Laksa Sarawak Dengan Pes Hj. Manan

October 30, 2018

Laksa Sarawak Dengan Pes Hj. Manan | Pernah makan Laksa Sarawak? Uols makan kat Sarawak atau kat tempat lain? Atau masak sendiri? Kalau masak sendiri, uols memang da bomb! Tambahan lagi kalau buat kuahnya dari scratch. Saya pernah juga buat sendiri kuahnya guna resepi dari buku, beberapa tahun yang lepas. Saya kongsikan sekali resepi dari Chef Wan Ismail kat SINI. Untuk yang nak cuba buat sendiri kuahnya, boleh lah rujuk link tu ya. Resepi kuah kat situ special sikit, ada campuran kacang tanah kisar.

Tapi kalau uols nak jimatkan masa, kerja lebih mudah dengan adanya Pes Laksa Sarawak Hj Manan. Pes yang ni memang sangat popular kat Sarawak. Dari bungkusan lamanya yang lutsinar dan hanya berlabelkan sehelai kertas, hingga bungkusannya dah diupgrade kepada plastik berlabel sepenuhnya, hasil kuahnya tetap sama. Tetap sedap dan tak berubah.

Pic: Laksa Sarawak @bhumiikita

Kalau saya balik kampung, saya pasti akan beli beberapa bungkus pes laksa ni untuk dibawa balik ke JB. Suka nak jamu housemate dan kawan-kawan yang datang ke rumah, buat makan-makan. Pes laksa ni boleh dicari kat supermarket dengan harga lebih kurang RM5. Kalau uols duduk kat Semenanjung Malaysia, uols boleh beli pes laksa ni dekat Shopee.My. Search aje ya kat sana, cuma harganya mahal sedikit (baca: banyak) berbanding kalau uols beli sendiri kat Sarawak.

Hari Jumaat yang lepas, saya masak Laksa Sarawak guna pes laksa Hj Manan ni. Penyediaan kuahnya sangat mudah. Ikut aje resepi kat label belakang bungkusan pes tu. Untuk bahan-bahan hiasan yang lain, uols kena beli sendiri lah kat kedai. Dada ayam pulak terpulang sama ada uols nak hiris dadu dan masukkan ke dalam kuah terus, atau rebus dulu, kemudian siat-siatkan. Kalau malas, masuk aje terus ke dalam kuah. Hahaha!

Eh, jom tengok resepinya!

Laksa Sarawak dengan Pes Hj. Manan

Laksa Sarawak dengan Pes Hj. Manan
Untuk: 4 - 5 orang

Bahan-bahan:
1 bungkus pes Laksa Sarawak Hj. Manan
1 bungkus bihun dicelur (saya suka guna pasta angelhair - rebus macam sediakan pasta)
2 potong dada ayam (dipotong dadu kalau tak nak siat isinya)
200 gram udang (saya tak letak)
1 kotak kecil santan
2 kiub pati ayam
1 liter air
Garam dan gula secukupnya

Bahan hiasan:
1 bungkus daun ketumbar (dihiris)
3 biji telur (digoreng nipis dan dihiris)
1 biji bawang besar (dihiris)
5 biji limau kasturi (dibelah dua)
1 biji kecil sengkuang (dihiris *saya tak letak)
1 biji timun (dihiris halus *saya tak letak)
Tauhu (digoreng dan dipotong kecil)
Sambal belacan

Cara-cara membuat kuahnya:
  1. Masukkan air ke dalam periuk, rebus hingga mendidih.
  2. Jika menggunakan udang, rebus udang hingga ia timbul di permukaan air, maka udang dah masak. Keluarkan udang dan tuskan.
  3. Dalam periuk yang sama, rebus ayam dalam air mendidih tadi. Kalau suka siatkan isinya, boleh keluarkan ayam bila dah empuk dan tuskan. Siat isi ayam bila dah sejuk nanti. Tapi jika kurang rajin, biarkan aje isi ayam dalam air rebusan.
  4. Masukkan pes Laksa Sarawak Hj Manan, kiub pati ayam dan santan kotak. Gaul dan biarkan mendidih lagi selama 5 minit.
  5. Perasakan dengan gula dan garam. Jika ok, boleh matikan api.


Nah, mudahkan?

Bila dah sedia untuk dimakan, masukkan bihun atau pasta angelhair ke dalam mangkuk, tabur bahan-bahan hiasan berserta udang dan sambal belacan, tuangkan kuah. Jangan lupa perah dulu limau kasturinya sebelum makan.

Selamat mencuba! 

You Might Also Like

1 Comments

Thank you for coming by. Comments are your responsibility. Any comments are subjected to the Act 588 MCMC 1988. Comment wisely, and do it with pure intentions.

For any inquiries, email: sunahsakura@gmail.com