BLOG ENCIK SUAMI

Sunday, October 25, 2009

"1Malaysia, Kemakmuran Bersama"

"1Malaysia, Kemakmuran Bersama", tema ini menari-nari dalam kotak fikir setelah membaca sekali lalu Bajet 2010 yang dibentangkan oleh Y.A.B Perdana Menteri pada Jumaat lalu. Tidak banyak yang ingin ana kongsikan di sini kerana ana pasti mahasiswa yang cakna sekalian sudah sedia maklum tentang bajet tersebut, terutamanya dalam aspek pembangunan pendidikan.

Pembangunan Modal Insan

Sejajar dengan hasrat kerajaan untuk memastikan pembangunan secara holistik dan mapan, bidang pendidikan dilihat sebagai medium untuk menghasilkan modal insan berkualiti tinggi. Maka telah dimuatkan dalam Bajet 2010 segala usaha kerajaan untuk membangunkan institusi pendidikan dari tadika hingga ke pengajian tinggi.

Peruntukan lebih RM30 bilion disediakan untuk pendidikan rendah dan menengah, antaranya, untuk bantuan pelajar dan biasiswa, pembinaan 80 buah sekolah baru sekolah kebangsaan rendah dan menengah, sekolah agama bantuan kerajaan, sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil serta sekolah mubaligh. Malah, diperuntukkan RM1.1 billion pula untuk mengubahsuai dan menaik taraf sekolah di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak. (Utusan Malaysia)

Tidak cukup dengan itu, di peringkat pengajian tinggi pula, mahasiswa yang mengambil Ijazah Sarjana Muda dan menggunakan PTPTN boleh berusaha untuk bergraduasi dengan Kelas Pertama jika mahu PTPTN ditukarkan kepada biasiswa mulai tahun 2010. Pakej notebook termasuk perkhidmatan broadband percuma bakal diberikan kepada mahasiswa universiti tahun pertama dengan bayaran RM50 ringgit sebulan untuk 2 tahun manakala 30 pelajar terbaik berasaskan merit akan ditawarkan biasiswa nasional untuk melanjutkan pelajaran ke universiti terkemuka di dunia. (The Malaysian Insider)

Malah, Pengetua dan Guru Besar sekolah juga tidak terkecuali. Media The Malaysian Insider melaporkan, "The prime minister said the government would also introduce the New Deal or Bai’ah as an appreciation of the contribution and performance of principals and head teachers to ensure schools were managed and administered professionally." Sekiranya sasaran dicapai, ganjaran berbentuk kewangan dan bukan kewangan serta autonomi dalam mentadbir sekolah akan diberikan, tetapi kegagalan pihak Pengetua dan Guru Besar sekolah untuk mencapai sasaran selama 2 tahun berturut-turut akan diberikan perhatian dan diambil tindakan sewajarnya oleh kerajaan. (Ucapan Bajet 2010, 66)

Peranan 'Students'

Segala macam usaha yang dirancang oleh kerajaan ini dilihat benar-benar ingin membantu dalam menghasilkan intelektual negara. Namun, ingin dinasihatkan kepada pelajar, bakal mahasiswa, mahasiswa, dan bakal graduan di luar sana, segala usaha yang dirancang ini tidak seharusnya disia-siakan, tetapi digunakan dengan sebaiknya kerana pembangunan ini melibatkan begitu banyak wang ringgit (baca: wang rakyat). Tidak seharusnya hati melonjak suka tanpa memikirkan usaha ke arah merealisasikan matlamat kerajaan. Dalam era kenaikan taraf hidup ini, 'students' (bagi mewakili semua yang disenaraikan di atas) sudah cukup bertuah berbanding era sebelum ini di mana begitu sukar untuk mendapatkan sebuah laptop secara percuma, malah kemudahan internet yang seakan-akan biskut 'Chipsmore' sentiasa merunsingkan mahasiswa universiti yang bergelumang dengan tesis dan projek tahun akhir.

