BLOG ENCIK SUAMI

Monday, December 14, 2009

Day After Day

Hari-hari yang berlalu ibarat titis-titis embun, akan hilang setiap pagi ketika mentari menampakkan sinarnya. Masa sentiasa berlalu pergi, isilah hari-harimu dengan sesuatu yang berharga.
Foto: Muslimpage

Day 2


“Kenapa kamu tak pergi?”

“Tak ada rasa hati nak pergi.”

“Sebab tak ada rasa je la eh?”

Diam. Sememangnya ‘tak ada rasa’ itu adalah antara sebab yang paling utama menyebabkan dia menarik diri, tetapi ada sebab-sebab lain lagi yang menguatkan hatinya untuk tidak turut serta dan sebab-sebab itu pernah dikisahkan kepada sahabat-sahabat yang dekat dengannya.


Day 3

“Mak cik sorang je ke kat rumah ni?”

“Taklah, suami mak cik ada kat dalam.”

“Owh.”

“Suami mak cik sakit, kena strok.”

Dia tersentak lalu berpaling kepada sahabat yang menunggu di luar pagar rumah. Sahabat itu nampak tertanya-tanya. Segera dia mendekati sahabatnya.

“Suami mak cik sakit, mari doakan kesihatan untuknya.” Sahabat itu terkejut lantas masuk ke dalam, menghampiri mak cik.

“Mak cik, suami mak cik sakit? Boleh kami masuk?” tanya sahabat itu.

“Masuklah, nak.”

Suami mak cik itu sedang duduk di kerusi sebelah pintu. Sebatang tongkat kelihatan di tangan kirinya.

“Apa khabar pak cik?” Pak cik itu terangguk-angguk, bersuara perlahan.

“Dah dua tahun da pak cik strok,” mak cik memberitahu.

“Anak mak cik sekolah lagi?”

“Sekolah lagi, sorang di universiti, sorang masih di sekolah menengah.”

“Mak cik ada minta bantuan kebajikan di mana-mana?”

“Ada, di Baitulmal je.”

“Tak minta pada kerajaan negeri? Pada YB?” Mak cik geleng. Wajahnya berubah sedikit.

“Erm, mak cik, pak cik. Sama-samalah kita berdoa agar ALLAH mempermudahkan urusan mak cik dan pak cik. Semoga pak cik cepat sembuh.” Sahabat itu menadah tangan diikuti dengan yang lainnya termasuk mak cik dan pak cik. Entah mengapa hati rasa sebak dan sayu. Ya ALLAH, semoga dipermudahkan perjalanan hidup mereka.

Usai doa diaminkan, dia bersalaman dengan mak cik. Mata mak cik ditentang. Air mata bergenang.

“Terima kasih, nak.”


Day 4

Badannya sudah terlalu lemah. Peluh tidak berhenti-henti keluar. Kata-kata yang keluar pula sudah tidak menentu sejak selepas Zohor tadi.

“Eh, pucatnya.” Seorang sahabat menegur lalu memberitahu sahabat lain. Ya, dia memang sudah tidak berdaya. Dua orang sahabat memimpinnya ke kerusi. Setelah duduk, dia ditanya dengan berbagai-bagai soalan yang tidak mampu dijawab. Entah kenapa kelopak mata terasa sangat berat dan hampir terpejam sehingga mereka mengajaknya masuk ke dalam.

Di dalam itu, dia dibaringkan. Mata sudah tidak mampu dibuka. Suara-suara sahabat sahaja yang kedengaran di telinga. Jari-jemari sahabat memicit bahagian bahu yang sudah sedia sakit sejak bertahun-tahun dahulu. Kecederaan kekal bahagian otot bahu kanan yang pernah menyebabkan dia terfikir mahu ke Darul Syifa’ tetapi masih tidak kesampaian hingga kini. Dipicit sahaja bahagian itu menyebabkan dia tersentak, mengerang perlahan. Dia pasti sahabat-sahabatnya nampak perubahan wajahnya apabila bahagian tersebut disentuh. Minyak panas disapu. Tidak lama kemudian, dia tertidur.

