Ticker

6/recent/ticker-posts

Teknologi Senjata dan Peperangan Rasulullah s.a.w.


Nabi Muhammad s.a.w. adalah seorang Rasul yang memimipin negara (Madinah). Maka sudah tentu ia menghadapi ancaman musuh dari negeri dan negara yang bencikan agama Tauhid. Peperangan adalah satu perkara yang dibenci oleh semua manusia apatah lagi oleh seorang Nabi, tetapi ia adalah perkara yang tidak dapat dielakkan sepanjang zaman selagi ada manusia dan syaitan.

Rasulullah s.a.w. sangat mengambil berat terhadap persediaan ketenteraan umat Islam pada setiap masa. Persediaan ini merangkumi kekuatan aqidah, kekuatan peralatan senjata serta kekuatan ilmu (kemahiran) melalui latihan. Sesuai dengan perintah ALLAH:

"Dan bersiap sedialah sekuasa kamu daripada segala kekuatan dari pasukan berkuda yang bersedia bagi menakutkan musuh Allah dan musuh kamu serta musuh –musuh lain yang kamu tidak ketahui sedang Allah mengetahui. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasan bagi kamu, dan kamu tidak akan dizalimi." - Al Anfal: 60


Kekuatan aqidah

Sebelum terjun ke medan peperangan, Rasulullah s.a.w. telah mendidik para sahabat dengan aqidah yang kukuh. Keimanan yang sungguh kepada ALLAH sehingga menjadikan sahabat-sahabat sanggup menanggung apa sahaja perintah dan berkorban sama ada menang atau syahid. Rasulullah s.a.w. juga memerintahkan sahabat supaya ikhlas berjuang kerana ALLAH. Baginda sering kali berpesan apabila menghantar pasukan yang berangkat, "Berperanglah dengan nama ALLAH dan di jalan ALLAH." (HR Ahmad, Muslim dan lain-lain–daripada sebuah hadis yang panjang).

Disamping itu Rasulullah s.a.w. juga memotivasi para sahabat, antara katanya "Ketahuilah kamu sekalian, bahawa syurga itu di bawah kilatan mata pedang." (HR Bukhari, Muslim dan Abu Daud).



Kekuatan teknologi

Kekuatan teknologi peperangan merujuk kepada semua kelengkapan ketenteraan; senjata, pengangkutan, komunikasi, kemahiran strategi dan sebagainya.


Langkah-langkah Rasulullah s.a.w. dalam meningkatkan teknologi ketenteraan

Teknologi Asing
Peralatan tentera yang lebih canggih pada masa itu dimiliki oleh Rom dan Parsi (kuasa besar). Rasulullah s.a.w telah menghantar utusan dua orang sahabat, Urwah bin Masud dan Ghailan bin Salamah ke Jarashy, Damshik (di bawah kuasa Rom) bagi mempelajari cara membuat Manjanik dan Dabbabah (kereta perisai).


Belanjawan perang
Rasulullah s.a.w. juga memperuntukkan belanjawan khusus untuk kelengkapan perang. Imam Tarmizi menyatakan dari Umar Al Khattab bahawa harta-harta Bani Nadhir (Yahudi) yang dirampas (harta fai) telah diserah kepada Rasulullah s.a.w. Lalu Nabi s.a.w mengambil sebahagian daripadanya dan selebihnya untuk membeli kuda dan senjata sebagai persediaan perang fisabilillah. Ibnu Ishak menceritakan dalam perang Bani Quraizah, bahawa Rasulullah s.a.w telah mengutuskan Saad bin Zaid Al Ansari membawa tawanan perang Bani Quraizah ke Najd, lalu ia membeli dengan orang tawanan itu kuda dan senjata untuk Baginda s.a.w.

Rasulullah s.a.w. menggalakkan para sahabat memberi infaq fisabilillah untuk membiayai persiapan peperangan. Diriwayatkan bahawa dalam peperangan Tabuk, Saidina Uthman menginfaqkan 900 ekor unta, 100 ekor kuda dan 1000 dinar. Saidina Abu Bakar menyerahkan seluruh hartanya 4000 dirham. Saidina Umar membelanjakan separuh daripada hartanya. Disamping itu ramai lagi sahabat-sahabat menginfaqkan harta mereka termasuk muslimat yang datang kepada Rasulullah s.a.w. menginfaqkan harta perhiasan mereka berupa gelang, rantai dan sebagainya.

Pengangkutan tentera
Rasululllah s.a.w. sangat menggalakkan sahabat memaksimakan penggunaan binatang kenderaan dalam medan jihad. Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, "Barang siapa berperang pada jalan ALLAH dengan menunggang unta, maka dipastikan ia masuk syurga. (Nailul Authar). Dalam satu hadis yang lain Rasulullah s.a.w. bersabda, "Mengikat kuda sehari untuk berperang pada jalan ALLAH, lebih baik daripada dunia dan isinya." (Nailul Authar).

Rasulullah s.a.w. sentiasa meningkatkan penggunaan kuda dalam angkatan tentera. Bermula dari 2 ekor kuda dalam peperangan Badar, 50 ekor kuda dalam perang Uhud hinggalah 10,000 ekor kuda dalam perang Tabuk.

