Jaga-jaga HFMD - Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut

Jaga-jaga HFMD - Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut

Jaga-jaga HFMD - Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut | Dalam situasi negara kita semakin reda dengan penyakit berjangkit COVID-19, satu penyakit berjangkit lain yang tak kurang bahayanya pulak naik dengan rancak dalam sebulan dua ni. HFMD, atau penyakit tangan, kaki dan mulut menunjukkan angka yang semakin meningkat lagi-lagi lepas musim perayaan.

Hand-foot-and-mouth-disease atau HFMD, atau lebih dikenali dengan nama penyakit tangan, kaki, dan mulut adalah jangkitan yang disebabkan oleh virus kumpulan enterovirus. Jika dijangkiti, tekak dan tonsil akan membentuk ulser kecil manakala tangan, kaki dan kawasan lampin pula akan dijangkiti ruam dengan ciri-ciri vesikel (lepuhan kecil).

Jaga-jaga HFMD - Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut

Kebiasaannya, penyakit ini hanya sederhana sahaja kesannya dan ruam akan sembuh dalam masa 5 hingga ke 7 hari. Ia juga akan menjangkiti sesiapa sahaja tanpa mengira orang dewasa mahupun kanak-kanak. Akan tetapi, kanak-kanak yang berusia bawah 5 tahun adalah yang paling mudah dijangkiti.

Ia juga selalu terjadi dalam kelompok kanak-kanak yang ditempatkan bersama. Penyakit ini boleh merebak melalui sentuhan kulit ke kulit atau tersentuh air liur yang mana membolehkan virus untuk berpindah daripada satu kanak-kanak ke kanak-kanak lain.

Simptom HFMD
Simptom akan mula berkembang 3 hingga 7 hari selepas jangkitan awal. Tempoh ini dikenali sebagai tempoh inkubasi. Apabila simptom muncul, anda atau anak anda mungkin mengalami:
  • Demam
  • Kurang selera makan
  • Sakit tekak
  • Sakit kepala
  • Ulser pada mulut, tekak dan lidah
  • Lepuh dan ruam merah pada tangan dan kaki

Demam, sakit kepala dan sakit tekak merupakan simptom pertama penyakit tangan, kaki, dan mulut ini. Lepuh dan ruam merah yang muncul kemudiannya, biasanya akan mula muncul satu atau dua hari selepas demam.

Punca HFMD
Penyakit tangan, kaki, dan mulut adalah disebabkan oleh ketegangan coxsackievirus dan yang paling biasa adalah coxsackievirus A16. Coxsackievirus adalah sebahagian daripada sekumpulan virus yang disebut sebagai enterovirus. Dalam beberapa kes tertentu, jenis enterovirus yang lain juga boleh menyebabkan penyakit tangan, kaki, dan mulut.

Virus boleh disebarkan dengan mudah daripada individu kepada individu yang lain. Anda atau anak anda mungkin mendapat penyakit tangan, kaki, dan mulut melalui individu yang dijangkiti menerusi:
  • Air liur
  • Najis
  • Lelehan hingus
  • Cecair lepuh
  • Bersin
  • Batuk

Diagnosis HFMD
Doktor akan mendiagnosis penyakit tangan, kaki, dan mulut hanya dengan melakukan pemeriksaan fizikal. Mereka akan memeriksa mulut dan badan untuk melihat kewujudan lepuh dan ruam merah pada badan. Doktor juga akan bertanya pada anda atau anak anda mengenai simptom-simptom yang lain.

Selain itu, doktor mungkin akan mengambil swab tekak atau sampel najis untuk menguji kehadiran virus itu. Ini akan membolehkan mereka mengesahkan diagnosis.

Jaga-jaga HFMD - Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut

Pencegahan HFMD
Pencegahan penyakit ini melibatkan penjagaan kebersihan yang sepenuhnya. Ahli keluarga dinasihatkan supaya mematuhi dan mengamalkan amalan kebersihan yang sempurna termasuk kerap mencuci tangan supaya dapat mengawal penyebaran jangkitan. Berikut adalah apa yang anda boleh lakukan:
  • Amalkan mencuci tangan secara konsisten menggunakan air bersih dan sabun sebelum menyediakan makanan, selepas keluar tandas, selepas menukar lampin dan mencuci najis.
  • Menutup mulut dan hidung bila batuk atau bersin.
  • Tidak menggalakkan berkongsi pakaian, tuala, perkakas makanan dan minuman serta mainan.
  • Ibu bapa atau penjaga hendaklah memastikan diri mereka bersih terlebih dahulu sebelum menguruskan anak atau bayi.
  • Bersihkan mainan, kerusi dan meja yang tercemar dengan air liur anak.
  • Anak-anak hendaklah dijauhkan daripada tempat awam yang sesak (seperti sekolah, tempat mainan, pasar dan pengangkutan awam) sekiranya mereka mempunyai tanda-tanda jangkitan.

Rawatan HFMD
Dalam kebanyakan kes, jangkitan akan hilang tanpa rawatan dalam tempoh 7 hingga 10 hari. Walau bagaimanapun, doktor anda boleh mengesyorkan rawatan tertentu untuk membantu meringankan simptom sehingga penyakit itu hilang. Ini termasuk:
  • Salap (ointments) untuk melegakan lepuh dan ruam
  • Ubat tahan sakit seperti acetaminophen atau ibuprofen, untuk melegakan sakit kepala
  • Ubat sirap atau lozenges untuk meredakan sakit tekak yang menyakitkan

Selain itu juga, terdapat beberapa petua semula jadi yang mungkin boleh kita guna untuk memerangi jangkitan penyakit tangan, kaki dan mulut ini. Berikut merupakan antara petua-petua tersebut:

#1. Sup ayam
Sup ayam adalah antara makanan yang paling biasa menjadi makanan ‘orang sakit’. Ini kerana ia sangat mudah diterima dan ditelan oleh anak-anak jika mereka tidak sihat. Semasa membuat sup ini pula, pastikan anda melebihkan sedikit bahan-bahan yang bersifat antiviral seperti bawang putih dan lobak merah.

