BLOG ENCIK SUAMI

Monday, July 20, 2009

Anda Tuli @ Bisu?

"Sesungguhnya makhluk bergerak yang bernyawa yang paling buruk dalam pandangan ALLAH ialah mereka yang tuli & bisu (tidak mendengar dan memahami kebenaran), iaitu orang-orang yang tidak mengerti." (al-Anfal: 22)

Salam mahasiswa, salam perubahan. Hati ana tertarik untuk membincangkan sesuatu yang pasti juga akan menarik minat mahasiswa-mahasiswa lain yang punya rasa bertanggungjawab melaksanakan amanah sebagai seorang hamba kepada ALLAH setelah ana mentaddabur ayat ini semalam. Sebagai hamba kepada ALLAH dan umat Rasulullah S.A.W, kita diseru untuk melaksanakan amar makruf nahi munkar, di mana kita dituntut untuk menyeru ke arah kebaikan dan menentang kemungkaran. "Amar makruf nahi munkar" disebut sekaligus; bukan "amar makruf" sahaja mahupun "nahi munkar" sahaja; membawa maksud menyeru kepada kebaikan hendaklah seiring dengan menentang kemungkaran. Contohnya, dalam kita mengadakan konsert amal untuk membantu anak-anak yatim, kita tidak seharusnya terlupa untuk menjauhkan kemungkaran semasa konsert dijalankan. Membantu anak-anak yatim adalah salah satu amalan kebaikan, tetapi jika penyanyi yang diundang untuk membuat persembahan semasa konsert tidak menutup aurat, percampuran lelaki perempuan tidak terbatas, dan segala kemungkaran lain tidak dibendung, tidak terlaksanalah amar makruf nahi munkarnya. Oleh sebab itu, setiap tindakan yang kita lakukan hendaklah dinilai sedalam-dalamnya dan sentiasa muhasabah diri serta memohon keampunan daripada ALLAH atas setiap detik kealpaan yang dilalui.

Untuk melaksanakan amar makruf nahi munkar, kita pasti akan bertemu dengan pelbagai jenis orang. Alhamdulillah sekiranya ada golongan yang istiqamah mengadakan majlis-majlis ilmu untuk mengajak orang lain ke arah kebaikan dan menjauhi kemungkaran, tetapi bagaimana dengan sambutan majlis-majlis seperti ini dikalangan mahasiswa? Berapa ramai yang terbuka hatinya untuk menyedut segala ilmu pengetahuan yang tidak mungkin akan didapati di dalam bilik kuliah dan sanggup melepaskan sebentar buku pelajaran dan katil empuk demi membasahkan hati yang dahagakan santapan rohani? Tidak banyak kalau dibandingkan dengan konsert Jom Heboh di Danga Bay yang begitu cemerlang menarik perhatian orang ramai termasuk mahasiswa.

Bukan itu sahaja, mahasiswa yang menegur sepasang kekasih yang sedang berdua-duaan menghampiri jam 12 malam di pondok-pondok sekitar kolej, contohnya; belum tentu akan berhasil memastikan pasangan itu beredar. Nasibnya baik sekiranya mereka mahu menerima teguran dan menyedari kesilapan, tetapi jika pasangan yang ditegur tidak mahu mendengar kata, panjang pula ceritanya. Begitu juga apabila berhadapan dengan penganjur Battle of the Band yang sudah pasti melanggar Dasar Kebudayaan dan Kesenian UTM atas segala kebisingan yang dicetuskan (salah satu daripada dasar), belum tentu penganjur tersebut mengakui kesilapan diri dan menerima hakikat bahawa apa yang dilakukannya itu telah melanggar dasar kampus. Ana tambah lagi dengan isu bonceng antara bukan muhrim. Dalam rentetan waktu UTM INGIN dijadikan sebagai zon larangan membonceng antara bukan muhrim, pasti ramai lagi jenis orang yang akan ditemui, mungkin ada yang menyokong, tidak kurang juga yang akan membantah. Yang menyokong, mungkin kerana mereka mengerti, tetapi bagi yang membantah, pasti rasa tidak puas hati. Selepas ini, tidak dapatlah berkepit ke sana ke mari.

