BLOG ENCIK SUAMI

Wednesday, April 25, 2012

Cintamu Yang Kau Bawa Pergi

Dia menutup buku yang belum habis dibaca. Jam sudah menunjukkan pukul 12.50 malam. Sudah beberapa malam masa tidurnya berubah sedikit. Komputer riba dibiarkan di atas meja. Tidak ditutup.

Naik ke atas katil, telefon bimbit dicapai. Tiada mesej atau panggilan yang terlepas. Insyirah menarik nafas dalam-dalam. Sekali-sekali kedengaran lafaz istighfar antara helaan nafas. Dia berbaring, cuba untuk melelapkan mata. Namun, fikiran yang agak bercelaru akhir-akhir ini agak meresahkan jiwanya.

Lalu zikir menyebut nama Pencipta meniti di bibir, menemani hingga dia terlelap.

*****

Seminggu yang lepas.

"Insyirah!"

Suara itu milik Noorah, sahabat baiknya. Insyirah berpaling. Nampak sahaja wajah Noorah, dia melemparkan senyum. Noorah mendekat, mencapai tangannya dan berpeluk cium sebentar. Tidak dipedulikan mata-mata yang melihat mereka di hadapan restoran itu.

"Sihat ke ni? Nape macam makin kurus?" Noorah bertanya.

"Alhamdulillah, sihat aje la..." Insyirah masih senyum. "Jom!"

Mereka masuk ke dalam restoran. Makanan ditempah ala kadar.

"Noorah..." Insyirah bersuara perlahan setelah pelayan beredar.

"Ye, sayang... Nape ni?" Noorah tertanya-tanya. Seperti ada sesuatu yang sahabat baiknya pendamkan dalam hati. Sesuatu yang sangat berat mungkin. Jarang sekali Insyirah nampak gundah begini. Selama ini, dia seorang yang sangat ceria dan murah dengan senyuman.

"Kalau Noorah tau Noorah akan pergi jauh, Noorah akan buat ape?" Insyirah merenung mata Noorah dalam-dalam.

"Insyirah!"

*****

"Maafkan abang, abang tak boleh terima Insyirah..."

Insyirah tersentak. Seolah-olah ada besi tajam menusuk dan merobek jantungnya. Seperti yang dia jangkakan, kata-kata itu akan keluar dari mulut tunangnya. Sejak bulan lepas, hubungan dengan tunangnya bagai retak menanti belah. Entah kenapa Uzair berubah, Insyirah tidak pasti.

"Tapi kenape abang? Ape yang Insyirah dah buat...?"

Uzair diam. Pertemuan enam mata petang itu menjadi hening. Cuma diselangi dengan esakan perlahan Insyirah. Noorah menggenggam tangan sahabat baiknya.

"Abang... Sebab ni ke...?" Insyirah menolak sampul besar yang dikeluarkan dari beg kepada Uzair. Uzair yang hampir tawar hati terkejut melihat sampul di hadapannya. Tanpa perlu dibuka, dia sudah tahu isi di dalamnya.

"Mana... Mana Insyirah dapat ni?" Uzair bertanya.

Ingin disimpan semuanya hanya untuk diri sendiri. Biar dia sahaja yang menanggung semua rasa sakit ini. Entah dari mana Insyirah mendapat sampul itu, Uzair sendiri tertanya-tanya.

*****

"Allah, Tuhanku... Seandainya ini ujian yang Kau berikan kepada kami dalam mencari keredhaanMu, berikanlah kami kekuatan dan ketabahan untuk menghadapi semua ini. Ya Allah... Sesungguhnya kami ini hambaMu yang lemah lagi tidak berdaya. Berikan kami petunjukMu dan jadikanlah kami sebagai hambaMu yang redha atas segala ketentuan dariMu... Ameen ya Rabb..."

Air mata diseka perlahan. Insyirah mencapai telefon bimbit. Ada sesuatu yang terdetik di hatinya di penghujung sepertiga malam itu. Nombor telefon didail. Tidak lama dia menunggu, telefon bimbit sebelah sana diangkat.

"Assalamualaikum abang..."

"Wa'alaikumussalam Insyirah."

"Abang dah qiam ye?"

"Aha, baru sudah."

"Alhamdulillah... Abang sihat?"

"Alhamdulillah, abang sihat."

"Alhamdulillah... Abang... Masih ade peluang tak untuk saya menjadi isteri abang?"

Uzair diam.

"Maafkan saya, abang... Andai kata kerana abang bimbang saya akan terbeban dengan sakit abang..."

"Abang ok, Insyirah." Uzair memotong.

"Tak... Saya tahu, abang takut saya akan ditinggalkan kalau abang tiba-tiba pergi dijemput Allah kan?"

Uzair diam lagi.

"Abang... Andai itu yang abang takutkan, saya minta pada abang...buang rasa tu jauh-jauh. Andai ditakdirkan Allah semua tu akan berlaku, saya masih mahu meneruskan pernikahan ni."

