Ticker

6/recent/ticker-posts

Layakkah Aku Digelar Sahabat...?

Blues by *Lady-Tori on deviantART

Seringkali aku tertanya-tanya pada diri...

Setelah mengenali diriku, bagaimanakah orang-orang di sekelilingku? Adakah mereka menjadi insan yang lebih baik dari sebelumnya? Adakah dari pergaulan denganku, mereka menjadi hamba yang lebih taat pada Allah berbanding dulu? Adakah mereka lebih segera mendirikan solat lima waktu berbanding dulu? Adakah mereka lebih banyak mengingati Allah berbanding dulu? Adakah segala-galanya lebih mengutamakan akhirat berbanding dulu?

Bukanlah aku mahu mengatakan bahawa aku adalah insan yang baik untuk membawa kebaikan kepada semua. Jauh sekali dari merasakan bahawa aku mampu membawa semua ke arah jalan lurus yang dicari sekalian hamba. Tidak sama sekali itu yang aku fikirkan.

Cuma aku tertanya-tanya...

Adakah aku sahabat yang mengingatkan kalian kepada Allah?

Atau adakah kalian hanya menjadi semakin hanyut setelah mengenaliku. Tiada apa yang menjadi lebih baik, malah tiada kebaikan yang mampu diperolehi dari seorang sahabat seperti aku. Hari-hari kalian masih juga seperti dulu, malah mula berjinak-jinak pula dengan pelbagai lagi maksiat kecil yang lain. Dan kemudiannya lama-lama menjadi besar. Bukannya semakin menjauh dari perkara yang lagha dan tiada manfaat, tetapi semakin tiada rasa pula meletakkan Allah dan agama ke tepi.

Jika itu yang berlaku, aku meminta maaf kerana kurang peka... Apabila memerhati alam dan segala kejadian di dalamnya, aku nyata belum sempurna sebagai sahabat yang baik.

Aku sekadar tertanya-tanya pada diri sendiri, dan mengajak kalian juga untuk berfikir jauh...layakkah kita ini digelar sahabat?


Tidak aku minta jawapan di sini...