Hampir Asar, seorang sahabat masuk ke dalam mengejutkan.

“Tak nak tengok sahabat-sahabat lain buat apa? Larat tak?” tanya sahabat tersebut. Dengan mata yang masih terpejam, dia menggeleng perlahan. Hati rasa terkilan.

Jam 5, seorang sahabat mengejutkan. “Solat Asar jom.”

Dia bangun, agak terhuyung-hayang mengambil wudhuk. “Ok ke?” Suara sahabat-sahabat bertanya keadaaan diri berulang-ulang di telinga. Hanya senyuman yang mampu diberikan. Kemudian, mereka solat berjemaah bersama-sama. Selepas solat, dia rebah lagi. Sayup-sayup suara bimbang sahabat-sahabat kedengaran.

Tiada daya upaya dan kekuatan melainkan dengan Engkau ya ALLAH.


Hari-hari selepas itu

“Minta maaf, tak dapat nak cek. Broadband ada masalah.”

“Insya’ALLAH nanti ye. Sekarang tak boleh, broadband tak dapat diguna.”

“Tolong beritahu dia, tak dapat nak update sekarang, broadband rosak. Maaf sangat-sangat.”

“Tak dapat nak tengok tiket sekarang, broadband ada problem. Insya’ALLAH esok nak pergi Celcom Centre.”


Celcom Centre

“Simcard ni atas nama Nur Afzani Tual, nama awak kan?”

“Apa dia? Ulang nama tu boleh?”

“Nur Afzani Tual.”

Owh, Celcom, Celcom...terima kasih kerana menyusahkan.


Hari-hari tanpa internet

“Pa, ada tak mi segera selain Maggi?” tiba-tiba soalan itu keluar tatkala tangan ligat membalut pulut panggang.

“Ada je kat kedai.” Bapa yang membentuk pulut di sebelah menjawab.

“Boleh tolong belikan? Tiba-tiba mengidam mi segera perisa kari, tapi tak nak Maggi.”

“Kenapa tak makan Maggi?” Mak yang sedang mengangkat loyang kuih seri muka dari pengukus bertanya. Bau pandan memenuhi ruang dapur.

“Sebab kita kena boikot Maggi.”

“Tak boleh makan ke?” Mak tidak faham.

“Boleh makan, mak. Tapi kalau kita beli, nanti duit kita tu akan digunakan untuk buat peluru Israel menembak saudara kita di Palestin.”

“Jadi, tak bolehlah kita beli ye,” ujar mak faham.

“Gaza,” suara bapa.

“Ye, Gaza.”

“Israel. Dalam al-Qur’an ada disebut tentang mereka.” Bapa tidak berhenti membentuk pulut.

“Ye, tapi Bani Israil yang dulu tu tak sama dengan yang sekarang, pa. Yang sekarang ni, Masjidil Aqsa tu mereka nak runtuhkan. Mereka rampas tanah Palestin, mereka tak berhak pun duduk situ.”

****


Alkisah pagi itu Laksamana Cheng mendapat titah untuk menghadap Sultan Yangdip. Segeralah dia bersiap-siap dengan persalinan yang indah kerana Sultan Yangdip sudah sedia diketahui rakyat suka pada yang indah-indah sahaja. Kalau tidak indah ketika menghadapnya mungkin akan ditangkap tanpa bicara. Laksamana Cheng, sudah namanya pun laksamana, tidak lupa untuk membawa kerisnya bersama-sama. Siapa tahu, mungkin di pertengahan jalan ada musuh menyerang. Lagak Laksamana Cheng itu tidak ubah seperti Laksamana Hang Tuah semasa empayar Kesultanan Melayu Melaka dahulu kala hendaknya.

