BLOG ENCIK SUAMI

Saturday, March 28, 2009

Bila Nak Sedar?

Salam mahasiswa. Pesta konvo baru sahaja berlalu, namun ana ada sesuatu yang ingin dikongsikan berkisar tentang situasi beberapa hari yang lepas. Tengah hari itu ana makan di kafetaria kolej. Hari yang hujan tatkala nyanyian karaoke dari pesta konvo berkumandang menyekat perjalanan untuk pulang ke blok. Beberapa buah meja tidak jauh daripada meja ana dan sahabat ana dipenuhi warga kampus yang lain. Di sebuah meja di hadapan kami, tiga orang sahabat sedang menjamah makanan sambil menonton rancangan Raja Lawak melalui televisyen di kafe tersebut. Sedang khusyuk menonton itu, datanglah seorang lagi sahabat mereka yang putih bersih wajahnya, berkopiah, dan berselipar getah. Kelihatan di tangannya sekaki payung, mungkin meredah hujan dari asrama untuk makan tengahari di sini. Dia menyertai sahabat-sahabatnya yang lain di meja itu.

Ana dan sahabat ana juga terus makan sementara menunggu hujan berhenti. Tidak berapa lama kemudian, datang pula sepasang kekasih. Mungkin mereka hendak ke Pesta Konvo, tetapi terpaksa singgah di kafe sebentar kerana hari yang hujan. Mereka duduk di belakang kami. Juga menghadap televisyen sambil menjamah makanan. Mungkin bagi pembaca tidak ada apa yang menarik pada jalan cerita sebelum-sebelum ini. Memang tiada yang menarik kerana ia baru sahaja hendak bermula apabila azan Zohor berkumandang dari surau kolej. Ketika inilah, pada saat inilah, situasi yang berlaku di depan mata ana menarik minat ana untuk menaip di sini. Apa yang berlaku? Guruh berdentumkah? Kilat menyambar pokok kelapa di hadapan kafekah? Apa dan apa?

Sebenarnya, selepas azan itu, warga kolej yang duduk di meja hadapan tadi (yang putih bersih wajahnya, berkopiah dan berselipar getah) bangun. Walaupun ana duduk agak jauh, tapi ana dapat mengagak dia sedang mengajak sahabat-sahabatnya yang lain ke surau. Bersungguh-sungguh dia mengajak, akhirnya seorang sahabatnya bangun. Ana ingatkan sahabatnya ingin mengikutnya ke surau, rupa-rupanya selepas itu dia duduk kembali menghadap televisyen. Lama ana memerhati, lama juga dia memujuk tiga orang sahabatnya itu agar berjemaah di surau bersama-sama. Sahabat yang mengajak itu (walaupun ana duduk jauh) seperti memberitahu lebih baik solat di surau ketika hujan begini, daripada basah lencun ketika sampai di asrama nanti. Dia tidak berputus asa, menunggu sahabat-sahabatnya bangun, tetapi mereka tetap duduk di situ. Ana hairan juga kerana dua orang sahabat yang lain pun agak berat punggung hendak bangun. Akhirnya sahabat yang mengajak itu beredar setelah memberitahu dia ke surau dahulu dan berharap agar mereka naik ke surau kemudian. Sampai habis rancangan Raja Lawak dan sampai kurang lebatnya hujan, mereka tidak menyusul ke surau sebaliknya pulang ke bilik. Ana yang memerhati pun boleh terasa hati.

Nah, penangan apa ini? Ana memang tidak akan putus-putus menerangkan padahnya hedonisme kepada masyarakat khususnya mahasiswa. Hebatnya hedonisme yang telah menyebabkan masyarakat semakin kurang ke ke masjid dan surau untuk solat berjemaah. Hedonisme menyebabkan masyarakat malu untuk melakukan kebaikan. Masjid-masjid kini sepi (bak kata orang, lebih banyak tiang daripada jemaah) kecuali tibanya hari-hari kebesaran Islam, khasnya Ramadhan. Pihak pentadbiran kampus pula tidak putus-putus meminta mengadakan kempen yang boleh memupuk semangat cintakan masjid. Itu belum lagi hal melewat-lewatkan waktu solat kerana terlalu 'khusyuk' dengan program. Namun, seandainya minda mahasiswa masih di takuk lama, sebanyak manapun kempen yang dibuat, sampai bila-bila pun begitulah keadaannya. Bila mahu sedar?

