BLOG ENCIK SUAMI

Wednesday, March 4, 2009

Suara MPP: Beri Peluang MPP Tunjuk Kredibiliti

Oleh Ainal Marhaton Abd Ghani
rencana@hmetro.com.my

MAJLIS Perwakilan Pelajar (MPP) di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) sering menjadi perhatian bukan saja warga universiti tetapi media dan masyarakat.

Sebagai barisan kepemimpinan MPP, mereka bertanggung jawab menunaikan segala yang dijanjikan ketika pilihan raya kampus.


Yang Dipertua (YDP) MPP, Universiti Malaysia Pahang (UMP), Mohamad Suffi Kamari, berkata MPP perlu menggalas tanggungjawab melaksanakan semua agenda mahasiswa yang direncanakan.

Menurutnya, MPP perlu memberi keutamaan kepada setiap isu dan agenda mahasiswa yang diutarakan.

"Sebagai pemimpin, kita perlu bijak merancang agenda masing-masing agar segala permasalahan terutama kebajikan mahasiswa tidak terabai.

"Kita tidak perlu menjadi pemimpin stereotype, bergerak dengan lagak kepemimpinan yang sempit idealismanya dan tidak berani mencabar status quo," katanya.

Oleh itu, menurut Suffi, pihak pengurusan tertinggi universiti dan Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (JHEPA) perlu menyediakan ruang kepada MPP untuk menunjukkan kredibiliti diri dan melatih mereka dengan sifat kepimpinan yang berdaya saing.

"Di sinilah bermulanya proses pemimpin mahasiswa merungkai semangat perjuangan membetulkan keadaan sebagai 'check and balance' ke arah pembentukan pemimpin yang benar-benar berkualiti dan berkesan.

"Saya tidak bercakap hanya mengenai rutin harian kehidupan sebagai MPP dan aktiviti yang dilaksanakan tetapi ruang lingkup peranan pemimpin mahasiswa harus lebih daripada itu," katanya.

Menurutnya, pihak universiti tidak perlu takut dengan perubahan dan mengelak untuk menerima hakikat hakikat bahawa barisan MPP sudah matang dan bersedia menyumbang idea mengikut idealisme tersendiri demi memajukan universiti.

"Kita sayangkan negara dan kita perlukan suara-suara yang membina bagi membantu memajukan Malaysia menuju landasan yang betul," katanya.

Sehubungan itu, katanya, barisan MPP UMP sedaya upaya melakukan yang terbaik untuk memenuhi agenda mahasiswa tanpa melanggar batas dan undang-undang universiti.

"Kami komited tiada kompromi dan dolak-dalih dalam menentukan hala tuju mahasiswa terutama dari sudut kebajikan.

"Dengan sokongan padu Dekan JHEPA, Profesor Dr Abdul Jalil Borham, saya optimis inilah masanya MPP UMP mengorak langkah bagi menentukan pelan strategik kepimpinan mahasiswa yang mampu meniupkan suntikan semangat dan menentukan hala tuju kepimpinan negara Malaysia di masa hadapan," katanya.

Oleh itu, sebagai YDP, Mohamad Suffi berharap mahasiswa tidak retorik dengan slogan yang tidak relevan sebaliknya bertindak demi merealisasikan apa yang kita inginkan.

"Dengan hanya tinggal lapan bulan sebelum dibubarkan untuk pemilihan semula, MPP UMP tidak perlu menjadi pengikut semata-mata tetapi tampil ke hadapan menghadapi kehidupan yang semakin mencabar.

"Pemimpin mahasiswa harus berani menyatakan kebenaran untuk membetulkan keadaan dan tenang menerima setiap kritikan atas kelemahan diri kita sebagai manusia," katanya.



Novelog Miss Ran: Aku, Dia, dan Paparazzi

Kuntuman Sakura

Blog (167) Blog Review (110) Blogger (57) BM (17) Books (26) Cerpen (14) Cici (41) cinta (34) Dakwah (65) Eh Ustazah (42) gathering (8) iklan (24) Info Sihat (26) Jalan-jalan (47) lirik (22) Motivasi (52) muhasabah (34) Nukilan Jiwa (55) Palestine (21) perkahwinan (38) Puisi (45) Puisi Islamik (15) Ramadhan (21) Review Filem (3) Sakura (33) Tazkirah (87) Tutorial (27) WordlessWednesday (54)
Ini adalah blog peribadi. Sebarang pendapat yang saya nukilkan di sini adalah dari saya sendiri, tidak melibatkan sesiapa kecuali jika saya letakkan nama pemiliknya. Sebarang COPYPASTE dari laman Sunah Suka Sakura dot com adalah dibenarkan dengan syarat dikreditkan ke blog ini. Sama-sama menyebarkan perkara yang bermanfaat. Terima kasih.