BLOG ENCIK SUAMI

Wednesday, April 29, 2009

Maru Si Comel - Khas Buat Meowkusayang

Salam. Pelik pula post ana kali ini. Bukan apa, kerana terlalu geram melihat keletahnya di youtube petang tadi, ana dah mendownload 3 klip tentangnya di youtube. Jangan terkejut kalau ana katakan video si Maru ini pernah mendapat YouTube Video Awards Japan 2008, malah pemiliknya siap menyediakan blog khas untuk Maru. (Klik sini)

Maru dan trofi yang diterima

P/S: Terubat juga rindu pada kucing di rumah. :)



Monday, April 27, 2009

Mencari Kemenangan Dengan Acuan ALLAH

ALLAH selamatkan penduduk Mekah yang jahiliah itu. Mereka bukan sahaja mengotorkan Masjidil Haram dengan lebih 300 patung, malah bertawaf secara bertelanjang. Tetapi ALLAH selamatkan mereka dari serangan Abrahah”, saya cuba mengimbas situasi Mekah di ambang kelahiran Rasulullah SAW.

“Jika penduduk Mekah yang jahiliah itu, ALLAH selamatkan mereka dari kebinasaan, mengapa ALLAH tidak selamatkan kita? Mengapa kita terus kalah dan kalah? Bukankah kita yang menyembah ALLAH? Bukankah kita yang berjuang dengan nama ALLAH? Kenapa ALLAH tidak tolong kita?”, soalan yang mengganggu fikiran saya ini semakin kritikal.

Malah jika direnung kepada keadaan semasa, yang jahat dan jahiliah itu terus menang dan menang, namun Islam dan kebenaran terus lemah tertindas, bagai tidak terbantu.

Di manakah silapnya?

Fikiran meraba, tangan meraba… lembaran kalam ALLAH diselak satu persatu dan kita sampai kepada janji ALLAH ini:

anfaal_33.jpg

“Dan ALLAH tidak sekali-kali akan menyeksa mereka, sedang engkau (Wahai Muhammad) ada di antara mereka; dan ALLAH tidak akan menyeksa mereka sedang mereka beristighfar (meminta ampun)” (Al-Anfaal : 33)

Itu janji DIA.

Bahawa tiada kaum yang terbiar menderita, jika di kalangan mereka itu ada Muhammad SAW.

Biar pun penduduk Mekah itu jahiliah, tetapi dek kerana dari mereka itulah lahirnya Muhammad SAW, maka keberadaan Muhammad itu menjadi sebab untuk ALLAH selamatkan mereka, sebagaimana ALLAH menyelamatkan umat Badar, Uhud malah yang kritikal seperti Khandaq.

Hari ini baginda SAW secara fizikalnya tidak ada dan tidak akan ada… kerana jasadnya sudah pulang ke asal. Tetapi bagaimana dengan cara kita beragama? Samakah Islam kita dengan Islam Rasulullah SAW? Serupakah cara kita mencari kejayaan dan kemenangan, jika dibandingkan dengan cara Rasulullah SAW? Atau dalam bahasa yang lebih mudah, ada atau tidak Rasulullah SAW itu dalam kehidupan seharian kita? Hidup minum dan makan, serta hidup di medan perjuangan?

Mungkin Rasulullah SAW tiada… biar pun di sisi mereka yang bernama Muhammad dan berjuang kerana cinta kepada Muhammad… lantaran tidak mengikut acuan yang digunakan oleh Baginda SAW.:

acuanallah.jpg

“Acuan ALLAH… Apakah ada yang lebih baik dari acuan ALLAH, sedang kita ini kepada-NYA, adalah hamba" (Al-Baqarah : 138)

JALAN KELUAR

Di belakang mereka maut, di depan juga maut.

Musa dan Bani Israel yang beriman itu dikepung maut. Di belakang mereka adalah Firaun dan bala tenteranya, manakala di hadapan mereka adalah laut yang luas terbentang. Jika dihitung pada upaya helah akal manusia, tiada lagi jalan keluar.

“Bawa-bawalah mengucap!”

Tetapi putus asa dari rahmat ALLAH itu bukan sifat golongan yang layak dibantu. Kerana segala kesempitan dunia itu, tidak terbanding oleh kuasa ALLAH untuk menghulur keselamatan.

thalaaq_2-3.jpg

“Barangsiapa yang bertaqwa kepada ALLAH nescaya akan dijadikan untuknya jalan keluar (dari belenggu masalah) dan dikurniakan rezeki dari sumber yang tidak disangka-sangka” (Al-Thalaq: 2-3)

Laut itu terbelah, membentangkan jalan keselamatan dan pertolongan yang tidak disangka-sangka buat Musa dan Bani Israel. Mereka yang kerdil itu terselamat dan meneruskan perjalanan, Firaun yang gagah, lama berkuasa lagi mencengkam rakyatnya itu tenggelam, binasa… kerana mereka terlalu kerdil di sisi ALLAH yang Maha Gagah lagi Perkasa.

Syaratnya adalah TAQWA.

musa.jpg

SYARAT TAQWA

Taqwa itu bukan slogan. Ia bukan modal khatib melenakan jemaah Jumaat.

Taqwa adalah kayu ukur ALLAH terhadap kualiti insan. Sebaik-baik kamu adalah yang paling tinggi nilai taqwanya.

“Apa itu taqwa?,” tanya Umar al-Khattab kepada Ubai bin Ka’ab Radhiyallahu ‘anhuma.

“Pernah kamu susuri jalan yang penuh duri?,” balas Ubai dengan suatu pertanyaan yang menduga.

“Pernah saja,” jawab Umar.

“Apa yang kamu lakukan?,” pintas Ubai.

“Aku angkat sedikit pakaianku, dan melangkah dengan hati-hati,” jawab Umar lagi.

