BLOG ENCIK SUAMI

Wednesday, June 3, 2009

Budi Bahasa, Budaya Kita

Malam ini, rumah kami bergegar. Bunyi tapak kaki orang yang berbadan besar sedang menaiki tangga rumah jelas kedengaran. Ana dan adik perempuan ana yang pada mulanya berkumpul di ruang tamu segera bertempiaran lari ke dalam bilik. Tiada ketukan kedengaran di pintu, sebaliknya bunyi tombol pintu yang berkunci dipusing-pusing kedengaran berkali-kali, minta dibuka. Adik bongsu ana memanggil mak. Ana keluar dari bilik dan melihat ke dapur, nampak kelibat mak baru sahaja masuk ke bilik air.

"Mak dalam bilik air, mintak tolong Opie," ana memberitahu adik yang bongsu. Dia menoleh ke arah adik lelaki ana yang sedang berbaring di atas kerusi panjang di depan televisyen.

"Ala, bukak je la." Opie berat hati, berat punggung juga barangkali untuk bangun.

Adik bongsu ana mendengus lalu menuju ke pintu. Kenapalah aku asyik menjadi mangsa keadaan? Mungkin itulah yang sedang bermain di fikirannya tatkala itu. Ana dan seorang adik ana yang berada di dalam bilik hanya dapat mendengar samar-samar sahaja perbualan di antara adik bongsu ana dan tetamu yang tidak diundang itu setelah pintu dibuka. Tidak lama kemudian, pintu rumah ditutup kembali. Adik bongsu ana mencari mak di dapur. Kami keluar dari bilik.

"Mak, dia bagi RM20 je," suara adik bongsu ana tertahan-tahan memberitahu mak. Ana nampak wajah mak yang kelat.

Ana faham kenapa mak berwajah begitu. Tetamu yang tidak diundang itu adalah seorang penghuni rumah sewa mak yang berbangsa Cina. Penyewa itu tinggal di rumah sewa emak seorang diri, bekerja sebagai pemandu 'prebet', iaitu kereta sapu. Sebagai pemandu kereta sapu, sudah tentu hasil pendapatan setiap harinya tidak menentu, sekaligus menjejaskan proses membayar sewa rumah kepada mak. Kadang-kadang RM20, kadang-kadang RM30. Bayaran yang sedikit demi sedikit tetapi bukan setiap hari itu akhirnya menghasilkan hutang terkumpul RM500 lebih. Sudah berbuih mulut mak meminta wang sewa daripadanya, ayah pula hanya mampu bersabar kerana alhamdulillah ayah dikurniakan hati yang lembut.

Bukan tidak pernah kami sekeluarga berbincang tentangnya. Malah kami pernah menyatakan rasa kasihan dengan kehidupan penyewa itu kepada mak. Tentu pembaca juga sangat faham dengan pendapatan sebagai pemandu kereta sapu yang tidak menentu. Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Kalau ramai penumpang hari tu, banyaklah hasilnya. Kalau tak sampai sepuluh orang, bayangkanlah berapa ringgit sahaja yang akan dia dapat. Mana nak mengisi perut lagi, tambahan pula penyewa itu masih belum berkahwin. Amat patut untuk dia menghargai mak yang masih tidak sampai hati untuk menghalaunya keluar.

Tetapi, sekali lagi rumah kami bergegar. Kali ini lebih cepat langkahnya. Seperti biasa ana dan adik ana lari, kali ini ke dapur pula. Tanpa ketukan, pintu yang berkunci cuba dibuka dari luar. Kami memberitahu mak tentang kedatangan penyewa itu. Mak kaget melihat kami yang berlari ke arahnya sebentar tadi. Bertambah-tambah kaget dengan paniknya kami apabila ayah tiada di rumah malam ini (ayah 'outstation' selama seminggu). Mak membuka pintu, kami yang bersembunyi di sebalik dinding mendengar suara cemas penyewa itu. Kedengaran juga suara mak memberitahu tiada sesiapa di rumah yang boleh membantu ketika ini. Aduh, apa pula ni? Ana capai tudung dan keluar menemani mak. Opie yang baru hendak solat Isyak turut keluar dari biliknya.

