Friday, July 2, 2010

Baju Kuasa Elektrik

Oleh MOHD. RIDZWAN IMAN
ridzwan.iman@utusangroup.com.my



INOVASI terbaru untuk menjana kuasa elektrik yang diperkenalkan baru-baru ini ialah rekaan baju yang boleh menghasilkan kuasa elektrik hasil pergerakan si pemakainya.

Projek yang kelihatan agak pelik tetapi mempunyai masa depan ini dikenali sebagai ‘Kapten Elektrik dan Budak Bateri’ yang dibangunkan oleh XS Labs dari Kanada.

Syarikat itu telah membangunkan tiga jenis prototaip pakaian yang mampu menjana kuasa elektrik iaitu Sticky, Stiff dan Itchy selepas menjalankan projek tersebut sejak 2007.

Bagaimanapun, ketiga-tiga baju ini mempunyai fungsi yang berlainan yang mana Sticky merupakan jaket kulit berhud yang direka untuk memanfaatkan pergerakan tangan si pemakai yang akan menarik kabel boleh sentut (retractable).

Apabila tali yang dilekatkan kepada alat penyokong di dada tertarik berulang-ulang ketika si pemakai baju berjalan, ia akan menghasilkan satu tenaga elektrik kecil yang boleh menyalakan lampu LED biru di dalam poket baju.

Alat keras yang dilekatkan di baju itu mempunyai dinamo bergerak yang mana tenaga kinetik manusia akan ditukarkan kepada tenaga elektrik yang boleh digunakan untuk alat elektrik ringkas dan ia dapat dilihat apabila lampu LED di baju menyala.

Nanoteknologi

Penggunaan nanoteknologi dalam tekstil ini akan menjadi sumber tenaga boleh diperbaharui apabila ia menggabungkan teknologi fabrik piezoelektrik (tekstil yang menukar tenaga kinetik kepada elektrik) dan polimer elektro-aktif (plastik yang menukar bentuk apabila tenaga elektrik melaluinya).

Tenaga elektrik yang terhasil daripada pergerakan si pemakai akan disimpan di satu tempat di belakang jaket itu yang mana apabila satu butang ditekan, tenaga elektrik itu akan dilepaskan serta mampu mengaktifkan pemain MP3 yang terdapat di dalam hud baju itu.

Bagi jaket Stiff pula, ia mempunyai pek belakang seperti beg pengembara yang mempunyai tiga dinamo untuk menyimpan kuasa elektrik. Apabila si pemakai menekan-nekan belakangnya ke dinding atau meminta bantuan rakan menekan beg belakangnya itu, kuasa elektrik akan terhasil untuk membolehkan ia membekal tenaga.

Satu lagi pakaian yang bertujuan menghasilkan tenaga elektrik keluaran XS Labs ialah aksesori pakaian dikenali sebagai Itchy. Alat ini berbentuk ‘rantai’ besar yang diperbuat dalam kain bulu.

Apabila si pemakai menarik-narik ‘rantai bulu’ itu, ia kemudiannya akan menghasilkan tenaga yang mencukupi untuk menyalakan lampu LED yang terdapat pada satu lagi ‘rantai.’

Memandangkan ‘rantai bulu’ ini tidak begitu selesa dipakai, ia mendorong pengguna untuk menarik ke hadapan dan belakang dan seterusnya tindakan itu mampu mengecaj bateri dan seterusnya digunakan untuk menghidupkan alat elektronik kecil.

Lampu yang berkelip-kelip di rantai bulu itu kelihatan seperti lampu yang digunakan untuk lampu siren, rumah api atau boya di tengah lautan tetapi masih tiada kegunaan untuk si pemakai baju selain membuktikan bahawa baju itu mempunyai kuasa elektrik.

Terdapat sebuah servermoto diletakkan di bahagian belakang leher baju itu yang menjana bateri dan disimpan untuk kegunaan peralatan elektrik lain.

Sebelum XS memajukan pakaian penjana elektrik daripada tenaga kinetik ini, sepasukan graduan dari Media Lab, Massachusett Institute of Technology (MIT) juga telah memperkenalkan ‘Power-dress’ iaitu pakaian yang menggunakan bahan piezoelektrik.

Apabila si pemakai bergerak, membongkok, berpusing dan sebagainya, pergerakan itu akan menghasilkan tenaga melalui sirkit bersepadu yang dipasang kepada baju tersebut dan seterusnya mengecaj bateri yang dalam bentuk duit siling yang dijadikan butang.

Kuasa yang dihasilkan oleh Power-dress ini boleh digunakan untuk menghidupkan peralatan kecil dan di masa depan dijangkakan kuasanya akan bertambah untuk membolehkan ia menjana Blackberry, iPhone dan lain-lain gajet.

Kesimpulannya, ciptaan pakaian-pakaian berteknologi ini sememangnya masih baru dan kebanyakannya adalah di peringkat prototaip dan reka bentuknya masih menyebabkan ketidakselesaan kepada si pemakai.

Bagaimanapun, teknologi seumpama ini sememangnya suatu inovasi yang masih boleh diperkembangkan lagi bagi membolehkan ia lebih praktikal, selamat dan tidak menyebabkan si pemakai kehilangan gaya pula.

Sumber: Utusan Malaysia

No comments:
Write Comments

DISCLAIMER:

All content provided on this blog is for informational purposes only. The owner of this blog makes no representations as to the accuracy or completeness of any information on this site or found by following any link on this site.

The owner of this blog will not be liable for any errors or omissions in this information nor for the availability of this information. The owner will not be liable for any losses, injuries, or damages from the display or use of this information. This terms and conditions are subject to change at anytime with or without notice.

For any inquiries, email: sunahsakura@gmail.com