“Itulah TAQWA!,” simpul Ubai bin Ka’ab terhadap soalan Umar al-Khattab tentang TAQWA.

TAQWA itu adalah kualiti manusia yang merentas jalan berliku. Ada manfaat ada mudarat, ada yang boleh ada yang jangan… seorang ahli taqwa itu akan mengambil kira semuanya. Melangkah dengan penuh kesedaran, bijak mengawal pergerakan, dan peduli kepada setiap yang menjadi cabaran di sepanjang perjalanan itu. Itulah taqwa.

Orang bertaqwa bukan orang hidup ikut suka.

Pejuang bertaqwa bukan pejuang yang berjuang ikut suka.

Mereka mengambil kira segala peraturan ALLAH, perkara yang memenangkan, dan perkara yang membinasakan.

PERATURAN ALLAH

Soalnya peraturan ALLAH itu bagaimana?

“Patuh pada al-Quran dan al-Sunnah”, jawab kita semua.

Sahih… tepat… tetapi mungkin belum jelas, mungkin belum lengkap dan belum praktikal.

Ketetapan ALLAH itu ada di dalam al-Quran dan al-Sunnah, tetapi bukan di situ sahaja adanya ketetapan ALLAH dalam kehidupan ini. Ada petunjuk datang dari nas, ada petunjuk datang dari peraturan alam.

Peraturan nas itu adalah Syariatullah.

Peraturan alam itu adalah Sunnatullah.

BAGINDA SAW, SYARIATULLAH DAN SUNNATULLAH

Ketika Baginda SAW mengajar kita melakukan urusan harian, Baginda SAW sering memberikan demonstrasi perlakuan agama pada mematuhi Syariatullah dan Sunnatullah.

i. Urusan Harian

Lihat sahaja urusan sembelihan. Kita diajar supaya memperelokkan sembelihan, dan Sunnahnya adalah pada Basmallah dan pisau yang tajam. Apakah faedah menggunakan pisau yang tajam?

“Ayam tak sakit!" Jawapan standard kebanyakan kita.

“Syariat diturunkan untuk faedah manusia, bukan ayam,” itu ulasan saya.

korbanlembu.jpg

Penggunaan pisau yang tajam akan mempercepatkan kerja. Kurang tenaga yang diperlukan namun lebih hasilnya. Lebih efisyen, lebih efektif… atau dalam bahasa hari ini, Baginda SAW mengajar kita soal produktiviti.

Maka keelokan pada sembelihan bukan hanya pada Basmallah, tetapi juga pada pisau yang tajam.

ii. Urusan Perjuangan

“Aku Rasulullah, aku kekasih ALLAH, ALLAH memerintahkan aku berhijrah dan berjuang, pasti ALLAH membantu….!?”

Pernahkan Baginda SAW berfikiran begitu? Pernahkah Baginda SAW beranggapan bahawa perjuangannya atas nama ALLAH, Islam dan kebenaran, pasti perjuangan itu akan menang, lantas baginda lengah dalam strategi dan persiapan?

Tidak sekali-kali.

Untuk Hijrah, Baginda SAW memanfaatkan segala kebijaksanaan, memaksimakan segala strategi hingga boleh menjadi prinsip kepada apa yang kemudiannya dinamakan sebagai SAINS KETENTERAAN.

Begitu banyak lambakan perancangan dan strategi Baginda SAW hingga sahabat bertanya, mana satukah wahyu dan mana satukah pandangan profesional Baginda? Syariatullah pada wahyu menjadi suatu kepatuhan dan ketaatan, manakala Sunnatullah menuntut perbincangan, analisa dan bekerja secara kolektif.

Tiada tinggi rendah antara tuntutan Syariatullah dan Sunnatullah… kerana kedua-duanya merupakan aturan ALLAH untuk kesejahteraan kehidupan manusia. Ayat hukum terbitan nas, dan ayat sains terbitan alam, kedua-duanya dilaksanakan sepenuh hati.

CONSTANTINOPLE DAN UKURAN RABBANI

Sikap demikian terhadap persoalan Syariatullah dan Sunnatullah, bukan hanya tercatat pada era Nubuwwah, malah ia terus menjadi kayu ukur kepada kesempurnaan kerja Ummah pada agenda seterusnya.

constantinople.gif

“Constantinople itu pasti akan dibebaskan. Sebaik-baik pemimpin adalah pemimpin (penawanan)nya dan sebaik-baik tentera adalah tentera (yang menawan)nya” [Hakim, 4.422; Bukhari, Tarikh al-Saghir, 139; I. Hanbal, 4.335]

constantinople2.gif

44H, Muawiyah bin Abi Sufian Radhiyallahu ‘anhu menghantar delegasi pertama umat Islam ke arah menundukkan Constantinople. Ramai sahabat yang menyertainya, termasuk Abu Ayyub al-Ansari dan Ibn Abbas sendiri. Mereka pergi dengan keyakinan yang tinggi terhadap janji Nabi SAW, bahawa Constantinople yang gah, sombong dan bongkak itu akan tunduk kepada Islam, bukan terjajah tetapi untuk dibebaskan dari perhambaan sesama mereka sendiri.

Bagaimanakah kekuatan Constantinople? Bagaimana cuaca di sana? Bagaimana sosio politik penduduknya?

Sahabat Nabi SAW tidak mengetahuinya. Namun kerana yakin dengan janji Baginda SAW bahawa kemenangan adalah untuk Islam… mereka teruskan jua.

Misi tidak berhasil. Bukan gagal, tetapi belum berjaya. Abu Ayyub al-Ansari radhiyyallahu ‘anhu terbunuh syahid. Biar pun mereka itu generasi sahabat yang dididik sendiri oleh Rasulullah SAW, namun Allah belum mengizinkan kemenangan kerana ada pelajaran besar yang perlu ditekuni oleh Ummah.

