Ticker

6/recent/ticker-posts

Di Pinggiran al-Buraq

...samurai tu untuk orang Jepun, matlamat akhirnya berbeza sekali...
...untuk kita, biarlah mujahid...

Batu-bata di pinggir dataran itu berlonggok-longgok banyaknya. Dia mengalihkan pandangan ke pinggiran sebelah sana pula. Lebih kurang sama banyaknya. Sudah seminggu longgokan batu-bata itu di situ. Dalam seminggu itu juga beberapa kali saudara-saudaranya berkumpul di dataran itu, dengan niat yang satu. Bantah jambatan!

Pintu al-Maghariba di kejauhan direnung lama. Dia tidak dapat melolosi pintu itu buat masa ini. Setelah apa yang berlaku berdekad-dekad yang lalu, hingga ke hari ini, pintu itu dan pintu-pintu lain yang menghiasi al-Aqsa tertutup untuk dia dan saudara-saudaranya.

"Salam'alayk ya Saed!" Suara yang amat dikenali menyapanya, mengalihkan perhatiannya daripada al-Aqsa yang dirindui.

"Wassalam'alayk ya Khalid." Jam di tangan dijeling, hampir Asar. "Apa yang membuatkan enta berada di sini pada waktu ini?"

"Hari ini ana bekerja separuh hari. Ana ke sempadan selepas kerja tadi dan terserempak dengan Syeikh Hassan, dia berpesan untuk mengumpulkan kaum muslimin selepas Asar nanti."

"Syeikh Hassan? Dia berada di sempadan?" Saed tidak hairan, sekadar bertanya.

"Ya, sepanjang minggu ini nampaknya Syeikh Hassan semakin sibuk." Khalid membuang pandang ke arah pintu al-Maghariba. Saed turut melihat ke arah yang sama.

"Ya. Enta sudah memberitahu semua muslimin?"

"Ana sudah meminta Ammar dan al-Fahmi menyampaikan pesanan ini kepada muslimin di kawasan timur," terang Khalid. Sejurus kedengaran azan berkumandang, menunjukkan sudah masuk waktu Asar. Suasana menjadi hening.

"Ya Allah, Tuhan yang telah mensyariatkan seruan azan dan sembahyang yang akan didirikan. Kurniakanlah kedudukan yang tinggi dan terpuji yang Engkau telah janjikan kepada junjungan kami Nabi Muhammad dan kehormatan, sesungguhnya Engkau tidak memungkiri janji."

"Di mana tempat berkumpul?" tanya Saed setelah meraup tangan ke wajahnya.

"Surau al-Ayubi."

"Mari," Saed memulakan langkah menuju ke surau. Khalid mengekori di belakang. Mereka tidak mahu ketinggalan untuk solat berjemaah bersama-sama muslimin yang lain.

***

"Zionis akan meletakkan batu asas pada jam 10.00 pagi esok. Kita punya masa mulai sekarang ini untuk menghalang semua itu dari berlaku," suara Syeikh Hassan sahaja yang didengari ketika itu. Semua mata di dalam surau kecil yang agak sempit itu tertumpu ke arahnya.

"Apa yang akan kita lakukan ya Syeikh Hassan?" Seorang lelaki separuh umur bertanya.

"Kumpulkan semua penduduk, kita akan solat subuh berjemaah di dataran al-Buraq." Syeikh Hassan memandang ke arah Saed dan Khalid.

"Antum berdua, ana amanahkan keselamatan kaum muslimat dan anak-anak kecil kepada antum."

"Allah...Allah..." Saed dan Khalid bersuara perlahan, hampir-hampir sahaja tidak didengari.

"Selepas itu ya Syeikh Hassan?" Kedengaran pula suara yang lain bertanya.

"Selepas itu...kita serahkan segalanya kepada Allah..." Syeikh Hassan menjawab yakin. "Namun...ana amanahkan pergantungan kepada Allah kepada diri ana dan antum semua."

Semua kepala di dalam surau itu mengangguk-angguk faham.

***

"Ya Asiah, kita akan berjuang esok. Persiapkan dirimu dan Umar," al-Fahmi memberitahu isterinya yang baru selesai mentaddabur al-Quran sepulangnya dia dari surau selepas solat Isyak tadi.

"Baik suamiku...tapi, bolehkah aku tahu apa yang akan kita tentang esok, wahai suamiku?" Asiah melipat kain telekung.