'Students' Sabah dan Sarawak di kawasan pedalaman pula tentunya sudah lama menunggu pembangunan di sekolah masing-masing. Pembangunan infrastruktur yang bakal dinaiktaraf diharapkan selari dengan pembangunan sahsiah dan kefahaman tentang kehidupan malah kefahaman tentang Islam!


Sedarlah!

Sedarlah wahai yang mentadbir negara, rakyat di Sabah dan Sarawak sangat memerlukan kefahaman tentang Islam! Memang ada dalam Bajet 2010 diperuntukkan untuk pembangunan sekolah agama bantuan kerajaan, namun diharapkan agar nilai-nilai Islam itu diterapkan dalam masyarakat Muslim di dua negeri ini dengan lebih praktikal kerana tidak semua rakyat di sini berpeluang untuk mendapat pendidikan agama. Kita tidak mahu kes Gadis Penan terus menghantui rakyat Sarawak di kawasan pedalaman yang sememangnya kurang mendapat perhatian dalam perancangan pembangunan sejak Sabah dan Sarawak menyertai Malaysia pada 16 September 1963 yang lalu.

Sebagaimana dimaklumkan di dalam Bajet 2010, program PERMATA akan dipergiatkan lagi dan ana harapkan Sabah dan Sarawak tidak tersisih daripada perlaksanaan program ini memandangkan objektifnya adalah untuk membentuk generasi berilmu dan bertanggungjawab, serta mengelakkan mereka terlibat dengan gejala sosial. Diharapkan agar pembangunan kerohanian dan sahsiah ditekankan dalam perjalanan untuk membangunkan modal insan berkualiti yang dicanang-canangkan.

Akhirul kalam, ana mendoakan agar apa yang dirancang boleh direalisasikan dengan sebaiknya, dan perancangan ini adalah yang terbaik menurutNYA.

Perancangan sudah mantap.

Rakyat sedang menunggu.

Sudah tiba masanya untuk perlaksanaan.

Wallahua'lam.





5 comments:

Aizat said...

Bajet 2010..Kita saksikan perubahannya pd mahasiswa selepas ini..

Hafiz El Hilmi said...

cepat mengulas bajet..saya masih malas utk mnulis tntg bajet..hehe, sedang membaca bajet 2010, bajet negeri kelantan dan bajet bayangan DAP.

menarik klu gabung semua

Siti Hasunah Mohammad said...

salam wrt..

> Aizat : mari saksikan sejauh mana mahasiswa bertindak mengikut perancangan...

> Hafiz El Hilmi : 'sedang membaca' membawa kepada penulisan yang lebih mantap..kami menunggu ulasan nta yang akan digabungkan itu..=)

Hafiz El Hilmi said...

err takut last skali jadi cerpen je..haha

Siti Hasunah Mohammad said...

> Hafiz El Hilmi

owh, kalau buat cerpen ok jugak..jadi macam FT..

Novelog Miss Ran: Aku, Dia, dan Paparazzi

Kuntuman Sakura

Blog (167) Blog Review (110) Blogger (57) BM (17) Books (26) Cerpen (14) Cici (41) cinta (34) Dakwah (65) Eh Ustazah (42) gathering (8) iklan (24) Info Sihat (26) Jalan-jalan (47) lirik (22) Motivasi (52) muhasabah (34) Nukilan Jiwa (55) Palestine (21) perkahwinan (38) Puisi (45) Puisi Islamik (15) Ramadhan (21) Review Filem (3) Sakura (33) Tazkirah (87) Tutorial (27) WordlessWednesday (54)
Ini adalah blog peribadi. Sebarang pendapat yang saya nukilkan di sini adalah dari saya sendiri, tidak melibatkan sesiapa kecuali jika saya letakkan nama pemiliknya. Sebarang COPYPASTE dari laman Sunah Suka Sakura dot com adalah dibenarkan dengan syarat dikreditkan ke blog ini. Sama-sama menyebarkan perkara yang bermanfaat. Terima kasih.