BLOG ENCIK SUAMI

Friday, July 3, 2009

Saya Bukan Kafir

Sumber: myMetro


MUAR: Kelunakan bilal memperdengarkan azan setiap pagi di surau berhampiran rumah selama 20 tahun membuka pintu hati seorang wanita untuk memeluk Islam.

Biarpun tidak mengetahui maksud di sebalik seruan solat itu, Lina Poh Abdullah, 62, sering bangun jam 4 pagi semata-mata untuk mendengar azan sebelum terpaut menjalani kehidupan sebagai orang Islam seperti kebanyakan penduduk di kampungnya.

Akhirnya pada 2006, dia memeluk Islam bersendirian manakala bekas suami dan empat anak masih menganut agama asal.

Bagaimanapun, dia yang baru bernikah dengan lelaki lain hampir dua bulan lalu kesal berikutan dihina, malah dituduh kafir apabila menegur perbuatan sekumpulan remaja supaya tidak melepak dan membuat bising berhampiran rumahnya.

“Saya pantang orang tuduh saya kafir sedangkan mereka tidak tahu banyak pengorbanan terpaksa dilalui orang seperti saya untuk memeluk Islam,” kata Lina yang menjadi mangsa penghinaan ‘kutu tembok’ di sini.

Menurutnya, pengalaman pahit itu bermula sejak 2007 apabila sekumpulan remaja sering mengeluarkan kata-kata yang menyentuh hatinya sebagai seorang Islam selepas tidak berpuas hati dengan tindakannya menegur tabiat buruk mereka.

Paling menyedihkan, dalam kejadian terbaru Jun lalu, beberapa remaja tergamak menyuruhnya keluar Islam.

Malah, katanya, dia turut dicerca supaya tidak mengerjakan solat lima waktu selain tidak perlu berulang-alik ke masjid dan surau serta membuka tudung dipakainya sejak memeluk Islam.

“Apa salah saya sehingga sanggup menyuruh berbuat demikian serta menuduh saya kafir selain mengugut membunuh saya.

“Saya menangis semalaman kerana tidak tahan diperlakukan sedemikian dan tidak lena tidur. Saya benar-benar sedih dan kecewa...kerana terlalu sedih, saya buka tudung selama tiga hari, hujung bulan lalu.

“Saya rasa bersalah, tapi kerana terlalu sedih saya ikutkan hati, tetapi memakai semula selepas dinasihatkan seorang kenalan yang bertugas sebagai anggota polis,” kata Lina yang menjaga dua cucunya yang bukan Islam pada hari kerja, manakala hujung minggu pulang ke Pagoh untuk bersama suami.

Lebih mengecewakan, kata wanita itu, anaknya yang bukan Islam turut menjadi mangsa apabila keretanya di depan rumah pernah dicalar beberapa bulan lalu.

Apabila masalah itu diajukan kepada pemimpin masyarakat, dakwa Lina, dia diminta berpindah jika tidak boleh menerima suasana kejiranan di situ.

Katanya, dia terpaksa membuat pengorbanan besar apabila mengambil masa 20 tahun sebelum tercapai impian memeluk Islam.

“Ketika mahu memeluk Islam, anak masih kecil dan saya tidak mahu apabila mereka besar dipersalahkan kerana memaksa mereka menukar agama,” katanya.

Disebabkan bimbang keselamatannya, Lina sudah beberapa kali membuat aduan di Balai Polis Muar dan terbaru pada 22 Jun lalu.

Sementara itu, Mufti Johor, Datuk Mohd Tahrir Shamsuddin, berkata umat Islam perlu sentiasa bersangka baik dengan saudara baru bukan dengan mencaci dan menghina mereka.

Katanya, kehadiran saudara baru perlu diterima secara terbuka dengan sentiasa diberi sokongan sebaik mungkin supaya menjadi mukmin sejati.

“Jurang pemisah atau sempadan antara saudara baru dengan umat Islam asal tidak seharusnya wujud kerana dalam agama akidah yang menyatukan kita. Kehadiran mereka menambah lagi kekukuhan Islam,” katanya.

P/S: Entah apa nak jadi kepada umat Islam akhir zaman. Beginikah caranya kita menyambut saudara baru? Tindakan orang-orang seperti inilah yang akan mendatangkan fitnah kepada Islam dan penganutnya. Sedarlah, kadang-kadang muallaf lebih memahami Islam daripada orang yang sedia Muslim kerana mereka yang lebih banyak mencari dan mendalaminya. Kalau tidak, mana mungkin untuk mereka memilih Islam melainkan kerana perkahwinan semata-mata. Wallahu'alam.


No comments:

Novelog Miss Ran: Aku, Dia, dan Paparazzi

Kuntuman Sakura

Blog (167) Blog Review (110) Blogger (57) BM (17) Books (26) Cerpen (14) Cici (41) cinta (34) Dakwah (65) Eh Ustazah (42) gathering (8) iklan (24) Info Sihat (26) Jalan-jalan (47) lirik (22) Motivasi (52) muhasabah (34) Nukilan Jiwa (55) Palestine (21) perkahwinan (38) Puisi (45) Puisi Islamik (15) Ramadhan (21) Review Filem (3) Sakura (33) Tazkirah (87) Tutorial (27) WordlessWednesday (54)
Ini adalah blog peribadi. Sebarang pendapat yang saya nukilkan di sini adalah dari saya sendiri, tidak melibatkan sesiapa kecuali jika saya letakkan nama pemiliknya. Sebarang COPYPASTE dari laman Sunah Suka Sakura dot com adalah dibenarkan dengan syarat dikreditkan ke blog ini. Sama-sama menyebarkan perkara yang bermanfaat. Terima kasih.