BLOG ENCIK SUAMI

Saturday, August 29, 2009

MPP: Bukan Evo-M dan bukan Pro-M?

Salam mahasiswa. Hari ini tanggal 29 Ogos 2009, bukan Hari Kemerdekaan. Hari ini sudah masuk 8 hari kita berpuasa di bulan Ramadhan, dan sepatutnya hari ini hari kedua MPP UTM menyampaikan tazkirah di kolej-kolej mengikut jadual yang ditetapkan.

Semalam, untuk sesi road tour di Kolej Rahman Putra (KRP), Presiden yang sepatutnya memberi tazkirah telah balik ke rumah. Ana yang mengatur jadual mula mencari pengganti. Naib Presiden Fakulti dihubungi, malangnya dia berada di Terengganu lalu dia mencadangkan salah seorang Exco Kebajikan untuk menggantikan Presiden. Exco Kebajikan itu dihubungi dua kali, akhirnya dia memberitahu telah ada appointment lain untuk dipenuhi. Naib Presiden Kolej pula dihubungi, mesej tidak berbalas sehingga pukul 6.30 petang; "xde preparation, baru balik dari putrajaya". Ketua Jabatan 3K turut ditanya, dia berada di kota semalam dan hari ini juga dia tiada di UTM untuk menyampaikan tazkirah di Kolej Tun Fatimah (KTF). Seorang lagi Exco Kebajikan dihubungi, namun sehingga hari ini tidak mendapat respon.

Sudah masuk waktu Asar, pengganti masih belum diperolehi. Exco JPM yang namanya tersenarai di dalam jadual pula dihubungi; dia juga telah balik ke rumah. Exco JAKERS sendiri yang dihubungi sejak dari awal tadi pula baru membalas mesej setelah keluar dari dewan peperiksaan: "malam ni nak jumpa kakak. ada hal peribadi". Seorang lagi Exco JAKERS tidak membalas mesej sehingga selepas solat tarawikh; "ana jd imam solat tarawikh kat K9 td". Siapa lagi? Ketua JAKERS pun dihubungi untuk memberitahu keadaan pada masa itu, terpaksa diganggu ketika dia sedang menyelesaikan satu urusan penting. Tiada respon. Sibuk mungkin. Exco Kebajikan yang dicadangkan oleh Naib Presiden Fakulti menghubungi ana untuk mengetahui situasi. Ana maklumkan mengenai hampir semua MPP muslimin yang dihubungi telah pulang ke rumah (walaupun maklumat mengenai road tour telah diberitahu awal; terlupa mungkin). Katanya, dia akan cuba membantu dan bersetuju untuk menjadi pentazkirah di KTF malam ini.

Hampir jam 6, mesej ditaip: Salam perpaduan. Road tour di KRP malam ini DIBATALKAN kerana.. - mesej lain masuk. Mesej daripada Exco Kebajikan, "Salam. sy da confirmkn dgn Ketua JAKERS. confirm". Alhamdulillah, mesej diubah:

"[ROAD TOUR TARAWIKH]. Salam perpaduan. Road Tour Tarawikh MPP 28/08/09 - KRP. Pentazkirah: ARIZAL. 29/08/09 - KTF. AZIM. Semua MPP djmput hadir. P'ingatan kpd p'tazkirah yg lain, jk anda x dpt mluangkn ms pd tarikh yg dnyatakan sblum ini, sila maklumkn awal untuk mmudahkn kerja mcari pngganti anda. Tq."

Dan malam tadi, Arizal sebagai Ketua JAKERS, mewakili MPP (ana ulang - MEWAKILI M.P.P) menyampaikan tazkirah tentang tanggungjawab memberi peringatan sesama muslim. Tazkirah ringkas menggantikan Presiden itu hanya mengambil masa kurang lebih 5 minit, dan ana tidak pasti bagaimana 'preparation' yang dilakukan olehnya sebelum tazkirah memandangkan dia hanya mengetahui bahawa dirinya perlu menggantikan Presiden malam itu pada sebelah petangnya.

Melalui apa yang berlaku, ana bukan sengaja meletakkan Ketua JAKERS sebagai pentazkirah di KRP sedangkan di dalam jadual sepatutnya Presiden sebagai pentazkirah. Hal ini berlaku apabila hampir semua MPP ada urusan masing-masing dan yang tinggal untuk melaksanakan tanggungjawab itu adalah Ketua JAKERS sendiri. Dan, semasa menyusun jadual, tidak terlintas langsung di fikiran ana untuk mempromosikan mana-mana parti mahasiswa. Tidak berniat langsung hendak mempromosikan Pro-Mahasiswa di kolej-kolej seperti yang dikatakan oleh sesetengah pihak di peringkat atasan. Kalau betul ana ingin mempromosikan Pro-Mahasiswa, lebih baik ana letakkan banyak nama wakil MPP daripada Pro-Mahasiswa di dalam jadual. Kalau dilihat di dalam jadual, hanya ada 3 nama MPP daripada Pro-Mahasiswa, sedangkan tujuh orang lagi daripada Evo-Mahasiswa. Dan paling ana kecewa, pagi ini ana mendapat mesej daripada Timbalan Presiden, hasil mesyuarat majlis pengetua-pengetua kolej malam tadi, semua tazkirah yang dirancang oleh MPP dibatalkan melainkan mendapat surat permohonan daripada TNC yang membenarkan MPP turun ke kolej-kolej.