Usaha diteruskan lagi di zaman Sulaiman bin Abdul Malik, di zaman Harun al-Rashid dan terus dicuba dan dicuba…hingga ke era Sultan Yildirim Beyazit (1389-1403) dan Murat Ke-2 (1421-1451)di era Othmaniyyah… janji Nabi SAW belum tertunai.

alfatih.jpg

Hinggalah muncul era pemerintah Kesultanan Othmaniyyah, Sultan ke-7 bergelar Sultan Muhammad bin Murad II menaiki takhta. Beliau insan biasa yang luar biasa.

Luar biasa pada keghairahannya terhadap misi Constantinople.

Luar biasa pada ketinggian akhlaq dan ilmunya.

Luar biasa pada penguasaan kemahiran memerintah dan peperangan.

Luar biasa pada Syariatullah dan Sunnatullah yang dijunjungnya atas nama TAQWA.

Sultan Muhamamad al-Fatih mengkaji aspek ketenteraan, aspek politik dan sosial Constantinople. Beliau mengetahui serba serbi tentang kekuatan dan kelemahan kota yang bakal ditundukkan itu lantas bertindak selaras dengannya. Malah bukan sahaja beliau yang hebat, tentera-tenteranya juga sama tinggi.

Semasa beliau bersama ribuan tenteranya bergerak menuju Constantinople, mereka telah melintasi ladang anggur. Sultan Muhammad telah berpura-pura jatuh gering.

“Hanya anggur sahaja yang mampu menyembuhkan sakit ini”, katanya.

Tetapi tidak ada seorang pun daripada tenteranya yang mempunyai buah anggur. Ladang anggur yang bukan milik mereka itu tidak disentuh dan tidak pernah menjadi salah satu daripada pilihan penyelesaian kepada masalah yang ada.

“Beta sudah sembuh!”, kata Sultan Muhamamd al-Fatih.

Ternyata tenteranya adalah sebaik-baik tentera. Sultan Muhammad ’sembuh’ dengan ketinggian Syariatullah pada taqwa tenteranya, di samping Sunnatullah yang telah diperlengkapkan.

Setelah tawaran perdamaian di saat akhir ditolak, serangan dilancarkan bertubi-tubi… lebih sebulan pertempuran berlangsung dan akhirnya tibalah saat yang dijanjikan ALLAH dan Rasulnya, Constinople rebah di tangan insan biasa yang luar biasa… Sultan Muhammad bin Murad II… Sultan Muhammad al-Fatih.

Insan biasa yang luar biasa, menempa kejayaan hasil menggabungjalinkan Syariatullah dan Sunnatullah.

Sabda Nabi SAW tentang kemenangan Islam di kota Constantinople bukan berlaku di tangan generasi sahabat. Ia berhasil di tangan sebaik-baik ketua dan sebaik-baik tentera, lebih 800 tahun selepas janji itu dilafazkan Baginda SAW.

Itulah formula kemenangan Islam.

Islam tidak menang hanya kerana nama perjuangan itu adalah perjuangan Islam. Kemenangan adalah untuk kesempurnaan usaha melengkapi syarat kemenangan.

Ayuh pejuang Islam… jika mahu menangkan Islam, jangan berikan alasan tembok Constantinople itu terlalu kukuh untuk runtuh. Jangan beri alasan perjalanannya yang jauh. Jangan beri alasan bahawa helahnya licik bagi belut di liku selut. Kemenangan itu dekat, jika pejuangnya melengkapi syarat TAQWA. Iaitu pada mematuhi Syariatullah dan Sunnatullah.

Integiriti itu penting.

Komitmen kepada hukum syarak semasa turun berkempen itu penting.

Halal haram itu sentiasa penting.

Efisyensi rekod dan pengurusan itu penting.

Penggunaan segala skil komunikasi itu penting.

Teknologi itu penting.

Syariat dan Sains kedua-duanya itu penting.

Itulah formula memenangkan Islam.

MOTIVASI AKHIR

“Kota Constantinople itu akan berada di tangan umat ini,” pesan Baginda SAW kepada sahabat yang keletihan di medan Khandaq.

Constantinople?

Janji itu keterlaluan.

Masakan tidak. Penduduk Madinah hanya segelintir. Mereka itu pula antara hidup dan mati, tatkala dikepung segenap Barisan Nasionalis Arab yang bergabung membentuk tentera Ahzab. Tiba-tiba baginda SAW memberikan janji bahawa kita yang kecil, antara hidup dan mati ini, akan menundukkan Constantinople, kota terbesar di dunia itu.

Apakah ini suatu kemustahilan?

Beginilah cara Nabi SAW memotivasikan sahabat.

Percaya selepas melihat sesuatu tiada nilai iman. Ia hanya suatu ikrar pada sesuatu yang telah ada hasilnya. Percaya seperti ini percaya murahan yang tidak berhajatkan kepada usaha dan pengorbanan.

Namun Baginda SAW mengajar para sahabat supaya percaya sebelum melihat sesuatu, dan bekerja keras untuk melihat apa yang mereka percaya.

Itulah hebatnya motivasi minda mukmin profesional.

Mereka percaya sebelum melihat dan bekerja keras untuk melihat apa yang mereka percaya.

Kita belum pernah melihat Syurga, namun kita mempercayainya. Maka bekerja keraslah untuk melihat apa yang kita percaya.

alfatih2.gif

Kita juga belum pernah melihat kemenangan Islam, bahkan diselubungi kekalahan demi kekalahan. Namun kita percaya bahawa hari esok adalah untuk Islam. Maka bekerja keraslah untuk melihat apa yang kita percaya.

Bahawa kemenangan adalah milik Islam.

