BLOG ENCIK SUAMI

Saturday, August 29, 2009

MPP: Bukan Evo-M dan bukan Pro-M?

Salam mahasiswa. Hari ini tanggal 29 Ogos 2009, bukan Hari Kemerdekaan. Hari ini sudah masuk 8 hari kita berpuasa di bulan Ramadhan, dan sepatutnya hari ini hari kedua MPP UTM menyampaikan tazkirah di kolej-kolej mengikut jadual yang ditetapkan.

Semalam, untuk sesi road tour di Kolej Rahman Putra (KRP), Presiden yang sepatutnya memberi tazkirah telah balik ke rumah. Ana yang mengatur jadual mula mencari pengganti. Naib Presiden Fakulti dihubungi, malangnya dia berada di Terengganu lalu dia mencadangkan salah seorang Exco Kebajikan untuk menggantikan Presiden. Exco Kebajikan itu dihubungi dua kali, akhirnya dia memberitahu telah ada appointment lain untuk dipenuhi. Naib Presiden Kolej pula dihubungi, mesej tidak berbalas sehingga pukul 6.30 petang; "xde preparation, baru balik dari putrajaya". Ketua Jabatan 3K turut ditanya, dia berada di kota semalam dan hari ini juga dia tiada di UTM untuk menyampaikan tazkirah di Kolej Tun Fatimah (KTF). Seorang lagi Exco Kebajikan dihubungi, namun sehingga hari ini tidak mendapat respon.

Sudah masuk waktu Asar, pengganti masih belum diperolehi. Exco JPM yang namanya tersenarai di dalam jadual pula dihubungi; dia juga telah balik ke rumah. Exco JAKERS sendiri yang dihubungi sejak dari awal tadi pula baru membalas mesej setelah keluar dari dewan peperiksaan: "malam ni nak jumpa kakak. ada hal peribadi". Seorang lagi Exco JAKERS tidak membalas mesej sehingga selepas solat tarawikh; "ana jd imam solat tarawikh kat K9 td". Siapa lagi? Ketua JAKERS pun dihubungi untuk memberitahu keadaan pada masa itu, terpaksa diganggu ketika dia sedang menyelesaikan satu urusan penting. Tiada respon. Sibuk mungkin. Exco Kebajikan yang dicadangkan oleh Naib Presiden Fakulti menghubungi ana untuk mengetahui situasi. Ana maklumkan mengenai hampir semua MPP muslimin yang dihubungi telah pulang ke rumah (walaupun maklumat mengenai road tour telah diberitahu awal; terlupa mungkin). Katanya, dia akan cuba membantu dan bersetuju untuk menjadi pentazkirah di KTF malam ini.

Hampir jam 6, mesej ditaip: Salam perpaduan. Road tour di KRP malam ini DIBATALKAN kerana.. - mesej lain masuk. Mesej daripada Exco Kebajikan, "Salam. sy da confirmkn dgn Ketua JAKERS. confirm". Alhamdulillah, mesej diubah:

"[ROAD TOUR TARAWIKH]. Salam perpaduan. Road Tour Tarawikh MPP 28/08/09 - KRP. Pentazkirah: ARIZAL. 29/08/09 - KTF. AZIM. Semua MPP djmput hadir. P'ingatan kpd p'tazkirah yg lain, jk anda x dpt mluangkn ms pd tarikh yg dnyatakan sblum ini, sila maklumkn awal untuk mmudahkn kerja mcari pngganti anda. Tq."

Dan malam tadi, Arizal sebagai Ketua JAKERS, mewakili MPP (ana ulang - MEWAKILI M.P.P) menyampaikan tazkirah tentang tanggungjawab memberi peringatan sesama muslim. Tazkirah ringkas menggantikan Presiden itu hanya mengambil masa kurang lebih 5 minit, dan ana tidak pasti bagaimana 'preparation' yang dilakukan olehnya sebelum tazkirah memandangkan dia hanya mengetahui bahawa dirinya perlu menggantikan Presiden malam itu pada sebelah petangnya.

