BLOG ENCIK SUAMI

Saturday, June 20, 2009

Aku Menulis Hanya Kerana NAMA!

Salam. Ana baru sahaja melawat blog salah seorang sahabat ana, Nurul Nazwa (penulis novel Cerita Dari Hati - iklan sebentar) dan tertarik dengan salah satu entry terbarunya yang 'dikutip' dari seorang sahabat yang lain. Ana pun meminta izin untuk mengutipnya dan memasukkan entry itu ke blog ini. Menarik untuk semua sahabat blogger di luar sana.

***********

Sedikit entry buat para blogger yang gila memblog sekarang..^_^..Satu artikel menarik yang ana cilok dengan izin tuannya (Thanx Aman)..Sesangat bermanfaat untuk semua yang ada blog (termasuk pemilik blog ni)..Apa niat kita berblog?? Lidah boleh bohong ..Tapi..HATI tak boleh bohong..(ikut eklan mee sedap kat tv tu) So, apa lagi??? Mari kita menyanyi together-gether (perosak bahasa bangsa!)..


Sambil diiringan petikan gitar Ramli Sarip...
Mode:- Muhasabah


Ketika tulisan mulai jadi sebutan orang
Ketika pendapat di blog dipuji-puji
Ketika 'post' di Forum mendapat penghargaan
Ketika idea-idea dikatakan sangat bernas


Astaghfirullahal 'azhim...Astaghfirullahal 'azhim...


Terangsanglah semangat mencari idea-idea segar
Terangsanglah untuk mencari bukti-bukti menguatkan argumentasi
Terangsanglah untuk 'komen' di blog orang lain, untuk promosi blog sendiri
Terangsanglah untuk mem'famous'kan diri sendiri!


Astaghfirullahal 'azhim...Astaghfirullahal 'azhim...


Niat asal sudah lari
Niat bukan lagi untuk tujuan dakwi
Niat kini untuk promosi diri
Niat kini untuk naikkan NAMA sendiri!


Astaghfirullahal 'azhim...Astaghfirullahal 'azhim...


Dalam blog:
Tiap hari 'check' brape pelawat dah datang arini?
Tiap hari 'check' brape 'comment' dalam entri kali ni?


Dalam forum:
Tiap hari 'check' brape respon untuk 'post' tempoh hari?
Tiap hari 'check' brape 'post' lagi nak naik status ni?


Tiap hari...cari ruang promosi NAMA sendiri
Sebabnya...

Aku Menulis Hanya Kerna NAMA


Astaghfirullahal 'azhim...Astaghfirullahal 'azhim...


Tulisan ini bukan untuk mencela sesiapa
Tulisan ini bukan untuk menyalahkan sesiapa
Tulisan ini bukan untuk mereka-reka cerita
Tulisan ini buat renungan diri SENDIRI la!


Astaghfirullahal 'azhim...Astaghfirullahal 'azhim...

6-5-2009 3-39-56 PM
"Maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan mohonlah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penerima taubat." (An Nasr 110:3)

P/S: Renung-renungkan dan selamat beramal! :)



Thursday, June 18, 2009

SOMC: Finale Lagi Sekali


Salam. Nak cerita sikit pengalaman kat SOMC. Walaupun baru semalam ana habis latihan di jabatan tersebut, hati sudah mula rindu untuk terus mempelajari banyak ilmu di tempat itu. Biarpun hanya seminggu, mungkin kerana bilangan staf yang sedikit menyebabkan kami menjadi rapat dengan lebih mudah. 3 orang staf yang boleh dikatakan agak veteran itu (kecuali Encik Saiful yang bakal berumur 30 tahun hujung tahun ini) begitu pemurah mencurahkan ilmu yang dimiliki. Hari terakhir semalam pun hingga lepas waktu pejabat, Madam Rowena masih ingin berkongsi cara-cara merekodkan segala pertukaran nombor dan perkhidmatan dari CFZZ hingga ke CTNR (Ini kod apa? Antum tak perlulah tahu...).


Dalam seminggu ini juga ana telah berpeluang ke beberapa tempat yang jauh. Eheh, jauh ke? Jauh juga kerana pergi pagi, tengahari baru balik, terus ke rumah dengan kenderaan khas TM. Bukan ana yang tidak berlesen ini (dengan penuh rasa rendah diri) yang membawanya, supervisor ana yang menghantar ana hingga ke rumah.