"Musuh Allah."

"Allah...tiada daya dan upaya bagi kami melainkan dengan kekuatan dari-Mu ya Allah..." ucap Asiah perlahan sambil menghampiri katil anak kecilnya.

"Umar sayang, esok engkau akan menjadi mujahid kecil," dikucup dahi Umar yang telah tidur. Kemudian, dia menoleh ke arah suaminya. al-Fahmi memberikan sebuah senyuman, Alhamdulillah...Kau menganugerahkan aku seorang pendamping yang sukar untuk aku gantikan dengan yang lain.

"Suamiku, nanti...seperti biasa ya?" Asiah membalas senyum suaminya.

"Ya, insya'ALLAH isteriku. Moga Dia mengejutkan kita dari tidur untuk bersama-sama bertemu-Nya di penghujung malam nanti."

***

"Cis! Apa yang mereka lakukan ini?" Merzelo menghentam meja. Panas hatinya apabila mendengar salah seorang tali barut melaporkan maklumat terkini mengenai lelaki tua itu. Sudahlah menganggu tidurnya awal-awal pagi itu dengan berita yang menyakitkan hati, malam tadi dia tidur lewat kerana meraikan hari perletakan batu asas jambatan. Ya, hanya kerana jambatan itu!

"Lelaki tua tu ingat aku takut dengan dia? Jangan mimpilah!"

"Tapi, tuan...semua penduduk-"

"Sudah!" Merzelo memotong. "Aku tak nak dengar! Sekarang panggilkan Mehmoud!"

Tali barut itu menundukkan kepala, kemudian keluar dari bilik. Seorang lagi Zionis bakal dikejutkan daripada tidur.

***

"Tuan! Tuan Merzelo! Mereka...mereka..." terketar-ketar tali barut itu ingin menyampaikan apa yang baru dilihatnya sebentar tadi.

"Apa dia? Mereka apa??" Merzelo menggertak keras. Mehmoud pula menjeling tajam.

"Dataran al-Buraq..." Lemah hati tali barut itu hendak menghabiskan kata-katanya. Merzelo mengangkat kening. Segera dia bangun menghampiri tingkap yang terbuka. Sejurus dia tersentak, membuntangkan kedua-dua biji matanya.

Dia tidak tahu hendak mengucapkan kata-kata apa. Lautan manusia di dataran al-Buraq sedang bersiap-siap untuk mendirikan solat Subuh. Wanita dan kanak-kanak tidak terkecuali. Kelihatan juga sekelompok penduduk yang lebih berumur di satu penjuru. Laungan azan menyapa telinga, semakin panas hatinya tatkala itu. Segala sumpah-seranah bermain di hati, tidak kurang yang terkeluar dari bibirnya.

"Saff..." suara Syeikh Hassan kedengaran berwibawa. Tidak sampai lima saat, manusia yang berkeliaran tadi sudah membentuk barisan-barisan lurus sehingga melimpah keluar dari dataran al-Buraq. Merzelo merenung tajam susuk tubuh Syeikh Hassan dari jauh.

"Mehmoud," panggil Merzelo. Mehmoud mendekat. "Aku nak kau persiapkan tentera kita, berjaga di sana. Jangan buat apa-apa sebelum aku memberikan arahan."

Mehmoud mengangguk kemudian keluar menjalankan amanah yang diberi.

"Kau tunggulah Hassan..." Merzelo mendengus.

***

"Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa saja yang kamu sanggupi dan dari kuda-kuda yang ditambat untuk berperang (yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh Allah, musuhmu dan orang-orang selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Apa saja yang kamu nafkahkan pada jalan Allah niscaya akan dibalas dengan cukup kepadamu dan kamu tidak akan dianiaya (dirugikan)."

"Dan jika mereka condong kepada perdamaian, maka condonglah kepadanya dan bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui."

"Dan jika mereka bermaksud hendak menipumu, maka sesungguhnya cukuplah Allah (menjadi pelindungmu). Dialah yang memperkuatmu dengan pertolongan-Nya dan dengan para mu'min,"

"dan Yang menyatukan hati mereka (orang-orang yang beriman). Walaupun kamu membelanjakan semua (kekayaan) yang berada di bumi, nescaya kamu tidak dapat menyatukan hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatukan hati mereka. Sesungguhnya Dia Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana."