Sampai sahaja di istana, matahari sudah di atas kepala. Sultan Yangdip memanggil sekalian bendahara, temenggung, para orang kaya dan sekalian hulubalang untuk bersama-sama menyantap hidangan. Tidak terkecuali Laksamana Cheng yang telah diundang awal. Hidangan tengahari itu sangat enak dipandang, mungkin juga enak untuk ditelan. Kecur air liur Laksamana Cheng sehingga terketar-ketar badannya sampai tidak sedar kerisnya jatuh ke bawah meja santapan.

“Baiklah, semua sudah ada di sini. Dato’ Temenggung Jamil, mulakanlah doa,” titah Sultan Yangdip. Doa makan dibaca. Seperti biasa, ‘untuk agama lain, sila bertafakur mengikut agama masing-masing.’

Sambil-sambil makan itu, mereka berbincang isu kerajaan. Begitu banyak sekali isunya hingga isu keris pusaka Kesultanan Melayu Melaka dicuri pun keluar juga.

“Ha, tuan laksamana, jangan nanti keris tuan juga dicuri.” Dato’ Bendahara Muhyin mengingatkan.

“Takkanlah, dato’. Keris hamba yang tidak seberapa ini mana mungkin menjadi perhatian para pencopet.” Laksamana Cheng tersengih-sengih sambil meraba keris yang sudah tiada di pinggang. Dia terkejut tetapi disembunyikan perasaannya itu, lalu dicari-cari keris yang hilang. Kain meja diangkat perlahan, diraba-raba lantai dengan hujung jari kaki. Lama juga dia meraba-raba sambil menyantap Ayam Masak Lemak, sambil tersenyum kepada Dato’ Bendahara Muhyin, sambil menjeling Sultan Yangdip yang nampak tenang. Akhirnya dia ketemu keris yang rupa-rupanya di bawah kerusinya. Hendak dicapai dengan tangan, tidak tercapai-capai. Lalu Laksamana Cheng bangun tiba-tiba dan membongkok mengambil kerisnya.

“Cis, celaka tuan laksamana! Biadap sungguh menunjuk punggung kepada baginda sultan!” Orang Kaya Liluh menepuk meja. Sultan Yangdip yang sedang meratah Ayam Masak Lemak mengangkat muka, melihat Laksamana Cheng yang sedang berdiri terpinga-pinga. Tidak nampak pula dia menunjuk punggung kepadanya.

“Apa benar kamu menunjuk punggung kepada beta?” tanya Sultan Yangdip.

“Ampun tuanku. Tidak benar sama sekali. Hamba hanya mengambil keris hamba yang jatuh, tuanku.” Laksamana Cheng mempertahankan diri sambil mengangkat kerisnya.

“Dia berbohong. Hamba nampak dia menunjuk punggung! Kalau tuanku tidak percaya, tanyalah sekalian orang kaya. Kerana keris pula, cerita apa ini?” Orang Kaya Liluh mencebik bibir.

“Orang-orang kaya sekalian, beta mahu mengira undi. Siapa yang nampak Laksamana Cheng menunjuk punggung kepada beta, sila angkat sudu,” titah Sultan Yangdip.

Orang Kaya Liluh paling bersemangat mengangkat sudunya tinggi-tinggi, seakan-akan mahu berdiri di atas kerusi pula tetapi dibatalkan hasratnya itu, takut dia pula yang dianggap biadap.

“Nampaknya undi lebih 2/3, tuanku,” beritahu Dato’ Bendahara Muhyin.

“Cis, berani kamu Laksamana Cheng! Selama ini beta melayan kamu seperti ikan emas, tetapi hari ini kamu menconteng arang di muka beta! Keluar dari istana sekarang!” Sultan Yangdip murka. Merah benar mukanya, matanya terbeliak kerana terlalu murka.

“Ampun tuanku, ini fitnah! Hamba tidak berbuat begitu tuanku, sumpah!”

“Sumpah, sumpah. Apa kamu ingat ini kes Sifulbu? Keluar sekarang!” Orang Kaya Liluh menepuk meja lagi.