Ana berpeluang untuk melawat Exchange Building di Tatau dan Kampung Jepak, kedua-dua tempat ini tentulah letaknya di Bintulu, tanah tumpah darah ana yang masih perlukan tenaga mahir anak jatinya untuk dibangunkan. Ana membantu supervisor ana menulis bacaan voltan Lead-Acid Batery. Encik Saiful juga menunjukkan cara-cara memasang rectifier yang digunakan sebagai backup ketika waktu kecemasan. Ana turut berpeluang melihat kerja-kerja maintenance yang dilakukan oleh dua orang staf dari bahagian Access selepas menerima panggilan daripada pelanggan. Rumit juga kerjanya kerana hingga ana dan supervisor ana beredar untuk ke Kampung Jepak pun mereka masih tidak menjumpai punca masalah telefon tidak mengeluarkan nada anda-sudah-boleh-mendail itu.



Ana tidak akan lupa sampai bila-bila pengalaman di sini kerana banyak ilmu yang ana dapat di sini. Terima kasih kepada Madam Rowena yang sentiasa menjadi inspirasi kepada ana untuk terus meningkatkan potensi diri. Madam pasti akan cemerlang dalam pelajaran separuh masa madam itu, teruskan menyiapkan assignment madam ya. Isu Mat Rempit memang sesuai untuk madam kupas memandangkan keadaan semasa di negara kita banyak berkisar tentang golongan tersebut. Buat Mr. Edward yang suka memasang radio Bintulu FM pada waktu petang, terima kasih kerana menceriakan pejabat yang lebih banyak equipment daripada orang itu.

Terima kasih yang tidak terhingga juga diucapkan kepada En. Saiful Azrin yang banyak memberi nasihat dan pandangan tentang pengajian ana, idea-idea projek tahun akhir yang begitu menarik, nasihat-nasihat kehidupan, ilmu-ilmu telekomunikasi, dan sebagainya. Semua itu begitu berharga, ana tidak akan lupa sampai bila-bila kerana ana memang perlu menghubungi enta lagi untuk meminta pandangan bagi Projek Sarjana Muda ana kelak, insya'ALLAH.



Sememangnya seminggu di sini tidak cukup untuk belajar lebih mendalam mengenai Exchange, tetapi seminggu ini sudah cukup untuk ana rasa berat hati meninggalkan SOMC. Berbaur perasaan hendak meninggalkan minggu ini, berdebar juga hati untuk berhadapan dengan minggu yang mendatang. Ya, minggu hadapan ana akan ke Regional Network Operation di TM Tg. Kidurong pula. Doakan ana ya sahabat-sahabat. Er, Dr. Makbul, jangan lupa hubungi ana sebelum enta datang pada hari Rabu minggu hadapan ya.

P/S: ~> En. Saiful, kelak kamek pikir soalan kitak masa hari first ngan hari last kamek dibah 'jagaan' kitak ya, may be juak kamek perlu nyedia resume dari kinek tok. Hee. Jazakallah untuk idea projek ya, nang best!


Ya ALLAH...


Ya ALLAH...
Hamba Mu lemah
Hamba Mu tidak kuat
Hamba Mu tidak berdaya

Hamba Mu tahu perasaan ini hanya sementara cuma
Secebis nikmat hanya untuk seketika
Hati ini diuji dengan indahnya dunia
Sekelumit ujian dari Mu buat seorang hamba

Ya ALLAH...

Hamba Mu tidak mahu terus gelisah
Sakinah didamba menghilangkan resah
Biar indah sekali godaan dunia
Hanya Cinta Mu yang dipinta...

Bimbinglah hamba Mu agar rasa ini berlalu
Terangilah hati ini dengan Cahaya Mu
Pimpinlah hati ini ke arah Cinta Mu
Cinta abadi hingga hujung waktu...

~air mata ini sudah kering untuk terus mengalir~


Sedekahkan Al-Fatihah Buatnya

~Al-Fatihah~


Salam takziah buat keluarga almarhum Wak Tumiran, bekas staf pejabat Kolej Tuanku Canselor yang meninggal dunia pada jam 8.00 malam tadi (17/06/09). Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan oleh ALLAH bersama orang-orang yang soleh. Amiin.

Sumber gambar: Nurul 'Uyun Ahmad

Monday, June 15, 2009

SOMC

Salam. Alhamdulillah, hari ini ana telah berpindah ke Switching Operation & Maintenance Centre (SOMC) Bintulu. Masih di bangunan yang sama, tetapi di aras berbeza. Kali ini di tingkat paling atas bangunan TM itu. Awal-awal pagi lagi ana sudah menunggu Encik Saiful Azrin untuk melaporkan diri. Agak lama juga ana menunggu, dia terlupa agaknya, itulah yang ana fikirkan. Beberapa minit melepasi 8.30 pagi, barulah seorang staf lelaki yang baru sampai mempelawa ana masuk ke dalam pejabat. Alhamdulillah.