Maksud ayat 60 hingga ayat 63 surah al-Anfaal yang dibacakan Syeikh Hassan dalam solat Subuh tadi benar-benar menggetarkan jiwa mereka. Hampir sekalian jemaah menangis. Syeikh Hassan telah menyampaikan ayat Allah itu terus ke dalam hati-hati mereka. Turut ditafsirkan dengan sebaiknya inti surah al-Anfaal dalam kuliah Subuh. Allah bersama mereka. Apa-apa yang berlaku selepas ini, Allah juga yang bersama mereka. Kuliah Subuh itu berlarutan, yang akhirnya bertukar menjadi sesi menghidupkan jiwa-jiwa pejuang, tiada seorang jemaah pun yang berganjak dari tempat mereka. Seakan-akan ada semangat yang semakin lama semakin membakar dalam jiwa-jiwa mereka biarpun di sekeliling mereka beratus-ratus tentera Zionis bersedia untuk mengangkat senjata pada bila-bila masa sahaja.

"Apa yang berlaku kepada kita hari ini sudah lama termaktub dalam tinta Allah. Apa yang berlaku berpuluh-puluh dan beratus-ratus tahun dahulu juga sudah disusun oleh-Nya. Tidaklah semua kejadian ini dijadikan sedemikian rupa tanpa hikmah yang hanya Dia sahaja yang mengetahuinya."

"Kaum-kaum sebelum kita telah melaksanakan janji mereka terhadap Islam. Mereka telah menjalankan amanah mereka terhadap al-Quds! Dan kita, pada hari ini akan menunaikan janji kita kepada al-Aqsa! Insya'ALLAH!" Perkataan terakhir itu disambut bersahut-sahutan oleh para jemaah.

"Hari ini, al-Aqsa menjadi saksi cinta kita kepada Yang Menciptakan! Tiada yang dapat memutuskan hubungan kita dengan al-Aqsa tanpa izin-Nya! Biar berjuta Zionis yang datang, juga tidak mampu memisahkan kita dengan al-Aqsa! Dengar, saudaraku...dengarlah! Al-Aqsa sedang merintih! Al-Aqsa sedang meraung! Siapa di antara kalian yang mahu bersama-samaku menghentikan rintihan dan raungannya? Siapa? Siapa?"

Pertanyaan itu disambut dengan jemaah yang berdiri sedikit demi sedikit bermula dari saf paling hadapan. Lama-kelamaan jumlah yang berdiri semakin bertambah, kelihatan seperti sebuah lautan luas sedang berombak kuat hinggalah ke saf yang terakhir. Allah Maha Besar. Inilah dia tapisan pejuang yang telah ditetapkan oleh-Nya untuk melindungi al-Quds!

"Jangan harap!" Tiba-tiba suara sumbang mencelah. Jemaah yang sudah bangkit menoleh ke arah Merzelo yang telah turun padang. Di sisinya Mehmoud, dan tali barut. Oh, lelaki tua di al-Ayubi itu rupa-rupanya tali barut Merzelo.

"Munafik!" Perkataan itu terkeluar dari mulut Khalid, lelaki tua itu terkejut. Gugup melihat penduduk yang selama ini bersama-samanya kini menentangnya. Bukan, mereka tidak menentangnya, dia yang menyebabkan mereka menentangnya.

"Shawl! Sudah 9.38 pagi, kita tidak boleh lewat. PM akan sampai tidak lama lagi!" Merzelo mengingatkan kontraktok yang mengetuai majlis perletakan batu asas pada pagi itu. Shawl menukar gear jentera yang akan membawa batu asas ke tengah dataran al-Buraq.

"Kami tidak akan benarkan, Merzelo." Syeikh Hassan tampil ke hadapan Merzelo. Mereka berdiri bertentangan, dengan jarak lebih dekat dari sebelum-sebelum ini.

"Setakat mana?" Merzelo tersenyum sinis.

"Sehingga engkau bersetuju untuk menarik semula pembinaan jambatan ini."

"Aku-tak-akan-tarik-balik." Merzelo menekan-nekan pangkal bahu Syeikh Hassan dengan jari telunjuknya.

"Kurang ajar!" Khalid yang agak kurang sabar meluru mahu menerkam, tetapi ditegah oleh Saed dan al-Fahmi.