P/S: Peringatan buat diri sendiri dan sahabat-sahabat seperjuangan. Jom ajak sahabat-sahabat ke masjid, sama-sama saling 'topup' iman.



Friday, March 27, 2009

"Masihkah Suci?"

Salam mahasiswa. Pesta Konvokesyen sedang berlangsung di UTM dan baru-baru ini pelbagai isu tentang pesta konvo telah ana dengar. Entah kenapa beberapa hari kebelakangan ini macam-macam cerita tentang pesta konvo keluar di mana-mana. Kenapa isu pesta konvo begitu panas? Kenapa mesti dipertikaikan sedangkan ia satu keramaian untuk meraikan pelajar yang bakal menerima sijil graduasi pada hari ini?

Sebenarnya isu pesta konvo telah lama membara sejak bertahun-tahun lamanya, mungkin baru tahun ini baranya menyala dan kehangatannya mula terasa. Pesta konvo yang sepatutnya menjadi medan untuk keluarga pelajar yang bergraduasi berkongsi kegembiraan kadang-kadang terbabas dari matlamat dengan adanya aktiviti-aktiviti yang kurang intelektual. Baru malam tadi, kupasan tentang dunia mahasiswa kini dikongsi dalam Forum Perdana Hal Ehwal Islam, "Masihkah Suci?" oleh ahli-ahli panel yang tidak asing lagi di kalangan masyarakat. Tentang mahasiswa yang hatinya sudah kurang bersih, jiwanya sudah kurang suci, dicemari idealisme Yahudi Zionis hingga kadang-kadang dalam tidak sedar mereka sebenarnya sedang diperalatkan oleh Yahudi Zionis dari jauh.

Sejauh mana hati itu terusik dengan peristiwa yang berlaku di Palestin nun jauh di bumi Anbiya'? Aktiviti yang diadakan untuk beberapa hari ini dan akan datang menggambarkan segala-galanya. Tatkala saudara kita dibedil mortar dan peluru, kita seolah-olah tidak tersentuh langsung dengan nasib mereka, terus lalai dalam dunia hiburan yang menggila. Seronoknya bersatu menyokong penuh kugiran pilihan hati, tak peduli untuk bersatu memboikot barangan Yahudi Zionis. Seronoknya terloncat-loncat dan memekik bersama-sama tatkala anak kecil Palestin di sana sudah tidak bermaya dan hilang suara untuk meminta secebis simpati.

"Barang siapa yang tidak peduli akan nasib saudara muslimnya maka dia bukan daripada golongan mereka." (HR Bukhari dan Muslim)

Panel juga tidak lupa menyentuh bab batas pergaulan dan aurat. Batas pergaulan dalam berprogram sudah tidak jelas dek ditelan lalang-lalang modenisasi. Bekerjasama sambil bersenda gurau dan bertepuk tampar lebih seronok daripada menjaga adab sopan ketimuran. Kalau ditegur demi kamu-saudara-ku, terus dicap sebagai kamu-kolot-dan-ketinggalan-zaman. Tidak sedar bahawa yang dikatakannya kolot itu adalah apa yang dia pegang selama ini, entah ke mana hilangnya sensitiviti. Batas aurat juga sudah tidak difahami. "Aku bertudung! Aku tutup semua, apa lagi yang tak betulnya?" Sejauh mana kamu menutup semua? Sejauh mana kamu faham batas aurat itu? Aduh, dunia ini semakin tenat.

Tenat yang bertambah-tambah dengan isu kurangnya interaksi dengan kitab suci al-Quran dewasa ini. Ber'sms' dan bergayut sampai pukul 3.00 pagi adalah sangat biasa dan kalau tak buat, tak seronok. Tapi kalau nak bangun malam untuk Qiamullail dan taddabur al-Quran sudah menjadi keberatan. Malu nak buat kebaikan, takut nanti sahabat-sahabat cakap alim sangat. Malu nak bersujud dan menangis di hadapan Pencipta, tapi tanpa segan silu menangis apabila ada peserta realiti TV yang diminati terkeluar pada hujung minggu. Jauhnya hedonisme mengubah pemikiran mahasiswa kadang-kadang tidak disedari oleh sesetangah pihak, bahkan perkataan hedonisme itu sendiri pun tidak difahami maksudnya. Banyaknya kesan buruk hedonisme tidak nampak kerana butanya hati. Sedangkan semua ini adalah propaganda Yahudi Zionis untuk menakluki dunia, untuk menguasai mental dan fizikal masyarakat secara halus. Siapa yang untung? Namun, ana bersyukur kerana masih ada segelintir manusia yang kuat dalam perjuangan ini, semoga sentiasa dalam lindunganNYA, tetapi bila agaknya segelintir manusia ini akan menjadi segerombolan mahupun setinggi gunung-ganang? Bak kata Prof. Izi, "renung-renungkan dan selamat beramal."