Ana, antum, kita, dan mereka; tergolong dalam pihak yang bagaimana? Mahu memahami kebenaran? Mahu menerima teguran? Yang respon atau yang bisu? Atau yang tidak mahu menerima hakikat kesilapan?

"Sekiranya ALLAH mengetahui ada kebaikan pada mereka, nescaya DIA jadikan mereka boleh mendengar. Dan jika ALLAH menjadikan mereka dapat mendengar, nescaya mereka berpaling, sedang mereka memalingkan diri." (al-Anfal: 23)

Hakikat yang sebenarnya adalah mereka mengetahui kebenaran, tetapi mereka tetap ingkar kerana butanya hati. Berhadapan dengan orang seperti ini memerlukan kita thabat dalam perjuangan tanpa putus asa untuk memimpin mereka ke arah kebenaran yang hakiki. Ya, ana juga tahu perjuangan itu bukan mudah, tetapi ketahuilah, tiada satu-satu perjuangan itu begitu mudah kerana yang mudah dicapai itu pasti ada yang tidak kena padanya.

"Wahai orang-orang yang beriman! Penuhilah seruan ALLAH dan Rasul, apabila dia menyerumu ke arah sesuatu yang memberi kehidupan kepadamu, dan ketahuilah bahawa sesungguhnya ALLAH membatasi antara manusia dan hatinya dan sesungguhnya kepadaNYAlah kamu akan dikumpulkan." (al-Anfal: 24)

Fastaqim kama umirt!


Friday, July 17, 2009

Jalan-Jalan Bersama NC UTM



Wednesday, July 15, 2009

Muslimah Engineer: Aku Minah Culture Shock?


Salam. Artikel menarik buat muslimah yang berkecimpung dalam bidang kejuruteraan di luar sana.

Sumber: Hafsah Mardhiah

Aku minah culture shock? Persoalan yang agak kontroversi untuk diri sendiri menjawabnya. Bermula kisahnya apabila seorang kawan saya singgah di Bintulu. Untuk meraikan kedatangannya di sini, saya pun membawanya keluar makan bersama. Kebetulan semasa keluar, teman lelakinya telefon. Maka diberitahu oleh kawan saya tersebut, bahawa dia bersama saya, Hafsah.

Diceritakan, terpacullah daripada mulut teman lelakinya itu "Owh, Hafsah.. minah culture shock tu??!!"

Semasa mendengar tu, hati rasa terbakar juga. Geram yang amat. Pakaian saya sekarang bukannya tidak menutup aurat. Saya masih menjaga aurat saya. Masih memakai tudung besar, baju labuh, stoking dan sarung lengan. Tapi mungkin penampilan saya sekarang agak berubah berbanding di UTP dulu.

Tudung labuh

Saya masih ingat, saya mula memakai tudung labuh, atau lebih dikenali 'tudung bulat' semasa mula bersekolah di Maahad Muhammadi Lilbanat. Mulanya saya hanya pakai di sekolah, kerana wajib. Tapi bila menginjak ke Tingkatan 4 dan 5, saya mula menyukainya dan memakainya ke mana-mana. Malah bermula dari situ, saya seboleh mungkin akan memakai tudung bulat ke mana-mana sahaja seolah-olah telah difatwakan kewajipan ke atas diri saya.

Sehinggalah saya masuk ke UTP pun, saya masih memakai tudung bulat. Seingat saya, dalam batch saya, hanya saya seorang yang memakai tudung bulat ketika itu. (Selepas masuk batch July 04, dak matriks, maka bertambah lagi seorang, Kak ira)

Penampilan mula berubah

Penampilan saya mula agak berubah sejak saya ke praktikal. Di situ segala prinsip sangat teruji. Tambah-tambah lagi saya berpraktikal di KLCC, tempat high standard yang semua orang pastinya akan menjaga penampilan diri. Selepas ditegur beberapa kali oleh bos saya, saya mula prihatin pada penampilan.

"Hafsah, you have to be presentable at all time."

