Ticker

6/recent/ticker-posts

Doakan Kesejahteraan Buatnya

UTM Skudai : Satu kemalangan telah berlaku melibatkan Bas Fascinating Malaysia (Bas Sewa UTM ) dengan sebuah motosikal bertempat di Simpang 3, Jalan Taman Universiti - UTM -Desa Bakti. Mangsa, Zulkarnain Bin Jamaluddin,14 tahun, yang menaiki motosikal telah dilanggar oleh bas dan menyebabkan beliau koma sehingga ke hari ini.

Zulkarnain merupakan anak kepada pegawai keselamatan UTM, Pn Norhatifah Bte Yunus. Kejadian kemalangan berlaku apabila bas berkenaan dalam perjalanan menghala ke UTM daripada Taman Universiti, manakala adik Zulkarnain dalam perjalanan dari UTM menghala ke Kuarters Staf Desa Bakti UTM.

Akibat daripada kemalangan tersebut, adik Zulkarnain telah mengalami pendarahan yang banyak dari bahagian telinga dan hidung akibat hentakan kuat pada bahagian kepala. Sejurus selepas kejadian, beliau telah dikejarkan oleh ambulans UTM ke Pusat Kesihatan UTM untuk diberikan alat sokongan sementara dan rawatan oleh Dr Ismail Muhammad, Pengarah Pusat Kesihatan UTM sebelum dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah untuk rawatan selanjutnya.

Doktor di Wad ICU bahagian Ortopedik mengesahkan tulang kaki kiri beliau patah di 4 bahagian, manakala Wad ICU bahagian Neurologi mengesahkan terdapat 3 tompokan darah beku di bahagian kepala di samping keretakan pada bahagian kiri tempurung kepala beliau.

Pengarah Keselamatan UTM, En Halim Bin Adam bersama beberapa kakitangan keselamatan UTM telah membuat lawatan terhadap adik Zulkarnain dan anggota keluarganya di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru. Dalam lawatan Pengarah Masjid Sultan Ismail UTM , Dr Azhar Muhammad telah memperingatkan mahasiswa dan mahasiswi supaya lebih berhati-hati ketika memandu kenderaan. Beliau juga mengatakan, kawasan berkenaan telah kerapkali berlaku kemalangan.

Presiden PMIUTM, Mohd Amin Bin Mohd Hamami menyeru kepada pihak UTM selaku Universiti yang mempunyai ramai Jurutera pakar agar dapat memperbaiki sistem keselamatan lalulintas di simpang tersebut. Rekod kemalangan telah banyak disimpan tetapi tindakan memperbaiki sistem keselamatan lalulintas masih belum nampak.

Sejak kejadian tersebut juga, adik Zulkarnain telah berada dalam keadaan koma dan tidak sedarkan diri. Pendarahan masih terus berlaku di bahagian hidung menyebabkan beliau terpaksa bergantung kepada alat bantuan pernafasan di wad kecemasan berkenaan.

PMIUTM mewakili keluarga Pn Norhatifah Yunus memohon kepada warga UTM agar dapat mendoakan keselamatan dan kesembuhan anaknya yang kini berada dalam keadaan kritikal dan koma di Hospital Sultanah Aminah.

Sumber: PMI UTM

Post a Comment

0 Comments