“Ampun tuanku. Hamba berjanji kepada diri hamba, hamba akan buktikan hamba tidak bersalah. Tunggulah sekalian orang kaya, tunggulah.” Laksamana Cheng seolah-olah berbai’ah pula lagaknya seraya beredar meninggalkan meja santapan.

****

Tema sudah mantap, Hikayat 1001 Malam. Tema pakaian cukup indah, pakaian timur tengah. Terbayang di fikiran, mereka akan berjubah, berserban, nyata mereka memang berjubah dan berserban. Indah-indah semuanya. Yang terawal keluar sudah menunjukkan yang indah-indah. Sekali lihat terkenang siri Qamar Bani Hashim. Artis-artis lelakinya berjubah putih, bertutup kepala dengan kain serban. Samalah dengan mereka yang di hadapannya kini.

Tidak lama kemudian, tepukan paling gemuruh kedengaran. Lensa-lensa kamera mula menangkap gambar. Indah, indah...Seorang artis wanita keluar, bertudung kepala siap berpurdah. Pakaiannya dari atas memang tertutup, tetapi bagaikan tercabut jantung apabila melihat skirt pendek paras atas lutut yang dipakai artis tersebut. Sampai di hadapan mikrofon, purdah dibuka, menampakkan leher jinjangnya.

Terima kasih, inilah kekeliruan berfesyen, betul-betul manikam kalbuku.


****

Mula-mula rebus empat biji tomato hingga air mendidih. Kemudian buang kulitnya dan cincang. Ketepikan. Ambil sebiji bawang besar, dipotong dadu, dua ulas bawang putih, dihiris. Sebiji lobak merah dipotong dadu, setengah tin cendawan butang dihiris. Daging kisar direbus dengan serbuk lada hitam dan sedikit garam hingga empuk.

Panaskan minyak, tumis bawang besar dan bawang putih, masukkan lobak merah dan cendawan butang. Selepas itu, masukkan daging kisar dan gaul rata. Kemudian, masukkan satu sudu besar mentega, satu tin puri tomato dan buah tomato yang telah dicincang, gaul hingga sebati. Masukkan garam secukupnya, serbuk lada hitam dan oregano. Boleh juga dimasukkan sedikit keju.

Spagethi direbus dan ditoskan. Makan panas-panas bersama kuah yang telah masak.

****

“Banyaknya, mak!”

“Yelah, nak bayar barang-barang kenduri lagi.”

“Kan menyusahkan bakal suami tu.”

Diam.

“Macam nak jual anak je, tak nak kahwinlah macam tu.”

“Mana boleh tak kahwin.”

****

Sepuluh biji bawang merah dimayang. Empat biji kentang dihiris nipis dan direbus hingga empuk. Giling kentang bersama bawang merah. Kemudian, masukkan daging kisar atau ayam kisar. Campurkan sedikit garam dan serbuk lada sulah. Campurkan juga dengan setangkai daun sup yang telah dihiris halus. Sebiji telur dipukul hingga kembang. Kemudian, bulat-bulatkan adunan kentang dan celup ke dalam telur sebelum digoreng hingga kekuningan.

Bergedil siap dimakan.

****

Gegaran pertama.

Gegaran kedua.

Mereka fikir ia gegaran penghujung. Tidak sama sekali! Ia gempa bumi, dan ia akan merebak. Gegaran ketiga diramal bakal berlaku, tetapi hanya dua orang ahli kajian mempercayai setelah kawasan garis sesar diperiksa.

Gegaran ketiga. Ramalan tepat. Banyak yang terkorban. Jambatan San Francisco runtuh ke dalam sungai.