Ana masih menunggu supervisor ana sambil duduk di meja yang disediakan untuk ana. Beberapa minit berlalu, 3 orang staf di dalam pejabat itu kelihatan agak sibuk. Kemudian, staf lelaki yang mempelawa ana masuk tadi menghampiri ana, mengambil kerusi di meja sebelahnya dan duduk di hadapan meja ana.

"Kamek Saiful. Sapa nama kitak tek?" tanyanya.
(Saya Saiful. Siapa nama awak tadi?)

"Siti (entah kenapa ana tidak dapat menuturkan 'Sunah' sejak melapor diri di TM)." Ana menghulurkan surat yang diberikan oleh Encik Olek kepada ana pada minggu kedua LI dahulu sambil berkata di dalam hati, 'Dah agak dah ni Encik Saiful'.

Kemudian, dia menerangkan kerja-kerja yang dilakukan di SOMC, turut diceritakan kepada ana tentang mahasiswa-mahasiswa lain yang pernah LI di situ. Berbual dengannya beberapa minit memberikan banyak input berguna kepada ana termasuklah memperkenalkan pelbagai singkatan yang digunakan di TM yang ana tidak berapa ingat semuanya. Daripada perbualan itu jugalah ana baru mengetahui proses semasa membuat panggilan telefon. Hehe.

Selepas menceritakan serba-sedikit tentang ruang lingkup SOMC, Encik Saiful membawa ana ke TM di Tg. Kidurong. Dia menunjukkan bilik yang menempatkan EXCHANGE di Tg. Kidurong kepada ana, dan gambar-gambar di bawah menceritakan yang selebihnya.

Bahagian dalam rectifier yang digunakan

Encik Saiful menunjukkan bagaimana salah satu kaki DC (yang berpelekat biru) boleh disentuh semasa beroperasi tanpa terkena renjatan jika kaki yang satu lagi tidak disentuh (JANGAN tiru aksi ini jika anda masih kurang jelas tentangnya)

EXCHANGE - Banyaknya...Ni semua syarikat-syarikat besar yang punya

Alat ini lah yang memberi nada panggilan setelah kita mendail nombor telefon yang ingin dihubungi

Encik Saiful (yang sedang menelefon) dan dua staf TM sedang memeriksa kabinet di luar bangunan TM

Alhamdulillah, ana seronok di sini. Akan ana gunakan seminggu yang begitu singkat ini dengan sebaiknya, insya'ALLAH.

Laporan seterusnya akan menyusul, insya'ALLAH.


Sunday, June 14, 2009

Ahmadinejad Menang Besar

TEHERAN 13 Jun – Mahmoud Ahmadinejad memperolehi kemenangan besar pada pilihan raya Presiden Iran semalam, sekali gus mempertahankan jawatannya untuk mengetuai kerajaan bagi tempoh empat tahun lagi, di sebalik dakwaan pencabar utamanya berlaku banyak penyelewengan.

Sokongan besar terhadap Ahmadinejad, kira-kira dua kali jumlah undi yang dimenangi oleh bekas Perdana Menteri, Mirhossein Mousavi, mengejutkan penganalisis politik, yang sebelum ini meramalkan persaingan sengit antara kedua-dua calon tersebut dan mengheret mereka untuk bertarung dalam pengundian pusingan kedua.

"Doktor Ahmadinejad, yang memperolehi majoriti undi, telah menjadi pemenang mutlak pada pilihan raya Presiden (Iran) ke-10," lapor agensi berita rasmi Iran, IRNA sementara penyokong beliau membanjiri jalan raya untuk meraikan kemenangan itu. Berita selanjutnya rujuk Utusan Malaysia.

Alhamdulillah. Bukanlah ana bermaksud pemimpin yang lain itu tidak layak menjadi presiden Iran. Ana bersyukur kerana beliau memang selayaknya memegang jawatan itu. Ana bukanlah orang yang selalu mengikuti perkembangannya, tetapi ana tahu beliau seorang manusia yang bagaimana. Ana yakin beliau mampu mengemudi bahtera kerajaan Iran. Biarpun pelbagai tohmahan dan cakap-cakap angin yang memburukkannya, beliau membuktikan hati rakyat masih ditetapkan oleh ALLAH untuknya. Alhamdulillah.


