Uniknya BookXcess Sunway Big Box, Sunway Iskandar!

Uniknya BookXcess Sunway Big Box, Sunway Iskandar! | Bagi peminat buku terutamanya yang biasa dengan kedai buku BookXcess, mesti da biasa tengok tema rak bukunya yang tersendiri di setiap cawangan kedai buku BookXcess.

Terbaru, kedai buku BookXcess ke-9 di Malaysia telah pun dibuka di Sunway Big Box, Sunway Iskandar, Johor pada 27 Februari yang lepas dengan sejuta buah buku ditampilkan. Dengan konsep 'The Box of Knowledge', keunikannya terserlah pada bentuk rak buku berbentuk kotak gergasi setinggi 7.5 meter di tengah-tengah kedai.


Tambahan lagi, ada Children's Cave kat bahagian dalam kotak gergasi tu, sudut khas untuk buku kanak-kanak. Saya yang datang jenguk gua ni pun teruja tengok macam-macam buku untuk budak-budak ada kat sini. Sebagai peminat buku, tak tipu kalau saya cakap, saya beli buku Alice in Wonderland kat sini, bukan untuk dak Aisyah atau dak Sarah, tapi untuk bunda diorang sendiri 😜


Ye le, dak Aisyah belum pandai lagi lerr nak baca buku banyak huruf ni. Haha! Tapi bunda belikan Aisyah dan Sarah buku kanak-kanak yang boleh keluarkan bunyi! Haaa? Serius lahhh! Yeeee, buku tu tentang haiwan di serata muka bumi, bila dak Aisyah tekan-tekan kat gambar haiwan tu nanti, keluarlah bunyi gajah, anjing, beruang, harimau, singa dan lain-lain. Menarik kan?


Bukan tu aje, ada jugak buku berkonsepkan Augmented Reality (AR) dalam siri Buku Ajaib kat sini. Buku Ajaib ni membolehkan kanak-kanak membaca, bermain serta belajar kerana ia menggunakan teknologi AR tercanggih bagi merevolusikan kaedah pembacaan untuk generasi akan datang dan menciptakan satu pengalaman membaca yang serba interaktif lagi mengasyikkan. Menampilkan pelbagai judul yang menarik, si kecil boleh menyaksikan watak-watak kegemaran mereka seperti Disney Winnie The Pooh: Fun with First Words, ABC Fun with Mickey, Counting Fun with Mickey, Disney Frozen: A Sleepover Party dan banyak lagi. Promosi istimewa akan diadakan mulai 27 Februari hingga 31 Mac 2020 untuk siri Buku Ajaib ni di mana pelanggan boleh membeli 2 buah Buku Ajaib dan mendapatkan 1 buah Buku Ajaib secara percuma atau membeli 3 Buku Ajaib bagi mendapatkan 2 Buku Ajaib secara percuma. 


Bagi uols yang dah dewasa pulak, jangan risau sebab ada banyak buku daripada pelbagai genre seperti sains fiksyen, seram, kesusasteraan, novel remaja, buku-buku perniagaan, resipi masakan, seni dan reka bentuk, buku kanak-kanak serta banyak lagi buku-buku terlaris di kedai buku terbesar di wilayah selatan ni. Hari tu dah terbeli banyak buku motivasi dan inspirasi. Datang belah malam, rasa sedikit kecewa sebab ternampak buku Gray's Anatomy, tapi bajet da takde. Haha!


Dan heyyy, ada satu section khas untuk peminat Superhero dari Marvel dan DC Universe juga! Buku-buku superhero memang ade banyak kat sini, tapi yang paling menarik perhatian adalah dekorasi karakter superhero yang menjadi pembahagi ruang dalam kedai ni. Ramai yang terhenti langkah, sebab nak tengok lukisan-lukisan ni sebelum meneruskan pencarian buku, termasuklah seketul Sunah. Haha!


BookXcess Sunway Big Box turut menampilkan sudut membaca yang selesa bagi memudahkan pelanggan membaca buku-buku yang disediakan. Uols boleh menikmati secawan kopi dan pelbagai jenis juadah pencucui mulut di kafe milik BookXcess, Café Wolf, di dalam kedai buku ni jugak. Sambil membaca, boleh minum kopi. Jangan tumpahkan kopi kat buku, udah lerrr oi!




