Apa itu Estrogen dan Kaitannya dengan Barah Payudara?

Apa itu Estrogen dan Kaitannya dengan Barah Payudara? | Pernah tak dengar orang kata, kalau ambil pil hormon untuk stabilkan kitaran haid tu boleh tingkatkan risiko kanser? Pengambilan pil hormon mengandungi estrogen secara berterusan dalam jangka masa yang panjang, katanya boleh menyebabkan timbul pula masalah lain yang lebih besar. Jemput baca artikel yang ditulis oleh Dr Nur 'Aqilah Binti Hadenor mengenai estrogen dan kaitannya dengan barah payudara.


Barah payudara sekilas pandang

Bilangan insiden (kes baru) barah payudara dalam kalangan rakyat Malaysia pada tahun 2018 adalah sebanyak 7593 kes, mewakili 17.3 peratus daripada keseluruhan kanser pada tahun tersebut. Di Malaysia, ianya adalah barah nombor satu dalam kaum wanita, diikuti oleh barah usus di tempat kedua. Dalam skala yang lebih besar, seramai 2.1 juta wanita di seluruh dunia menghidap barah payudara setiap tahun. Salah satu faktor risiko yang menyebabkan wanita cenderung untuk menghidap barah payudara adalah kerana peranan yang dimainkan oleh hormon estrogen. Dalam artikel ‘Estrogen dan Barah Payudara’ ini, peranan estrogen terhadap terjadinya penyakit barah payudara akan dibincangkan.

Apa itu Estrogen?

Estrogen adalah hormon seks utama wanita yang dihasilkan oleh ovari. Ianya memainkan peranan penting dalam mengawal fungsi dan kesihatan organ reproduktif wanita di samping memberikan wanita ciri-ciri seks sekunder mereka. Walaupun ianya dihasilkan di ovari, isyarat yang membenarkan ovari untuk menghasilkan hormon ini datangnya dari otak, khususnya kelenjar pituitari.

Bagaimana Estrogen meningkatkan risiko barah payudara?

Majoriti barah payudara dipengaruhi oleh hormon estrogen dan ianya disebut sebagai barah payudara positif-ER. Kadangkala, sebilangan besar barah payudara yang positif-ER, akan turut positif-PR. Positif ER bermaksud positif reseptor estrogen manakala positif-PR bermaksud positif reseptor progesteron. Estrogen melekat pada reseptor ER-α dan merangsang sel-sel payudara untuk membahagi. Pembahagian sel-sel yang berlaku dengan kerap dan rancak ini mempunyai kemungkinan untuk mutasi sel berlaku dalam mana-mana sel yang sedang membahagi dengan aktif ini. Mutasi ini menyebabkan pembahagian sel-sel tersebut berlaku secara tidak terkawal dan apabila terkumpul dalam tempoh bertahun-tahun, ianya cukup untuk menghasilkan ketumbuhan atau barah payudara. Sel-sel mutasi yang telah menjadi sel barah ini membahagi hingga ianya berupaya untuk membesar dan memasuki tisu dan struktur-struktur lain berdekatannya seperti tulang rusuk, otot dada dan saluran limfa. Lazimnya, terdapat gen-gen yang akan menekan pertumbuhan sel-sel barah ini daripada terus membahagi namun sekiranya wanita tersebut mempunyai mutasi genetik yang menyebabkan sistem kawalan ini terganggu, sel-sel barah dapat terus membahagi dan terkumpul.

Apakah rawatan untuk barah payudara yang positif ER?

Mujurlah, barah payudara jenis positif ER mempunyai peluang sembuh yang lebih baik berbanding barah payudara jenis yang lain. Antara rawatan yang digunakan untuk barah payudara jenis ini adalah penggunaan terapi hormon. Terapi ini menggunakan ubat Tamoxifen, sejenis ubat yang bersaing dengan hormon estrogen untuk melekat pada reseptor estrogen.

Jalani saringan mamogram dan lakukan pemeriksaan payudara kendiri dari semasa ke semasa bagi memastikan pengesanan awal. Untuk mengetahui lebih lanjut tentang faktor risiko, simptom dan rawatan untuk barah payudara, berjumpalah dengan doktor anda.

Dapatkan lebih info kesihatan di Hello Doktor
Apa itu Estrogen dan Kaitannya dengan Barah Payudara? Apa itu Estrogen dan Kaitannya dengan Barah Payudara? Reviewed by Sunah Sakura on October 05, 2019 Rating: 5

4 comments:

  1. Terima kasih perkongsian ini.Kadang kita tidak sedar akan kewujudannya.Moga usaha menjaga kesihatan dapat menghindarkan kita daripada apa sahaja jenis penyakit berbahaya.Aamiin.

    ReplyDelete
  2. nice sharing kak sunah! Jarang baca tentang estrogen ni

    ReplyDelete

Thank you for coming by. Comments are your responsibility. Any comments are subjected to the Act 588 MCMC 1988. Comment wisely, and do it with pure intentions. Any comments with link will be deleted, I'm sorry, as I don't want it to increase my spam score. Thank you.

For any inquiries, email: sunahsakura@gmail.com

Powered by Blogger.