Macam-macam lagi teguran Kak Rin, bos saya di TSE, PDB yang sekarang berada di UK.

Atas faktor kerja juga yang memerlukan saya mengubah penampilan saya. Semasa berpraktikal di KLCC, saya banyak outstation ke merata Malaysia. Ada attachment ke plant, turun site ke kuari, bengkel dan banyak lagi tempat yang memerlukan saya memakai seluar dan bertudung lebih kemas, sesuai dengan keadaan dan atas faktor keselamatan.

Jurutera PETRONAS, MLNG

Dalam etika kerja saya sebagai jurutera proses, tidak membenarkan saya untuk memakai baju kurung mahupun jubah ke tempat kerja. Saya perlu sentiasa bersedia (mungkin on call ke plant) berpakaian seluar, dengan kemeja uniform ataupun coverall sahaja. Dalam situasi sedemikian, menuntut saya untuk mengubah penampilan saya daripada kampus dahulu.

Jika dahulu di UTP saya lebih senang memakai baju kurung atau jubah berserta tudung bulat walau ke mana sahaja. Tapi di arena pekerjaan, sebagai seorang jurutera, tidak memungkinkan saya untuk berpakaian sebegitu lagi. Perlu berseluar dan bertudung lebih kemas.

Bermula di praktikal, hingga kini, saya sudah mula lebih menitik beratkan soal penampilan. Pemakaian juga penjagaan muka dan kesihatan. Bukan sahaja perlu 'look presentable' kerana kerjaya, tapi apabila difikirkan, menjaga penampilan perlu untuk mengelak fitnah. Menjaga imej seorang muslimah yang membawa Islam. (haha..kadang-kadang memang selekeh juga.. tapi at least better daripada dulu)

Polisi diri

Dahulunya saya seorang yang amat rigid dalam berpakaian. Hanya tudung bulat sahaja walau ke mana-mana. Kalau tidak baju kurung, saya akan memakai jubah ataupun jubah seluar. Itulah fatwa yang saya telah tetapkan untuk diri saya. By hook or by crook..

Kini dengan situasi dan waqi' kerja saya, polisi diri saya lebih terbuka. Selagi menutup aurat, pakailah apa sahaja. Dalam situasi semasa masyarakat yang lebih senang membuka aurat dan berfikiran jauh menyimpang daripada Islam, maka saya berpendapat penampilan kita juga perlulah lebih approachable. Penampilan bukan sahaja daripada segi pemakaian, malah yang lebih penting lagi interaksi kita sesama masyarakat.

Bagaimana masyarakat sebegitu mahu mendekati kita, jika kita terlalu tertutup penampilan dan juga pergaulan? Bagaimana mesej dakwah mahu tersebar jika kita hanya bergaul sesama sendiri,malah berpakaian gelap dan kelabu sahaja? Peranan kitalah sebagai seorang yang melabelkan diri sebagai penggerak gerakan Islam, untuk merapatkan jurang Islamofobia yang tercipta selepas peristiwa 11 September.

Ustazah Nuridah yang saya kagumi, masih boleh bertudung bulat, berjubah ke mana sahaja, malah ke parlimen. Tapi dengan pendekatan diri yang mudah didekati, dia disenangi sesiapa.

Saya juga mengagumi Senator Mumtaz, yang petah berhujah. Walaupun dia tidak bertudung bulat seperti ustazah Nuridah, tapi dia tetap seorang pejuang Islam yang hebat.

Kesimpulannnya, saya berpegang, pakailah apa sahaja asalkan menutup aurat. Bergaullah dengan sesiapa, perempuan mahupun lelaki, asalkan tidak melampaui batas syariat. Yang paling penting, jaga imej dan penampilan untuk mengelak fitnah. Bersikaplah lebih terbuka, dan mudah didekati, supaya Islam lebih mudah diterima.

Jika mampu berpakaian lebih baik (tudung bulat/jubah/baju kurung), jika sesuai dengan waqi' anda, maka itu lebih dialu-alukan. Asalkan anda masih berpegang dengan polisi mudah didekati oleh semua.

Wallahu'alam..

