Mari Bersenam Walaupun Setua Mana Pun Anda

Mari Bersenam Walaupun Setua Mana Pun Anda | Bersenam merupakan satu amalan yang sangat baik dan amat digalakkan untuk mengekalkan kehidupan yang sihat. Hakikatnya, badan manusia dipercayai dicipta untuk menjadi aktif. Badan yang tidak aktif cenderung untuk berdepan dengan kesan buruk seperti penambahan kolesterol dan lemak di dalam badan, otot menjadi lemah, saluran darah menjadi sempit dan tersumbat serta berkemungkinan untuk mengalami gangguan emosi.

Melakukan aktiviti fizikal atau bersenam secara berkala terbukti dapat membantu mencegah dan merawat penyakit tidak berjangkit (noncommunicable diseases) seperti penyakit jantung, strok, diabetes dan kanser payudara serta kanser usus.


Secara purata masih aktif

Kerap bersenam juga dipercayai dapat mencegah masalah tekanan darah tinggi, berat badan berlebihan dan obesiti serta boleh meningkatkan kesihatan mental dan kualiti kesihatan hidup secara keseluruhannya. Namun, dikatakan sebahagian besar populasi dunia semakin kurang bersenam. Adakah rakyat Malaysia rajin bersenam?

Dalam Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2015, rakyat Malaysia secara relatifnya adalah aktif. Laporan tersebut mendapati bahawa 66.5% penduduk negara ini adalah aktif, sekurang-kurangnya pada intensiti kecergasan minimum, dari sudut fizikal secara puratanya.

Lelaki mendahului wanita iaitu 71.1% berbanding 61.7%.

Angka ini adalah agak baik dan telah berlaku peningkatan berbanding laporan pada tahun 2011. Walau bagaimanapun, majoriti daripada peratusan tersebut adalah aktif pada tahap minimum. Hanya 25.4% sahaja yang termasuk dalam kategori sangat aktif.

Bersenam atau melakukan sebarang aktiviti fizikal bukan sahaja diperlukan oleh individu belia atau muda, tetapi ia juga perlu dilakukan oleh individu dewasa yang lebih berusia atau warga emas. Malah, mungkin sebenarnya, golongan ini lebih perlu untuk melakukan senaman bagi menjamin hidup yang lebih berkualiti. 

Malah, menurut satu penyelidikan yang dilakukan di University of Birmingham menyatakan bahawa individu dewasa lebih berusia yang tidak pernah melakukan atau terlibat dalam sebarang program senaman mempunyai keupayaan yang sama untuk membina otot seperti atlet terlatih dalam lingkungan usia yang sama.

Tahap keupayaan yang sama

Penyelidikan ini menunjukkan bahawa individu warga emas yang tidak mempunyai kebiasaan melakukan latihan fizikal atau senaman akan memperolehi manfaat apabila melakukan latihan rintangan seperti mengangkat berat. 

Melalui hasil kajian yang diterbitkan dalam Frontiers in Physiology, para penyelidik daripada University of Birmingham’s School of Sport and Exercise Science telah melakukan kajian perbandingan keupayaan membina otot kepada dua kumpulan individu lelaki lebih berusia.

Kumpulan pertama diklasifikasikan sebagai  ‘master atlet’ yang melibatkan individu aktif berusia lingkungan 70-an dan 80-an yang melakukan aktiviti fizikal sepanjang hayat dan masih bersaing dalam sukan kegemaran mereka. Manakala kumpulan kedua adalah individu sihat dalam lingkungan usia yang sama tetapi tidak pernah melakukan atau terlibat dengan sebarang aktiviti fizikal mahupun senaman yang berstruktur.

Setiap peserta yang terlibat diberikan pengesan isotop (isotope tracer) dalam bentuk air minuman ‘berat’ dan diminta mengambil bahagian dalam satu senaman fizikal yang melibatkan latihan berat menggunakan mesin senaman.

Penyelidik telah mengambil biopsi otot setiap peserta dalam tempoh 48 jam sebelum dan selepas senaman. Kajian dilakukan untuk memeriksa bagaimana otot bertindak balas terhadap aktiviti bersenam yang dilakukan dan pengesan isotop dapat membantu untuk mengenal pasti bagaimana protein berkembang di dalam otot.

Daripada hasil keputusan yang diperolehi, menunjukkan sesuatu di luar dugaan. Bagi kumpulan pertama, sesungguhnya para penyelidik telah menjangkakan bahawa mereka mempunyai keupayaan yang lebih tinggi untuk membina otot berikutan tahap kecergasan baik dalam tempoh yang panjang. 

Namun apa yang mengejutkan adalah bagi kumpulan kedua yang merupakan individu berusia yang tidak pernah langsung terlibat dalam sebarang program fizikal turut menunjukkan tahap keupayaan yang sama untuk membina otot sebagai tindak balas bersenam yang dilakukan. 

Belum terlambat untuk bersenam

Menurut Ketua Penyelidikan, Dr Leigh Breen, “Kesimpulan yang boleh dibuat daripada hasil penyelidikan adalah masih belum terlambat untuk bersenam. Tidak kira sama ada anda merupakan seorang individu yang telah melakukan senaman fizikal sepanjang hidup anda ataupun baru ingin mula bersenam, anda tetap mendapat manfaat daripada senaman sebaik sahaja anda mula melakukannya.”

Perkara yang penting untuk dititikberatkan adalah mengenai bimbingan yang lebih spesifik tentang bagaimana seseorang individu dapat meningkatkan kekuatan otot mereka. Ini melibatkan aktiviti di luar gim dan aktiviti di rumah seperti berkebun, naik turun tangga, atau mengangkat barang.

Setiap perkara yang anda lakukan boleh dianggap sebagai antara rejim senaman, walaupun aktiviti senaman fizikal tersebut hanyalah aktiviti intensiti rendah. Yang lebih utama adalah mengenai komitmen anda untuk melakukannya secara berkala.


Baca lebih banyak info tentang kesihatan di Hello Doktor
Mari Bersenam Walaupun Setua Mana Pun Anda Mari Bersenam Walaupun Setua Mana Pun Anda Reviewed by Sunah Sakura on September 21, 2019 Rating: 5

6 comments:

  1. Bersenam kena selaraskan dengan pemakanan, kalau bersenam tapi makan pun tak betul, tau-tau ada gastrik kekekeke..so makan dulu baru bersenam..eh jom makannn

    ReplyDelete
  2. Alaaa.. Sebut senam terus rasa penat. Kena paksa diri jugak ni nampaknya

    ReplyDelete

Thank you for coming by. Comments are your responsibility. Any comments are subjected to the Act 588 MCMC 1988. Comment wisely, and do it with pure intentions. Any comments with link will be deleted, I'm sorry, as I don't want it to increase my spam score. Thank you.

For any inquiries, email: sunahsakura@gmail.com

Powered by Blogger.