Mungkinkah akan ada gegaran keempat? Ya, dan cara untuk menghentikannya adalah dengan letupan nuklear pada garis sesar. Lima peluru berpandu mesti ditanam beratus-ratus kaki ke dalam bumi di lima pusat berbeza. Kerja ini berbahaya, rakyat akan terdedah kepada radiasi, tetapi keberjayaannya akan menyelamatkan hampir 50 juta nyawa manusia. Akhirnya rakyat kawasan yang diramal akan mengalami gempa dipindahkan, dan empat peluru berpandu telah berjaya ditanam.

Peluru kelima hampir ditanam apabila gegaran mula dirasai. Peluru terlepas ke dalam lubang pada tanah tetapi tidak sampai ke aras yang sepatutnya. Hanya separuh lubang, peluru tersangkut di pertengahan jalan. Ketua operasi masuk ke dalam lubang untuk mengaktifkan peluru berpandu. Dia tahu nyawanya akan terkorban, tetapi ini adalah satu-satu pilihan yang ada. Bukan pilihan lagi, tetapi memang ini adalah satu-satunya cara. Ketika cuba untuk mengaktifkan, gegaran dirasai lagi, dia terjatuh ke dasar lubang. Peluru berpandu bergerak sedikit, yang sedikit menjadi banyak. Peluru tergelincir, menghenyak ke dada ketua operasi. Darah terhambur keluar dari mulutnya. Berapa berat peluru berpandu itu tidak pula diberitahu.

Saat-saat genting itu permintaan terakhir adalah untuk bercakap dengan anak lelakinya. Seorang doktor di pusat pemindahan. Kata-kata terakhirnya turut didengari oleh Tuan Presiden dan ahli-ahli kajian. Gegaran semakin hebat, peluru berpandu mula diletupkan. Peluru pertama, kedua, ketiga, keempat, dan akhirnya ketua operasi berjaya mengaktifkan peluru berpandu kelima. Letupan itu menghancurkan tubuhnya. Gegaran semakin kurang hingga mencapai 0.0 pada skala Richter.

Mereka menarik nafas lega. Tidak sampai beberapa minit, pakar dalam kumpulan kajian mengesan sesuatu yang pelik. Masih terdapat tanda-tanda pergerakan plat bumi berhampiran kawasan peluru berpandu kelima. Tuan Presiden segera dimaklumkan. Gempa mungkin akan berlaku dalam dua hingga tiga jam lagi dan kesannya mungkin yang paling teruk dan bakal mengubah geografi California.

Pakar dalam kumpulan kajian memeriksa kawasan yang disyaki, sungai telah mengalir ke arah yang bertentangan dengan sepatutnya, air sungai didapati mengalir ke dalam pusat garis sesar. Gegaran kecil mula dirasai. Mereka ke pusat pemindahan, pakar menyatakan rasa kesal, tiada apa yang dapat dilakukan lagi. Tiba-tiba gegaran berlaku, semakin kuat hingga menjatuhkan segala apa yang berdiri, meranapkan segala yang melangit. Magnitud pada skala Richter semakin tinggi hingga melebihi 9.0. Air dari laut di selatan California membentuk tsunami. Bumi California merekah, pusat pemindahan turut terbelah kepada dua bahagian, magnitud gempa masih meningkat. Rakyat berlari menyelamatkan diri, tidak kurang juga yang terkorban. Hampir-hampir sahaja pakar dalam kumpulan kajian terjatuh ke dalam rekahan yang telah dipenuhi air laut apabila gempa berhenti di hujung jari kakinya pada skala 10.5.

Sebuah pulau baru terbentuk. Kata-kata hero di penghujung cerita terngiang-ngiang di telinga.

“Ia menyedarkan kita bahawa kita tiada kuasa ke atas planet ini melainkan yang telah menciptakannya.”

10.5 Apocalypse – hari pertama dan kedua.



****

“RM 10,000 seorang.”

Keluhan.

“Nanti nak kahwin dengan orang mana?”

“Tak tahulah, mak.”

“Kalau lagi jauh, lagi banyak mak minta.”

“Mak, nanti orang nak nikah kat masjid. Tak nak bersanding, boleh?”

