Ticker

6/recent/ticker-posts

Negara Islam Perlu Bersatu - Ahmadinejad

ALGIERS 12 Jan. - Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad menyeru negara-negara Islam supaya bersatu bagi menamatkan pembunuhan kaum yang giat dilakukan oleh Israel ke atas penduduk Palestin di Genting Gaza.

Beliau membuat seruan itu selepas rundingan dengan Presiden Algeria, Abdelaziz Bouteflika, di sini semalam.

Mahmoud memberi amaran, jika langkah-langkah global tidak diambil segera oleh negara-negara bebas dan merdeka untuk menghentikan pengeboman Israel ke atas Gaza, "rantau ini, dunia Islam dan umat manusia seluruhnya akan berdepan dengan malapetaka kemanusiaan terbesar dalam sejarah."

Beliau menggesa sekatan politik dan ekonomi dikenakan secara bersepadu ke atas Israel.

Menurut Presiden itu, Iran akan memberikan "segala bentuk sokongan" untuk memerangi keganasan Israel dan mencegah "peringkat genosid baru" dalam kempen rejim Zionis itu ke atas rakyat Palestin.

Sambil memberi amaran dunia Islam serta para pemimpinnya memikul "tanggungjawab terbesar dalam sejarah" untuk bertindak, Mahmoud berkata, rakyat dan kerajaan negara Islam "mampu memarakkan intifada Palestin."

Beliau merujuk kepada dua pemberontakan Palestin menentang pendudukan Israel pada 1987 dan 2000.

Israel mula mengerahkan askar simpanannya memasuki Genting Gaza semalam ketika pertempuran sengit terus meletus sekalipun Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah menuntut agar gencatan senjata dilaksanakan di wilayah Palestin itu.

- AFP

Sumber:http://utusan.com.my

Post a Comment

0 Comments