Rupa-rupanya paip air di bilik mandi rumah sewa telah rosak. Ayah pula tiada untuk melihat-lihat. Hendak harapkan Opie, tiada apa sangat yang boleh dia bantu dalam keadaan seperti ini.

"Tak ada orang ka? Kalau macam tu, ada kayu ka?" tanya penyewa itu.

"Carilah kat bawah tu." Mak menunjuk ke bawah rumah. Sebenarnya rumah sewa itu letaknya di tingkat bawah rumah kami. Penyewa itu menuruni tangga mencari kayu. Ana tanya mak untuk apa kayunya, mak memberitahu mungkin untuk menyumbat buluh paip yang rosak kerana mak tidak membenarkan penyewa itu menutup paip utama ke rumah sewa kerana khuatir akan mengganggu penghuni rumah sewa yang lain.

Setelah mendapatkan sebatang kayu, penyewa itu meminta pisau untuk memotong kayu yang agak panjang tersebut. Adik bongsu ana masuk ke dalam rumah untuk mengambil gergaji. Sebelum sempat adik ana kembali, rumah bergegar kuat lagi. Gegaran kuat itu berpunca daripada tindakan penyewa tersebut cuba mematahkan batang kayu yang dijumpainya dengan menghentaknya ke tangga rumah. Mak ana terkejut, Opie apa lagi, tinggi suaranya menegur penyewa itu. Apabila gergaji sampai, Opie mengambilnya dan turun ke bawah.

Penyewa itu pada mulanya terkejut melihat gergaji di tangan Opie.

"Pisau tak ada? Gergaji untuk apa, boleh gergaji ka kayu ini?" Dia tersengih sendiri.

"Ye lah, takkan nak guna pisau potong kayu tu!" Wah, Opie sangat marah nampaknya. Dia menghulurkan gergaji. Penyewa itu akur lalu memotong kayu tersebut. Setelah berhasil memotongnya, gergaji dikembalikan. Dia kembali ke rumah sewanya, kami pula masuk ke dalam rumah.

"Opie, marahnye?" tanya ana.

"Siapa tak marah, nak runtuh rumah ni dibuatnya. Nak masuk rumah orang, tapi tak pandai nak bagi salam. Kalau tak boleh bagi salam pun, takkan tak reti nak ketuk? Tak pandai nak berbudi bahasa langsung. Nak duduk kat rumah sewa murah, tapi sewa berbulan-bulan tak bayar. Nasib baik mak tu baik hati bagi dia duduk. Kalau macam ni la perangai dia, baik duduk kat bilik hotel kat bandar je."

Ya ALLAH, sekarang siapa yang patut ana kasihankan?


Novelog Miss Ran: Aku, Dia, dan Paparazzi

Kuntuman Sakura

Blog (167) Blog Review (110) Blogger (57) BM (17) Books (26) Cerpen (14) Cici (41) cinta (34) Dakwah (65) Eh Ustazah (42) gathering (8) iklan (24) Info Sihat (26) Jalan-jalan (47) lirik (22) Motivasi (52) muhasabah (34) Nukilan Jiwa (55) Palestine (21) perkahwinan (38) Puisi (45) Puisi Islamik (15) Ramadhan (21) Review Filem (3) Sakura (33) Tazkirah (87) Tutorial (27) WordlessWednesday (54)
Ini adalah blog peribadi. Sebarang pendapat yang saya nukilkan di sini adalah dari saya sendiri, tidak melibatkan sesiapa kecuali jika saya letakkan nama pemiliknya. Sebarang COPYPASTE dari laman Sunah Suka Sakura dot com adalah dibenarkan dengan syarat dikreditkan ke blog ini. Sama-sama menyebarkan perkara yang bermanfaat. Terima kasih.