Melalui apa yang berlaku, ana bukan sengaja meletakkan Ketua JAKERS sebagai pentazkirah di KRP sedangkan di dalam jadual sepatutnya Presiden sebagai pentazkirah. Hal ini berlaku apabila hampir semua MPP ada urusan masing-masing dan yang tinggal untuk melaksanakan tanggungjawab itu adalah Ketua JAKERS sendiri. Dan, semasa menyusun jadual, tidak terlintas langsung di fikiran ana untuk mempromosikan mana-mana parti mahasiswa. Tidak berniat langsung hendak mempromosikan Pro-Mahasiswa di kolej-kolej seperti yang dikatakan oleh sesetengah pihak di peringkat atasan. Kalau betul ana ingin mempromosikan Pro-Mahasiswa, lebih baik ana letakkan banyak nama wakil MPP daripada Pro-Mahasiswa di dalam jadual. Kalau dilihat di dalam jadual, hanya ada 3 nama MPP daripada Pro-Mahasiswa, sedangkan tujuh orang lagi daripada Evo-Mahasiswa. Dan paling ana kecewa, pagi ini ana mendapat mesej daripada Timbalan Presiden, hasil mesyuarat majlis pengetua-pengetua kolej malam tadi, semua tazkirah yang dirancang oleh MPP dibatalkan melainkan mendapat surat permohonan daripada TNC yang membenarkan MPP turun ke kolej-kolej.

Sebenarnya, sebelum ana mendapat mesej itu lagi, ana telah dimaklumkan oleh ahli Sekretariat Biro Kerohanian daripada KTF bahawa tazkirah tidak dibenarkan di KTF. Alhamdulillah, ana masih boleh terima. Terima kasih kepada pihak tersebut kerana memberitahu ana. Road Tour MAJLIS SOLAT TARAWIKH masih tetap dijalankan walaupun tidak berpeluang untuk berkongsi ILMU PENGETAHUAN. Tindakan sesetengah pihak yang mengatakan MPP daripada Pro-Mahasiswa mahu mempromosikan Pro-Mahasiswa nampak kurang rasional dan melambangkan sempitnya pemikiran pihak-pihak tertentu. Kata-kata itu menunjukkan pihak atasan masih lagi tidak menerima MPP keseluruhannya sebagai MPP, tidak seperti kata-kata Presiden sejak awal penubuhan MPP sesi ini dahulu. Presiden MPP sesi ini sering mengingatkan anak-anak buahnya bahawa MPP adalah satu, bukan dua atau tiga. Segala gerak kerja adalah satu, tiada Pro-Mahasiswa mahupun Evo-Mahasiswa. Nampaknya persetujuan di peringkat MPP ini tidak dapat diterima oleh pihak atasan. Malah, Pro-Mahasiswa dikatakan mahu membawa isu politik di dalam tazkirah. Aduh, adakah perwakilan mahasiswa masih dilihat membawa politik luar? Jangan samakan kami dengan parti-parti politik negara. Dan malam tadi, seingat ana tiada pun kata-kata Ketua JAKERS yang boleh menggambarkan bahawa dia mahu mempromosi Pro-Mahasiswa malah tidak menyentuh langsung tentang PRK.

Ana lebih terkilan kerana mengetahui semua ini daripada orang lain, bukan daripada Ketua JAKERS sendiri. Kenapa perlu ana terkilan? Kerana surat-surat yang dihantar ke kolej-kolej itu atas nama Ketua JAKERS, bukan Exco Kebajikan atau Timbalan Presiden mahupun Ketua JPM. Kenapa tidak dihubungi terus Ketua JAKERS untuk menyatakan pembatalan tazkirah? Kalau takut Pro-Mahasiswa mempromosikan Pro-Mahasiswa di kolej-kolej, nyatakan secara terus-terang kepada orang yang sepatutnya. Dan, ana tertanya-tanya sekiranya Presiden yang nyata merupakan wakil MPP daripada Evo-Mahasiswa memberi tazkirah malam tadi, adakah perkara ini akan berlaku? Wallahu'alam.