Andai cukup syarat-syaratnya.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com



Ahmadinejad Kecam Barat, Diplomat EU Keluar Dewan




(sumber: Utusan Malaysia-22 Apr)

GENEVA 21 April – Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad hari ini menuduh Barat menggunakan Holocaust sebagai ‘alasan’ untuk melakukan kekerasan ke atas penduduk Palestin dan kecamannya itu telah menyebabkan semua pemimpin negara Kesatuan Eropah (EU) bertindak keluar dari dewan di mana persidangan antiperkauman anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) diadakan, di sini.

Persidangan itu menjadi kecoh sejak dari awal lagi apabila dua penunjuk perasaan yang memakai rambut palsu berwarna-warni melontar hidung badut berwarna merah ketika Ahmadinejad memulakan ucapan sambil berdoa.

Sekumpulan pelajar Yahudi dari Perancis berkata, apa yang cuba disampaikan oleh Ahmadinejad adalah ‘sandiwara yang berlaku dalam persidangan ini’.

Insiden itu menyebabkan Ahmadinejad yang diberi penghormatan untuk berucap, terpaksa memulakan semula ucapan.

Beliau menyampaikan ucapan selama lebih setengah jam dengan melemparkan kritikan terhadap Amerika Syarikat (AS) dan Eropah yang didakwa membantu penubuhan negara Israel selepas Perang Dunia Kedua dengan mengorbankan penduduk Palestin.

“Mereka menggunakan kekerasan tentera untuk menjadikan seluruh penduduk negara itu (Palestin) kehilangan tempat tinggal atas alasan penderitaan yang dialami oleh Yahudi (semasa Holocaust),” katanya.

Kritikan beliau itu menyebabkan kira-kira 40 diplomat dari Britain, Perancis dan beberapa negara EU keluar dari dewan persidangan, malah mengancam untuk meninggalkan persidangan jika ia terus diselubungi dengan ucapan anti-Semitik dan retorik mengutuk Israel, insiden sama yang pernah berlaku pada persidangan serupa lapan tahun lalu di Afrika Selatan.

AS dan lapan negara Barat memulaukan persidangan tersebut semalam menjelang Hari Peringatan Holocaust Israel, kerana bimbang persidangan itu dapat berjalan secara adil.

Ahmadinejad turut menuduh Israel sebagai ‘rejim paling kejam dan kuat menindas’ selain menyalahkan pencerobohan AS ke atas Iraq sebagai salah satu konspirasi Zionis.

Kebanyakan retorik yang diutarakan beliau bukan perkara baru, namun masa dan profil persidangan ini mungkin membantut usaha pemulihan hubungan Iran dengan AS, terutama apabila Timbalan Duta AS ke PBB, Alejandro Wolff menyifatkan apa yang berlaku sebagai ‘pertunjukan Ahmadinejad.’

Penunjuk perasaan di luar bangunan persidangan melaungkan kata-kata kutukan dan tidak lama kemudian sekumpulan penyokong Israel dan Yahudi cuba menghalang Ahmadinejad dari memasuki bilik sidang akhbar. – AP

P/S: Subhanallah, berapa ramai pemimpin sebegini sekarang, yang berani menyuarakan kebenaran dan mempertahankan ad-Deen, yang bersedia untuk dicemuh biarpun menyedari dari awal lagi kesan tindakannya? Apabila direnung kembali perjalanan perkembangan Islam di zaman silam, tentangan yang dihadapi oleh Rasulullah S.A.W dan para sahabat sebenarnya lebih hebat daripada ini, tetapi kenapa tidak ramai yang mengerti?



Monday, April 20, 2009

Forum Aku Dibius Cinta





Saturday, April 18, 2009

KRIS '09 - Sumbangan Anda Dialu-alukan

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Meniti alam yang mencurah pelbagai rasa, Sarawak berteriakan menanti. Jaringan ISLAM perluaskan! Ayuh! MISI memperhebatkan dakwah!!!!!!

Sorotan sejarah dan keratan akhbar, banyak memaparkan kisah-kisah anak-anak remaja kini yang diserangi penyakit "misteri", hingga mereka lupa siapa diri mereka.

Ada yang hingga lupa bahawa "solat itu adalah tiang agama". Yang dahsyatnya, ada yang tidak tahu apa itu "syahadah". Na'uzubillah. Lagi-lagi di bumi Kenyalang.

Cabaran anak-anak remaja Islam adalah hebat. Berhadapan dengan budaya asing. Hingga buta pada intipati keISLAMan yang sebenar, ISLAM yang syumuliah, alamiah, waqi'ah dan lain-lain . Anutan ISLAM mereka menjadi ISLAM Sekularisme. ISLAM Liberalisme. Malah yang dasyatnya, tak tahu apa maksud ISLAM.

Atas ini, YAYASAN AMAL, JABATAN AGAMA ISLAM SARAWAK dan PERSATUAN MAHASISWA ISLAM SARAWAK mengambil inisiatif untuk mengelola KEM REMAJA ISLAM 2009 di MIRI.

Intipatinya: InsyaALLAH, Sahabat dan sahabiah yang dirahmati ALLAH, pada 29/5/2009 - 2/6/2009 , Yayasan AMAL Malaysia cawangan Sarawak dengan kerjasama Jabatan Agama ISLAM Sarawak, dan Persatuan Mahasiswa Islam Sarawak (PERMIS) akan menganjurkan KEM REMAJA ISLAM 2009, di MIRI.

Sebarangan maklumat boleh sahaja berhubung terus dengan Saudara Mohamad Syukrani pada talian 019-8832372 atau email syukrans@gmail.com atau Saudari Haleeda Untong pada talian 0168315145 atau email ida_leeda@yahoo.com

Kami juga berasa rendah hati untuk memohon sumbangan untuk kelancaran Program KEM REMAJA ISLAM 2009 , bolehlah terus menyumbang ke:

Akaun Bank Islam
Yayasan Amal Malaysia Cawangan Sarawak Unit Miri
Nombor akaun: 11022010032002

Segala budi baik pihak tuan, amatlah kami hargai. Sehubungan dengan itu, diharap pihak tuan boleh memaklumkan jumlah yang telah dimasukkan kepada individu berikut untuk mempermudahkan segala urusan kelak:

Saudara Zhaharudin di talian 0133190529
Saudari Maliana di talian 0196006925

atau klik : http://kris-09.blogspot.com/

Jazakumullahu khair.

