BLOG ENCIK SUAMI

Monday, November 8, 2010

Srikandi Uhud

...ingin menjadi dia sampai bila-bila...
Ketika itu, dia sedang berada di dapur. Suaminya sedang berehat di dalam bilik tidur. Tiba-tiba terdengar bunyi gemuruh bagaikan batu-batu gunung runtuh, jatuh bergolek-golek. Dia tersentak, itu mungkin tentera musuh! Beberapa hari ini suasana agak tegang di puncak Uhud.

Segera ditinggalkan kerjanya di dapur lalu menghampiri si suami yang sedang tidur. Dengan lembut, digerakkan tubuh suaminya. "Suamiku, sepertinya ada sesuatu yang aneh menuju Uhud. Mungkin tentera kuffar telah menyerang."

Suaminya tersentak, beristighfar juga di dalam hati kerana isterinya yang terlebih dahulu menyedari kedatangan tentera musuh. Bingkas dia bangun, mencapai kelengkapan perang. Kuda disiapkan. Si isteri menghampiri.

"Suamiku, ambillah pedang ini. Jangan engkau pulang sebelum menang." Si isteri menyerahkan sebilah pedang milik suaminya.

Si suami merenung wajah isterinya dalam-dalam. Seolah-olah itulah pandangan yang terakhir buatnya. Tiada lagi rasa ragu untuk bertempur setelah mendengar kata-kata yang keluar dari bibir isterinya. Berangkatlah dia ke medan Uhud dengan semangat jihad yang tinggi.

***

"Aku sudah tiada apa-apa lagi kecuali sekujur tubuhku yang sudah tua ini. Izinkan aku untuk bertempur di medan perang," pintanya kepada utusan yang menyampaikan berita itu. Beberapa hari lepas, suaminya telah gugur syahid, sehari selepas itu, anak lelaki sulongnya pula menyusul ayahnya dan pagi ini dia mendapat berita anak lelakinya yang masih berusia 13 tahun itu pula telah dijemput sebagai tetamu Allah.

"Tetapi, engkau seorang perempuan..." utusan itu serba-salah.

"Adakah engkau mahu menghalang aku pergi berjihad di jalan Allah?" dia menduga. Namun, tidak ditunggu jawapan dari utusan itu, segera dia berangkat ke bukit Uhud, berhajat untuk menemui ketua angkatan perang.

Ketua angkatan perang yang ditemui bersetuju membenarkannya berjihad, tetapi dengan merawat tentera-tentera Islam yang cedera. Dengan itu, pahalanya sama dengan orang yang bertempur. Segera dia melakukan seperti yang disuruh oleh pemimpin agung itu.

***

Dia sudah tidak mampu bertahan lagi. Hatinya panas. Remuk redam melihat kekejaman yang dilakukan terhadap tentera Islam. Kepala syuhada itu dipancung tentera kuffar. Bertambah panas hatinya apabila melihat ketua angkatan perang terjatuh dari kuda tunggangannya kerana mengelak busur yang sipi-sipi sahaja mengena di dahinya. Semangat jihadnya membakar, segera dicapai pedang si syuhada tadi, lalu meluru ke arah medan pertempuran. Ketua angkatan perang perlu dipertahankan, kebanyakan tentera telah meninggalkan medan Uhud, tinggal dia dan panglima-panglima yang setia.

Pertempuran bertambah sengit. Mereka terus mempertahankan ketua angkatan perang. Akhirnya dia rebah.

***

"Adakah engkau isteri Zaid?" tanya tentera Islam itu setelah memercikkan air ke wajahnya.

"Bagaimana dengan Rasulullah?" dia pula bertanya kepada tentera itu.

"Baginda tiada satu yang kurang, ALLAH dan pencintanya bersama baginda."

"Pinjamkan aku pedang dan kudamu," pintanya.

"Tetapi, engkau cedera parah..."

"Adakah engkau mahu menghalang aku membela Rasulullah?"

Akhirnya tentera itu terpaksa menyerahkan pedang dan kudanya kepada wanita tersebut. Dengan bersusah-payah wanita itu menaiki kudanya, kemudian menuju ke medan pertempuran. Sekali lagi, semangat jihad membawanya berjuang menegakkan Islam dan melindungi ketua angkatan perang, Rasulullah s.a.w.

Setelah bertempur beberapa lama, tubuhnya mengalami begitu banyak luka parah dan calar balar. Namun, semua itu tidak menghentikan langkahnya, dia terus menyinar di Hunain dan Yamamah. Syahidnya di Yamamah menentang Musailamah.

Dialah...Nusaybah binti Kaab, srikandi agung.

Rasulullah saw pernah bersabda: "Tidaklah aku menoleh ke kiri dan ke kanan kecuali aku akan melihat Ummu Imarah berperang di hadapanku" (at-Thabaqat (8/145, Siyar 'Alam an-Nubala' (2/279) dan sirah an-Nabawiah susunan Dahlan (2/48).

*gelaran lain bagi Nusaybah binti Kaab ialah Ummu Imarah.



Novelog Miss Ran: Aku, Dia, dan Paparazzi

Kuntuman Sakura

Blog (167) Blog Review (110) Blogger (57) BM (17) Books (26) Cerpen (14) Cici (41) cinta (34) Dakwah (65) Eh Ustazah (42) gathering (8) iklan (24) Info Sihat (26) Jalan-jalan (47) lirik (22) Motivasi (52) muhasabah (34) Nukilan Jiwa (55) Palestine (21) perkahwinan (38) Puisi (45) Puisi Islamik (15) Ramadhan (21) Review Filem (3) Sakura (33) Tazkirah (87) Tutorial (27) WordlessWednesday (54)
Ini adalah blog peribadi. Sebarang pendapat yang saya nukilkan di sini adalah dari saya sendiri, tidak melibatkan sesiapa kecuali jika saya letakkan nama pemiliknya. Sebarang COPYPASTE dari laman Sunah Suka Sakura dot com adalah dibenarkan dengan syarat dikreditkan ke blog ini. Sama-sama menyebarkan perkara yang bermanfaat. Terima kasih.