Road Tour Majlis Solat Tarawikh bersama MPP UTM.
29/08/09 di KTF.
Pentazkirah: Bukan Evo-M dan bukan Pro-M.
Semua dijemput hadir.


P/S: Yang memaksa ana mengeluarkan identiti adalah anda yang tidak mahu kami mengeluarkan identiti. ~mengharapkan agar pemikiran lebih rasional, tanpa prasangka, tanpa ketakutan yang dibuat-buat~


Wednesday, August 26, 2009

Entri Ini Tidak Bertajuk

Salam. Ana tidak pasti apa tajuk untuk entri kali ini, oleh itu entri ini tidak bertajuk. Sudah lama diri ini tidak menaip papan kekunci untuk menulis di ruang maya ini. Entah kenapa, idea tidak datang. Kalau datang pun, sebentar sahaja akan dilupakan kerana penyakit 'M'. Usah ditanya apa penyakit 'M' itu, kerana ana pasti antum yang berkecimpung dalam dunia blog sudah sedia tahu apa yang ana maksudkan. Penyakit 'M' yang kalau tidak bijak merawatnya setelah gagal dicegah akan melarat menjadi penyakit 'TB'. Ana pasti antum tertanya-tanya apa yang dimaksudkan dengan penyakit 'TB' di sini. Penyakit 'TB' = 'Tutup Blog'.

Terhenti sebentar penulisan tatkala sahabat seblok datang menjengah.

"Akak, nak masak ape sahur besok?" Alhamdulillah, ALLAH mengurniakan adik-adik yang sentiasa mengambil berat akan sahabat. Bulan Ramadhan menjadi lebih indah dengan ikatan ukhwah yang semakin erat bertaut. Banyak lagi keindahan di bulan kemuliaan ini kalau ditilik dalam-dalam. Bukan setakat pengerat ukhwah, malah menjadi agen penghijrahan seorang individu Muslim. Penghijrahan daripada sifat mazmumah kepada sifat mahmudah. Insya'ALLAH dengan terantainya syaitan yang sentiasa berbisik kepada manusia untuk melakukan kejahatan, manusia yang berjaya mengekang hawa nafsu akan mendapat ganjaran yang selayaknya.

"Dan adapun orang-orang yang takut kepada kebesaran Tuhannya dan menahan diri dari keinginan hawa nafsunya, maka sesungguhnya syurgalah tempat tinggal(nya)." (79:40-41)

Bersama-samalah kita mengejar ganjaran yang dijanjikan oleh ALLAH untuk hamba-hambaNYA yang berusaha untuk mendapatkannya. Semoga Ramadhan kali ini menjadi titik pembaharuan untuk menjadi hamba yang dekat padaNYA.

Kembali kepada point utama, iaitu tentang penulisan di blog. Suka ana berkongsi kata-kata seorang blogger, menulis itu mengubah peradaban. Hebatnya seorang penulis kerana mampu mengubah peradaban! Tetapi penulisan yang bagaimana yang mampu mengubah peradaban? Adakah catatan harian yang santai, atau tinta fikiran yang tajam memecah perisai zamannya, atau sekadar "contengan" (bak kata seorang lagi blogger) yang akhirnya mencetus keinginan orang lain untuk menulis? Mungkin para pembaca ada jawapannya.

