BLOG ENCIK SUAMI

Tuesday, May 5, 2009

Mahasiswa, Akhlak dan Kepentingannya

“Berikan aku 10 pemuda yang benar tegar fisikal dan mindanya, akan kugegarkan dunia dengan pemuda-pemuda ini”. Kata-kata keramat bekas Presiden Indonesia, Pak Soekarno, yang sering diucapkan oleh sahabat pimpinan mahasiswa suatu ketika dulu terngiang-ngiang di telinga saya tatkala jari-jemari ini mula menekan papan kekunci komputer. Kata-kata yang menjadi refleksi kepada keteguhan jiwa anak muda ini merupakan antara pemangkin tindakan mahasiswa dewasa ini.

Mahasiswa merupakan golongan intelek yang tidak boleh tidak, memang akan berhadapan dengan masyarakat tidak kira sama ada semasa masih menuntut di universiti mahupun setelah keluar ke alam kerjaya nanti. Demi mendepani masyarakat, mahasiswa seharusnya mempunyai identiti tersendiri yang membolehkan masyarakat meletakkan kepercayaan yang tinggi kepada mereka sebagai pewaris kepimpinan negara.

Rasulullah S.A.W sendiri didampingi oleh golongan syabab dalam menelusuri perjuangan dan mereka merupakan golongan intelligent yang berhati bersih dan berakhlak mulia. Bagaimana pula dengan mahasiswa yang bakal mendampingi pemimpin-pemimpin di kalangan masyarakat di luar kelak? Malah, di dalam kampus sendiri, akhlak mahasiswa sering menjadi buah mulut sesama mahasiswa sendiri dan juga pihak pentadbiran. Akhlak mahasiswa yang saya lihat kini sudah kurang selari dengan peningkatan ilmu pengetahuan. Nilai adab dan tatasusila kian meruncing di kalangan mahasiswa terhadap lapisan masyarakat seperti pensyarah, ibubapa dan sahabat handai. Pengaruh hedonisme memburukkan lagi proses pembentukan nilai berasaskan budaya ketimuran dan akhlak Islamiyyah. Hedonisme nyata membawa pelbagai impak negatif kepada minda dan perilaku mahasiswa yang bakal berdiri seiring dengan pemimpin negara suatu hari nanti.

Saya khuatir sekiranya tiada langkah yang diambil untuk ‘re-engineering’ imej mahasiswa bermula dari sekarang, graduan yang bakal keluar nanti akan terlibat dengan pelbagai masalah etika yang lain ketika berkecimpung di alam kerjaya kelak. Sebagai contoh, isu rasuah yang sememangnya sudah begitu hangat diperkatakan mungkin akan bertambah tenat jika tiada resolusi difikirkan bermula dari sekarang. Mahasiswa adalah golongan intelek yang sudah sedia tahu tentang etika, seharusnya perkara seperti ini tidak berlaku setelah mendapat segulung ijazah dan kemudiannya berhadapan dengan dunia luar. Di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sendiri contohnya, Kempen Mahasiswa Sedar 2009 (MAHAR’09) yang baru sahaja berlalu merupakan antara titik mula kepada jalan-jalan lain untuk ‘re-engineering’ imej mahasiswa UTM.

Dalam membentuk akhlak mahasiswa, para pensyarah juga tidak terkecuali memainkan peranan. Ciri-ciri akhlak terpuji hendaklah diamalkan di dalam kehidupan kerana mahasiswa melihat pensyarah sebagai role model yang layak dicontohi. Imam al-Ghazali telah memperincikan 10 peranan pelajar dan 8 peranan guru berhubung dengan adab kesopanan yang telah dihuraikan di dalam kitab Ihya’ Ulumuddin. Amat menarik untuk direnungi peranan guru yang kelapan seperti yang dinyatakan oleh Imam al-Ghazali di dalam adab kesopanan iaitu; ‘Guru harus mengamalkan sepanjang ilmunya. Jangan perkataannya membohongi perbuatannya. Kerana ilmu dilihat dengan mata hati dan amal dilihat dengan mata kepala. Yang mempunyai mata kepala lebih banyak.’ (PM. Dr. Ishak Suliaman, API UM)

Oleh itu, saya mengharapkan agar mahasiswa yang bakal keluar dari kampus UTM ini nanti adalah mahasiswa yang tinggi nilai akhlaknya. Bagi memastikan perkara ini direalisasikan, tenaga bersama antara mahasiswa terutamanya, amat diperlukan supaya bergerak di dalam satu barisan untuk mengangkat kembali martabat tenaga mahasiswa yang disanjungi satu ketika dahulu. Ayuh bangun mahasiswa!

P/S: Artikel ini sepatutnya dikeluarkan dalam Seruan Jumaat PMI UTM Skudai beberapa minggu yang lalu, namun gagal dikeluarkan atas masalah teknikal.


Ukhwah Fillah

Salam. Penat. Tulang belakang ana diuji dengan begitu banyak bebanan sejak jam 11 lebih malam tadi hingga ke 1.30 pagi ini. Bebanan apa? Semuanya barang-barang terkumpul sejak tiga tahun yang lalu, sejak mula-mula masuk ke UTM. Barang-barang itu berhijrah ke side B blok ana dengan bantuan seorang sahabiah. Pejam celik pejam celik, sudah 3 tahun ana berada di sini, dan semester hadapan ana akan bergelar pelajar tahun 4 Sarjana Muda Kejuruteraan (Elektrik-Telekomunikasi).