(renungan dan peringatan untuk diri sendiri)

P/S: ISLAM IS SIMPLE...


Friday, July 10, 2009

Selamat Tinggal...

Salam. 2 hari lepas, ana berpeluang ke satu tempat bersama supervisor ana, Mr. Liew dan Tn. Hj. Mahli. Gambar-gambar di bawah ini adalah antara yang ana ambil ketika berada di situ.

3 buah televisyen yang memaparkan tiga rangkaian televisyen utama negara

Encik Saidi sedang menerangkan sesuatu kepada Mr. Liew berkenaan FM Radio milik RTM

RTM TV1

Hak milik RTM

Hak milik TV3

Sebentar, berhenti berfikir bahawa ana sedang mengikuti latihan industri di RTM, Media Prima, mahupun ASTRO. Jangan lupa bahawa ana sebenarnya masih di TM Bintulu. Gambar-gambar tersebut sebenarnya diambil ketika ana melawat Stesyen TM Bukit Nyabau. Tempat inilah sepatutnya ana lawat ketika di TOMA, tetapi tidak berpeluang langsung untuk pergi. Terima kasih kepada Mr. Liew yang bermurah hati membawa ana hingga 'hujung dunia' setelah ana ajak-ajak ayam sehari sebelumnya. Di sini juga letaknya pencawang TM yang mencakar langit (tak tercakar pun sebenarnya).

Ana percaya gambar ini akan menjadi lebih menarik jika penjuru bangunan ini tidak cuba 'mempublisitikan diri', kan En Puad? Kan Shikin?

Penjuru bangunan itu tidak bersalah sebenarnya, ana yang tiba-tiba mengambil gambar pencawang di saat-saat akhir. Ana sedikit hampa juga kerana tidak berpeluang untuk memanjatnya ketika itu (Niza Meow, enti sangat beruntung!).

Hari ini merupakan hari terakhir ana menjalani latihan industri di TM Bintulu. Baru 3 jam tadi ana menanggalkan kad nama PELATIH dan berjumpa dengan staf-staf TM yang masih belum pulang di RNO Tg. Kidurong dan TM di Jalan Law Gek Soon.

Terima kasih kepada Mr. Liew, Tn. Hj. Mahli, Mr. James, Madam Uyang, Cik Nurfarizan, Mr. Albert, Mr. Lim, Mr. Tan & Tan, En. Yusop, En. Awang, Mr. Armysan, En. Kamal, Madam Boon, Madam Florence, Mr. Carlvin, En. Kassim, En. Ismail, En. Nizam, Pn. Lamiah dan yang lainnya yang tidak tertera namanya di sini (kerana antum begitu ramai!!! Hehe) atas segala perkongsian sepanjang ana berada di RNO. 3 minggu bersama kalian telah banyak memberi ilmu teknikal yang berguna; dan memutikkan rasa kasih yang menyimpulkan satu ikatan bernama silaturrahim.

Ana dan Madam Uyang

Hampir menitis juga air mata ana ketika menyatakan rasa berat di hati untuk meninggalkan TM Bintulu kepada Madam Uyang petang tadi. Madam pun rupa-rupanya berkongsi perasaan yang sama memandangkan bekas pelatih yang duduk di mejanya inilah yang selalu menemaninya di pejabat ketika staf-staf lain keluar (T_T). Kesian madam, berseorangan lagilah madam setelah ana kembali ke kampus, ana harap kedatangan penolong pengurus yang baru akan menghilangkan rasa sunyi madam nanti.

Pada waktu tengahari, ana dan Madam Uyang berkunjung ke TM Point untuk berjumpa dengan En. Olek. Mr. Jostin dan Madam Annie turut berada di situ. Selepas jam 5 petang, sempat juga ana singgah di TM Jalan Law Gek Soon sebelum En. Saiful menghantar ana pulang ke rumah. Akan tetapi, ana tidak sempat bertemu dengan warga TOMA kerana mereka telah pun meninggalkan pejabat. Apa-apapun, terima kasih kepada semua warga TM Bintulu atas segala kerjasama yang diberikan sepanjang ana mengikuti latihan industri di situ. Percayalah, ia pengalaman berharga yang akan ana ingat sampai bila-bila.

