Ticker

6/recent/ticker-posts

Masa Ana == Masa Orang Lain

Salam mahasiswa. Hari yang paling memenatkan. Malam tadi, ana dan sahabat-sahabat menyiapkan assignment yang akhirnya tidak siap. Salah diri masing-masing juga kerana mengambil mudah tugasan yang diberi. Lewat 12 tengah malam, tugasan masih tak siap sepenuhnya, ada beberapa bahagian yang nampak samar-samar dan tidak difahami. Hari yang hujan pula menyekat pergerakan. Beberapa orang junior telah pun meredah hujan lebih awal, kira-kira pukul 11.24 malam, pada masa itu ana melihat jam telefon bimbit. Akhirnya kata putus diberi oleh ketua kumpulan, esoknya iaitu hari ini sebelum jam 12 tengah hari, semua soalan akan dikumpulkan, dan ana yang akan menghantar tugasan tersebut melalui e-mail kepada pensyarah. Cubalah apa cara sekalipun, asalkan tugasan tersebut siap.

Ana dan seorang sahabat ana pun balik ke bilik masing-masing, meredah hujan yang telah sedikit reda. Alhamdulillah, sampai di bilik, ana pun memulakan kerja mengedit sticker dan banner, tetapi hingga lewat 2 lebih pagi, sticker masih tidak siap direka kerana masalah laptop yang agak lambat. Mungkin kerana saiz sticker yang agak besar atau mungkin juga kerana ana ini jenis yang malas menutup laptop berhari-hari. Kerana terlampau penat, ana pun mengambil keputusan untuk tidur setelah jam hampir 3 pagi.

Esoknya, ana bersama seorang senior ke kuliah hadith di masjid. Elektrik tiada. Seronok pula rasanya kuliah pagi ini kerana suasana seperti berada di kampung-kampung dengan cahaya yang samar-samar. Walaupun pada mulanya hanya ada beberapa orang, lama-kelamaan mahasiswa semakin bertambah. Mendengar kuliah tentang tawakkal kepada ALLAH s.w.t pagi ini memberi kekuatan kepada diri untuk sentiasa yakin dengan bantuanNYA.

Usai kuliah pagi ini, ana dan senior ana segera membeli sarapan di arked. Agak bergegas juga kerana ana memberitahu senior tentang tugas-tugas yang belum selesai di bilik. Baru beberapa langkah ana menuruni tangga arked untuk menuju ke motosikal, telefon bimbit ana bergetar. Ana memang jenis yang kurang rajin menukar profil telefon bimbit ana, hingga kadang-kadang sampai dua hari telefon bimbit berada dalam profil 'shut up!'. Mesej diterima bertanyakan tentang perkembangan sticker dan banner. Terkedu ana kerana sticker pun belum siap apatah lagi banner yang ana tak ada templatnya. Ana memberitahu situasi ana yang harus mengutamakan tugasan yang diberikan oleh pensyarah ana terlebih dahulu berbanding sticker dan banner tersebut. Ana tidak lupa untuk meminta sahabat itu menghantar templat banner ke e-mail. Selepas solat jumaat, due nya. Alhamdulillah, boleh lah ana menyelesaikan tugasan pensyarah sebelum jam 12 tengahari.

Sampai di bilik, ana terus menghadap laptop sambil menjamah kuih. Berusaha menyiapkan sticker dalam keadaan laptop yang agak lambat sedangkan memorinya masih banyak kosong. Beberapa kali ana 'jauh hati' pada laptop ana tersebut kerana masa sudah terlalu suntuk. Eh, tadi ana kata ana utamakan tugasan pensyarah, tapi kenapa sekarang ana uruskan sticker pula? Sebab ana belum dapat lagi bahagian sahabat-sahabat yang lain, bahagian ana sudah selesai kecuali menunggu program yang tertinggal di laptop sahabat. Hendak minta pada sahabat supaya dihantar melalui e-mail, wifi pula bermasalah. Alhamdulillah, 2 bentuk sticker dah siap, terpulanglah kepada sahabat itu untuk memilih. Banner pula terpaksa tunggu e-mail daripada sahabat tersebut.