"Sesungguhnya orang yang beriman itu ialah mereka beriman kepada Allah dan Rasul-Nya kemudian tidak ragu-ragu berjihad dengan harta dan nyawa mereka. Mereka itulah golongan mukmin yang benar." (Surah al-Hujurat, ayat 15)

P/S: Tergeletek hati apabila mendengar bicara juruhebah yang mewar-warkan tentang pertandingan Battle of the Band sejurus selepas forum malam tadi biarpun telah disindir sinis oleh ahli panel ketika forum.



Sunday, March 22, 2009

Husnuzhon, husnuzhon~

Salam. Alhamdulillah, akhirnya setelah puas mencari dan meneliti, ana da jumpa apa yang menyebabkan laptop ini tidak dapat 'bekerjasama' dengan blogger dan ana mula mengesyaki sesuatu. Ish, husnuzhon hasunah...Alhamdulillah, juga da dapat keluarkan balik banner 'Student Power'.

Insya'ALLAH lepas ni ana akan lebih berhati-hati memandangkan ana handle banyak blog. Wallahu'alam.



Saturday, March 21, 2009

Syukran Sahabat

Salam mahasiswa. Alhamdulillah, beberapa hari yang sibuk telah berlalu. Kini, tumpuan beralih ke Digital Signal Processing. Ana dan sahabat-sahabat perlu (lebih kepada mesti) menyiapkan tugasan yang diberikan oleh Dr. Musa sebelum 23 Mac 2009. Bersyukur kepada ALLAH kerana mempunyai sahabat-sahabat yang memahami kesibukan diri dengan amanah dan komitmen, sebak dan terharu dengan keprihatinan antunna. Diri ini sering rasa bersalah kerana tidak mampu membantu banyak dalam menyiapkan apa-apa tugasan yang diberikan, bukan sahaja dari Dr. Musa, tetapi pensyarah-pensyarah yang lain. Ana amat mengharapkan sahabat-sahabat membantu ana dalam akademik, ana tahu ana tak akan ke mana tanpa bantuan sahabat-sahabat yang ana sayang kerana ALLAH.

Seringkali ana menilai keberuntungan diri memilik sahabat-sahabat seperti antunna, kerana tidak semua sahabat ana memiliki sahabat-sahabat yang memahami seperti antunna. Bukan sedikit di kalangan sahabat ana dalam organisasi yang menyatakan rasa sedih dan bersalah kepada sahabat-sahabat 'study group' mereka kerana sering 'meminggirkan diri' daripada perbincangan kumpulan. Malah ada yang memberitahu diri mereka sering dimarahi oleh sahabat-sahabat yang kurang faham dengan amanah berat yang dipikul. Di sinilah perlunya sahabat-sahabat yang benar-benar tahu dan memahami diri kita, sahabat-sahabat yang betul-betul kasihkan kita bukan kerana perkara lain selain kerana cinta kepada Yang Menciptakan CINTA.

Dalam perjuangan sebagai dai'e juga memerlukan sahabat-sahabat yang memahami kita. Sahabat-sahabat yang faham akan menjamin tautan ukhwah. Sahabat-sahabat yang faham akan bersama-sama kita dalam kesusahan dan kesenangan. Jika ukhwah itu lemah, kita tak akan rasa indahnya persahabatan. Ana bersyukur kerana dalam melayari bahtera kehidupan ini, ada sahabat-sahabat di sisi ana yang sentiasa ingin mengukuhkan ikatan ukhwah itu. Sabda Rasulullah s.a.w:

"Tidaklah beriman seorang kamu selagi dia tidak mengasihi saudaranya sepertimana dia mengasihi dirinya". (HR Bukhari dan Muslim)
Sahabat, jazakallahu khairan kathira...Uhibbukum fillah.