Selamat tinggal TM

Apa yang ana maksudkan ialah, "Selamat Tinggal dan Jumpa Lagi, Insya'ALLAH..."

Ini bukan pengakhiran, segalanya baru bermula.


Thursday, July 9, 2009

Alahai PPSMI


Salam. Hari ini ana mendengar dan membaca banyak pandangan mengenai PPSMI. Pagi tadi sahaja ana mendengar di radio mengenai berita ini. Seperti yang tertera di dada-dada akhbar dan di blog-blog, mata pelajaran Sains dan Matematik hanya akan kembali diajar dalam Bahasa Melayu di sekolah-sekolah kerajaan dan bahasa ibunda di sekolah-sekolah jenis kerajaan pada tahun 2012. Kenapa 2012? Kenapa bukan 2010? Jawapan kepada persoalan itu seperti yang diutarakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam akhbar Utusan Malaysia:

"... Justeru untuk memastikan pemansuhan itu tidak menjejaskan pencapaian murid yang sedang mengikuti PPSMI, pengajaran dan peperiksaan untuk kedua-dua mata pelajaran itu akan dibuat dalam dwi bahasa sehingga kohort terakhir PPSMI tamat pada 2014.

"Pelaksanaan (sepenuhnya dalam bahasa Melayu) akan dibuat secara bertahap di tahun satu dan tahun empat di sekolah rendah dan tingkatan satu dan empat di sekolah menengah bermula pada 2012..."

Keputusan yang telah dibuat ini mendapat pelbagai respon daripada semua pihak. Ada yang menyokong, tidak kurang juga yang membantah. Salah seorang penulis terkenal tanah air menyatakan pandangan di dalam blognya:

"...Polisi dan dasar comot ini sungguh memualkan kerana setiap kali saya ke sekolah-sekolah untuk memenuhi undangan memberi ceramah KOMSAS (cerpen Kerana Manisnya Epal tersisip dalam KOMSAS) saya tidak pernah mendengar kata-kata yang baik tentang PPSMI. Ia bukan sahaja menyusahkan para pelajar, ia malah menimbulkan pergeseran yang serius antara guru-guru (siapa tidak iri hati dengan elaun dan komputer riba 'yang selalu hilang tetapi tidak dilaporkan itu?').

Ketika Pesta Buku Kuala Lumpur baru ini, dari lebih lima puluh guru yang datang berkunjung ke gerai Ameen dan berbual-bual dengan saya, hanya seorang guru (yang tidak silap saya dari Cheras) memberitahu dasar PPSMI amat baik buat para pelajarnya (menurut teman saya yang duduk di sisi waktu itu, mungkin guru ini gembira dengan elaun dan komputer riba). Sebahagian besar guru yang saya temui baik ketika saya merakyat turun padang ke sekolah-sekolah mahupun yang saya temui di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur tersebut - menolak total dasar ini..." - Faisal Tehrani

Tun Dr. Mahathir menyuarakan pendapatnya di blog rasmi beliau:

"...I am not surprised over the disappointment and even anger towards the Government's decision on the teaching of Maths and Science.

Seems to me like the Government is not listening to the voice of the people.

Perhaps a blog poll might enlighten the Government as to the opinions of the people..." - Che Det

Seorang mahasiswa UTM pula berpandangan:

"...Apakah kerajaan yang dibentuk dikalangan cerdik pandai, hanya mampu menggubal suatu dasar ‘try and error’ terhadap satu generasi yang di dalamnya begitu banyak keraguan terhadap keberkesanan dasar yang digubal? Dan terbukti hari ini dasar yang dibentuk bukan sahaja tidak mengangkat martabat generasi muda hari ini, malah meng’kubur’kan lagi masa depan anak-anak terutama di kalangan Melayu luarbandar..." - Amin Hamami

Malah, sasterawan negara, Dato' A. Samad Said, menyatakan:

"...Apa yang diumumkan oleh Muhyiddin itu hanya menangguhkan pemansuhan PPSMI bukan memansuhkannya terus.