Pukul 11 lebih, ana masih belum dapat bahagian tugasan daripada sahabat. Naik risau juga ana kerana tinggal kurang sejam lagi due nya. Ana mesej sahabat tersebut, tidak lama kemudian dia membalas dan meminta ana keluar mengambil softcopy tugasan. Ana segera membuka fail tugasan yang dimaksudkan. Sudah 11.30 pagi. Hanya ada beberapa puluh minit untuk ana compilekan dan 'pdf'kan. Banyak juga bahagian yang terpaksa dipotong kerana lebih empat muka surat. Sepuluh minit sebelum jam 12.00, fail tersebut ana compress dalam bentuk .rar. Yahoo!Mail dibuka. Beberapa kali ana cuba untuk attach fail tersebut tetapi gagal. Hampir putus harapan ana kerana jam sudah menunjukkan tepat pukul 12.00 tengahari. Ana mesej sahabat ana memberitahu keadaan Yahoo!Mail yang bermasalah. Selepas sahaja ana mesej, fail tersebut berjaya diattach. Alhamdulillah, berjaya juga ana hantar ke e-mail pensyarah tersebut walaupun agak lewat beberapa minit.

Ana sambung kerja untuk mereka banner, tetapi buntu juga kerana tiada templat. Ana mesej sahabat ana, sama ada dia telah menghantar templat ke e-mail. Mula-mula dia kurang faham, rupa-rupanya dia terlupa. Hendak dihantar melalui e-mail pun susah juga kerana internet yang bermasalah. Kelam-kabut juga ana mencari jalan untuk menyelesaikan masalah banner tersebut. Akhirnya ana hubungi seorang sahabat yang berkenaan. Ana tanya saiz banner dan kod warna templat banner tersebut. Alhamdulillah, selesai satu masalah. Akan tetapi, masa sudah agak suntuk. Berhempas-pulas ana menyiapkan banner tersebut sambil membalas mesej-mesej sahabat yang masuk ketika sedang agak kekalutan. Kalau ikutkan hati, ana tidak mahu melayan mesej-mesej tersebut kerana ada perkara penting yang perlu ana selesaikan secepat mungkin. Astaghfirullah, banyak kali ana beristighfar kerana berbagai-bagai perasaan dan bisikan mula mencucuk hati yang sedang berada dalam tekanan.

Hampir jam 2.30 petang, sahabat ana menghubungi ana bertanyakan perkembangan sticker dan banner. Hampir siap, tapi ana tidak dapat membantu dalam urusan mencetak sampel. Mesin pencetak ana telah kehabisan dakwat. Maka, keputusan dibuat; sahabat ana itu yang akan mencetaknya dan seterusnya membawa sampel itu untuk dinilai oleh pihak atasan. Ana segera bersiap dan bergerak ke bangunan persatuan pelajar untuk menghantar softcopy, kebetulan ana ada mesyuarat di kawasan berdekatan pada pukul 2.30 petang.

Alhamdulillah, dah selesai urusan sticker dan banner. Sepatutnya petang ini ana dan sahabat-sahabat MPP bersama-sama ke Melaka untuk menyertai Kursus Pengurusan Organisasi, namun ana minta pengecualian untuk jabatan ana agar gerak kerja program yang sedang berjalan tidak terjejas dengan bilangan kami yang agak sedikit. Alhamdulillah, persetujuan dicapai asalkan jabatan menghantar seorang wakil. Seorang sahabat ana telah pun berada di sana. Mohon kemaafan pada sahabat-sahabat lain kerana tidak dapat bersama-sama antum. Harapan ana, apa yang dipelajari di sana boleh dikongsi bersama-sama kami di sini apabila antum kembali kelak.

Selesai perbincangan selama hampir tiga jam yang agak memeningkan kepala dan memenatkan otak, ana dan senior kembali ke kolej. Ada aktiviti lain pula selepas itu. Tidak cukup masa ana untuk terus menaip. Ya ALLAH, adakah masa ana betul-betul tidak cukup atau ana yang kurang mahir menguruskan masa?

Semua orang diberikan masa 24 jam, tidak lebih dan tidak kurang. Kebijaksanaan seseorang menguruskan masa apatah lagi yang begitu banyak terlibat dengan aktiviti menentukan capaian matlamatnya dalam sehari. Kadang-kadang orang perlukan jadual seharian tetapi berapa ramai yang mematuhi jadual? Apa yang mampu ana kongsi adalah, kurangkan rehat kerana tanggungjawab kita lebih banyak daripada masa yang kita ada. Wallahu'alam.

"Demi masa! Sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Dan berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran". (Surah Al-Asr: 1-3)

Post a Comment

0 Comments