-masih pening dengan blogger yang bermasalah-


CINDAI: Cinta - Nikmat ALLAH Yang Letaknya di Hati

UTM Skudai, 21 Mac 2009: Program sempena Kempen Mahasiswa Sedar 2009 (MAHAR '09), Seminar Cintaku Dari Illahi (CINDAI) telah diadakan di Dewan Seminar, Aras 4, CICT UTM Skudai pada pagi ini. Program ini yang berjaya menarik perhatian hampir 270 orang mahasiswa UTM bermula dengan sesi pendaftaran pada pukul 8.30 pagi. Pada jam 9.00 pagi, penceramah yang dijemput khas dari Masjid Sultan Ismail (MSI), iaitu Ustaz Mohd Ismail Bin Mustari memulakan sesi pertama pembentangan kertas kerja bertajuk "Perkahwinan Semasa Belajar Antara Pro dan Kontra". Pembentangan kertas kerja bertambah menarik apabila penceramah menceritakan pengalaman beliau sendiri sebagai seorang mahasiswa yang berkahwin di alam pengajian ketika menuntut di Universiti al-Azhar, Mesir.

Selepas minum pagi, sesi kedua pembentangan kertas kerja bermula pada pukul 11.30 pagi, didahului dengan sesi soal jawab antara peserta dengan penceramah. Pelbagai soalan menarik dilontarkan oleh para peserta yang ingin memahami lebih lanjut mengenai isu perkahwinan semasa belajar. Penceramah turut menerangkan fungsi hati sebagai magnet yang menarik rezeki, hidayah, keberkatan, ketenangan, kesihatan, syurga, neraka, sakit, bencana, di'ayah, rasa sayang dan juga rasa benci.

Para peserta yang hadir turut disajikan dengan persembahan video klip nasyid De'Hearty, "Permata Yang Dicari", di penghujung program. Pengarah MAHAR'09 merangkap pengarah CINDAI, saudara Mohd Affendi Bin Ismail, mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada peserta yang hadir dan mengharapkan maklum balas daripada para peserta bagi meningkatkan mutu program pada masa hadapan. Semua ahli jawatankuasa program CINDAI dan MAHAR menyatakan penghargaan kepada peserta yang menghadiri program dan berharap agar program seperti ini terus mendapat sambutan yang memberansangkan pada masa akan datang.

Sumber: MAHAR '09


Thursday, March 19, 2009

CINDAI - UPDATED!



Wednesday, March 18, 2009

Bengkel Cintaku Dari Illahi - CINDAI

Tempat di dalam poster akan berubah, teruskan berkunjung ke blog untuk maklumat terkini dari semasa ke semasa. Terima kasih.


Friday, March 13, 2009

Dialog dan Diskusi

Salam mahasiswa. Maaf dah lama tak update blog. Agak sibuk dengan urusan MAHAR dan CINDAI. Tambahan lagi, laptop sudah mula bermasalah. Ana tidak tahu kenapa ana tidak dapat meng'update' blog yang ana handle melalui laptop ana, sekarang ini pun ana meminjam laptop sahabat untuk meng'update' blog JAKERS dan mengambil sedikit kesempatan untuk memberitahu pembaca situasi terkini.

Insya'ALLAH pada malam ini akan diadakan Dialog Kebajikan Pelajar bersama MPP UTM di DK8 N24 bermula pada pukul 8.00 malam. Pada malam yang sama, di DK7 N24 turut diadakan Diskusi Dunia Baru Mahasiswa bermula pukul 9.00 malam. Semua mahasiswa UTM dijemput hadir ke kedua-dua program.








Sunday, March 8, 2009

Bengkel CINDAI - MAHAR '09


Sumber: MAHAR '09


Diskusi: Dunia Baru Mahasiswa




Salam Maulidur Rasul




Friday, March 6, 2009

Masa Ana == Masa Orang Lain

Salam mahasiswa. Hari yang paling memenatkan. Malam tadi, ana dan sahabat-sahabat menyiapkan assignment yang akhirnya tidak siap. Salah diri masing-masing juga kerana mengambil mudah tugasan yang diberi. Lewat 12 tengah malam, tugasan masih tak siap sepenuhnya, ada beberapa bahagian yang nampak samar-samar dan tidak difahami. Hari yang hujan pula menyekat pergerakan. Beberapa orang junior telah pun meredah hujan lebih awal, kira-kira pukul 11.24 malam, pada masa itu ana melihat jam telefon bimbit. Akhirnya kata putus diberi oleh ketua kumpulan, esoknya iaitu hari ini sebelum jam 12 tengah hari, semua soalan akan dikumpulkan, dan ana yang akan menghantar tugasan tersebut melalui e-mail kepada pensyarah. Cubalah apa cara sekalipun, asalkan tugasan tersebut siap.

