Ticker

6/recent/ticker-posts

Enam Acara Utama Sempena Istiadat Pertabalan Agong

Enam Acara Utama Sempena Istiadat Pertabalan Agong | Enam acara utama disusun atur sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, bermula Khamis lepas.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Jabatan Perdana Menteri (JPM), Roziah Abudin, berkata semua acara itu ditentukan melalui Jawatankuasa Khas Istiadat Pertabalan yang dipengerusikan Menteri di JPM, Datuk Seri Mujahid Yusof.


Roziah berkata, acara dimulakan dengan majlis bacaan Yasin, doa selamat dan solat hajat pada Khamis lepas di Masjid Negara, Istiadat Pertabalan pada 30 Julai di Balairung Seri Istana Negara dan diikuti Majlis Santapan Diraja keesokan harinya di Dewan Santapan Utama Istana Negara.

Tiga lagi acara lain ialah Lawatan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ke Hospital Rehabilitasi Cheras (1 Ogos), Pameran Raja Kita di Muzium Diraja di sini (5 Ogos hingga 5 November) serta Khutbah Khas dan solat Jumaat di Masjid Putra, Putrajaya pada 2 Ogos.

Roziah berkata demikian ketika menjadi tetamu khas slot Prisma yang disiarkan di Selangor FM hari ini.

Beliau berkata, rakyat jelata dialu-alukan untuk membabitkan diri dalam beberapa acara terbuka seperti majlis bacaan Yasin dan solat hajat serta khutbah khas dan solat Jumaat, sekali gus memberi peluang rakyat untuk mendekati dan melahirkan tanda menjunjung kasih kepada Seri Paduka berdua.

Istiadat Pertabalan yang menjadi acara utama, akan disiarkan secara langsung menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan rakyat boleh memanfaatkan hari kelepasan am pada hari itu untuk menyaksikan istiadat bersejarah itu.

“Institusi Yang di-Pertuan Agong adalah payung kedaulatan negara dan menjadi simbol perpaduan, lambang kestabilan dan kemegahan negara.

“Justeru, kerajaan berharap seluruh rakyat bersama-sama menghayati istiadat ini,” katanya.

Beliau berkata kerajaan menggalakkan semua pihak termasuk kementerian, agensi dan organisasi swasta menyemarakkan istiadat pertabalan itu dengan menganjurkan aktiviti yang menjunjung sistem raja berperlembagaan dan institusi Yang di-Pertuan Agong. – BERNAMA

Sumber: Berita Harian

Post a Comment

1 Comments

Thank you for coming by. Comments are your responsibility. Any comments are subjected to the Act 588 MCMC 1988. Comment wisely, and do it with pure intentions. Any comment with link(s) will be deleted to avoid spam.

For any inquiries, email: sunahsakura@gmail.com