BLOG ENCIK SUAMI

Monday, June 3, 2013

Dia Kata, Jangan Sangka Di Sebalik Senyum Tawa Itu...

Termenung panjang
Merenung jauh
Keletahmu tidak pernah jemu aku lihat
Hari ke hari
Itulah makananku
Kau tersenyum
Aku bahagia
Kau ketawa
Aku tersenyum sendiri
Kadang seperti orang gila
Menjadi pemerhati bisu
Tanpa banyak bicara
Hanya senyum serupa orang bahagia

Namun kadang-kadang
Senyum dan tawamu aku lihat palsu
Mungkin ya itu caramu menghiburkan hati lara
Tapi denganku kau berbeza
Aku tidak nampak kau tersenyum
Aku tidak melihat kau yang tertawa
Aku tidak nampak kau yang di luar itu
Dengan aku, kau berbeza
Hanya dengan aku
Dan hatiku luluh sendiri
Atau hanya aku yang rasa begitu
Bila tunjuk rasa hanya pada orang paling dekat dengan kita

Mungkin itulah yang orang selalu kata
"Jangan Sangka Disebalik Senyum Tawa Itu Tak Tersimpan Tangisan Duka"


Tidak Sekufu

Sekufu.

Sama taraf, sama darjat.

Itu yang dulunya saya faham tentang sekufu. Tapi bila baca My Precious Iris, karya kak Melur Jelita, mata hati saya terbuka dan terbuka lagi untuk ke berapa kali. Rupa-rupanya sekufu dalam Islam ni lebih dari itu!

Sekufu rupa-rupanya bukan bermaksud sebagai sama taraf atau sama kaya. Tetapi sekufu bermaksud persefahaman suami isteri. Ada tautan jiwa, saling percaya dan saling menghormati. Suami isteri tahu tugas dan tanggungjawab masing-masing.

Lebih-lebih lagi suami sebagai ketua keluarga harus memimpin rumah tangga yang diasaskan atas dasar Islam. Suami bijak membuat keputusan dengan akal yang waras berpandukan al-Quran dan as-Sunnah. Tetapi tidak salah meminta buah fikiran isteri kerana rumah tangga didirikan dengan dua hati dan jasad menjadi satu kerana ikatan murni.

Bila seorang suami tiba-tiba datang untuk menceraikan isteri yang telah tiga puluh dua tahun dikahwininya hanya kerana dia merasakan mereka tidak sekufu berdasarkan Kitab Tajul Muluk, memang patut dinilai balik apa yang berada dalam fikiran suami tersebut. Anak sudah lapan, cucu sudah sembilan belas, bagaimana boleh suami tersebut katakan rumah tangga mereka panas dan dia tidak sekufu dengan isterinya.

Pada usia perkahwinan yang 32 tahun, bukan masanya lagi untuk memahami pasangan, tetapi menghargai pasangan. Tidak mungkin beroleh anak cucu seramai itu kalau tidak kerana saling percaya dan memahami antara mereka. Hanya kerana cakap-cakap orang banyak dan Kitab Tajul Muluk, minda jadi tertutup dan sempit akal untuk berfikir.

Kak Melur Jelita turut berkongsi cara-cara seorang isteri untuk menghadapi suami yang penat pulang bekerja, meladeni dan melayani suami dengan selayaknya seorang isteri solehah. Bukan semakin menjadi bebanan dan penambah berat di pundak suami. Mengalah bukan untuk menunduk, tetapi mengalah untuk menanduk. Mendalam! Tidak sia-sia membaca novel tulisan graduan lulusan Usuluddin UM ni.

Alhamdulillah, memang banyak ilmu dalam MyPI.

Sampai rasa tak sabar nak kahwin! Eh!


** Ilmu untuk dikongsi dan diamalkan, bukan sekadar untuk disimpan dan diangan-angankan... **


Pintu Surau Terkunci

Melihat jam di telefon bimbit.

Dah pukul 7.28 malam. Cepat-cepat kemaskan laptop. Melangkah ke surau yang letaknya di depan kedai saje. Ramainya orang di luar surau. Seperti semua menunggu sesuatu, bukan menunggu ada ruang solat dalam surau, tapi menunggu pintu surau dibuka.

Seorang mak cik mengetuk-ngetuk pintu surau. Mungkin dia fikir ada orang di dalam. Tiada kasut atau selipar di luar surau. Itu yang saya nampak.

"Terkunci ke mak cik?" tanya saya.

"Aha, berkunci. Sape ntah kat dalam."

"Rasanya, ada yang terkunci ni. Sebab takde selipar pun, tak tau lah kalau dia bawak masuk dalam."

"Hurmm...tu lah, macam mana nak solat ni. Maghrib bukan lama."