Esok, iaitu hari ini, ana akan bertolak ke KL. Alhamdulillah, perjalanan yang pada mulanya dijadualkan bermula pada pukul 10 pagi ditukar ke selepas Zohor oleh sahabiah yang memiliki kereta. Sempatlah ana bersua muka dengan sahabat-sahabat yang bakal grad semester ini dan lebih penting lagi, ana boleh merehatkan tulang belakang (sehingga ke pagi nanti) daripada terus berulang-alik mengangkut barang-barang ana ke stor side sebelah. Sedikit sahaja lagi barang-barang yang tinggal untuk ana pindahkan ke stor setelah matahari naik nanti.

Mengenangkan semester kedua yang telah berakhir ini, ana menjadi antara sahabat yang agak moody beberapa hari ini. Mengapa 'antara'? Kerana ana lihat agak ramai sahabat di sekeliling ana juga nampak moody kerana PSM yang masih belum selesai. Kasihan pula ana melihat mereka yang bakal grad tetapi masih ada banyak urusan yang perlu diselesaikan. Ana pula kenapa perlu moody? Entahlah, mungkin agak moody pada petang tadi kerana paper terakhir kurang meyakinkan ana untuk mendapat gred yang cemerlang, mungkin kerana tidak berpeluang untuk meluangkan masa keluar bersama sahabat-sahabat seperti yang dirancang, mungkin kerana malam tadi ada begitu banyak 'lorong' yang perlu ana pilih dengan betul dan tepat hingga ana tidak mahu memikirkan kesemuanya sekaligus (teruknya), atau adakah ana bersedih kerana ana bakal berpisah dengan sahabat-sahabat yang sudah tiga tahun bersama-sama dengan ana mengharungi perjuangan di kampus?

Ya, itu jawapan yang lebih kuat berbanding dengan yang lainnya. Bakal berpisah dengan sahabat yang telah bersama-sama meredah jalan perjuangan menimbulkan rasa senak di hati. "Ya ALLAH, ana sayangkan mereka, jangan pisahkan kami!" Astaghfirullah. Siapa ana untuk meminta sedemikian kepadaNYA sedangkan ini ketentuan dan satu kemestian? Setiap yang bertemu pasti akan berpisah! DIA telah menentukan bahawa kami akan berpisah semester ini, pada semester kedua tahun lepas juga begitu, pada tahun akan datang pula siapa tahu mungkin adik-adik ana pula akan bersedih dengan perginya ana meninggalkan mereka. Benarlah, ukhwah itu indah jika bertemu dan berpisah kerana ALLAH. Ya ALLAH, sebak hati ana memikirkannya.

Sahabat, sudah terlalu banyak yang kita lalui bersama, adakah selamanya kenangan ini akan terus terukir di memorimu? Adakah saat-saat indah ketika bersama itu akan berulang lagi untuk kedua, ketiga dan keempat kalinya? Patah tumbuh, hilang berganti, tetapi adakah yang menggantikan itu akan sama dengan kalian yang meninggalkan?

Sahabat, ketahuilah diri ini sangat menyayangimu, hati dan jiwa ana sangat mendambakan mawaddah dan rahmah yang ALLAH limpahkan ke atas ikatan ukhwah ini. Selamanya memori yang semakin menjauh dengan merangkaknya masa akan terpahat di kotak ingatan kami yang tinggal di sini. Perjuangan ini akan diteruskan, dan apa yang kami harapkan adalah doa kalian yang tidak putus-putus mengiringi perjalanan. Dan kami di sini juga akan terus mendoakan kalian agar tidak menjauh dari jalan yang kita pilih bersama ini. Semoga ALLAH sentiasa melindungi orang-orang yang istiqamah berjuang di jalanNYA. Amiin.

Buat sahabat-sahabat yang bakal grad, lirik dan video nasyid di bawah khas untuk antum. Selamat menghayatinya.


Cebisan Kenangan
Album : Kiasan Naluri
Munsyid : Amar
http://liriknasyid.com

ukhwah yang terbina persis sekuntum bunga
meski pun kini kita terpisah demi kasih-Nya
namun cebisan kenangan kita
sentiasa bermain di bayangan mata
detik waktu yg berlalu
menjadi memori kau dan aku

sewaktu kita bersama saling setia menimba ilmu
tanpa mengenal erti penat jemu
igatkah kau lagi
kita bersama memijak onak duri
di tanah gersang mengutip semangat suci
kini segalanya tersurat dalam sanubari

bersabarlah dengan ketetentuan-NYA
ada rahmat yg tersembunyi
bertemu berpisah kerana ALLAH
lumrah kehidupan insan beriman
moga saat nan indah
ku harap berulang lagi

P/S: Coretan khas buat Bunda, Nabila, Syida dan Izzah. Hidup untuk mencari ketenangan; telah lama dicari, damai itu ana temui dalam diri antunna. Ukhwah fillah abadan abada.


Novelog Miss Ran: Aku, Dia, dan Paparazzi

Kuntuman Sakura

Blog (167) Blog Review (110) Blogger (57) BM (17) Books (26) Cerpen (14) Cici (41) cinta (34) Dakwah (65) Eh Ustazah (42) gathering (8) iklan (24) Info Sihat (26) Jalan-jalan (46) lirik (22) Motivasi (52) muhasabah (34) Nukilan Jiwa (55) Palestine (21) perkahwinan (38) Puisi (45) Puisi Islamik (15) Ramadhan (21) Review Filem (3) Sakura (33) Tazkirah (87) Tutorial (27) WordlessWednesday (54)
Ini adalah blog peribadi. Sebarang pendapat yang saya nukilkan di sini adalah dari saya sendiri, tidak melibatkan sesiapa kecuali jika saya letakkan nama pemiliknya. Sebarang COPYPASTE dari laman Sunah Suka Sakura dot com adalah dibenarkan dengan syarat dikreditkan ke blog ini. Sama-sama menyebarkan perkara yang bermanfaat. Terima kasih.