Ticker

6/recent/ticker-posts

Google Maps Malaysia Dilancar

KUALA LUMPUR - Google Maps versi Malaysia.

Kira-kira 15 juta pengguna Internet di negara ini berpeluang mendapat pelbagai manfaat apabila syarikat enjin carian Internet terkemuka, Google Inc. melancarkan platform carian tempatan, Google Maps Malaysia mulai semalam.

Melalui platform tersebut, pengguna boleh mendapatkan maklumat geografik tempatan seperti peta, imej satelit, laluan pemanduan, alamat kediaman dan pusat perniagaan yang tersenarai di seluruh negara dengan hanya menaip kata kunci dalam ruang carian yang disediakan.

Pengurus Produk, Google Asia Tenggara, Andrew McGlinchey berkata, platform itu yang dibangunkan sejak beberapa bulan lalu bukan sahaja boleh diakses melalui komputer malah menerusi telefon bimbit.

"Misalnya, pengguna yang mencari sesuatu lokasi di Kuala Lumpur boleh mengetahui masa yang diperlukan untuk ke lokasi tersebut.

"Pada masa yang sama, mereka berpeluang mencari pelbagai maklumat sampingan yang diperlukan seperti lokasi tempat makan pilihan dan penginapan.

"Apa yang menariknya, selain memaparkan maklumat dalam bahasa Melayu, Google Maps Malaysia juga boleh diakses dalam pelbagai bahasa termasuk Inggeris, Cina dan Tamil," katanya di sini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Google Maps Malaysia di sini semalam. Turut hadir ialah Ketua Pemasaran, Google Inc. Asia Tenggara, Derek Callow.

Tambah Andrew, konsep interaktif yang diaplikasikan oleh platform tersebut membolehkan pengguna tempatan berkongsi maklumat dengan pengguna Internet lain di seluruh dunia.

Sumber: Kosmo!

Post a Comment

0 Comments