Tiga Fasa Program Imunisasi Vaksin COVID-19 Kebangsaan | Siapa yang tengok siaran langsung Perutusan Khas Perdana Menteri, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin petang ni tadi? PM ada umumkan tentang tarikh-tarikh fasa program imunisasi COVID-19.

Penghantaran pertama vaksin COVID-19 melibatkan vaksin keluaran syarikat Pfizer dan BioNTech yang telah menunjukkan kadar keberkesanaan yang tinggi, iaitu pada tahap 95%.

Tiga Fasa Program Imunisasi Vaksin COVID-19 Kebangsaan (Mac 2021 - Februari 2022)

Menurut PM, Program Imunisasi Vaksin COVID-19 Kebangsaan akan bermula dari bulan Mac 2021 melalui tiga fasa berasingan, mengikut sasaran masing-masing.

  1. 500,000 Frontliners - sehingga April 2021
  2. 9.4 juta golongan berisiko tinggi (Warga Emas, golongan rentan, OKU) - April hingga Ogos 2021
  3. Golongan dewasa berumur 18 tahun ke atas - Mei 2021 hingga Februari 2022

Lebih 600 pusat simpanan yang juga pusat pemberian vaksin akan dibuka di seluruh negara, menggunakan pelbagai kemudahan termasuk fasiliti kesihatan awam dan swasta, stadium, pusat konvensyen, dewan orang ramai serta universiti sebagai pusat vaksinasi, dengan peruntukan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021.

Yang Berhormat Sdr. Khairy Jamaluddin, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi telah dilantik sebagai Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan. Beliau akan mengetuai satu Pasukan Pertugas Khas yang menguruskan pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan khususnya isu-isu berkaitan logistik dan penyelarasan dengan negeri-negeri dan agensi-agensi Kerajaan.

Kita tunggu pendaftaran untuk program imunisasi ni dibuka kepada orang awam tak lama lagi ek! Walaupun dah ada vaksin, tetap kena amalkan norma baharu, jaga diri sentiasa. Mohon pada Allah, agar tetap dilindungi selalu, insya'Allah.