Saya hanya tersenyum kemudian beredar. Berjalan dan terus berjalan dalam Tesco. Sambil menjenguk sekejap kedai yang ditinggalkan. Tak ada pelanggan. Saya terus berjalan. Mencari kelibat sesiapa yang beruniform pengawal keselamatan. Tak jumpa. Saya kembali ke kedai. Mata melihat ke sana-sini. Saya menghampiri staff yang menjaga booth Easy RHB.

"Tumpang tanya, office kat mana ye?"

Dia pelik. Mungkin lagi pelik sebab ini kali pertama saya menegur dia setelah dua hari bekerja sambilan di sini. Saya kan pemalu orangnya. Eh!

"Surau terkunci, nak tanya siapa ye?"

"Owhhh, cuba naik atas, tanya maintenance."

"Kat atas ye? Terima kasih~"

Saya naik ke tingkat atas. Nampak kaunter informasi Tesco. Seorang staff wanita India sedang berbual dengan seorang staff lelaki. Nampak saja saya mendekat, dia bertanya kalau ada apa yang dia boleh bantu (dengan dialognya; "ya?").

"Erm, surau bawah terkunci. Boleh tolong buka?"

"Surau kunci, suruh orang buka~" Dia pula memberitahu staff lelaki teman berbualnya sebentar tadi. Staff lelaki tersebut bercakap-cakap di walkie talkie, tanpa memandang saya. Staff wanita tadi pula telah lama beredar jauh ke belakang kaunter. Tidak tahu apa kata putus mereka, tapi butir perbualan sedikit sebanyak meminta orang yang berkenaan untuk membuka pintu surau perempuan yang berkunci. Bila mereka seakan-akan tidak mempedulikan saya, saya beredar tanpa memberi ucapan terima kasih.

Turun semula ke tingkat bawah dengan menggunakan eskalator. Masa turun tu, seorang pengawal keselamatan beruniform biru turun tergesa-gesa. Di tangannya, ada beberapa bungkus plastik. Oh, membeli belah rupanya. Saya bergerak ke surau. Pintu masih berkunci. Tinggal dua tiga orang saja lagi menunggu dengan sabar.

"Berkunci." Seorang kakak memberitahu saya.

"Ya, rasanya ada yang tertekan kunci pada tombol pintu surau. Sekejap ya, tu ada orang datang bawa kunci."

"Owhh, dah bagitau ye? Susah la kalau nak solat kena tunggu orang buka kunci surau pula."

Saya hanya tersenyum. Pengawal keselamatan tadi sampai dengan segugus kunci di tangan. Wah, segugus okay. Dia mencuba satu per satu kunci di tangannya. Alahai, kenapa tak dilabel? Lama juga dia mencuba, baru lah pintu surau terbuka. Bila dah terbuka, kunci pula tak mahu tanggal dari tombol. Hurmmm. Nak saja saya ke depan dan tolong tarik, tapi tak elok pula. Dia lelaki, dia mesti lagi kuat dari saya kan? Hiks.

Alhamdulillah, akhirnya pintu surau terbuka. Kami berterima kasih kepada pengawal keselamatan tersebut yang sudah malu bila banyak mata memandang. Maghrib sudah tinggal sedikit waktu saja lagi.

Itu lah, kisah malam tadi. Lambat kan nak cerita kat sini? Baru bawak modem broadband hari ni, dan merajinkan diri masukkan sim card dalam telefon bimbit ke dalam modem tu. Sebab kalau guna tethering, alamatnya sampai esok lusa pun tak terupdate. Lembab!

Oh, ya! Jemput datang ke outlet Benang Hijau di Tesco Bukit Indah (depan surau je). Ada banyak pilihan baju kurung, blouse dan shawl yang menarik~ ;)


** Jangan menyebut tentang menulis dan bercerita berdasarkan pengalaman, jika pengalaman itu sendiri tidak pernah mematangkan... **



Novelog Miss Ran: Aku, Dia, dan Paparazzi

Kuntuman Sakura

Blog (167) Blog Review (110) Blogger (57) BM (17) Books (26) Cerpen (14) Cici (41) cinta (34) Dakwah (65) Eh Ustazah (42) gathering (8) iklan (24) Info Sihat (26) Jalan-jalan (47) lirik (22) Motivasi (52) muhasabah (34) Nukilan Jiwa (55) Palestine (21) perkahwinan (38) Puisi (45) Puisi Islamik (15) Ramadhan (21) Review Filem (3) Sakura (33) Tazkirah (87) Tutorial (27) WordlessWednesday (54)
Ini adalah blog peribadi. Sebarang pendapat yang saya nukilkan di sini adalah dari saya sendiri, tidak melibatkan sesiapa kecuali jika saya letakkan nama pemiliknya. Sebarang COPYPASTE dari laman Sunah Suka Sakura dot com adalah dibenarkan dengan syarat dikreditkan ke blog ini. Sama-sama menyebarkan perkara yang bermanfaat. Terima kasih.