Keinginan untuk menulis itu ada, tetapi separuh perjalanan sahaja daya fikir sudah terbantut. Kadang-kadang ana cemburu dengan sahabat-sahabat yang hebat pemikirannya sehingga boleh menulis di blog setiap hari tidak kira masa itu mereka lapang atau tidak, bahkan ada yang boleh menulis sehingga beberapa jam sekali. Maksudnya, dalam sehari itu mereka boleh menulis lebih dari sekali. Contohnya sahabat-sahabat di bawah:

Akhi Dzulkhairi
Akhi Zulhilmey
Akhi Aizat
Akhi Hafizul Hilmi
Ukhti Nurul 'Uyun
Ukhti Intan Farhana
Ukhti Asmah Andy

Sesiapa yang ingin mencari inspirasi untuk menulis, bolehlah berkunjung ke blog mereka. Semoga ALLAH terus memberikan mereka ilham untuk menulis sambil menyampaikan ilmu yang bermanfaat. Dan semoga diri ini juga boleh mencontohi mereka yang rajin mengemaskini blog supaya tidak berusang dek sawang serangga pembawa penyakit 'M' dan 'TB'.

Bercakap tentang penyakit, semakin ramai sahabat di sekeliling yang batuk-batuk, demam dan selesema. Diri ini pun sudah mula batuk-batuk dan bersin-bersin. Dalam keadaan penularan penyakit H1N1 sekarang ini, kebersihan diri amat ditekankan. Hinggakan memakai topeng muka sahaja pun sudah tidak berkesan; yang paling penting adalah sentiasa membasuh tangan dengan air dan sabun mengikut 7 langkah mencuci tangan yang betul terutama sekali selepas bersin. Akhir-akhir ini juga ana mendapat mesej daripada sahabat-sahabat mengenai langkah pencegahan penularan penyakit H1N1 iaitu dengan memakan banyak BAWANG, KURMA dan MADU serta mengambil makanan dan minuman BERALKALI. Sejauh mana bahan-bahan ini boleh membantu, ana kurang pasti. Mungkin ada di kalangan sahabat yang membaca mahu berkongsi ilmu kimia masing-masing. Wallahu'alam.

Akhir kata, doakan agar diri ini dan juga sahabat-sahabat sentiasa mendapat petunjuk dan ilham daripada ALLAH untuk terus menulis perkara-perkara bermanfaat.

Selamat menjalani ibadah puasa.

P/S: Er, kena makan bawang ke...???? Hurm. Sahur esok makan nasi goreng lah ye, Angah percaya kat Usu.. Along, Achik & Uda jangan jeles ye... :)


Saturday, August 22, 2009

Salam Kemaafan, Salam Ramadhan

Salam mahasiswa. Di kesempatan ini, ana mengucapkan selamat menyambut bulan Ramadhan kepada seluruh warga UTM yang beragama Islam khasnya, dan seluruh umat Islam di dunia amnya. Selamat berpuasa dan selamat melipat-gandakan amalan. Manfaatkan bulan yang penuh berkat ini untuk mendekatkan diri kepada ALLAH s.w.t.

"Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa." [2:183]

~Salam Kemaafan, Salam Ramadhan~


Sunday, August 16, 2009

H1N1 - Jangan Putus Harapan

Muhyiddin: Not practical to disclose H1N1 hotspots

KUANTAN, Aug 15 – The government has decided against releasing information on Influenza A(H1N1) hot spots in the country, with Deputy Prime Minister Tan Sri Muhyiddin Yassin saying it was not a practical idea.

He said that disclosing locations with rampant A(H1N1) cases would bring about numerous implications.

For instance, if an area was declared to be free of A(H1N1), the people there might take the pandemic for granted.

On the other hand, he said, if a locality was declare to be a H1N1 hot spot, this would negatively impact the area.

“For instance if there are A(H1N1) cases detected in Kuantan, we cannot say don’t go to Kuantan. On the other hand, those living outside the hot spots may take the matter lightly. This is also dangerous,” he told reporters here.

Muhyiddin said yesterday that he would discuss with Health Ministry officials the possibility of releasing information on locations with rampant A(H1N1) cases.

He said he had discussed the matter with Health Minister Datuk Seri Liow Tiong Lai and came to the conclusion that there was no necessity to do so.