Ana masih ingat peristiwa beliau mencetuskan perihal Israel dan Palestin semasa persidangan anti perkauman anjuran Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu di Geneva April lalu (rujuk sini). Tindakan beliau yang itulah menguatkan kata hati ana bahawa beliau akan menang pilihanraya kali ini. Ya, seperti sahabat-sahabat seperjuangan yang lain, ana juga menunggu kemunculan lebih banyak (Ya! Banyak, bukan ramai. Guru Bahasa Melayu tingkatan 4 dan 5 ana memberitahu ramai hanya untuk 'orang ramai') pemimpin sepertinya. Lebih-lebih lagi pemimpin seperti Salahuddin al-Ayubi yang membebaskan al-Aqsa. Bilakah masa itu akan datang?


Elaun Latihan Industri Dikembalikan!

Naib Presiden Fakulti, Saudara Zaki telah bertemu dengan pegawai daripada Pejabat Bendahari UTM. Tujuannya adalah untuk mendapatkan penjelasan berhubung dengan yuran Latihan Industri (LI) yang dilaporkan mahal dan mengelirukan.

Hasil daripada perbincangan hampir sejam tersebut, beliau telah berjaya mendapat penjelasan tentang beberapa isu kebajikan mahasiswa. Yuran pendaftaran bagi LI dinamakan sebagai Yuran Semester Mei dan ia menggabungkan dua yuran iaitu Yuran Perkhidmatan UTM dan Yuran Kursus LI.

Yuran Perkhidmatan UTM yang sebelum ini dikenakan sebanyak RM110, telah dikurangkan RM20 kepada RM90 berdasarkan keputusan mesyuarat oleh TNC Akademik dan Antarabangsa. Akaun pelajar yang dicaj RM110 akan didebitkan RM20 tidak lama lagi.

Yuran Kursus LI dikira berdasarkan kos RM45 bagi setiap kredit. Dan julat kredit yang diambil oleh mahasiswa adalah antara 3 hingga 8 kredit. Oleh itu, pelajar diharapkan tidak terkejut apabila dikenakan Yuran Semester Mei sebanyak RM 470 kerana LI anda berjumlah 8 kredit.

BERITA BAIK!

Elaun Latihan Industri telah dikembalikan!

Berdasarkan maklumat dan perangkaan yang ditunjukkan kepada pihak MPP, UTM telah pun menerima sejumlah peruntukan elaun Latihan Industri bagi tahun 2009. Elaun ini sedang diproses untuk mahasiswa fakulti FKM, FKSG dan FAB. Pemprosesan elaun bagi pelajar fakulti lain akan menyusul.

Secara umumnya, pelajar akan menerima RM 15 + RM 5 bagi elaun Harian dan Pengangkutan Harian. Beberapa elaun lain adalah berdasarkan keadaan-keadan tertentu mengikut lokasi LI.


Wednesday, June 10, 2009

Ditembak Dalam Masjid

SUNGAI GOLOK (Selatan Thai) 9 Jun – Kejam dan tidak berperikemanusiaan! Mungkin itu yang dapat digambarkan tentang pembunuhan 11 jemaah ketika solat isyak di Masjid Al-Furqan di Kampung Air Tempayan, 50 kilometer dari bandar ini kira-kira pukul 8.50 malam tadi (waktu Malaysia).

Setelah melepaskan tembakan dari dua pintu masuk masjid, enam penyerang itu dikatakan masih tidak berpuas hati dan masuk ke dalam masjid sebelum melepaskan beberapa das lagi tembakan bagi memastikan jemaah terbabit benar-benar mati.

Tragedi terbaru yang menjadikan masjid sebagai sasaran, berlaku pada hari yang sama Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva melawat Malaysia dan memperbaharui komitmen untuk mengakhiri konflik yang berlarutan sejak 2004 di wilayah bergolak itu.

Kejadian itu menambahkan jumlah korban yang kini mencecah lebih 3,700 orang dan masyarakat Islam di wilayah itu bimbang kejadian lebih buruk akan menyusul semula dan ramai yang percaya kejadian terbaru didalangi pihak berkuasa.

Bagaimanapun sehingga kini masih belum dapat dipastikan motif sebenar pembunuhan kejam itu tetapi ada yang berpendapat berpunca daripada dendam dan pihak tentera Thai menafikan sebarang pembabitan anggota mereka.