#2. Air kelapa muda
Air kelapa muda yang mengandungi antioksidan sebenarnya boleh diberikan kepada kanak-kanak. Ia sangat terkenal dapat menyejuk, menyegar dan mencuci badan kita daripada toksin yang tidak diperlukan. Pun begitu, anda perlu ingat untuk tidak menambah gula ke dalamnya. Selain itu, anda juga boleh memberikan anak anda air barli sebagai alternatif.

#3. Minyak kelapa dara
Minyak kelapa dara merupakan bahan semula jadi yang boleh digunakan sebagai ubat sapuan untuk merawat penyakit tangan, kaki dan mulut. Caranya mudah sahaja, hanya sapukan ia pada tempat yang mengalami ulser, lepuh atau ruam.

#4. Minyak zaitun
Minyak zaitun juga sama fungsinya seperti minyak kelapa dara dan turut boleh dijadikan ubat sapuan merawat HFMD. Caranya juga sama sahaja iaitu sapukannya pada ulser, lepuh atau ruam. Cuma, anda perlu tahu bahawa ia mungkin agak memedihkan bila disapu.

#5. Aiskrim dan makanan sejuk
Aiskrim, puding, agar-agar dan pelbagai lagi makanan dan minuman sejuk yang lain mampu untuk memberi kelegaan kepada ulser di dalam mulut. Selain itu, anda juga boleh membuat aiskrim sendiri tanpa gula dengan menggunakan buah-buahan yang dicampur dengan susu badan atau susu segar.

Jika anak anda masih tidak mahu untuk makan, anda boleh cuba cara yang lain iaitu sejukkan susu formula atau susu badan yang diperah di dalam peti sejuk dan kemudian berikan kepada mereka apabila telah sejuk.

#6. Buah-buahan dan jus
Buah-buahan dan jus juga sama fungsinya seperti air kelapa iaitu menyejuk dan menyegarkan badan. Antara buah-buahan yang anda boleh ambil adalah epal atau oren yang sangat kaya dengan vitamin C. Lebih bagus lagi jika anda sejukkannya terlebih dahulu sebelum minum.

#7. Gel aloe vera
Gel aloe vera terutamanya yang semula jadi boleh digunakan sebagai ubat sapuan pada bahagian badan yang mengalami gatal-gatal. Ini kerana gel ini sangat sejuk dan mampu memberi kelegaan pada kerengsaan yang dialami. Namun begitu, anda diingatkan untuk menggunakan produk yang organik dan anti-alergenik agar ia tidak mendatangkan sebarang kesan sampingan yang lain.

Pun begitu, anda perlu tahu bahawa ini semua adalah kaedah atau tip tradisional sahaja tanpa peratusan keberkesanan yang tinggi. Jadi, berjumpa dengan doktor adalah pilihan yang lebih baik jika anda dijangkiti penyakit tangan, kaki dan mulut.

Jaga-jaga HFMD - Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut

Nasihat kepada ibu bapa atau penjaga
Ibu bapa atau penjaga sangat diminta untuk mendapatkan nasihat daripada doktor dengan kadar segera jika anak mereka mendapat tanda-tanda HFMD. Mereka seharusnya peka terhadap sebarang perubahan tingkah laku anak-anak mereka seperti kerengsaan dan lemah lesu satu badan. Sekiranya mereka tidak mahu minum atau makan, muntah berterusan, atau mula menunjukkan apa-apa simptom penyakit tangan, kaki dan mulut ini, ibu bapa atau penjaga hendaklah segera membawa anak mereka ke hospital.

Dalam pada itu, cuba elakkan menghantar anak yang mempunyai gejala seperti di atas ke sekolah, prasekolah atau nurseri. Sapu dan bersihkan hidung serta mulut anak dengan tisu dan buang tisu yang telah digunakan dengan sempurna. Paling penting, jika anak anda atau ada rakan mereka yang dijangkiti cuba untuk elakkan mereka daripada berinteraksi dengan kawan-kawan mereka yang lain.

Konklusi
Konklusinya, HFMD atau penyakit tangan, kaki dan mulut yang banyak menyerang kanak-kanak ini adalah salah satu daripada penyakit yang berbahaya di Malaysia. Paling menakutkan, ia juga boleh membawa maut namun peratusannya adalah tidak terlalu tinggi. Kebiasaannya, ia akan hilang secara sendirinya.

Pun begitu, anda masih perlu merawatnya. Antara cara rawatan yang ada untuk merawat penyakit tangan, kaki dan mulut ini adalah dengan pengambilan ubat-ubatan. Selain itu, ada juga amalan tradisional yang boleh anda amalkan. Sebaiknya, jika anda atau anak anda mengalami simptom-simptom penyakit ini, segera berjumpa doktor.

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Post a Comment

3 Comments

  1. Di sekolah anak-anak buah PC dah ada yang kena.

    ReplyDelete
  2. Nampaknya kes HMFD semakin meningkat

    ReplyDelete
  3. tak sangka dewasa pun boleh kena. memang kena jaga-jaga lagi-lagi musim raya kita banyak jumpa orang

    ReplyDelete

Thank you for coming by. Comments are your responsibility. Any comments are subjected to the Act 588 MCMC 1988. Comment wisely, and do it with pure intentions.

For any inquiries, email: sunahsakura@gmail.com