Several consumer associations had urged the Health Ministry to disclose the Influenza A(H1N1) hot spots, especially areas which involved deaths.

Muhyiddin said it was difficult to classify A(H1N1) hot spots due to the existence of cross-border transmissions.

“It’s not like disclosing haze hot spots where we are able to pinpoint their exact locations on the map. This is about viral transmission which also occurred in other countries and not confine to certain localities,” he said.

What was important, said Muhyiddin, was for all to take precautionary measures and heed the advice of health authorities.

In a related development, Muhyiddin said, the government had spent RM40 million to acquire additional supply of the antiviral drug, Tamiflu.

“We want the supply to be increased from 10 per cent to 20 per cent in all hospitals and clinics. We have also spent RM3 million to distribute face masks to students nationwide,” he said.

He also instructed the Health Ministry to shorten the waiting time for treatment in view of overcrowding in hospitals of late.

“Hospitals should give priority to treating those displaying severe symptoms of the illness,” he said. – Bernama

The Malaysian Insider

5 juta rakyat Malaysia akan dijangkiti H1N1

BUKIT MERTAJAM 15 Ogos — Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan lima juta atau 20 peratus rakyat negara ini berisiko dijangkiti virus selesema babi atau influenza A (H1N1) jika langkah pencegahan tidak diambil secara serius oleh orang ramai.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, kajian WHO juga menjangkakan penularan wabak itu mungkin berlarutan antara enam bulan hingga setahun lagi.

“Kajian itu menyebut bahawa jika penularan virus H1N1 di sesebuah negara tidak berjaya ditangani dengan berkesan, 20 peratus penduduknya akan terdedah dengan jangkitan virus itu,” katanya kepada pemberita selepas melawat Hospital Bukit Mertajam di sini hari ini.

- BERNAMA

Utusan Malaysia

Salam mahasiswa. Sudah terlalu banyak kes H1N1 yang didengari dan dibaca akhir-akhir ini. Bilangan kematian disebabkan virus ini di negara kita sudah semakin meningkat hari demi hari. Kerajaan pun sudah buntu memikirkan cara untuk mencegahnya kerana kes sudah berada di tahap penularan, bukan lagi di peringkat awal. Apa yang mampu kerajaan lakukan untuk rakyat adalah menasihati semua supaya menjaga kebersihan diri masing-masing dan memastikan vaksin Tamiflu sentiasa mencukupi di pusat-pusat kesihatan. Tidak kurang juga dengan sebaran doa pelindung H1N1 melalui email-email yang akhirnya mencetuskan kontroversi kerana asalnya daripada kumpulan al-Arqam yang pernah diharamkan. Penggunaan topeng-topeng muka pula sudah menjadi keharusan apabila keluar ke tempat-tempat awam. Di UTM sendiri, ana lihat ramai dikalangan mahasiswa mengambil langkah berjaga-jaga dengan memakai topeng muka untuk berkunjung ke tapak Pesta Konvokesyen ke-43. Kalau bukan bertopeng pun, ada yang sentiasa menutup hidung dan mulut dengan menggunakan sapu tangan, kain tudung bahkan dengan tangan sendiri. Malah bagi ana, pemakaian purdah pun sepatutnya dibolehkan(kerana mahasiswa UTM tidak dibenarkan berpurdah) untuk mencegah daripada terkena mahupun 'tersebar' jangkitan virus yang berkenaan.

Walau apapun cara yang digunakan, ana menasihatkan sahabat-sahabat agar sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dalam mencegah virus Influenza A H1N1. Dalam mengaplikasikan pelbagai cara pencegahan yang ana nampak agak teknikal, untuk mahasiswa yang Muslim, jangan sesekali antum putus berdoa agar dipelihara dan dilindungi oleh ALLAH S.W.T dalam melaksanakan segala urusan. Jangan melihat doa itu sesuatu yang remeh dan kurang praktikal kerana doa merupakan senjata mukmin, ke mana lagi pergantungan kita kalau bukan kepada ALLAH S.W.T. Kalau memakai topeng muka sekalipun, kita masih perlu memohon kepada ALLAH S.W.T agar topeng muka itu mampu melindungi kita daripada penyakit-penyakit berbahaya, kerana nyawa kita berada dalam pegangan-NYA, bukan dalam lipatan topeng muka. Kepada ALLAH lah sepatutnya kita meletakkan segala pengharapan. Wallahu'alam.

