Ticker

6/recent/ticker-posts

Apa Itu Dry Socket - Gejala dan Pencegahan

Apa Itu Dry Socket? | Kalau baca entri sebelum ni, korang mesti tahu bahawa ciksun baru aje lepas buat minor surgery impacted tooth removal. Dalam entri tu, ciksun ada sebut tentang dry socket. Sesiapa yang nak buat cabutan gigi kena tahu dulu tentang dry socket ni. Macam ciksun, lepas cabut gigi baru tahu. Haha. Lepas cabut jugak baru nak baca penjagaan selepas pembedahan buang gigi bongsu. Jangan jadi macam ciksun tau, lebih baik study sebelum daripada selepas. Banyak kelebihan yang korang akan dapat.

So, apa itu dry socket? Soket kering adalah satu keadaan yang sakit, ia kadangkala terjadi selepas gigi dicabut dan lebih cenderung berlaku selepas cabutan gigi geraham bongsu rahang bawah. Ia berkait dengan kehilangan sebahagian atau semua klot darah yang terbentuk di dasar soket selepas gigi dicabut.

Apa Itu Dry Socket - Gejala dan Pencegahan
Kredit: HaloDoc

Tanda-tanda dan gejala dari dry socket termasuklah:
  • Rasa sakit yang melampau dalam beberapa hari setelah pencabutan gigi.
  • Kehilangan sebahagian atau seluruh gumpalan darah pada kawasan cabutan gigi, korang menyedari adanya soket yang terlihat kosong atau kering.
  • Terlihat adanya tulang pada soket.
  • Nafas berbau dari mulut.
  • Rasa tidak sedap pada mulut.
  • Pembengkakan kelenjar pada rahang atau leher.
  • Demam ringan.

Kemungkinan ada tanda-tanda dan gejala yang tak disebutkan kat atas. Bila korang memiliki mana-mana masalah tersebut, segeralah berjumpa dengan doktor gigi korang.

Satu opsyen untuk mencegah soket kering adalah mengurangkan puing dan beban bakteria di dalam mulut, walaupun soket kering bukan berpunca dari bakteria. Orang dengan kebersihan oral yang teruk (puing makanan dan plak) lebih berisiko untuk mengalami soket kering. Pembaikan kebersihan oral dan berkumur sebelum cabutan gigi atau bermula 24 jam selepas cabutan boleh mengurangkan kemungkinan soket kering.

Untuk mengelakkan dry socket, pesakit selalunya dinasihatkan untuk:
  • Sentiasa menggigit kapas yang diberikan untuk menggalakkan pembekuan darah. Kapas ditukar setiap 30minit. Lakukan sehingga 6 jam.
  • Tidak boleh berkumur-kumur selepas membuat cabutan. 
  • Tidak meludah selepas cabutan. 
  • Menelan air liur walaupun terasa seperti darah.
  • Elakkan merokok, merokok tidak membantu memulihkan gusi.
  • Makan dan minum sesuatu yang sejuk seperti aiskrim. Elakkan makan makanan dan minuman yang panas.
  • Elakkan menggunakan straw ketika minum.
  • Jaga kebersihan gigi.
  • Jangan sentuh bahagian cabutan atau menyedut.
  • Makan ubat yang disarankan oleh doktor.

Sebagai pesakit lepas cabut gigi, mesti nak tengok cermin tiap hari tempat cabutan tu. Periksa kalau-kalau soket kering atau ada bendasing lain. Dalam hari ketiga, korang akan perasan ada lapisan putih pada bekas cabutan. Ciksun serius panik hampir setiap malam sebelum tidur disebabkan benda ni. Siap tanya kak Ajan juga, normal ke ada benda putih-putih tu. Ye, jadi anxiety kauuu. Tak boleh tidur, resah and takut kalau-kalau tempat tu ada infection.