Ana dan seorang sahabat ana pun balik ke bilik masing-masing, meredah hujan yang telah sedikit reda. Alhamdulillah, sampai di bilik, ana pun memulakan kerja mengedit sticker dan banner, tetapi hingga lewat 2 lebih pagi, sticker masih tidak siap direka kerana masalah laptop yang agak lambat. Mungkin kerana saiz sticker yang agak besar atau mungkin juga kerana ana ini jenis yang malas menutup laptop berhari-hari. Kerana terlampau penat, ana pun mengambil keputusan untuk tidur setelah jam hampir 3 pagi.

Esoknya, ana bersama seorang senior ke kuliah hadith di masjid. Elektrik tiada. Seronok pula rasanya kuliah pagi ini kerana suasana seperti berada di kampung-kampung dengan cahaya yang samar-samar. Walaupun pada mulanya hanya ada beberapa orang, lama-kelamaan mahasiswa semakin bertambah. Mendengar kuliah tentang tawakkal kepada ALLAH s.w.t pagi ini memberi kekuatan kepada diri untuk sentiasa yakin dengan bantuanNYA.

Usai kuliah pagi ini, ana dan senior ana segera membeli sarapan di arked. Agak bergegas juga kerana ana memberitahu senior tentang tugas-tugas yang belum selesai di bilik. Baru beberapa langkah ana menuruni tangga arked untuk menuju ke motosikal, telefon bimbit ana bergetar. Ana memang jenis yang kurang rajin menukar profil telefon bimbit ana, hingga kadang-kadang sampai dua hari telefon bimbit berada dalam profil 'shut up!'. Mesej diterima bertanyakan tentang perkembangan sticker dan banner. Terkedu ana kerana sticker pun belum siap apatah lagi banner yang ana tak ada templatnya. Ana memberitahu situasi ana yang harus mengutamakan tugasan yang diberikan oleh pensyarah ana terlebih dahulu berbanding sticker dan banner tersebut. Ana tidak lupa untuk meminta sahabat itu menghantar templat banner ke e-mail. Selepas solat jumaat, due nya. Alhamdulillah, boleh lah ana menyelesaikan tugasan pensyarah sebelum jam 12 tengahari.

Sampai di bilik, ana terus menghadap laptop sambil menjamah kuih. Berusaha menyiapkan sticker dalam keadaan laptop yang agak lambat sedangkan memorinya masih banyak kosong. Beberapa kali ana 'jauh hati' pada laptop ana tersebut kerana masa sudah terlalu suntuk. Eh, tadi ana kata ana utamakan tugasan pensyarah, tapi kenapa sekarang ana uruskan sticker pula? Sebab ana belum dapat lagi bahagian sahabat-sahabat yang lain, bahagian ana sudah selesai kecuali menunggu program yang tertinggal di laptop sahabat. Hendak minta pada sahabat supaya dihantar melalui e-mail, wifi pula bermasalah. Alhamdulillah, 2 bentuk sticker dah siap, terpulanglah kepada sahabat itu untuk memilih. Banner pula terpaksa tunggu e-mail daripada sahabat tersebut.

Pukul 11 lebih, ana masih belum dapat bahagian tugasan daripada sahabat. Naik risau juga ana kerana tinggal kurang sejam lagi due nya. Ana mesej sahabat tersebut, tidak lama kemudian dia membalas dan meminta ana keluar mengambil softcopy tugasan. Ana segera membuka fail tugasan yang dimaksudkan. Sudah 11.30 pagi. Hanya ada beberapa puluh minit untuk ana compilekan dan 'pdf'kan. Banyak juga bahagian yang terpaksa dipotong kerana lebih empat muka surat. Sepuluh minit sebelum jam 12.00, fail tersebut ana compress dalam bentuk .rar. Yahoo!Mail dibuka. Beberapa kali ana cuba untuk attach fail tersebut tetapi gagal. Hampir putus harapan ana kerana jam sudah menunjukkan tepat pukul 12.00 tengahari. Ana mesej sahabat ana memberitahu keadaan Yahoo!Mail yang bermasalah. Selepas sahaja ana mesej, fail tersebut berjaya diattach. Alhamdulillah, berjaya juga ana hantar ke e-mail pensyarah tersebut walaupun agak lewat beberapa minit.