*Kuda pada masa itu adalah binatang yang mahal dan hanya mampu dimiliki oleh orang kaya sahaja.


Latihan Ketenteraan

Latihan Disiplin
Rasulullah s.a.w. adalah pemimpin tentera yang pertama dalam sejarah bangsa Arab melatih anggotanya dengan disiplin dan peraturan. Solat lima waktu dan berjemaah serta puasa menjadikan sahabat-sahabat sebagai anggota yang berdisiplin, mudah disusun atur, sedia mendengar perintah serta tabah menghadapi kesengsaraan perang. Baginda s.a.w. adalah pemimpin ketenteraan pertama yang menyusun saf ketika memulakan peperangan. Pasukan tentera tidak dibenarkan menyerang sehinggalah diarahkan oleh Rasulullah s.a.w. Semasa perang berkecamuk Rasulullah s.a.w. sentiasa memberi arahan serangan kepada pasukan-pasukan tertentu.

Latihan Fizikal dan Senjata
Rasulullah s.a.w sentiasa menekankan latihan kekuatan dan kemahiran bersenjata. Baginda s.a.w. pernah mengatakan, "Seorang mukmin yang kuat lebih baik di sisi Allah daripada seorang mukmin yang lemah." Uqbah bin Amir meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. pernah berkhutbah, "Bersiaplah untuk menghadapi mereka dengan sekuat tenaga yang kamu boleh. Kekuatan adalah memanah, kekuatan adalah memanah, kekuatan adalah memanah." (HR Imam Ahmad).

Pada satu peristiwa yang lain ketika melihat pertandingan memanah, baginda s.a.w. bersabda "Panahlah wahai anak –anak Ismail kerana datuk mu adalah pemanah." (HR Imam Bukhari dan Ahmad).

Diriwayatkan bahawa Baginda s.a.w pernah berkata, "Jika seseorang kamu pandai memanah kemudian ia meninggalkannya, dia bukan dari golongan kami." (HR Imam Ahmad).

Latihan Kepimpinan, Strategi dan Taktik
Rasulullah s.a.w. bukan sahaja memimpin sendiri operasi ketenteran bahkan baginda s.a.w. menyediakan latihan dan persiapan kepada sahabat–sahabat mengenai kemahiran memimpin peperangan.

Bermula dengan Rasululah s.a.w. sendiri menunjukkan contoh kepimpinan mengawasi strategi peperangan, dan perang psikologi. Baginda s.a.w. melatih mereka bagaimana menyusun pasukan tempur dan bagaimana membuat keputusan dengan bermesyuarat. Rasululah s.a.w juga mengajar sahabat mengenai operasi sulit ketenteraan, membuat serangan mengejut bagi mengelakkan perlawanan sengit serta megurangkan jumlah kematian.

Selain melatih, Rasulullah s.a.w. juga memberi tugasan praktikal. Sahabat-sahabat diarah memimpin sendiri sariyah–sariyah kecil dan besar. Proses ini membina keyakinan diri kepada sahabat-sahabat .

*Sariyah adalah peperangan yang tidak disertai oleh Rasulullah s.a.w.

Kesungguhan Rasulullah s.a.w. dalam mempertingkatkan kekuatan
Pertama kali menghadapi tentera Kafir Quraish di Badar, tentera Islam sangat lemah, iaitu seramai 313 orang dan 2 ekor kuda serta senjata tidak lengkap. Dalam perang Uhud, Rasulullah s.a.w. telah meningkatkan kekuatan dengan 700 tentera, 100 orang daripadanya memakai baju besi dan 50 tentera berkuda serta sepasukan pemanah yang kuat. Kekuatan tentera ditingkatkan lagi sehingga 3000 orang dalam perang Ahzab, sepasukan pemanah yang lebih kuat serta peralatan senjata yang lebih lengkap.
Semuanya ini dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. kerana memahami kepentingan kekuatan tentera dalam persiapan perperangan.

Ketika Ghazwah Fathul Makkah, Rasululah s.a.w. menyusun 10,000 tentera serta lengkap bersenjata. Selepas itu mara ke Hunain dengan 12,000 tentera hasil tambahan orang-orang Makkah yang baru memeluk Islam.

Perang Tabuk yang menuntut persiapan awal dan besar kerana jauh dan menghadapi tentera kuasa besar Rum. Rasulullah s.a.w. mengerahkan 30,000 anggota dengan 10,000 pasukan berkuda serta bersenjata lengkap.

Walaupun Rasulullah s.a.w sentiasa mempertingkatkan kekuatan tetapi kekuatan tentera musuh sentiasa lebih besar terutama ketika berhadapan dengan Rum dan tentera Quraish kecuali dalam Fath Makkah. Ini adalah kerana kekuatan Islam baru muncul pada masa itu. Namun begitu dalam banyak peperangan Rasulullah s.a.w mencapai kejayaan kerana kekuatan keimanan serta kepandaian menggunakan senjata dan strategi yang baik.

Diambil dan diubahsuai daripada peRhiAsaN sYurGa

Post a Comment

0 Comments