Buat Keria Gula Melaka Tak Jadi | Bulan puasa ni dua kali buat kuih Keria Gula Melaka. Pertama kali buat hari tu tak jadi sira gulanya. Kuih kerianya pun keras dan tak best bila gigit. Kesilapan saya masa tu, terlebih tepung gandum masa menguli. Saya tertuang tepung dulu dalam bekas, tapi dah agak terlebih, tak jugak keluarkan semula. Apakah?

Bila nak sira pulak, terlebih air ke ape ek, jenis malas nak menyukat, yakin dan confident sekali akan jadi seperti sebelum ni. Padahal dah lupa, nak masak gula tu sampai macam mana dan nak padam apinya bila? Saya ikut lah cara Cik Epal, gaul dengan api terbuka aje, tunggu sampai gulanya nak kering. Tapi kenapa ni tak kering-kering, sampai hangus pulak kuihnya. Adoi.


Beberapa hari lepas tu, Aien post kat blog dia kisah dia buat Keria Keledek. Hah, terus klik dan baca cara dia buat. Oh! Rupanya bila air gula dah berbuih-buih, tutup terus aje apinya. Then gaulkan kuih keria dalam tu sampai gula dia membeku semula sendiri. Lorrrr, senang gilerrr jadinya. Kali kedua saya buat, ikut lah cara Aien tu.


Haa, alhamdulillah baru jadi! Dan kali kedua tu, saya kurangkan jumlah tepung supaya kuih kerianya lembut bila gigit. Sedapnyaaaa. Tapi jujur tau, saya tak sukat-sukat pun. Main campak aje agak-agak. Saya pun guna keledek oren aje. Untuk Keria Gula Melaka, biasanya orang guna keledek putih sebab yang ni kurang air, menjadikan kuihnya gebu dan tak benyek bila disira dengan gula dalam kuali.

Siapa rasa nak buat dan nak betul-betul menjadi, boleh ikut resepi kat bawah ni.


Keria Gula Melaka
Saiz: 20+ pcs saiz kecil
Masa penyediaan: 1 jam

Bahan-bahan:
500 gram keledek putih/oren (direbus hingga empuk)
3/4 cawan tepung gandum
150 gram gula Melaka (dipotong-potong kecil)
1 sudu besar gula putih
1/4 cawan air masak
sedikit garam (saya tak letak)
Minyak untuk menggoreng keria (deep fry)

Cara-cara membuatnya:
  1. UNTUK KUIH KERIA: Gaulkan ubi keledek yang dah direbus dan ditoskan airnya bersama tepung gandum. Uli hingga menjadi doh. Mungkin doh melekat sikit pada tangan, tak apa. Sapu tepung gandum pada tangan semasa hendak membentuk kuih keria. Bentukkan sebiji demi sebiji sampai habis. Panaskan minyak dalam kuali, goreng tenggelam kuih keria hingga sebelah bawahnya bertukar keperangan, terbalikkan untuk goreng sebelah lagi bahagian sehingga masak.
  2. UNTUK SIRA GULA MELAKA: Masukkan gula Melaka, gula putih, air masak dan sedikit garam ke dalam kuali. Masak sehingga gula cair. Bila air gula berbuih sepenuhnya, matikan api. Masukkan kuih keria tadi ke dalam kuali tersebut dan gaul sehingga gula membeku sendiri. Sedap dimakan panas-panas.