P/S: Mahasiswa UTM akan mendapat mask H1N1 percuma tidak lama lagi. Tunggu~


Thursday, August 6, 2009

Peringatan Buat Diri

Salam mahasiswa. Sudah agak lama ana tidak mengupdate blog. Semenjak menjadi mahasiswa tahun akhir, semakin bertimbun kerja yang perlu diselesaikan. Kadang-kadang sehingga 2-3 kerja perlu disiapkan dalam satu masa yang sama. Di sinilah perlunya ana menyusun kerja yang perlu disiapkan mengikut keutamaan. Assignment pun kadang-kadang hampir jam 4 pagi baru dapat ana selesaikan setelah mengikuti beberapa siri mesyuarat. Ya, tanggungjawab anda lebih banyak dari masa! Ingat tu! Oleh itu, pengurusan masa secara bijaksana amat penting wahai sahabat~

-----Ana akui masa rehat adalah untuk kita rehat dan makan secukupnya, apatah lagi dari pagi dah kena hentam dengan subjek-subjek berat seperi Matematik Tambahan, Fizik, Kimia n bla-bla jika kita bersekolah di waktu pagi n ambil aliran sains, pasti tenaga n kemampuan otak kita diguna sebaik mungkin untuk memahami mata pelajaran yang nak dipelajari... Ana tidak nafikan, pasti ada sekelumit rasa mengantuk dalam diri pelajar, namun apabila ana teringat akan salah satu ciri-ciri 10 Muwasafat iaitu: Mampu Melawan Nafsu (Mujahadah ala Nafsi), barulah kita nak melawan nafsu hendak tidur dan tak nak dengar cikgu mengajar..Apa kaitannya pula dengan perjuangan seorang daie? Ilmu itu penting untuk dipelajari, bukan sahaja ilmu akhirat yang perlu dipelajari oleh kita, ilmu dunia seperti Bahasa Melayu, Sains, Kimia, Prinsip Akaun juga perlu diambil kira.. Justeru, kalau kita berilmu, senanglah nak ajak orang ke arah kebaikan..Selain belajar, kita dapat mengajar orang lain pula, masa mengajar mereka, masa itu juga boleh digunakan oleh daie untuk menyelitkan sedikit ilmu akhirat sekadar yang diketahui..Sambil belajar sambil tu kita mengajak orang..hati perlu terikat pada surah Muhammad ayat 7: "Wahai orang-orang beriman! Jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolong kamu dan menguatkan kedudukan kamu (posisi kamu)."-----


Alhamdulillah, kunjungan ke blog adinda ana beberapa minit tadi menaikkan semangat ana. Kalau adinda ana boleh berkata-kata begitu, kenapa tidak boleh ana mengamalkannya? Jazakallah dik, kakakmu memang perlukan kata-kata seperti ini. Teruskan usahamu membangunkan hati-hati yang tertidur kerana leka dengan dunia.

* * * * * * *

Bercakap tentang tidur, entah mengapa, sejak akhir-akhir ini ana asyik bermimpi yang pelik-pelik dan kalau terlalu difikirkan boleh memurungkan ana. "Ish, mimpi mainan tidur!" Ok, mungkin memang patut ana lupakan sahaja mimpi-mimpi yang dahsyat itu kerana mengingatkannya pasti akan membuatkan ana berfikir yang bukan-bukan dan memedihkan hati.