“BookXcess sentiasa berusaha untuk menyemarakkan lagi minat suka membaca dengan berusaha untuk mengumpulkan lebih ramai pencinta buku tidak kira di mana kami berada, terutama sekali dalam kalangan ibu bapa.  Kami yakin bahawa ianya penting bagi ibu bapa untuk mengetahui kepentingan membaca dan juga memupuk tabiat suka membaca dalam kalangan kanak-kanak. Kami menyeru kepada semua ibu bapa agar turut sama memupuk tabiat suka membaca dan mendedahkan anak-anak kepada lebih banyak buku. Terdapat beraneka pilihan buku kanak-kanak yang boleh didapati bagi memenuhi pelbagai citarasa berbeza. Membaca bukan sahaja mampu meningkatkan ilmu dan membentuk peribadi seseorang itu, malah ia turut berupaya memperbaiki proses pemikiran dan meluaskan lagi kesedaran individu tentang isu-isu sosial, ekonomi dan alam sekitar,” jelas Pengasas Bersama BookXcess Sdn Bhd, Andrew Yap. 


“BookXcess merupakan satu pelengkap kepada apa yang ditawarkan oleh Sunway Big Box Retail Park - sebuah pusat tumpuan awam yang mengutamakan interaksi antara masyarakat. Ini melengkapkan lagi pengalaman yang menyeluruh serta holistik dalam menyerlahkan keselesaan tempat awam seperti di rumah sendiri,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Sunway Malls and Theme Parks, Chan Hoi Choy.


Red Readerhood, Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) BookXcess, percaya bahawa semua orang tanpa mengira status berhak mendapatkan akses kepada ilmu menerusi bacaan. Melalui inisiatif Red Readerhood, buku-buku Bahasa Inggeris yang baharu dikumpul dan didermakan kepada mereka yang kurang bernasib baik menerusi badan-badan kebajikan masyarakat tempatan yang turut sama menyokong usaha ni. Bagi memulakan usaha ni, BookXcess Sunway Big Box komited untuk menyumbangkan bilangan buku yang sama dengan jumlah bilangan buku yang dijual pada hari pembukaan kedai berkenaan. Para pelanggan boleh memilih buku pilihan mereka di sudut Red Readerhood untuk didermakan.


Sempena minggu pembukaan, pelanggan boleh menikmati tambahan potongan harga 20% atas buku-buku yang dijual pada harga diskaun mulai 27 Februari hingga 1 Mac 2020. Para pelanggan turut layak untuk menyertai promosi seperti keahlian BookXcess percuma, pembelian judul terpilih pada harga RM1, potongan 50% untuk kopi dan teh di Café Wolf serta mendapatkan baucar tunai BookXcess bernilai RM20 untuk setiap pembelian berjumlah RM150.

Saya lah tu antara yang buat free membership pada hari kejadian. Hehehe. Buku-buku kat BookXcess ni memang murah sangat-sangat, kesemuanya dijual pada harga diskaun dari 50% hingga 80% dari harga asal. Siapa je yang tak teruja nak beli kan? Lagi best, setiap buku ada sample untuk kita baca dulu sebelum beli. Kalau berminat, boleh terus beli lepas dah baca kat situ.

Ok, kalau uols pun teruja, cepat lerrr pergi ke BookXcess Sunway Big Box!


BookXcess Sunway Big Box
FF-01, Sunway Big Box Retail Park, Sunway Iskandar
(sebelah NSK, naik escalator ke tingkat atas)

Buka setiap hari
10 pagi - 10 malam

Instagram: @bookxcess 
Hashtag: #BXBigBox #BookXcess

Lebih banyak gambar boleh belek kat Facebook page Sunah Sakura

3 comments:

Thank you for coming by. Comments are your responsibility. Any comments are subjected to the Act 588 MCMC 1988. Comment wisely, and do it with pure intentions.

For any inquiries, email: sunahsakura@gmail.com