Wallahu'alam.



Saturday, April 11, 2009

Air Traffic Control - Anda Berani?

Salam. Walaupun dah lama berlalu, ana tetap nak berkongsi sebab ana rasa masih fresh lagi. Macam baru semalam je lagi. 7 April yang lepas, ana dan sahabat-sahabat sekelas telah membuat lawatan industri ke Jabatan Penerbangan Awam (Department of Civil Aviation), Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Ismail, Senai, Johor.

Trip yang bermula pada pukul 9 pagi itu diatur oleh sahabat sekelas, saudara Ahmad Fitry (Aum) bersama pihak DCA Senai, Kak Norazah. Lawatan yang berkaitan dengan Kejuruteraan Gelombang Mikro itu sedikit sebanyak turut berkait rapat dengan Pemprosesan Isyarat Digit. Banyak input yang ana dan sahabat-sahabat dapat melalui lawatan itu termasuklah tentang kegigihan seorang ibu beranak lima (Kak Norazah) dalam menjalankan tugas yang cukup memerlukan ketabahan dan bermain dengan amanah. Duduk menghadap radar yang lebih besar dari saiz skrin laptop memerlukan sifat kepekaan dan tanggungjawab yang tinggi memandangkan tugas ini bermain dengan nyawa manusia. Ana dan sahabat-sahabat sangat teruja mendengar kisah dari awal sampai kini Kak Norazah dalam bidang pekerjaannya, termasuklah kisah di Kolej Aviation ("menceburi bidang ini bermaksud adik-adik kena bersedia untuk berendam air mata", sebelum ini sangat susah untuk seorang wanita berada dalam area ini).

Pesan Kak Norazah pada kami, untuk berkecimpung dalam bidang Kawalan Trafik Udara, minat harus benar-benar tinggi kerana berada di tempat ini bukanlah sesuatu yang mudah. Jazakallah dan insya'ALLAH akak, kami akan pegang sampai bila-bila. ~~kerana ana juga minat Air Traffic Control~~
Di dalam menara radar

Bersedia untuk berhadapan dengan kesan radiasi setiap hari?

Radar yang memaparkan 'kapal' keluar masuk ruang udara Johor

Kak Norazah yang sabar melayan soalan-soalan cepu emas budak baru belajar~

Antara 'kapal' yang menarik perhatian kami~ hehe



Solat Hajat KTC

Majlis Solat Hajat dan Bacaan Yasin
Ahad (12.4.2009)

7.00pm
Dewan Astana, Kolej Tuanku Canselor

Anjuran JURUTEK FKE + BADAR KTC

SEMUA DIJEMPUT HADIR




Friday, April 10, 2009

Taharruk

Salam mahasiswa. MasyaALLAH, kalau bukan kerana seorang sahabat menyebutnya, tidak mungkin ana mahu mencari dan mempelajari.

Taharruk (bergerak) untuk agama dengan mengerahkan kemampuan secara maksimal dalam berdakwah di jalan Allah, serta untuk menegakkan syariat dan meninggikan kalimatNYA di muka bumi, wajib menjadi unsur asasi dalam sendi-sendi keimanan setiap muslim.

Imam al-Ghazali rahimahullah berkata:
"Ketahuilah! Setiap orang yang duduk dalam rumahnya saat ini, bagaimanapun keadaannya, tidak akan pernah lepas dari pelbagai kemungkaran. Bayangkan, berdiam diri dari upaya memberi penerangan, pengajaran dan pengarahan yang ma'ruf kepada manusia, padahal majoriti manusia di kota-kota besar berada dalam kejahilan terhadap syarat-syarat solat menurut syariat, terlebih lagi yang berada di desa-desa dan pelosok-pelosok kampung, baik dari bangsa Arab desa, Kurdi dan Turkistan maupun seluruh manusia.

Sesungguhnya di setiap masjid dan wilayah seharusnya memiliki orang alim yang dapat mengajarkan deen kepada manusia, begitu pula di desa-desa. Dan wajib bagi setiap orang alim setelah selesai menunaikan fardhu 'ainnya dan fardhu kifayahnya untuk keluar ke kota-kota tetangganya, baik yang berkulit hitam, bangsa Arab, Kurdi dan lain-lain, memberikan pengajaran deen dan syariat-syariat yang fardhu bagi mereka".

Sehingga di setiap waktunya, Imam al-Ghazali menghisab diri dengan bertanya: Apakah yang telah aku baktikan untuk agama ALLAH S.W.T? Gelisah di pembaringannya tiada henti, tidak asyik dalam dengkuran tidurnya, tidak nikmat dalam kemilau hidupnya. Berita-berita kaum muslimin membuatnya senang dan sedih. Dia terus berfikir untuk menjalani sampainya kebenaran kepada setiap makhluk, khuatir lalai tidak sempurna. Dia tidak hanya berfikir untuk tetangganya saja, kawannya atau karib kerabatnya saja. Dia berfikir untuk seluruh penduduk belahan bumi manapun, bagaimana memasukkan mereka ke dalam Islam.

Ya, memang sudah waktunya mengungkapkan seluruh kondisi kaum muslimin dan membela Islam semaksimal mungkin dengan ungkapan tegas, kalimat yang jelas dan amal yang lugas. Kita tidak perlu takut kepada siapapun kecuali ALLAH S.W.T. Semua terjadi menurut batas yang diizinkan ALLAH S.W.T kepada kita, bahkan DIA mewajibkan kita untuk mengatakannya dengan hidayah KitabNYA dan Sunnah RasulNYA S.A.W.