Seorang saksi, Hassan Deraman, 17, berkata, kejadian berlaku amat pantas kira-kira lima minit di mana empat lelaki dikatakan menyerbu masuk ke dalam masjid dari arah pintu belakang manakala dua lagi dari arah tepi.

Katanya, kesemua mereka bersenjatakan rifel M-16 dan pump gun serta memakai seragam hitam serta bertopeng.

"Ketika kejadian berlaku saya bersama tiga lagi rakan berada dalam wakaf kira-kira 15 meter dari pintu masuk utama masjid ini, Tiba-tiba kami mendengar bunyi tembakan yang kuat bertalu-talu.

"Kami bersembunyi dan bergerak ke tempat kejadian dengan perlahan-lahan dalam gelap untuk melihat apa yang berlaku dengan lebih jelas.

"Saya kemudian melihat mereka memasuki masjid ini dan melepaskan tembakan ke arah kepala serta badan jemaah yang terbaring dalam ruang solat, tembakan itu dilepaskan bagi memastikan kesemua jemaah ini benar-benar mati," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di tempat kejadian.

Hassan berkata, penyerang dipercayai memasuki kawasan masjid melalui hutan dan kawasan ladang getah di bahagian belakang bagi memastikan kehadiran mereka tidak disedari.

Katanya, pembunuh kejam itu tidak memasuki masjid melalui pintu utama kerana ia diterangi dengan cahaya lampu.

"Selepas bunyi tembakan hilang, beberapa orang kampung datang dan saya bersama mereka memasuki masjid melihat mayat bergelimpangan dipenuhi dengan darah.

"Ketika itu, hanya dua jemaah terselamat tanpa sebarang kesan tembakan. Salah seorang daripada mereka adalah 'tok siak' masjid, bagaimanapun akibat terkejut dengan serangan tersebut dia pengsan kerana serangan jantung.

"Seorang lagi yang terselamat adalah ahli kumpulan 'tabligh' yang datang berdakwah di sini, dia terselamat kerana ketika itu sedang sujud dan setelah mendengar bunyi tembakan dia meniarap dan berpura-pura mati," katanya.

Serangan tersebut turut menyebabkan imam masjid, Wan Nasir Wan Abdullah, 62, terkorban manakala 12 parah dan dua terselamat.

Kesemua jenazah dikebumikan dalam satu liang lahad kira-kira pukul 11 pagi ini dan tinjauan Utusan Malaysia mendapati perkarangan masjid itu dipenuhi oleh kaum masyarakat Melayu Islam dari tiga daerah yang bergolak itu.

Malah ketika itu, ruang solat masjid berkenaan masih dipenuhi darah dan ia dibersihkan sepenuhnya oleh anggota tentera kira-kira pukul 5 petang ini.

Tinjauan juga mendapati dinding dalam masjid tersebut turut dipenuhi kesan tembakan dan kawalan keselamatan di kampung berkenaan ditingkatkan.

Sumber: Utusan Malaysia

P/S: Salam. Melihat kejadian ini membuatkan ana terkenang kisah jemaah di Masjid al-Aqsa. Peristiwa jemaah yang sedang solat di dalam masjid ditembak mati oleh Zionis berulang di Selatan Thai, tetapi di sini bukan Zionis Israel yang melakukannya. Penduduk tempatan diserang oleh penduduk tempatan juga. Apa lagi yang bakal berlaku selepas ini? Wallahu'alam.


Sunday, June 7, 2009

Semoga Berbahagia Nina Sayang

Salam. Pagi ini, ana ke rumah seorang sahabat. Sahabat lama semasa belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Baru Bintulu. Beberapa minggu lepas, ana berkumpul bersama sahabat-sahabat lama, bercerita tentang alam persekolahan, mengimbas kembali detik-detik manis yang dilalui ketika di sekolah menengah. Masya ALLAH, begitu banyak kenangan yang masih segar di ingatan. Semua kisah tentang sahabat lama keluar pada masa itu. Tidak terkecuali berita-berita baik tentang sahabat-sahabat yang telah berkahwin malah yang bakal memasuki alam perkahwinan.

"Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNYA ialah DIA menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikanNYA di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir." [30:21]

Alhamdulillah, salah seorang sahabat ana baru sahaja melangkah ke alam rumahtangga pagi tadi. Noramalina Binti Rahman, semoga dirimu berbahagia bersama suami tercinta. Sesungguhnya, dirimu dan suami telah menyempurnakan separuh dari agamamu. Jadilah seorang isteri yang solehah, bunga idaman, mutiara syurga. Ana dan sahabat yang lain akan sentiasa mendoakan kesejahteraan dirimu dan keluarga, doakan juga buat kami (tersengih).