"Insyirah..."

"Abang... Saya minta bahagiakanlah saya sebagai seorang suami walau sekejap cuma, kerana saya mahu membahagiakan abang sebagai isteri yang sah walau hanya seketika." Insyirah sudah tidak mampu menahan esak.

"Insyirah..." Uzair terkedu. Hati lelakinya tersentuh. Hanya air mata yang mengalir bisu.

"Abang... Sesungguhnya di sebalik kesulitan itu ada kemudahan... Dan sesungguhnya di sebalik kesulitan itu ada kemudahan..."

Tafsir surah al-Insyirah itu terngiang-ngiang di telinganya.

*****

"Ameen..."

Usai solat Isyak berjemaah malam itu, Uzair menghadap isterinya. Ditenung wajah mulus itu lama-lama. Tenang hatinya.

"Terima kasih sayang...dan maafkan abang--" Ayat Uzair tidak sempat dihabiskan. Jari telunjuk Insyirah mengatup bibirnya. Insyirah menggeleng. Uzair diam. Dicapai tangan suaminya dan dicium perlahan.

"Terima kasih, abang. Insyirah janji, insya'Allah... Insyirah akan isi masa yang ada dengan sebaiknya untuk abang." Insyirah memulangkan ucapan suaminya. Uzair menarik nafas dalam-dalam.

"Insya'Allah abang akan manfaatkan semua yang Allah bagi pada abang sekarang ni. Abang sayangkan Insyirah..." Ditarik isterinya ke dalam pangkuannya. Insyirah hanya diam, membiarkan. Dia tahu, Allah sedang memberikan pahala.

*****

"Uzair!"

Suara itu milik Noorah, sahabat baik Insyirah. Uzair berpaling. Nampak sahaja wajah Noorah, dia melemparkan senyum. Noorah mendekat.

"Eh, Irdina pun ade~ Meh sini peluk auntie!" Anak kecil yang comel itu berlari mendapatkan Noorah.

"Auntie nak siram kubur mama ye?" Irdina petah bertanya. Wajah mulus itu mengingatkan Noorah kepada arwah sahabat baiknya. Noorah senyum dan mengangguk perlahan.

"Irdina dengan papa da siram ye?" Irdina mengangguk laju. Noorah memandang Uzair. Wajah lelaki itu nampak tenang dan bersahaja. Namun, Noorah tahu di dalam hatinya ada kisah yang disimpan. Di sebalik senyuman lelaki itu ada duka yang hanya dia mengerti.

Takdir Allah, tiada siapa dapat mengubah ajal. Insyirah meninggal dunia setelah dua tahun usia perkahwinan dengan Uzair. Allah menjemput Insyirah kembali semasa melahirkan anak pertama mereka, Irdina. Kanser pangkal rahim yang sudah lama dihidapinya meragut nyawanya pergi bersama cinta yang disemai.

Moga Insyirah tenang di sana.


P/S: Kali ni versi lain pulak. Erm... Versi sebelumnya kat Ku Bawa Pergi Cintamu


7 comments:

Anum said...

thanks for sharing

kiera'sakura said...

hukhukhuk.. ajal maut jodoh pertemuan ditgn Allah kan.. tp tetap puas sbb diorg sempat bersama sblm ajal dtg menjemput :)

efa nur said...

jodoh pertemuan ajal maut semua di tangan Allah.... sentiasa bersangka baik kan :)

best cerita nie kak..banyak pengajaran tersirat..tq :)

maszull said...

assalamualaikum sunah...sedihnya cite ni semuanya ketentuan Allahkan...:)

Iffah Afeefah said...

Sume sedih

yu kejam


sedihhh

FasiHaH SupiaN said...

huhu sedih....

aDisH.sHidA said...

sunah...awk buat akak bergenangan air mata...huhuhu

Novelog Miss Ran: Aku, Dia, dan Paparazzi

Kuntuman Sakura

Blog (167) Blog Review (110) Blogger (57) BM (17) Books (26) Cerpen (14) Cici (41) cinta (34) Dakwah (65) Eh Ustazah (42) gathering (8) iklan (24) Info Sihat (26) Jalan-jalan (46) lirik (22) Motivasi (52) muhasabah (34) Nukilan Jiwa (55) Palestine (21) perkahwinan (38) Puisi (45) Puisi Islamik (15) Ramadhan (21) Review Filem (3) Sakura (33) Tazkirah (87) Tutorial (27) WordlessWednesday (54)
Ini adalah blog peribadi. Sebarang pendapat yang saya nukilkan di sini adalah dari saya sendiri, tidak melibatkan sesiapa kecuali jika saya letakkan nama pemiliknya. Sebarang COPYPASTE dari laman Sunah Suka Sakura dot com adalah dibenarkan dengan syarat dikreditkan ke blog ini. Sama-sama menyebarkan perkara yang bermanfaat. Terima kasih.