan dan cakna terhadap isu umat.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Perumpamaan orang mukmin dalam kasih sayang, ramah mesra dan hubungan baik mereka adalah seperti satu jasad, apabila satu anggota padanya sakit akan menyebabkan semua anggota berjaga malam menahan sakit." (HR Muslim)

Rasulullah s.a.w juga bersabda yang maksudnya:: "Janganlah salah seorang daripada kamu berpeluk tubuh dalam keadaan seseorang itu dibelasah secara zalim, kerana laknat akan turun ke atas orang yang menyaksikan ketika mereka tidak mempertahankannya." (HR at-Tabrani)

Save al-Aqsa...Mahasiswa Power!


Friday, January 2, 2009

Satu Pasukan?

Salam perubahan. Musim Pilihan Raya Kampus (PRK) semakin hampir. Pihak-pihak tertentu sudah mula mencari calon untuk dinaikkan nama ke peringkat atasan, tidak kiralah dari pihak Aspirasi mahupun Pro Mahasiswa. Dari sebelah Aspirasi, mungkin calon-calon akan di'rekemen'kan melalui pentadbiran kolej atau pentadbiran fakulti. Tidak kurang juga yang datang sendiri ke bangunan pentadbiran untuk menawarkan nama kepada pihak yang berkenaan. Dari sebelah Pro Mahasiswa pula, dengan caranya yang tersendiri.

Walau bagaimana pun caranya, ana lebih berminat untuk mengupas kata-kata seorang teman seperjuangan seorganisasi beberapa jam yang lepas. Kalau lah ada ramai mahasiswa seperti dia, tentunya politik kampus menjadi satu perkara yang sangat menarik untuk dibincangkan bersama-sama dengan warga kampus. Sahabat ana ini seperti ana juga, amat tahu tentang kondisi politik kampus yang jelas dimonopoli oleh dua 'parti', iaitu Aspirasi dan Pro Mahasiswa. Dia amat tahu bahawa kedua-duanya membawa pendapat yang berbeza. Kalau diikutkan keadaan mahasiswa beberapa musim lepas (malah ketika ana sendiri belum mengenali dua 'parti' ini), siapa-siapa pun di kalangan mahasiswa lansung tidak tahu mengenai kewujudan Aspirasi dan Pro Mahasiswa. Mereka hanya tahu wajib turun mengundi apabila tarikh pilihan raya telah ditetapkan. Itu pun, tidak ramai yang betul-betul menjalankan kewajipan sebagai mahasiswa untuk memilih wakil mereka.

Sahabat ana itu mempunyai pendapatnya yang tersendiri mengenai politik kampus. Baginya, biar apa pun parti yang bertanding, dia tidak kisah. Yang pasti, kebajikan mahasiswa terjamin. Bukan sekadar omong kosong dan kata-kata manifesto semasa kempen semata-mata, tetapi satu janji yang mesti ditepati setelah berada dalam organisasi Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPM atau pun kini telah ditukar kepada MPP). Benarlah seperti yang dikatakan olehnya, biar berbeza pendapat, tetapi matlamat itu sama. Biar berbeza cara, tetapi kebajikan mahasiswa tetap terpelihara. Yang pasti, setelah berada dalam organisasi MPM, kedua-dua 'parti' tentunya akan duduk semeja dan bersama-sama bekerja sebagai satu pasukan untuk mahasiswa.

Ana pernah membaca satu blog yang mengulas PRK di USM pada semester lepas. Seorang calon Aspirasi yang memenangi undi berpendapat, kewujudan Pro Mahasiswa sebenarnya banyak membantu Aspirasi. Dengan adanya Pro Mahasiswa lah kelemahan Aspirasi itu boleh diketahui. Daripada kelemahan yang diketahui inilah penambah-baikan boleh dilakukan. Persaingan yang sihat antara kedua-dua 'parti' itu amat perlu untuk terus memajukan minda mahasiswa. Jika hanya satu 'parti' sahaja yang memonopoli, kesilapan yang sebagaimana agaknya boleh dilihat apabila semua ahli organisasi itu mempunyai fikiran dan pendapat yang hampir serupa? Bak kata seorang lagi sahabat ana, "kalau tak ada pencuri, apa gunanya polis?" (pandai-pandailah memahaminya). Kalau tak faham juga, biar ana keluarkan ayat lain daripada sebuah drama Taiwan - "kalau minta maaf tu berguna, apa gunanya ada polis?"

Kalaulah pihak sebelah sana boleh melihat daripada sudut yang berbeza, sudah tentu PRK menjadi sesuatu yang paling ditunggu-tunggu oleh semua mahasiswa. Kalaulah pihak sebelah sana boleh melihat kemunculan Pro Mahasiswa untuk PRK kali ini sebagai sesuatu yang positif, tentunya hasrat Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin untuk melahirkan minda pelajar kelas pertama serta berusaha untuk menjadikan universiti di negara ini bertaraf dunia boleh tercapai, insya'ALLAH.

Mahasiswa power!


Novelog Miss Ran: Aku, Dia, dan Paparazzi

Kuntuman Sakura

Blog (167) Blog Review (110) Blogger (57) BM (17) Books (26) Cerpen (14) Cici (41) cinta (34) Dakwah (65) Eh Ustazah (42) gathering (8) iklan (24) Info Sihat (26) Jalan-jalan (46) lirik (22) Motivasi (52) muhasabah (34) Nukilan Jiwa (55) Palestine (21) perkahwinan (38) Puisi (45) Puisi Islamik (15) Ramadhan (21) Review Filem (3) Sakura (33) Tazkirah (87) Tutorial (27) WordlessWednesday (54)
Ini adalah blog peribadi. Sebarang pendapat yang saya nukilkan di sini adalah dari saya sendiri, tidak melibatkan sesiapa kecuali jika saya letakkan nama pemiliknya. Sebarang COPYPASTE dari laman Sunah Suka Sakura dot com adalah dibenarkan dengan syarat dikreditkan ke blog ini. Sama-sama menyebarkan perkara yang bermanfaat. Terima kasih.