Pelamin Nina

Nina dan suami, Nomy.

"Rabbana hablana min azwaajina, wa dzurriyyatina qurrata a'yuniw, waj'alna lil muttaqiena imaamaa."

Maksud: "Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertaqwa." (25:74)

P/S: Nina sayang, kalau kau temui Pemilik Cintaku Setelah ALLAH dan Rasul di sebalik timbunan hadiah yang kau terima pada majlis perkahwinanmu, ketahuilah ia permata berharga buatmu sebagai seorang isteri. :)


Friday, June 5, 2009

Iktiraf Pandangan Mahasiswa

PULAU PINANG 4 Jun - Pandangan mahasiswa secara individu harus diambil kira sebagai langkah untuk memperkasakan sesebuah universiti termasuk membentuk perancangan, keputusan dan dasarnya.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, langkah itu wajar dijadikan alternatif ke arah membentuk satu kehidupan yang lebih baik dan bermanfaat di universiti.

Beliau berkata, setiap pandangan yang disalurkan melalui medium dan pelbagai sumber seperti surat, Internet, e-mel, laman web sosial seperti Facebook dan juga melalui Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan persatuan di peringkat universiti adalah baik.

"Konsep rakan kepemimpinan antara mahasiswa dan pentadbiran universiti perlu dipopularkan di universiti tempatan dengan mengiktiraf semua pendapat tidak kira daripada MPP atau pun individu.

"Melalui konsep itu, semua pihak dapat bekerjasama dalam membuat satu keputusan terbaik dalam merancang aktiviti universiti dan mahasiswa.

"Ia secara tidak langsung dapat memberi manfaat kepada kedua-dua pihak," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Mentor di Pusat NADI, Universiti Sains Malaysia (USM) di sini hari ini.

Program mentor ialah program sokong bantu yang mana seorang kakitangan berpengalaman menjadi perunding dan pembimbing kepada kakitangan universiti, ahli keluarga mereka dan kalangan pelajar yang memerlukan bantuan psiko sosial.

Beliau berkata, sumbangan yang dimainkan oleh suara mahasiswa juga menjadi matlamat utama mengapa Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dipinda.

Sumber: Utusan Malaysia


Thursday, June 4, 2009

Lagi Bukti Saintifik...

Sila klik imej untuk besarkan.



Wednesday, June 3, 2009

Budi Bahasa, Budaya Kita

Malam ini, rumah kami bergegar. Bunyi tapak kaki orang yang berbadan besar sedang menaiki tangga rumah jelas kedengaran. Ana dan adik perempuan ana yang pada mulanya berkumpul di ruang tamu segera bertempiaran lari ke dalam bilik. Tiada ketukan kedengaran di pintu, sebaliknya bunyi tombol pintu yang berkunci dipusing-pusing kedengaran berkali-kali, minta dibuka. Adik bongsu ana memanggil mak. Ana keluar dari bilik dan melihat ke dapur, nampak kelibat mak baru sahaja masuk ke bilik air.

"Mak dalam bilik air, mintak tolong Opie," ana memberitahu adik yang bongsu. Dia menoleh ke arah adik lelaki ana yang sedang berbaring di atas kerusi panjang di depan televisyen.

"Ala, bukak je la." Opie berat hati, berat punggung juga barangkali untuk bangun.

Adik bongsu ana mendengus lalu menuju ke pintu. Kenapalah aku asyik menjadi mangsa keadaan? Mungkin itulah yang sedang bermain di fikirannya tatkala itu. Ana dan seorang adik ana yang berada di dalam bilik hanya dapat mendengar samar-samar sahaja perbualan di antara adik bongsu ana dan tetamu yang tidak diundang itu setelah pintu dibuka. Tidak lama kemudian, pintu rumah ditutup kembali. Adik bongsu ana mencari mak di dapur. Kami keluar dari bilik.

"Mak, dia bagi RM20 je," suara adik bongsu ana tertahan-tahan memberitahu mak. Ana nampak wajah mak yang kelat.

Ana faham kenapa mak berwajah begitu. Tetamu yang tidak diundang itu adalah seorang penghuni rumah sewa mak yang berbangsa Cina. Penyewa itu tinggal di rumah sewa emak seorang diri, bekerja sebagai pemandu 'prebet', iaitu kereta sapu. Sebagai pemandu kereta sapu, sudah tentu hasil pendapatan setiap harinya tidak menentu, sekaligus menjejaskan proses membayar sewa rumah kepada mak. Kadang-kadang RM20, kadang-kadang RM30. Bayaran yang sedikit demi sedikit tetapi bukan setiap hari itu akhirnya menghasilkan hutang terkumpul RM500 lebih. Sudah berbuih mulut mak meminta wang sewa daripadanya, ayah pula hanya mampu bersabar kerana alhamdulillah ayah dikurniakan hati yang lembut.