Lega ciksun bila kak Ajan cakap benda tu normal. Lapisan putih pada bekas lubang cabutan gigi boleh disebabkan oleh beberapa perkara. Contohnya, tisu pertumbuhan baru yang lembut dikenali sebagai tisu granulasi, sering berwarna putih, adalah tanda penyembuhan luka. Jangan buangkan lapisan tersebut. Melainkan kalau korang mengalami gejala seperti demam, sakit pada bekas lubang tersebut, kemerahan atau lapisan berbau, bernanah, kemungkinan ia disebabkan oleh infeksi. Korang perlu merujuk kepada doktor gigi untuk menjalani sebarang pemeriksaan dan penyelidikan serta menerima rawatan yang sesuai.

Berapa lama nak sembuh dari cabutan gigi? Lebih kurang 1 hingga 4 minggu, bergantung kepada gaya hidup pesakit. Kalau korang merokok, proses penyembuhan akan mengambil masa lebih lama. Jadi, elakkan merokok semasa proses penyembuhan sehingga lubang cabutan gigi tertutup dengan sempurna. Lubang cabutan gigi geraham lebih besar daripada gigi lain, jadi proses penyembuhan memang akan mengambil masa lebih lama. 

Apa Itu Dry Socket - Gejala dan Pencegahan

Faktor penting lain yang mempengaruhi penyembuhan adalah ape yang berlaku dalam masa 24 jam selepas cabutan gigi. Kalau korang mengalami pendarahan teruk dalam 24 jam tu, korang akan ambil masa lebih lama untuk sembuh berbanding dengan pesakit yang darah dia cepat membeku lepas cabut gigi. Fokus paling utama lepas cabut gigi adalah pembekuan darah pada lubang cabutan. Kalau proses ni terganggu, jadi lagi lambat la nak sembuh. So, seeloknya macam disebut kat atas, elakkan minuman dan makanan panas dalam 24 jam lepas cabutan gigi. Ciksun ni sampai hari keenam ni pun masih makan bubur sejuk. Haha.

Gangguan jugak boleh terjadi disebabkan oleh pemakanan. Kalau tempat cabutan tu tergesel dengan nasi pun tak boleh. So, lebih elok makan benda-benda yang lembut dan cair, serta gunakan bahagian gigi yang tak terlibat dengan cabutan. Jangan lupa pastikan kebersihan mulut masih terjaga walaupun selepas cabutan. Korang masih perlu memberus gigi, lidah dan gusi tapi elakkan memberus di soket cabutan. Dengan keadaan mulut yang bersih, insya'Allah risiko jangkitan pada kawasan cabutan dapat dikurangkan.

Post a Comment

5 Comments

  1. Tp kan kita rasa menyesal cabut gigi bongsu ni... Ekceli tak sakit pape pun tp gatal pi cabut setelah dipujuk rayu oleh doktor.. Sbb dia tgk gigi tu dah senget.. Padahal elok je x rasa pape pun.. Ni bila dah cabut ermm rs kurang selesa smp la skrg.. Gusi kd bengkak je slalu.. N nak gigit makanan pun rs x selesa.. Cam x puas makan gitu.. Terpaksa asyik guna gigi sebelah lg satu je.. Mmg rs nyesal. Gilaaaa haha

    ReplyDelete
  2. nak gosok ggi pun seriau. takut terkena tempat baru cabut

    ReplyDelete
  3. Pernah cabut gigi geraham bawah. Syukur takde masalah lepas tu. Cuma doktor pun pesan tak boleh berkumur dan kena makan makanan yang lembut macam bubur sehingga gusi elok balik.

    ReplyDelete
  4. Takutnya nak cabut gigi. Mekasih ciksun share pasal dry socket ni

    ReplyDelete

Thank you for coming by. Comments are your responsibility. Any comments are subjected to the Act 588 MCMC 1988. Comment wisely, and do it with pure intentions. Any comment with link(s) will be deleted to avoid spam.

For any inquiries, email: sunahsakura@gmail.com