"Jika benar mansuhkan, sepatutnya tahun depan semua pelajar tahun satu, tingkatan satu dan tingkatan empat sudah mula belajar Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu.

"Alasan mengatakan untuk mansuhkan perlu ambil masa tidak logik kerana ketika Perdana Menteri keempat dahulu mahu laksanakan hanya boleh ambil masa enam bulan, kenapa Perdana Menteri keenam perlu ambil masa tiga tahun untuk mansuhkan?..." - Harakah Daily

Seorang sahabat ana menyatakan di dalam blognya:

"...***tahniah kepada pejuang2 bahasa... mereka yang telah banyak berusaha ke arah kesedaran ini dan mereka yang turun berdemo untuk menjayakan pemansuhan PPSMI... diharap selepas ini tiada lagi eksperiment pelik yang dilakukan ke atas pelajar2 sekolah. kesian diorrang =)..." - Maslinda Supandi

Walau apapun pandangan pelbagai pihak, alhamdulillah. Usaha antum telah menghasilkan keputusan ini biarpun mengambil masa 3 tahun lagi. Pada mulanya, ana adalah antara yang menyokong PPSMI (semenjak sebelum ia dilancarkan dan difikirkan oleh kerajaan) kerana memang pengajaran dan pembelajaran dua subjek ini dalam Bahasa Inggeris boleh membantu meningkatkan kemahiran berbahasa Inggeris di kalangan pelajar seawal usia memandangkan keperluannya di peringkat lebih tinggi dan juga di alam pekerjaan.

Akan tetapi, apabila mengenang nasib pelajar sekolah rendah yang masih baru belajar Bahasa Melayu diwajibkan belajar Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris, sokongan itu semakin lama semakin punah kerana bukan sedikit pelajar sekolah rendah yang tidak dapat menjawab soalan matematik berbahasa Inggeris sedangkan jika diterjemahkan dalam Bahasa Melayu, mereka boleh menjawabnya. Mungkin bagi pelajar sekolah menengah, PPSMI itu relevan, tetapi untuk adik-adik terutamanya yang belajar di luar bandar dengan kekurangan guru, ABM, dan segalanya yang lebih di bandar, lupakan sahaja hasrat itu. Pada pandangan ana, sepatutnya kerajaan lebih menumpukan kepada menaiktaraf khidmat pendidikan bagi mereka ini dahulu sebelum berfikir untuk menaiktaraf bahasa (ana dengar guru Bahasa Inggeris akan ditambah, permulaan yang baik).

Adik-adik, lepas ni belajar rajin-rajin ye. Hargailah semua orang yang telah bertungkus-lumus untuk membantu antum.


Friday, July 3, 2009

Saya Bukan Kafir

Sumber: myMetro


MUAR: Kelunakan bilal memperdengarkan azan setiap pagi di surau berhampiran rumah selama 20 tahun membuka pintu hati seorang wanita untuk memeluk Islam.

Biarpun tidak mengetahui maksud di sebalik seruan solat itu, Lina Poh Abdullah, 62, sering bangun jam 4 pagi semata-mata untuk mendengar azan sebelum terpaut menjalani kehidupan sebagai orang Islam seperti kebanyakan penduduk di kampungnya.

Akhirnya pada 2006, dia memeluk Islam bersendirian manakala bekas suami dan empat anak masih menganut agama asal.

Bagaimanapun, dia yang baru bernikah dengan lelaki lain hampir dua bulan lalu kesal berikutan dihina, malah dituduh kafir apabila menegur perbuatan sekumpulan remaja supaya tidak melepak dan membuat bising berhampiran rumahnya.

“Saya pantang orang tuduh saya kafir sedangkan mereka tidak tahu banyak pengorbanan terpaksa dilalui orang seperti saya untuk memeluk Islam,” kata Lina yang menjadi mangsa penghinaan ‘kutu tembok’ di sini.