Bukan tidak pernah kami sekeluarga berbincang tentangnya. Malah kami pernah menyatakan rasa kasihan dengan kehidupan penyewa itu kepada mak. Tentu pembaca juga sangat faham dengan pendapatan sebagai pemandu kereta sapu yang tidak menentu. Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Kalau ramai penumpang hari tu, banyaklah hasilnya. Kalau tak sampai sepuluh orang, bayangkanlah berapa ringgit sahaja yang akan dia dapat. Mana nak mengisi perut lagi, tambahan pula penyewa itu masih belum berkahwin. Amat patut untuk dia menghargai mak yang masih tidak sampai hati untuk menghalaunya keluar.

Tetapi, sekali lagi rumah kami bergegar. Kali ini lebih cepat langkahnya. Seperti biasa ana dan adik ana lari, kali ini ke dapur pula. Tanpa ketukan, pintu yang berkunci cuba dibuka dari luar. Kami memberitahu mak tentang kedatangan penyewa itu. Mak kaget melihat kami yang berlari ke arahnya sebentar tadi. Bertambah-tambah kaget dengan paniknya kami apabila ayah tiada di rumah malam ini (ayah 'outstation' selama seminggu). Mak membuka pintu, kami yang bersembunyi di sebalik dinding mendengar suara cemas penyewa itu. Kedengaran juga suara mak memberitahu tiada sesiapa di rumah yang boleh membantu ketika ini. Aduh, apa pula ni? Ana capai tudung dan keluar menemani mak. Opie yang baru hendak solat Isyak turut keluar dari biliknya.

Rupa-rupanya paip air di bilik mandi rumah sewa telah rosak. Ayah pula tiada untuk melihat-lihat. Hendak harapkan Opie, tiada apa sangat yang boleh dia bantu dalam keadaan seperti ini.

"Tak ada orang ka? Kalau macam tu, ada kayu ka?" tanya penyewa itu.

"Carilah kat bawah tu." Mak menunjuk ke bawah rumah. Sebenarnya rumah sewa itu letaknya di tingkat bawah rumah kami. Penyewa itu menuruni tangga mencari kayu. Ana tanya mak untuk apa kayunya, mak memberitahu mungkin untuk menyumbat buluh paip yang rosak kerana mak tidak membenarkan penyewa itu menutup paip utama ke rumah sewa kerana khuatir akan mengganggu penghuni rumah sewa yang lain.

Setelah mendapatkan sebatang kayu, penyewa itu meminta pisau untuk memotong kayu yang agak panjang tersebut. Adik bongsu ana masuk ke dalam rumah untuk mengambil gergaji. Sebelum sempat adik ana kembali, rumah bergegar kuat lagi. Gegaran kuat itu berpunca daripada tindakan penyewa tersebut cuba mematahkan batang kayu yang dijumpainya dengan menghentaknya ke tangga rumah. Mak ana terkejut, Opie apa lagi, tinggi suaranya menegur penyewa itu. Apabila gergaji sampai, Opie mengambilnya dan turun ke bawah.

Penyewa itu pada mulanya terkejut melihat gergaji di tangan Opie.

"Pisau tak ada? Gergaji untuk apa, boleh gergaji ka kayu ini?" Dia tersengih sendiri.

"Ye lah, takkan nak guna pisau potong kayu tu!" Wah, Opie sangat marah nampaknya. Dia menghulurkan gergaji. Penyewa itu akur lalu memotong kayu tersebut. Setelah berhasil memotongnya, gergaji dikembalikan. Dia kembali ke rumah sewanya, kami pula masuk ke dalam rumah.

"Opie, marahnye?" tanya ana.

"Siapa tak marah, nak runtuh rumah ni dibuatnya. Nak masuk rumah orang, tapi tak pandai nak bagi salam. Kalau tak boleh bagi salam pun, takkan tak reti nak ketuk? Tak pandai nak berbudi bahasa langsung. Nak duduk kat rumah sewa murah, tapi sewa berbulan-bulan tak bayar. Nasib baik mak tu baik hati bagi dia duduk. Kalau macam ni la perangai dia, baik duduk kat bilik hotel kat bandar je."