* * * * * * *

Kenapa bukan semua yang menulis itu boleh bercakap, tetapi semua yang boleh bercakap itu boleh menulis? Ana sering dihujani persoalan-persoalan seperti ini oleh sahabat-sahabat seperjuangan kerana masing-masing sedang berusaha untuk menyumbangkan idea dan pandangan tanpa rasa gugup dan gementar. Aduh, ana juga termasuk dalam golongan yang tidak kritis! Adakah antum boleh menerima perkara itu? Tidak semua boleh menerimanya kerana bukan semua yang faham. Adakah antum bermasalah seperti ana dan sahabat-sahabat lain? Kalau ya, jom ke Bengkel Pidato Karnival Wanita 2009 (KAWAN '09) Sabtu ini di L50. Bolehlah belajar untuk berhadapan dengan pelbagai macam orang dan membina keyakinan diri. Maklumat lanjut boleh didapati di blog KAWAN '09

* * * * * * *

Jom sokong UTM sebagai Kawasan Larangan Bonceng antara BUKAN MAHRAM. BUKAN MAHRAM. Ana ulangi, BUKAN MAHRAM. "Awat minah ni, tiba-tiba je nak promote." Bukan tujuan ana untuk mempromosi, dah lama dah rasanya banner UTM Say No 2 Bonceng tu ada pada blog ni. Ana terkilan dengan mahasiswa yang kurang faham tujuan kami mengadakan kempen seperti ini. Betullah, sesuatu kebenaran itu tidak ramai yang menyukainya, tetapi kemungkaran itu ramai yang mengikutinya - ketahuilah, syaitan sedang mentertawakan kamu.

* * * * * * *

Maaflah, entri kali ini nampak agak bercelaru. Yang paling ana nak kongsikan di sini sebenarnya adalah kata-kata daripada adinda ana itu agar kita bersama-sama muhasabah diri mengenai usia yang kita habiskan di dunia ini. (Oh, terlupa! Syukran buat semua yang mendoakan pada hari kelahiran ana yang lalu) Setiap makhluk bertanggungjawab ke atas umurnya sendiri, tanyalah pada diri, ke mana usia kita telah dihabiskan?

Sabda Rasulullah S.A.W:
"Sesungguhnya orang yang paling ku benci dan yang paling jauh dariku di antara kamu pada hari kiamat adalah orang yang banyak berbicara, bermulut celupar dan berlagak pandai."
(HR Tarmizi)
-sebagai peringatan buat diri yang hina-


Monday, August 3, 2009

Solat Hajat Perdana


Dato' Naib Canselor menjemput mahasiswa Islam untuk bersama-sama mengerjakan solat hajat perdana bagi meminta perlindungan daripada wabak H1N1 pada hari Isnin (03 Ogos 2009) di Dewan Solat Utama Masjid Sultan Ismail UTM bermula pukul 7.00 malam. Makanan disediakan.


Novelog Miss Ran: Aku, Dia, dan Paparazzi

Kuntuman Sakura

Blog (167) Blog Review (110) Blogger (57) BM (17) Books (26) Cerpen (14) Cici (41) cinta (34) Dakwah (65) Eh Ustazah (42) gathering (8) iklan (24) Info Sihat (26) Jalan-jalan (46) lirik (22) Motivasi (52) muhasabah (34) Nukilan Jiwa (55) Palestine (21) perkahwinan (38) Puisi (45) Puisi Islamik (15) Ramadhan (21) Review Filem (3) Sakura (33) Tazkirah (87) Tutorial (27) WordlessWednesday (54)
Ini adalah blog peribadi. Sebarang pendapat yang saya nukilkan di sini adalah dari saya sendiri, tidak melibatkan sesiapa kecuali jika saya letakkan nama pemiliknya. Sebarang COPYPASTE dari laman Sunah Suka Sakura dot com adalah dibenarkan dengan syarat dikreditkan ke blog ini. Sama-sama menyebarkan perkara yang bermanfaat. Terima kasih.