Negeri-negeri yang ada di belahan dunia Islam telah terperosok dalam jurang yang dalam tanpa tepi, jurang kekafiran, kebebasan dan kehancuran. Jika kita tidak berdiri menjadi nadzīr (pengingat kewaspadaan), atau tidak mengawasi mereka dari api jahanam, tentu kitapun ikut terperosok bersama mereka, tertimpa pelbagai bencana seperti mereka, serta dosa berlipat yang akan kita terima.

Mungkin taharruk yang sahabat ana maksudkan sebelum ini mengikut kondisi pada ketika itu berbeza dengan maksud yang tertera di atas, tetapi ana percaya maksud taharruk yang sebenar ini lebih membuka mata kita untuk membawa perubahan kepada ummah. Wallahu'alam.


Thursday, April 9, 2009

Barisan Kabinet Baru

KUALA LUMPUR, 9 April - Berikut ialah senarai penuh barisan Kabinet baru yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebentar tadi.

PERDANA MENTERI: Datuk Seri Najib Tun Razak
TIMBALAN PERDANA MENTERI: Tan Sri Muhyiddin Yassin

JABATAN PERDANA MENTERI:

Menteri:

1. Tan Sri Dr Koh Tsu Koon (Hal Ehwal Perpaduan & Pengurusan Prestasi)
2. Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz (Hal Ehwal Perundangan dan Parlimen)
3. Tan Sri Nor Mohamed Yakcop (Unit Perancang Ekonomi)
4. Mejar Jeneral (B) Datuk Jamil Khir Baharom (Hal Ehwal Agama Islam)

Timbalan Menteri:

1. Datuk Liew Vui Keong
2. Datuk Dr. Mashitah Ibrahim
3. Datuk S.K. Devamany
4. Ahmad Maslan
5. T. Murugiah

KEMENTERIAN KEWANGAN:

Menteri: Datuk Seri Najib Tun Razak
Menteri II: Datuk Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah

Timbalan Menteri:

1. Datuk Chor Chee Heung
2. Datuk Dr. Awang Adek Hussin

KEMENTERIAN PELAJARAN:

Menteri: Tan Sri Muhyiddin Yassin

Timbalan Menteri:

1. Datuk Dr Wee Ka Siong
2. Dr. Mohd Puad Zarkashi

KEMENTERIAN PENGANGKUTAN:

Menteri: Datuk Ong Tee Keat

Timbalan Menteri:

1. Datuk Abdul Rahim Bakri
2. Datuk Robert Lau Hoi Chew

KEMENTERIAN PERUSAHAAN, PERLADANGAN DAN KOMODITI:

Menteri: Tan Sri Bernard Dompok

Timbalan Menteri: Datuk Hamzah Zainudin

KEMENTERIAN DALAM NEGERI:

Menteri: Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein

Timbalan Menteri:

1. Datuk Wira Abu Seman Yusop
2. Jelaing anak Mersat

KEMENTERIAN PENERANGAN, KOMUNIKASI, KESENIAN DAN KEBUDAYAAN:

Menteri: Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim

Timbalan Menteri:

1. Datuk Joseph Salang Gandum
2. Senator Heng Seai Kie

KEMENTERIAN TENAGA, TEKNOLOGI HIJAU DAN AIR:

Menteri: Datuk Peter Chin Fah Kui

Timbalan Menteri: Noriah Kasnon

KEMENTERIAN KEMAJUAN LUAR BANDAR DAN WILAYAH:

Menteri: Datuk Seri Shafie Apdal

Timbalan Menteri:

1. Datuk Hassan Malek
2. Datuk Joseph Entulu anak Belaun

KEMENTERIAN PENGAJIAN TINGGI:

Menteri: Datuk Seri Mohd Khaled Nordin

Timbalan Menteri:

1. Datuk Dr. Hou Kok Chung
2. Datuk Saifuddin Abdullah

KEMENTERIAN PERDAGANGAN ANTARABANGSA DAN INDUSTRI:

Menteri: Datuk Mustapa Mohamed

Timbalan Menteri:

1. Datuk Mukhriz Mahathir
2. Datuk Jacob Dungau Sagan

KEMENTERIAN SAINS, TEKNOLOGI DAN INNOVASI:

Menteri: Datuk Dr. Maximus Ongkili

Timbalan Menteri: Fadillah Yusof

KEMENTERIAN SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR:

Menteri: Datuk Douglas Uggah Embas

Timbalan Menteri: Tan Sri Joseph Kurup

KEMENTERIAN PELANCONGAN:

Menteri: Datuk Ng Yen Yen

Timbalan Menteri: Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman Abdul Taib

KEMENTERIAN PERTANIAN DAN INDUSTRI ASAS TANI:

Menteri: Datuk Noh Omar

Timbalan Menteri:

1. Datuk Johari Baharum
2. Datuk Rohani Abdul Karim

KEMENTERIAN PERTAHANAN:

Menteri: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

Timbalan Menteri: Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad

KEMENTERIAN KERJA RAYA:

Menteri: Datuk Shaziman Abu Mansor

Timbalan Menteri: Datuk Yong Khoon Seng

KEMENTERIAN KESIHATAN:

Menteri: Datuk Liow Tiong Lai

Timbalan Menteri: Datuk Rosnah Rashid Shirlin

KEMENTERIAN BELIA DAN SUKAN:

Menteri: Datuk Ahmad Shabery Cheek

Timbalan Menteri:

1. Datuk Razali Ibrahim
2. Wee Jeck Seng

KEMENTERIAN SUMBER MANUSIA:

Menteri: Datuk Dr S.Subramaniam

Timbalan: Datuk Maznah Mazlan

KEMENTERIAN PERDAGANGAN DALAM NEGERI DAN HAL EHWAL PENGGUNA:

Menteri: Datuk Ismail Sabri Yaakob

Timbalan Menteri: Datuk Tan Lian Hoe

KEMENTERIAN PERUMAHAN DAN KERAJAAN TEMPATAN:

Menteri: Datuk Kong Cho Ha

Timbalan Menteri: Datuk Lajim Ukin

KEMENTERIAN PEMBANGUNAN WANITA, KELUARGA DAN MASYARAKAT:

Menteri: Datuk Seri Sharizat Jalil

Timbalan Menteri: Datin Paduka Chew Mei Fun

KEMENTERIAN LUAR:

Menteri: Datuk Anifah Aman

Timbalan Menteri:

1. A. Kohilan Pillay
2. Datuk Lee Chee Leong

KEMENTERIAN WILAYAH PERSEKUTUAN:

Menteri: Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin

Timbalan Menteri: Datuk M. Saravanan

Tahniah dan takziah. Selamat menjalankan tanggungjawab. Amanah sebagai pemimpin itu sangat berat. Sentiasa muhasabah diri untuk kebaikan ummah.

Daripada Abu Zar Al-Ghifari r.a katanya Nabi S.A.W menasihatinya dengan masalah kepimpinan.

"Sesungguhnya kepimpinan itu adalah suatu amanah dan pada hari kiamat ia merupakan suatu penghinaan dan penyesalan melainkan pemimpin yang melaksanakannya dengan penuh tanggungjawab dan melaksanakan tugas yang tertanggung di atas bahunya".


Tuesday, April 7, 2009

Kenapa Manusia Begini?

Salam. Sekadar melontarkan persoalan yang bermain di hati saat ini.

Kenapa tak ramai orang suka benda baik? Kenapa manusia ciptaan ALLAH yang sukakan kebaikan memerangi benda yang baik? Kenapa manusia tak sedar sesuatu yang baik itu adalah untuk kebaikan mereka sendiri? Kenapa manusia sudah semakin lupa kepada Yang Menciptakan mereka? Kenapa hati yang buta tidak berusaha untuk celik?

RABB yang Maha Pemurah yang telah mengajarkan Al-Qur’an
DIA telah menciptakan manusia
Mengajarnya pandai berbicara
matahari dan bulan beredar menurut perhitungan
Dan tumbuh-tumbuhan dan pohon-pohonan kedua-duanya tunduk kepada NYA
Dan ALLAH telah meninggikan langit dan Dia meletakkan neraca (keadilan)
Dan ALLAH telah meratakan bumi untuk makhluk(NYA)
Maka Nikmat RABB kamu yang manakah yang akan kau dustakan lagi?
(QS.Ar-Rahman)


Sunday, April 5, 2009

Terlalu Berat Atau Cukup-cukup?

Salam mahasiswa. Ana baru sahaja pulang dari bilik sahabat. Berbincang isu ummah, sehingga lebih dua jam. Apa sahaja yang dibincangkan sampai selama itu? Isu yang tak pernah-pernah lari dari bibir sahabat seperjuangan. Ikhtilat.

Apa itu ikhtilat? Bagi sahabat seperjuangan mungkin sangat tahu maknanya, tapi bagi yang di luar sana, fahamkah mereka? Ikhtilat ialah percampuran antara lelaki dan wanita. Apa sempadannya?

"Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu memasuki rumah-rumah Nabi kecuali bila kamu diizinkan untuk makan dengan tidak menunggu-nunggu waktu masak, tetapi jika kamu diundang maka masuklah dan bila kamu selesai makan, keluarlah kamu tanpa asyik memperpanjang percakapan. Sesungguhnya yang demikian itu akan mengganggu Nabi lalu Nabi malu kepadamu(untuk menyuruh kamu keluar), dan Allah tidak malu (menerangkan) yang benar. Apabila kamu meminta sesuatu kepada mereka (isteri-isteri Nbi), maka mintalah dari belakang tabir. Cara yang demikian itu lebih suci bagi hatimu dan hati mereka. Dan tidak boleh kamu menyakiti Rasulullah dan tidak mengahwini isteri-isterinya selama-lamanya sesudah ia wafat. Sesungguhnya perbuatan itu adalah amat besar (dosanya) di sisi Allah." (al-Ahzab: 53)

Kalau kita lihat dewasa ini, batasan pergaulan antara lelaki dan wanita sudah tenggelam ditelan arus modenisasi. Dalam organisasi contohnya, bertepuk-tampar sudah menjadi kebiasaan sedangkan pada hakikatnya ada segelintir yang berasa tidak selesa dengan 'layanan mesra' insan-insan yang kurang faham ini. Jika tidak begitu, tidak seronok baginya, kolot dan tidak normal. Sebagai orang yang berpegang kepada al-Kitab, normalkah pergaulan seperti itu? Berdasarkan dalil yang dikemukakan, jelaslah kepada kita bahawa pergaulan atau 'ikhtilat' di antara lelaki dan wanita tanpa sebab-sebab munasabah yang dibenarkan adalah dilarang sama sekali dan membawa kepada dosa. Di sinilah perlunya orang-orang yang sangat faham bagi menerangkan perkara ini kepada pihak-pihak yang terlibat dengan organisasi.

Lain pula kisahnya apabila ada yang terlalu memberat-beratkan hal ikhtilat sehingga kadang-kadang tidak sedar bahawa dirinya sebenarnya telah terlupa matlamat sebenar sesuatu keadaan itu. Contohnya dalam mesyuarat, mungkin ada yang terasa seperti ahli mesyuarat berlawanan jenis tidak menjaga pandangan dan asyik merenungnya sedangkan sebenarnya bagi ahli mesyuarat yang lain perkara itu tidak memberi efek apa-apa. Bergantung pada individu sebenarnya, niat di dalam hati itu harus dibetulkan. Untuk apa mesyuarat ini diadakan, adakah untuk memberi peluang antum merenung antara satu sama lain atau untuk mencapai konsensus tentang sesuatu yang lebih utama? Jangan sehingga matlamat tidak kesampaian, hala tuju entah ke mana hanya kerana perkara yang kurang utama. Semuanya berkisar tentang hati sendiri sebenarnya, pandai-pandailah jaga pandangan.