Ana sambung kerja untuk mereka banner, tetapi buntu juga kerana tiada templat. Ana mesej sahabat ana, sama ada dia telah menghantar templat ke e-mail. Mula-mula dia kurang faham, rupa-rupanya dia terlupa. Hendak dihantar melalui e-mail pun susah juga kerana internet yang bermasalah. Kelam-kabut juga ana mencari jalan untuk menyelesaikan masalah banner tersebut. Akhirnya ana hubungi seorang sahabat yang berkenaan. Ana tanya saiz banner dan kod warna templat banner tersebut. Alhamdulillah, selesai satu masalah. Akan tetapi, masa sudah agak suntuk. Berhempas-pulas ana menyiapkan banner tersebut sambil membalas mesej-mesej sahabat yang masuk ketika sedang agak kekalutan. Kalau ikutkan hati, ana tidak mahu melayan mesej-mesej tersebut kerana ada perkara penting yang perlu ana selesaikan secepat mungkin. Astaghfirullah, banyak kali ana beristighfar kerana berbagai-bagai perasaan dan bisikan mula mencucuk hati yang sedang berada dalam tekanan.

Hampir jam 2.30 petang, sahabat ana menghubungi ana bertanyakan perkembangan sticker dan banner. Hampir siap, tapi ana tidak dapat membantu dalam urusan mencetak sampel. Mesin pencetak ana telah kehabisan dakwat. Maka, keputusan dibuat; sahabat ana itu yang akan mencetaknya dan seterusnya membawa sampel itu untuk dinilai oleh pihak atasan. Ana segera bersiap dan bergerak ke bangunan persatuan pelajar untuk menghantar softcopy, kebetulan ana ada mesyuarat di kawasan berdekatan pada pukul 2.30 petang.

Alhamdulillah, dah selesai urusan sticker dan banner. Sepatutnya petang ini ana dan sahabat-sahabat MPP bersama-sama ke Melaka untuk menyertai Kursus Pengurusan Organisasi, namun ana minta pengecualian untuk jabatan ana agar gerak kerja program yang sedang berjalan tidak terjejas dengan bilangan kami yang agak sedikit. Alhamdulillah, persetujuan dicapai asalkan jabatan menghantar seorang wakil. Seorang sahabat ana telah pun berada di sana. Mohon kemaafan pada sahabat-sahabat lain kerana tidak dapat bersama-sama antum. Harapan ana, apa yang dipelajari di sana boleh dikongsi bersama-sama kami di sini apabila antum kembali kelak.

Selesai perbincangan selama hampir tiga jam yang agak memeningkan kepala dan memenatkan otak, ana dan senior kembali ke kolej. Ada aktiviti lain pula selepas itu. Tidak cukup masa ana untuk terus menaip. Ya ALLAH, adakah masa ana betul-betul tidak cukup atau ana yang kurang mahir menguruskan masa?

Semua orang diberikan masa 24 jam, tidak lebih dan tidak kurang. Kebijaksanaan seseorang menguruskan masa apatah lagi yang begitu banyak terlibat dengan aktiviti menentukan capaian matlamatnya dalam sehari. Kadang-kadang orang perlukan jadual seharian tetapi berapa ramai yang mematuhi jadual? Apa yang mampu ana kongsi adalah, kurangkan rehat kerana tanggungjawab kita lebih banyak daripada masa yang kita ada. Wallahu'alam.

"Demi masa! Sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Dan berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran". (Surah Al-Asr: 1-3)



Wednesday, March 4, 2009

Suara MPP: Beri Peluang MPP Tunjuk Kredibiliti

Oleh Ainal Marhaton Abd Ghani
rencana@hmetro.com.my

MAJLIS Perwakilan Pelajar (MPP) di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) sering menjadi perhatian bukan saja warga universiti tetapi media dan masyarakat.

