Ticker

6/recent/ticker-posts

Ahmadinejad Kecam Barat, Diplomat EU Keluar Dewan




(sumber: Utusan Malaysia-22 Apr)

GENEVA 21 April – Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad hari ini menuduh Barat menggunakan Holocaust sebagai ‘alasan’ untuk melakukan kekerasan ke atas penduduk Palestin dan kecamannya itu telah menyebabkan semua pemimpin negara Kesatuan Eropah (EU) bertindak keluar dari dewan di mana persidangan antiperkauman anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) diadakan, di sini.

Persidangan itu menjadi kecoh sejak dari awal lagi apabila dua penunjuk perasaan yang memakai rambut palsu berwarna-warni melontar hidung badut berwarna merah ketika Ahmadinejad memulakan ucapan sambil berdoa.

Sekumpulan pelajar Yahudi dari Perancis berkata, apa yang cuba disampaikan oleh Ahmadinejad adalah ‘sandiwara yang berlaku dalam persidangan ini’.

Insiden itu menyebabkan Ahmadinejad yang diberi penghormatan untuk berucap, terpaksa memulakan semula ucapan.

Beliau menyampaikan ucapan selama lebih setengah jam dengan melemparkan kritikan terhadap Amerika Syarikat (AS) dan Eropah yang didakwa membantu penubuhan negara Israel selepas Perang Dunia Kedua dengan mengorbankan penduduk Palestin.

“Mereka menggunakan kekerasan tentera untuk menjadikan seluruh penduduk negara itu (Palestin) kehilangan tempat tinggal atas alasan penderitaan yang dialami oleh Yahudi (semasa Holocaust),” katanya.

Kritikan beliau itu menyebabkan kira-kira 40 diplomat dari Britain, Perancis dan beberapa negara EU keluar dari dewan persidangan, malah mengancam untuk meninggalkan persidangan jika ia terus diselubungi dengan ucapan anti-Semitik dan retorik mengutuk Israel, insiden sama yang pernah berlaku pada persidangan serupa lapan tahun lalu di Afrika Selatan.

AS dan lapan negara Barat memulaukan persidangan tersebut semalam menjelang Hari Peringatan Holocaust Israel, kerana bimbang persidangan itu dapat berjalan secara adil.

Ahmadinejad turut menuduh Israel sebagai ‘rejim paling kejam dan kuat menindas’ selain menyalahkan pencerobohan AS ke atas Iraq sebagai salah satu konspirasi Zionis.

Kebanyakan retorik yang diutarakan beliau bukan perkara baru, namun masa dan profil persidangan ini mungkin membantut usaha pemulihan hubungan Iran dengan AS, terutama apabila Timbalan Duta AS ke PBB, Alejandro Wolff menyifatkan apa yang berlaku sebagai ‘pertunjukan Ahmadinejad.’

Penunjuk perasaan di luar bangunan persidangan melaungkan kata-kata kutukan dan tidak lama kemudian sekumpulan penyokong Israel dan Yahudi cuba menghalang Ahmadinejad dari memasuki bilik sidang akhbar. – AP

P/S: Subhanallah, berapa ramai pemimpin sebegini sekarang, yang berani menyuarakan kebenaran dan mempertahankan ad-Deen, yang bersedia untuk dicemuh biarpun menyedari dari awal lagi kesan tindakannya? Apabila direnung kembali perjalanan perkembangan Islam di zaman silam, tentangan yang dihadapi oleh Rasulullah S.A.W dan para sahabat sebenarnya lebih hebat daripada ini, tetapi kenapa tidak ramai yang mengerti?

Post a Comment

1 Comments

  1. salam..beliau seorg pemimpin islam yg berani..walaupun sebelum beliau berucp, beliau diprovokasi oleh pihak musuh islam..

    ReplyDelete

Thank you for coming by. Comments are your responsibility. Any comments are subjected to the Act 588 MCMC 1988. Comment wisely, and do it with pure intentions. Any comment with link(s) will be deleted to avoid spam.

For any inquiries, email: sunahsakura@gmail.com