Pendek kata, jangan terlalu memberat-beratkan tetapi jangan pula terlalu meringan-ringankan. Kita harus menilai situasi. Ini kata putus perbincangan kami. Ana pun tidaklah terlalu arif tentang hal ini, sekadar memberi pandangan dan berkongsi hasil perbincangan dengan sahabat-sahabat. Apa pula pandangan pembaca?



Doakan Kesejahteraan Buatnya

UTM Skudai : Satu kemalangan telah berlaku melibatkan Bas Fascinating Malaysia (Bas Sewa UTM ) dengan sebuah motosikal bertempat di Simpang 3, Jalan Taman Universiti - UTM -Desa Bakti. Mangsa, Zulkarnain Bin Jamaluddin,14 tahun, yang menaiki motosikal telah dilanggar oleh bas dan menyebabkan beliau koma sehingga ke hari ini.

Zulkarnain merupakan anak kepada pegawai keselamatan UTM, Pn Norhatifah Bte Yunus. Kejadian kemalangan berlaku apabila bas berkenaan dalam perjalanan menghala ke UTM daripada Taman Universiti, manakala adik Zulkarnain dalam perjalanan dari UTM menghala ke Kuarters Staf Desa Bakti UTM.

Akibat daripada kemalangan tersebut, adik Zulkarnain telah mengalami pendarahan yang banyak dari bahagian telinga dan hidung akibat hentakan kuat pada bahagian kepala. Sejurus selepas kejadian, beliau telah dikejarkan oleh ambulans UTM ke Pusat Kesihatan UTM untuk diberikan alat sokongan sementara dan rawatan oleh Dr Ismail Muhammad, Pengarah Pusat Kesihatan UTM sebelum dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah untuk rawatan selanjutnya.

Doktor di Wad ICU bahagian Ortopedik mengesahkan tulang kaki kiri beliau patah di 4 bahagian, manakala Wad ICU bahagian Neurologi mengesahkan terdapat 3 tompokan darah beku di bahagian kepala di samping keretakan pada bahagian kiri tempurung kepala beliau.

Pengarah Keselamatan UTM, En Halim Bin Adam bersama beberapa kakitangan keselamatan UTM telah membuat lawatan terhadap adik Zulkarnain dan anggota keluarganya di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru. Dalam lawatan Pengarah Masjid Sultan Ismail UTM , Dr Azhar Muhammad telah memperingatkan mahasiswa dan mahasiswi supaya lebih berhati-hati ketika memandu kenderaan. Beliau juga mengatakan, kawasan berkenaan telah kerapkali berlaku kemalangan.

Presiden PMIUTM, Mohd Amin Bin Mohd Hamami menyeru kepada pihak UTM selaku Universiti yang mempunyai ramai Jurutera pakar agar dapat memperbaiki sistem keselamatan lalulintas di simpang tersebut. Rekod kemalangan telah banyak disimpan tetapi tindakan memperbaiki sistem keselamatan lalulintas masih belum nampak.

Sejak kejadian tersebut juga, adik Zulkarnain telah berada dalam keadaan koma dan tidak sedarkan diri. Pendarahan masih terus berlaku di bahagian hidung menyebabkan beliau terpaksa bergantung kepada alat bantuan pernafasan di wad kecemasan berkenaan.

PMIUTM mewakili keluarga Pn Norhatifah Yunus memohon kepada warga UTM agar dapat mendoakan keselamatan dan kesembuhan anaknya yang kini berada dalam keadaan kritikal dan koma di Hospital Sultanah Aminah.

Sumber: PMI UTM



Thursday, April 2, 2009

Rindu~~~

Salam. Ana rindu pada mereka, terutama pada dia. Abang nama diberi kerana punya Kakak yang lahir pada masa yang sama. Teman tatkala ana bersedih dan rindukan keluarga. Baru tengahari tadi ana menggendong dirimu. Kini ana hilang kesemuanya; ya, nikmat ALLAH itu bila-bila masa sahaja akan ditarik balik. Ana hanya mampu mendengar cerita tentang rintihan mu ketika kebebasanmu telah diragut. Bekas itu yang masih berisi menambah gundah di hati ana, mungkin akan ada penggantimu yang baru tapi tidak mungkin menyamai dirimu dan adik-beradikmu yang lain. Air mata ini sudah lebat merembes. Ya ALLAH, hambaMU meminta agar mereka dalam lindunganMU sentiasa. Amiin.



Solat Hajat Perdana


Salam mahasiswa. Jom datang beramai-ramai mengimarahkan MSI.


Novelog Miss Ran: Aku, Dia, dan Paparazzi

Kuntuman Sakura

Blog (167) Blog Review (110) Blogger (57) BM (17) Books (26) Cerpen (14) Cici (41) cinta (34) Dakwah (65) Eh Ustazah (42) gathering (8) iklan (24) Info Sihat (26) Jalan-jalan (46) lirik (21) Motivasi (52) muhasabah (34) Nukilan Jiwa (55) Palestine (21) perkahwinan (38) Puisi (45) Puisi Islamik (15) Ramadhan (21) Review Filem (3) Sakura (33) Tazkirah (87) Tutorial (27) WordlessWednesday (54)
Ini adalah blog peribadi. Sebarang pendapat yang saya nukilkan di sini adalah dari saya sendiri, tidak melibatkan sesiapa kecuali jika saya letakkan nama pemiliknya. Sebarang COPYPASTE dari laman Sunah Suka Sakura dot com adalah dibenarkan dengan syarat dikreditkan ke blog ini. Sama-sama menyebarkan perkara yang bermanfaat. Terima kasih.