Ticker

6/recent/ticker-posts

Pelajar UTM Ikuti Program Bakti Siswa di Bario

JOHOR BAHRU 27 Mei - Seramai 12 pelajar dan lapan kakitangan Kolej Tun Dr. Ismail Universiti Teknologi Malaysia (UTM) akan mengikuti program khidmat bakti siswa di Bario, Sarawak pada Jun ini.

Pengarah program, Mohd. Saifulrullah Mohd. Azami dalam kenyataannya di sini hari ini berkata, aktiviti yang dikenali sebagai Lestari Bario itu ditaja oleh Malaysian Airlines System Berhad (MAS).

Jelasnya, pihak MAS telah menaja 20 keping tiket penerbangan ke destinasi tersebut.

"Program yang berbentuk akademik dan khidmat masyarakat itu bertujuan untuk membantu pelajar sekolah kebangsaan dan sekolah menengah di Bario meningkatkan pencapaian dalam bidang akademik.

"Berdasarkan perbincangan yang telah dilakukan antara ahli jawatankuasa (AJK) dan guru sekolah berkenaan, didapati mereka memerlukan bantuan bahan pembelajaran seperti buku rujukan," katanya.

Selain buku rujukan, menurut Mohd. Saifulrullah, mereka juga memerlukan pakaian seragam sekolah, kasut dan alat bantuan mengajar seperti cakera padat.

"Kesemua keperluan tersebut adalah untuk menanam minat dan meningkatkan kefahaman pelajar," katanya.

Tambah beliau, peserta program turut membantu penduduk di kawasan tersebut untuk menghasilkan baja Effective Microorganism (EM) bagi program penghutanan semula dan penanam padi.

Mengenai pemilihan Bario, Mohd. Saifulrullah berkata, ia diyakini dapat memberi kesedaran kepada mahasiswa mengenai tanggungjawab sosial membantu penduduk yang kurang bernasib baik termasuk yang berada di pedalaman.

Sehubungan itu, orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menghubungi Mohd. Saifulrullah di talian 017-9058927 atau Pejabat Kolej Tun Dr. Ismail di talian 07-5531951.

Sumber: Utusan Malaysia

Admin: Selamat datang ke Sarawak dan menabur bakti~

Post a Comment

0 Comments