Menurutnya, pengalaman pahit itu bermula sejak 2007 apabila sekumpulan remaja sering mengeluarkan kata-kata yang menyentuh hatinya sebagai seorang Islam selepas tidak berpuas hati dengan tindakannya menegur tabiat buruk mereka.

Paling menyedihkan, dalam kejadian terbaru Jun lalu, beberapa remaja tergamak menyuruhnya keluar Islam.

Malah, katanya, dia turut dicerca supaya tidak mengerjakan solat lima waktu selain tidak perlu berulang-alik ke masjid dan surau serta membuka tudung dipakainya sejak memeluk Islam.

“Apa salah saya sehingga sanggup menyuruh berbuat demikian serta menuduh saya kafir selain mengugut membunuh saya.

“Saya menangis semalaman kerana tidak tahan diperlakukan sedemikian dan tidak lena tidur. Saya benar-benar sedih dan kecewa...kerana terlalu sedih, saya buka tudung selama tiga hari, hujung bulan lalu.

“Saya rasa bersalah, tapi kerana terlalu sedih saya ikutkan hati, tetapi memakai semula selepas dinasihatkan seorang kenalan yang bertugas sebagai anggota polis,” kata Lina yang menjaga dua cucunya yang bukan Islam pada hari kerja, manakala hujung minggu pulang ke Pagoh untuk bersama suami.

Lebih mengecewakan, kata wanita itu, anaknya yang bukan Islam turut menjadi mangsa apabila keretanya di depan rumah pernah dicalar beberapa bulan lalu.

Apabila masalah itu diajukan kepada pemimpin masyarakat, dakwa Lina, dia diminta berpindah jika tidak boleh menerima suasana kejiranan di situ.

Katanya, dia terpaksa membuat pengorbanan besar apabila mengambil masa 20 tahun sebelum tercapai impian memeluk Islam.

“Ketika mahu memeluk Islam, anak masih kecil dan saya tidak mahu apabila mereka besar dipersalahkan kerana memaksa mereka menukar agama,” katanya.

Disebabkan bimbang keselamatannya, Lina sudah beberapa kali membuat aduan di Balai Polis Muar dan terbaru pada 22 Jun lalu.

Sementara itu, Mufti Johor, Datuk Mohd Tahrir Shamsuddin, berkata umat Islam perlu sentiasa bersangka baik dengan saudara baru bukan dengan mencaci dan menghina mereka.

Katanya, kehadiran saudara baru perlu diterima secara terbuka dengan sentiasa diberi sokongan sebaik mungkin supaya menjadi mukmin sejati.

“Jurang pemisah atau sempadan antara saudara baru dengan umat Islam asal tidak seharusnya wujud kerana dalam agama akidah yang menyatukan kita. Kehadiran mereka menambah lagi kekukuhan Islam,” katanya.

P/S: Entah apa nak jadi kepada umat Islam akhir zaman. Beginikah caranya kita menyambut saudara baru? Tindakan orang-orang seperti inilah yang akan mendatangkan fitnah kepada Islam dan penganutnya. Sedarlah, kadang-kadang muallaf lebih memahami Islam daripada orang yang sedia Muslim kerana mereka yang lebih banyak mencari dan mendalaminya. Kalau tidak, mana mungkin untuk mereka memilih Islam melainkan kerana perkahwinan semata-mata. Wallahu'alam.


Wednesday, July 1, 2009

Maaf, Lama Tak Update...

Salam. Ana tak tahu kenapa, akhir-akhir ini ana ditimpa satu ujian yang agak hebat. Ujian kemalasan untuk menulis di blog. Sudah agak lama ana tidak mengemaskini blog ini. Ana ucapkan maaf kepada para pembaca yang berkunjung ke blog dan mendapati tiada 'update'. Kebuntuan idea tidak juga, cuma kadang-kadang idea yang datang dibiarkan berlalu pergi hingga terlalu basi untuk diputar semula ke alam maya. Yang sudah basi biarlah terus berada di aras terbawah dalam kotak fikir melainkan jika ada yang ingin ana 'masak' semula (mengarut je...)