Sebagai barisan kepemimpinan MPP, mereka bertanggung jawab menunaikan segala yang dijanjikan ketika pilihan raya kampus.


Yang Dipertua (YDP) MPP, Universiti Malaysia Pahang (UMP), Mohamad Suffi Kamari, berkata MPP perlu menggalas tanggungjawab melaksanakan semua agenda mahasiswa yang direncanakan.

Menurutnya, MPP perlu memberi keutamaan kepada setiap isu dan agenda mahasiswa yang diutarakan.

"Sebagai pemimpin, kita perlu bijak merancang agenda masing-masing agar segala permasalahan terutama kebajikan mahasiswa tidak terabai.

"Kita tidak perlu menjadi pemimpin stereotype, bergerak dengan lagak kepemimpinan yang sempit idealismanya dan tidak berani mencabar status quo," katanya.

Oleh itu, menurut Suffi, pihak pengurusan tertinggi universiti dan Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (JHEPA) perlu menyediakan ruang kepada MPP untuk menunjukkan kredibiliti diri dan melatih mereka dengan sifat kepimpinan yang berdaya saing.

"Di sinilah bermulanya proses pemimpin mahasiswa merungkai semangat perjuangan membetulkan keadaan sebagai 'check and balance' ke arah pembentukan pemimpin yang benar-benar berkualiti dan berkesan.

"Saya tidak bercakap hanya mengenai rutin harian kehidupan sebagai MPP dan aktiviti yang dilaksanakan tetapi ruang lingkup peranan pemimpin mahasiswa harus lebih daripada itu," katanya.

Menurutnya, pihak universiti tidak perlu takut dengan perubahan dan mengelak untuk menerima hakikat hakikat bahawa barisan MPP sudah matang dan bersedia menyumbang idea mengikut idealisme tersendiri demi memajukan universiti.

"Kita sayangkan negara dan kita perlukan suara-suara yang membina bagi membantu memajukan Malaysia menuju landasan yang betul," katanya.

Sehubungan itu, katanya, barisan MPP UMP sedaya upaya melakukan yang terbaik untuk memenuhi agenda mahasiswa tanpa melanggar batas dan undang-undang universiti.

"Kami komited tiada kompromi dan dolak-dalih dalam menentukan hala tuju mahasiswa terutama dari sudut kebajikan.

"Dengan sokongan padu Dekan JHEPA, Profesor Dr Abdul Jalil Borham, saya optimis inilah masanya MPP UMP mengorak langkah bagi menentukan pelan strategik kepimpinan mahasiswa yang mampu meniupkan suntikan semangat dan menentukan hala tuju kepimpinan negara Malaysia di masa hadapan," katanya.

Oleh itu, sebagai YDP, Mohamad Suffi berharap mahasiswa tidak retorik dengan slogan yang tidak relevan sebaliknya bertindak demi merealisasikan apa yang kita inginkan.

"Dengan hanya tinggal lapan bulan sebelum dibubarkan untuk pemilihan semula, MPP UMP tidak perlu menjadi pengikut semata-mata tetapi tampil ke hadapan menghadapi kehidupan yang semakin mencabar.

"Pemimpin mahasiswa harus berani menyatakan kebenaran untuk membetulkan keadaan dan tenang menerima setiap kritikan atas kelemahan diri kita sebagai manusia," katanya.



Novelog Miss Ran: Aku, Dia, dan Paparazzi

Kuntuman Sakura

Blog (167) Blog Review (110) Blogger (57) BM (17) Books (26) Cerpen (14) Cici (41) cinta (34) Dakwah (65) Eh Ustazah (42) gathering (8) iklan (24) Info Sihat (26) Jalan-jalan (46) lirik (22) Motivasi (52) muhasabah (34) Nukilan Jiwa (55) Palestine (21) perkahwinan (38) Puisi (45) Puisi Islamik (15) Ramadhan (21) Review Filem (3) Sakura (33) Tazkirah (87) Tutorial (27) WordlessWednesday (54)
Ini adalah blog peribadi. Sebarang pendapat yang saya nukilkan di sini adalah dari saya sendiri, tidak melibatkan sesiapa kecuali jika saya letakkan nama pemiliknya. Sebarang COPYPASTE dari laman Sunah Suka Sakura dot com adalah dibenarkan dengan syarat dikreditkan ke blog ini. Sama-sama menyebarkan perkara yang bermanfaat. Terima kasih.