"Sesiapa yang menghalang, bersedialah untuk menghadapi tentera-tentera aku!" Merzelo berkata angkuh.

"Kaum muslimin semuanya sudah bersedia dengan izin Allah..." kata-kata Syeikh Hassan disambut dengan takbir oleh kaum muslimin.

Merzelo menarik nafas dalam, "Shawl!" Shawl menggerakkan jentera.

"Muslimat...ke belakang dengan anak-anak." Syeikh Hassan mengarahkan kaum wanita ke belakang. Kaum wanita beransur ke belakang bersama anak-anak kecil. "Muslimin..."

Kaum muslimin bergerak ke hadapan, membentuk satu benteng besar antara dataran al-Buraq dan kumpulan berjentera. Shawl teragak-agak mahu mara.

"Kenapa berhenti? Teruskan, bodoh!" Merzelo bengang. Shawl tersentak, pedal minyak ditekan. Jentera bergerak ke hadapan, semakin lama semakin hampir. Benteng kaum muslimin semakin kukuh dan kejap.

"Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berperang di jalan-Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh." [as-Saff: 4]

Jentera dengan sebiji batu besar itu semakin menghampiri dataran. Lagi seinci, tiba-tiba... Plunk! Sebiji batu kecil terpelanting setelah mengenai jentera itu. Shawl terperanjat. Hampir terlepas batu besar yang dibawanya dengan menggunakan jentera itu akibat terlalu terkejut.

"Umar!" Asiah meluru mendapatkan anaknya. Merzelo melihat dari jauh. Hati yang sudah sedia panas semakin panas.

"Mehmoud! Tangkap anak itu! Berani dia mengganggu kerja aku!" Merzelo memberi arahan. Mehmoud mula mengerah tenteranya. Seperti yang diamanahkan, kaum muslimin tidak membiarkan perkara itu begitu sahaja. Tidak sempat tentera-tentera Zionis mendapatkan Umar, al-Fahmi dan beberapa orang muslimin terlebih dahulu menyekat mereka.

"Bunuh saja mereka!" Merzelo sudah tidak sabar lagi. Suasana menjadi tegang. Beratus-ratus tentera Zionis mula menyerang kaum muslimin. Mula-mula hanya berlawan pukul-memukul, hentam-menghentam, dan bantai-membantai. Kaum muslimin masih mampu untuk membalas serangan itu dengan kekuatan yang diberikan oleh Allah kepada mereka. Takbir bersahut-sahutan di segenap ruang. Syeikh Hassan sendiri menentang Mehmoud sebelum menghampiri Merzelo. Semuanya berusaha bersungguh-sungguh, tidak kira dari pihak Islam atau pihak Zionis, bezanya cuma pada matlamat akhir mereka. Kaum wanita terus berdoa di belakang barisan muslimin yang melindungi mereka, kanak-kanak pula membuat onar pada jentera Shawl dengan membaling batu-batu kecil. Kalut, inilah perang. Masing-masing mempertahankan matlamat akhir. Sehinggalah...

Satu das tembakan kedengaran. Bagaikan mesin masa yang terhenti, semuanya berpaling. PM yang dimaksudkan oleh Merzelo tadi telah tiba, dialah yang melepaskan tembakan. Dalam keheningan itu, kedengaran suara seseorang sedang mengerang kesakitan.

"Syeikh!!!"

***

**Cop! Ana tidak pasti kesudahan kisah ini bagaimana, biarlah sampai sini sahaja. Masa hadapan yang tidak pasti dari mata kasar mengurangkan kebarangkalian untuk ana menyambungnya, tetapi janji Allah yang sentiasa benar pasti akan menghasilkan peleraian kisah yang terbaik...insya'ALLAH.**http://www.emocutez.com


Apa yang akan berlaku kepada al-Aqsa ya ALLAH...teruskan berdoa!

Post a Comment

4 Comments

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  3. >...

    salam~ terima kasih~ jom kita menyukai semuanya~

    afwan..

    ReplyDelete
  4. waaa i da agk da
    mmg taste cter yu gini

    penah bace cte lain..gaya gans jugak

    ReplyDelete

Thank you for coming by. Comments are your responsibility. Any comments are subjected to the Act 588 MCMC 1988. Comment wisely, and do it with pure intentions. Any comment with link(s) will be deleted to avoid spam.

For any inquiries, email: sunahsakura@gmail.com