Diam. “Kenapa tak nak bersanding?”

“Tak pe lah, mak. Majlis tetap ada, makan-makan bersama sanak-saudara masih ada, tapi tak nak bersanding.”

“Bersalam-salaman dengan orang lepas nikah ada, kan?”

“Ye, mak...”

****

“Dik, masa kem KRIS lepas, kena habiskan makanan tak?”

“A’ah. Teruk tau.”

“Jadi, tolong habiskan makanan ye.”

“Waa, akak!!!”

Hargailah makanan.

Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang engkau dustakan?

****

7.45 am.

7.45 am.

Dua kali. Nampak penekanan di situ.

21-12-2012

“Maka tatkala mereka merasakan azab KAMI, tiba-tiba mereka melarikan diri dari negerinya.” [21:12]

****

6 Disember 2009

Inai merah di jari.

****

Kita tidak akan bahagia selagi orang di sekeliling kita tidak bahagia.

****

9 Disember 2009
H-Vision Bintulu

Pertama kali berjumpa internet setelah tiga minggu lalu.

Aimsweb – Result – GPA: *.**, CGPA: *.**

Yahoo! – Email 1: Inbox (121), Email 2: Inbox (43)

Facebook – Terima kasih buat sahabat-sahabat yang merindui

Blog – Sekerat entri

****

Similaju? Apakah itu?

Sekali lagi perkataan itu disebut. Mak tergelak.

Dan sekali lagi kedengaran.

Ok, wahai pemberita dan krew TV3, bukan Similaju, tetapi Similajau, Bintulu. Terima kasih.

****

[10 Disember 2009]

“Aaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaa.......!!!!!!” Adik ana menjerit nyaring. Gamat seketika ruang dapur apabila nama spesis itu disebut oleh adik. Bapa yang berada di tepi pintu tidak jadi memasukkan Ca Ca A ke dalam sangkar. Mak pula masih duduk di lantai, berhenti memotong daun pembalut tapai.

Ana cuba mengintai ke arah yang ditunjuk oleh adik yang masih ketakutan. Sejurus ternampak spesis itu, jantung ana tersentap. Kalimah istighfar terpacul keluar. Bapa sekejap-sekejap menoleh ke arah kami, kemudian cuba mencari apa yang dimaksudkan oleh adik pada bingkai pintu tanpa melepaskan Ca Ca A. Ana menuding ke arah yang sama, tetapi tidak kuat untuk memandangnya buat kali kedua. Bulu roma meremang, seram sejuk. Kalimah hawqala diulang-ulang. Adik sudah berada di atas kerusi, ana juga sudah tidak berani untuk menjejaki lantai.

Mak bangun, mendekati pintu. Dengan penyepit di tangan mak, spesis itu yang sudah sedia diketahui kemudaratannya jika dibiarkan hidup, mati di situ juga.

[Lebih 3 minggu yang lalu]

“Allah!” Urat nadi bagai terhenti. Spesis itu tidak jauh dari mereka, betul-betul berada di tepi tebing. Warna merah badannya menampakkan tahap bisa yang lebih tinggi daripada yang biasa. Mereka bergerak perlahan. Masing-masing berusaha untuk tidak membiarkan air berkocak kuat. Seboleh-bolehnya tiada satu titis pun yang akan terkena badan spesis itu untuk mengelakkannya naik darah. Tekak mula loya. Zikir tidak berhenti. Mata tidak lari dari memandang spesis itu, khuatir seandainya spesis itu mula bergerak ke dalam air. Jika itu terjadi, hanya ALLAH yang tahu apa yang menunggu.

[Darjah 6, beberapa hari selepas menerima suntikan Rubella]

Dia beralih posisi, mengiring ke kanan pula. Tatkala berpusing itu, terasa sesuatu yang tajam menusuk kawasan suntikan di lengan kanan. Kesakitan itu pada mulanya disangka kesan daripada suntikan yang sudah mula mengering. Dia bangun dari katil dan keluar dari bilik.