Sebenarnya, sebelum ana mendapat mesej itu lagi, ana telah dimaklumkan oleh ahli Sekretariat Biro Kerohanian daripada KTF bahawa tazkirah tidak dibenarkan di KTF. Alhamdulillah, ana masih boleh terima. Terima kasih kepada pihak tersebut kerana memberitahu ana. Road Tour MAJLIS SOLAT TARAWIKH masih tetap dijalankan walaupun tidak berpeluang untuk berkongsi ILMU PENGETAHUAN. Tindakan sesetengah pihak yang mengatakan MPP daripada Pro-Mahasiswa mahu mempromosikan Pro-Mahasiswa nampak kurang rasional dan melambangkan sempitnya pemikiran pihak-pihak tertentu. Kata-kata itu menunjukkan pihak atasan masih lagi tidak menerima MPP keseluruhannya sebagai MPP, tidak seperti kata-kata Presiden sejak awal penubuhan MPP sesi ini dahulu. Presiden MPP sesi ini sering mengingatkan anak-anak buahnya bahawa MPP adalah satu, bukan dua atau tiga. Segala gerak kerja adalah satu, tiada Pro-Mahasiswa mahupun Evo-Mahasiswa. Nampaknya persetujuan di peringkat MPP ini tidak dapat diterima oleh pihak atasan. Malah, Pro-Mahasiswa dikatakan mahu membawa isu politik di dalam tazkirah. Aduh, adakah perwakilan mahasiswa masih dilihat membawa politik luar? Jangan samakan kami dengan parti-parti politik negara. Dan malam tadi, seingat ana tiada pun kata-kata Ketua JAKERS yang boleh menggambarkan bahawa dia mahu mempromosi Pro-Mahasiswa malah tidak menyentuh langsung tentang PRK.

Ana lebih terkilan kerana mengetahui semua ini daripada orang lain, bukan daripada Ketua JAKERS sendiri. Kenapa perlu ana terkilan? Kerana surat-surat yang dihantar ke kolej-kolej itu atas nama Ketua JAKERS, bukan Exco Kebajikan atau Timbalan Presiden mahupun Ketua JPM. Kenapa tidak dihubungi terus Ketua JAKERS untuk menyatakan pembatalan tazkirah? Kalau takut Pro-Mahasiswa mempromosikan Pro-Mahasiswa di kolej-kolej, nyatakan secara terus-terang kepada orang yang sepatutnya. Dan, ana tertanya-tanya sekiranya Presiden yang nyata merupakan wakil MPP daripada Evo-Mahasiswa memberi tazkirah malam tadi, adakah perkara ini akan berlaku? Wallahu'alam.

Road Tour Majlis Solat Tarawikh bersama MPP UTM.
29/08/09 di KTF.
Pentazkirah: Bukan Evo-M dan bukan Pro-M.
Semua dijemput hadir.


P/S: Yang memaksa ana mengeluarkan identiti adalah anda yang tidak mahu kami mengeluarkan identiti. ~mengharapkan agar pemikiran lebih rasional, tanpa prasangka, tanpa ketakutan yang dibuat-buat~


Novelog Miss Ran: Aku, Dia, dan Paparazzi

Kuntuman Sakura

Blog (167) Blog Review (110) Blogger (57) BM (17) Books (26) Cerpen (14) Cici (41) cinta (34) Dakwah (65) Eh Ustazah (42) gathering (8) iklan (24) Info Sihat (26) Jalan-jalan (46) lirik (21) Motivasi (52) muhasabah (34) Nukilan Jiwa (55) Palestine (21) perkahwinan (38) Puisi (45) Puisi Islamik (15) Ramadhan (21) Review Filem (3) Sakura (33) Tazkirah (87) Tutorial (27) WordlessWednesday (54)
Ini adalah blog peribadi. Sebarang pendapat yang saya nukilkan di sini adalah dari saya sendiri, tidak melibatkan sesiapa kecuali jika saya letakkan nama pemiliknya. Sebarang COPYPASTE dari laman Sunah Suka Sakura dot com adalah dibenarkan dengan syarat dikreditkan ke blog ini. Sama-sama menyebarkan perkara yang bermanfaat. Terima kasih.