BLOG ENCIK SUAMI

Monday, September 8, 2008

Ramadhan Bersama Warga Emas

Salam. 6 Ramadhan yang lalu bersamaan dengan 6 September 2008, Kelab Remaja Ukhwah (KRU) KTC telah mengadakan program Ramadhan Bersama Warga Emas di Rumah Seri Kenangan (RSK) Johor Bahru. Program yang bermula pada pukul 2.30 petang itu disertai oleh hampir 70 orang peserta yang terdiri daripada ahli KRU dan beberapa orang warga KTC. Ketika tiba di destinasi, para peserta disambut oleh pembantu Encik Azhar dan diberi sedikit penerangan mengenai RSK oleh Encik Azhar sendiri. Para peserta kemudiannya menunaikan solat Asar sebelum memulakan lawatan ke asrama-asrama warga RSK.

Keseronokkan mula dirasai oleh para peserta apabila dapat berkongsi rasa dengan warga emas yang ditempatkan di situ. Ada juga peserta yang menitiskan air mata apabila mendengar sejarah hidup beberapa orang daripada warga emas di situ termasuk ana sendiri. Hati terasa sebak apabila mengenangkan ada di antara mereka yang sudah sebatang kara, malah ada juga yang masih mempunyai anak cucu namun tidak pernah dikunjungi oleh darah daging sendiri. Apabila ditanya bagaimana sambutan hari raya, salah seorang nenek memberitahu hari rayanya hanya di RSK bersama sahabat-sahabat di situ tanpa kunjungan daripada anak cucu.

Ana masih ingat seorang warga emas yang berbangsa Cina, biarpun umurnya sudah lanjut namun kefasihannya bertutur dalam bahasa Inggeris begitu hebat yang pada ana, tiada antara kami yang mampu menandinginya. Apabila ditanya, rupa-rupanya dia pernah belajar di 'private school' di Pulau Pinang semasa mudanya. Alangkah ruginya jika orang sepertinya tidak berada di sekolah-sekolah untuk mengajar anak-anak muda zaman kini yang amat memerlukan bahasa Inggeris dalam kehidupan seharian.

Setelah puas melawat warga emas (yang sebenarnya belum puas lagi), kami bersama-sama membuat persediaan untuk berbuka puasa. Beberapa orang muslimin KRU telah bertungkus-lumus menyediakan bubur lambuk buat santapan berbuka. Turut bersama KRU pada hari itu ialah pelajar-pelajar dari Kolej 11. Warga emas yang berbuka bersama-sama kami adalah terdiri daripada mereka yang masih mampu untuk bergerak sendiri. Seronok sekali berbuka bersama-sama mereka biarpun kami berada dalam sinaran lampu yang samar-samar.

Program diteruskan dengan solat maghrib dan isyak berjemaah serta terawih lapan rakaat dengan witir. Ketika bersalam-salaman dengan warga emas setelah selesai solat, rasa sebak di hati kerana sudah sampai masanya untuk berpisah. Beberapa orang AJK program tidak lupa untuk menyampaikan sumbangan buat warga emas di situ sebagai kenang-kenangan.

Pengalaman ini yang kali pertama ana lalui, ana rasakan terlalu manis untuk ana kenang. Rasa rindu pada warga emas di RSK begitu terasa setelah kami kembali ke UTM pada jam 10.30 malam. Daripada lawatan itu, kami belajar untuk menghargai dan membalas jasa kedua orang tua yang telah melahirkan dan mendidik kami sejak kecil. Tidak patut sekiranya kita menghantar mereka ke rumah kebajikan setelah mereka bersusah-payah menjaga kita. Bak kata Encik Azhar, dia ingin melihat semua rumah warga emas ditutup pada tahun 2020 kerana diharapkan semua anak muda ketika itu sudah tahu erti tanggungjawab terhadap ibu bapa masing-masing. Semoga tertunai harapannya.



1 comment:

sRikaNdi said...

salam alaik...
alhamdulillah...muge kte semua mdapat pengajaran dan kebaikan dari lawatan 2... =)

Novelog Miss Ran: Aku, Dia, dan Paparazzi

Kuntuman Sakura

Blog (167) Blog Review (110) Blogger (57) BM (17) Books (26) Cerpen (14) Cici (41) cinta (34) Dakwah (65) Eh Ustazah (42) gathering (8) iklan (24) Info Sihat (26) Jalan-jalan (47) lirik (22) Motivasi (52) muhasabah (34) Nukilan Jiwa (55) Palestine (21) perkahwinan (38) Puisi (45) Puisi Islamik (15) Ramadhan (21) Review Filem (3) Sakura (33) Tazkirah (87) Tutorial (27) WordlessWednesday (54)
Ini adalah blog peribadi. Sebarang pendapat yang saya nukilkan di sini adalah dari saya sendiri, tidak melibatkan sesiapa kecuali jika saya letakkan nama pemiliknya. Sebarang COPYPASTE dari laman Sunah Suka Sakura dot com adalah dibenarkan dengan syarat dikreditkan ke blog ini. Sama-sama menyebarkan perkara yang bermanfaat. Terima kasih.