“Mak, sakit,” lengan baju disinsing. Kawasan suntikan dilihat membengkak.

“Memang la sakit, tak dapat tidur ke?” tanya mak yang sedang menonton televisyen bersama bapa dan adik bongsu.

“Nak tidur la ni tadi, tiba-tiba rasa sakit.”

“Sabarlah, esok-esok baiklah tu.” Mak tidak syak apa-apa. Semuanya tidak syak apa-apa.

“Baik. Masuk tidur dulu ye, assalamualaikum.” Dia kembali ke bilik. Kira-kira dua langkah lagi mendekati katil, matanya menangkap sesuatu berwarna hitam dengan panjang hampir empat sentimeter menjalar di bahagian hadapan baju yang dipakai. Keadaan itu mengundang tindakan refleks, jeritan kedengaran dan tangan kanannya mengibas-ngibas baju. Air mata sudah tidak terbendung lagi. Ya, dia takut! Kali pertama perkara ini berlaku pada dirinya, dalam keluarganya dan dalam hidupnya. Bapa masuk ke bilik.

“Kekipan!” Perkataan itu keluar. Mendengar sahaja perkataan yang bermaksud ‘lipan’ itu, bapa menyuruhnya keluar dari bilik. Mak menyuruh adik mengambil segelas air sambil melihat lengan yang disengat – atau mungkin boleh disebut sebagai ‘ditusuk’. Bapa masih di dalam, mencari ‘pemangsa’. Dia pula masih menangis. Air yang dibawa diteguk sedikit. Mak menyapu minyak panas. Bapa keluar dari bilik tidak lama kemudian.

“Tak jumpa.”

Itulah kisah dia dan lipan. Sejak itu, spesis tersebut menjadi ‘musuh’ keluarga.

****

Alhamdulillah...sejuk mata memandang suasana sekeliling. Ya, suasana sebegini sangat sukar untuk dilihat pada hari-hari biasa, kecuali pada hari raya, kenduri, dan hari-hari keraian yang lain. Baru hari ini terasa izzahnya, muslimin bersongkok dan berkopiah, siap berbaju Melayu juga, manakala muslimat bertudung dan berbaju kurung, ada juga yang berjubah labuh. Ramainya manusia berpakaian mengikut syariat di bawah satu bumbung yang luasnya lebih besar daripada rumah ana, malah lebih besar dari masjid yang berdekatan dengan rumah ana. Mereka semua menunggu sesuatu.

Hari itu, 13 Disember 2009, jemaah haji pulang ke tanah air.
Bintulu Airport.
Indah dari biasa.

****

“Imah...”

“Ye?”

“Rindu...! Nak balik...” Air mata mengalir laju.

Hari ini, 14 Disember 2009, di kampus bersama-sama WifiUTM.
7.45 malam.


Novelog Miss Ran: Aku, Dia, dan Paparazzi

Kuntuman Sakura

Blog (167) Blog Review (110) Blogger (57) BM (17) Books (26) Cerpen (14) Cici (41) cinta (34) Dakwah (65) Eh Ustazah (42) gathering (8) iklan (24) Info Sihat (26) Jalan-jalan (46) lirik (21) Motivasi (52) muhasabah (34) Nukilan Jiwa (55) Palestine (21) perkahwinan (38) Puisi (45) Puisi Islamik (15) Ramadhan (21) Review Filem (3) Sakura (33) Tazkirah (87) Tutorial (27) WordlessWednesday (54)
Ini adalah blog peribadi. Sebarang pendapat yang saya nukilkan di sini adalah dari saya sendiri, tidak melibatkan sesiapa kecuali jika saya letakkan nama pemiliknya. Sebarang COPYPASTE dari laman Sunah Suka Sakura dot com adalah dibenarkan dengan syarat dikreditkan ke blog ini. Sama-sama menyebarkan perkara yang bermanfaat. Terima kasih.