Ya ALLAH, sekarang siapa yang patut ana kasihankan?


Monday, June 1, 2009

Cinta di Rumah Hasan al-Banna

"Sesungguhnya peletak dasar pergerakan dakwah modern semisal Hasan al-Banna telah memberi contoh bahwa yang merasakan sentuhan pertama nilai pendidikan seorang da'ie, justeru orang terdekatnya. Jika ia seorang ayah, maka isteri dan anaknyalah yang merasakan sentuhan pertama. Demikian pula bila ia adalah seorang ibu."
(Dra. Hj. Wirianingsih)

Salam. Sekadar ingin berkongsi. Buku ini ana beli secara online beberapa hari lepas di http://bukuonline2u.blogspot.com. Alhamdulillah, cepat juga sampai ke rumah. Menarik isinya, tentang seorang Imam Hasan al-Banna yang mempunyai jumlah waktu sehari sama dengan kita, tetapi berjaya sebagai seorang daie dan ketua keluarga.

Imam Hasan al-Banna, seperti yang kita semua sedia tahu, merupakan seorang pendakwah yang mengasas gerakan Ikhwanul Muslimin di Mesir dan mengembangkan sayapnya ke serata dunia. Dikurniakan dengan enam orang anak yang berjaya dalam pelbagai bidang, beliau ternyata seorang yang bijaksana mengatur masa. Tentunya kecemerlangan beliau itu bertitik-mula sejak usia setahun jagung, di mana ayahnya, seorang bekas penuntut Universiti al-Azhar, sangat menekankan pembelajaran ilmu agama dan ayahnya sendiri yang mengajar ilmu agama kepada Imam Hasan al-Banna dan adiknya di rumah.

"Berikan cinta kamu sepenuhnya tanpa henti dan berubah, meskipun pada satu masa anak kamu mungkin tidak menyenangkan kamu." Nasihat Syeikh Abdul Hamid Jasim al-Bilali dalam kitab Funun Tarbiyati al-Abna menjadi panduan Imam Hasan al-Banna dalam mendidik anak-anak. Ternyata sifat lembutnya dalam berbicara tanpa meninggikan suara di rumah, makan sentiasa bersama keluarga, serta memberikan sepenuh perhatian kepada peningkatan usia anak-anak telah melahirkan anak-anak yang patuh tanpa perlu diperintah.

Berjayanya seorang pendakwah dan ketua keluarga turut dibantu oleh tulang belakang yang terpilih untuknya, sebagaimana Imam Hasan al-Banna didampingi oleh isteri yang solehah, Ummu Wafa. Seperti yang ditulis oleh Mohammad Lili Nur Aulia dalam buku tersebut, perilaku Imam Hasan al-Banna di rumah, interaksinya dengan isterinya, hubungannya dengan anak-anaknya, itu semua mewakili persekitaran yang baik dan subur untuk menghidupkan generasi yang soleh.

Ana masih belum habis membacanya, tetapi ana sudah tidak dapat menahan diri untuk berkongsi dengan para pembaca betapa menariknya buku ini. Percayalah, buku ini boleh membantu antum yang ingin terus aktif dalam gerak kerja dakwah tanpa membelakangkan keluarga, mahupun bagi antum yang ingin berkeluarga tanpa membelakangkan gerak kerja dakwah. Ana galakkan, terutamanya MUSLIMIN, agar membaca buku ini.


Novelog Miss Ran: Aku, Dia, dan Paparazzi

Kuntuman Sakura

Blog (167) Blog Review (110) Blogger (57) BM (17) Books (26) Cerpen (14) Cici (41) cinta (34) Dakwah (65) Eh Ustazah (42) gathering (8) iklan (24) Info Sihat (26) Jalan-jalan (47) lirik (22) Motivasi (52) muhasabah (34) Nukilan Jiwa (55) Palestine (21) perkahwinan (38) Puisi (45) Puisi Islamik (15) Ramadhan (21) Review Filem (3) Sakura (33) Tazkirah (87) Tutorial (27) WordlessWednesday (54)
Ini adalah blog peribadi. Sebarang pendapat yang saya nukilkan di sini adalah dari saya sendiri, tidak melibatkan sesiapa kecuali jika saya letakkan nama pemiliknya. Sebarang COPYPASTE dari laman Sunah Suka Sakura dot com adalah dibenarkan dengan syarat dikreditkan ke blog ini. Sama-sama menyebarkan perkara yang bermanfaat. Terima kasih.