Alhamdulillah, tinggal seminggu lebih lagi latihan industri yang bakal ana lalui. Seperti beberapa sahabat yang lain, ana juga rasa keberatan untuk meninggalkan industri, rasa sayang sudah tertanam di dalam hati terhadap bidang yang diceburi. Memang menarik pengalaman yang diperolehi ketika latihan, tidak kurang pelbagai ilmu berharga yang 'ditemui' tatkala membaca maklumat Webstars dan memeriksa kabinet. Ana percaya sahabat-sahabat lain juga begitu. Ana masih ingat ketika pensyarah fakulti ana datang melawat minggu lepas, pelbagai soalan ditanya merangkumi latihan industri juga hal-hal mengenai Bintulu, Sarawak. Paling tidak dapat ana lupakan, pensyarah tersebut yang juga felo kolej ana sempat bertanya, "Tak pergi kem?"

Ana terkejut dan hairan. "Kem apa, Dr.?"

"Kem Pemantapan. Awak LI, tak dapatlah pergi," katanya.

"Eh, saya bukan JKM lagi, Dr.." Beliau terkejut lalu memandang wajah ana.

"Eh, awak MT kelab ke?"

"Tak."

"Jadi, awak 'ape' ye?" Beliau kelihatan seperti cuba mengingati sesuatu.

"Saya...MPM, Dr.."

"Oh, MPP. Sama dengan Azim dan Hafiz tu eh." Ana mengiyakan sebelum kami sama-sama keluar dari pejabat ana untuk menghantarnya ke teksi yang menunggu.

Apa yang menyentuh hati ana bukanlah kerana dia tidak ingat ana sebagai MPM, tetapi kerana beliau masih ingat wajah ana sebagai ahli JKM yang selalu muncul dalam aktiviti-aktiviti kolej. Rindu pula ana untuk bersama-sama sahabat-sahabat JKM yang lain.

Beberapa minit lalu. ana baru sahaja berkunjung ke blog salah seorang sahabat MPM. Terkejut ana membaca entry mengenai salah seorang sahabat MPM yang terlibat dalam kemalangan semasa berkhidmat sebagai Krew Minggu Haluan Siswa baru-baru ini. Semoga sahabat MPM itu baik-baik sahaja. Kemalangan yang semakin banyak berlaku di sekitar UTM mengingatkan ana kepada kemalangan yang menimpa diri ana sendiri sehari sebelum Hari Penamaan Calon MPM Januari lalu. Kesan kemalangan itu masih ana alami hingga sekarang, dari segi kecederaan fizikal dan juga 'kecederaan emosi'. Nasihat ana kepada mahasiswa UTM, berhati-hatilah membawa kenderaan (juga kepada yang tidak membawa kenderaan - pejalan kaki) biarpun hanya di dalam kampus kerana kemalangan boleh terjadi di mana-mana sahaja antum berada. ALLAH Maha Berkuasa untuk menentukan sesuatu kejadian. Wallahu'alam.

P/S: Sekadar perkongsian untuk pembaca tatkala penyakit Selsema Babi Influenza A (H1N1) sedang menular.



Novelog Miss Ran: Aku, Dia, dan Paparazzi

Kuntuman Sakura

Blog (167) Blog Review (110) Blogger (57) BM (17) Books (26) Cerpen (14) Cici (41) cinta (34) Dakwah (65) Eh Ustazah (42) gathering (8) iklan (24) Info Sihat (26) Jalan-jalan (46) lirik (22) Motivasi (52) muhasabah (34) Nukilan Jiwa (55) Palestine (21) perkahwinan (38) Puisi (45) Puisi Islamik (15) Ramadhan (21) Review Filem (3) Sakura (33) Tazkirah (87) Tutorial (27) WordlessWednesday (54)
Ini adalah blog peribadi. Sebarang pendapat yang saya nukilkan di sini adalah dari saya sendiri, tidak melibatkan sesiapa kecuali jika saya letakkan nama pemiliknya. Sebarang COPYPASTE dari laman Sunah Suka Sakura dot com adalah dibenarkan dengan syarat dikreditkan ke blog ini. Sama-sama menyebarkan perkara yang bermanfaat. Terima kasih.