Ticker

6/recent/ticker-posts

Harga Tiket Bas Naik Musim Cuti

MUSIM perayaan adalah masa dinantikan oleh kebanyakan masyarakat mahasiswa. Ketika inilah mahasiswa mengambil peluang pulang ke kampung halaman bertemu keluarga dan sahabat handai di samping melepaskan tekanan sebagai mahasiswa di kampus.

Ironinya, semangat untuk pulang ke kampung menjadi hambar apabila menyaksikan kerakusan sesetengah pihak yang cuba menangguk di air yang keruh. Pengusaha bas mahupun teksi sewenang-wenangnya menaikkan caj perkhidmatan pada musim perayaan.

Sebagai contoh, kos perjalanan dari Skudai ke Melaka menggunakan perkhidmatan bas ekspres dinaikkan daripada RM19 (termasuk 30 peratus surcaj) kepada RM22, manakala dari Skudai ke Kuala Lumpur dinaikkan daripada RM31.20 mencecah RM35.

Lebih memeranjatkan ada pengusaha tiket bas menaikkan harga sehingga 100 peratus. Kos perjalanan ke Utara (Kedah) sebagai contoh meningkat daripada RM73 kepada RM150. Ini belum menyentuh sikap pemandu teksi di Skudai yang rata-rata menggantikan bahan bakar petrol kepada NGV untuk mengurangkan kos.

Fakta menunjukkan, seunit liter NGV yang digunakan memakan kos hanya 68 sen seliter, bermakna penggunaan satu kilometer bagi teksi hanya sekitar 4 hingga 8 sen satu kilometer. Dengan jarak perjalanan dari Skudai ke Universiti Teknologi Malaysia (UTM) kurang 10km dan keadaan trafik yang sentiasa lancar, mahasiswa dikenakan caj RM12 hingga RM20 bagi sebuah teksi.

Caj RM7 seorang pula dikenakan untuk destinasi berbeza mahupun masih dalam UTM. Jika didarabkan kepada empat penumpang sebuah teksi, sekali perjalanan pemandu teksi mendapat kutipan caj mencecah RM28.

Justeru, selaku mahasiswa yang responsif kami Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Teknologi Malaysia (MPP UTM 2008/09) menyeru pihak yang terbabit supaya mematuhi undang-undang dan tidak mengeksploitasikan keadaan.

Pihak bertanggungjawab pula diminta supaya mengenakan tindakan tegas kepada pengusaha yang sering mengambil kesempatan.

ABDUL HADI ABDUL HALIM,
Presiden Majlis Perwakilan Pelajar 2008/09,
Universiti Teknologi Malaysia.

Sumber: Berita Harian - 30/01/09

Post a Comment

0 Comments