BLOG ENCIK SUAMI

Friday, November 26, 2010

Samurai Setia vs Pemuda a.k.a Samurai Baru

samurai setia menjaga taman larangan, memelihara sakura... (hero: byakuya)

Bertahun-tahun telah berlalu. Pohon sakura semakin membesar, malah tidak lupa untuk memekar setiap kali penghujung Mac menjelma. Tiada lagi corak abstrak sang kumbang pada daun-daun halusnya. Cuma sesekali sang lebah dan beburung hinggap memuji-muji keindahan sakura.

Samurai tetap setia di situ. Sudah beberapa April dilalui bersama-sama pohon sakura dalam taman larangan. Samurai sentiasa menjaga keindahan taman larangan. Ikan-ikan dalam kolam yang dulunya kecil kini semakin membesar. Samurai seronok memelihara segala-galanya dalam taman itu. Bertahun-tahun berlalu itu samurai sudah puas melihat sakura membesar, memekar pada musim bunga, dedaunnya memerah pada musim panas, kemudian gugur satu persatu pada musim luruh. Samurai juga melihat sakura menghadapi ujian musim sejuk - hingga tiada apa yang tinggal melainkan ranting-ranting halus berceracak - yang tetap kelihatan indah. Subhanallah.

Hari ini penghujung Mac. Sakura memekar lagi. Beribu-ribu dan berjuta-juta sakura dalam taman larangan, juga di luar, memekar indah. Namun mekarnya sakura dalam taman larangan dijaga oleh samurai, sedangkan sakura di luar taman larangan terbiar begitu sahaja. Seperti penghujung-penghujung Mac yang lalu, hari ini angin bertiup merdu. Sakura dan dedaunnya menari-nari atas pohon yang satu itu.

"Cantik." Samurai yang sedang menyiram bunga di tepi kolam tersentak. Dia menoleh ke arah suara yang kedengaran. Nampaknya ada seseorang telah masuk ke dalam taman larangan tanpa disedari olehnya.

Samurai itu meletakkan penyiram kemudian mengorak langkah menuju ke kawasan tengah taman, pedang bersarung di pinggang dikejap erat. Dia nampak sesusuk tubuh pemuda membelakanginya. Kini jaraknya dengan pemuda itu hanya dalam tiga meter.

"Siapa?" tanya samurai. Pemuda di hadapannya berpaling mendepani samurai. Samurai ternampak sebilah pedang bersarung juga tersisip pada pinggang pemuda itu setelah dia berpaling. Pemuda itu juga merenung ke arah pedang bersarung di pinggang samurai.

"Kita sama. Kau penjaga taman ini?" Pemuda itu memulangkan pertanyaan.

"Ya, aku sudah berada di sini bertahun-tahun lamanya."

dalam perjuangan, bangku tidak disediakan untuk pejuang...

Pemuda itu tersenyum kemudian perlahan-lahan menghampiri pohon sakura yang rendang. Samurai masih berdiri di tempatnya. Sakura yang melihat sedari tadi tertanya-tanya. Siapakah gerangannya pemuda ini, kelihatan seperti samurai juga. Dua samurai dalam taman larangannya. Samurai yang setia menjaganya selama ini dan samurai baru yang tidak pernah dilihatnya. Pemuda itu duduk di atas bangku di bawah pohon sakura.

"Kenapa kau berada di sini? Atas tujuan apa kau masuk ke sini?" tanya samurai tanpa menghilangkan rasa waspada.

"Cantik," pemuda itu mendongak melihat kuntuman-kuntuman sakura yang mekar indah tanpa menjawab soalan samurai. "Agaknya, pohon ini sudi atau tidak untuk bertukar penjaga?"

Samurai tersentak. Soalan penuh makna yang mendalam itu benar-benar menggugah darah pahlawannya. Bukan sahaja samurai, malah sakura, dedaunnya dan seluruh pohon sebatang itu terkejut. Bergoyang sedikit hujung-hujung ranting pohon sakura apabila mendengar kata-kata samurai yang baru dilihat ini. Gegaran kecil itu menjatuhkan beberapa kuntum sakura yang agak lemah semangat. Gugur dan disambut samurai baru dengan telapak tangannya. Samurai yang setia selama ini menjeling tajam apabila kuntuman sakura itu jatuh ke dalam tangan si pemuda.

sakura yang lemah, akan gugur dengan ujian yang sedikit...

"Apa yang kau maksudkan?" samurai tidak mahu terus memutuskan.

"Masih tidak faham?" Pemuda berdiri, mencapai pedang di pinggang, tetapi belum masanya untuk dia mengeluarkan pedang itu.

"Aku telah lama di sini. Tidak mungkin untuk aku melepaskan taman ini kepada orang lain."

Pemuda tersenyum sinis. "Ya, yang nyata memang kau telah lama di sini. Kau yang menjaga taman ini selama ini. Kau yang bersama-sama pohon ini menjaga keindahan taman ini. Kau yang melihat ia membesar dan memekar. Tapi...kau tidak tahu entah-entah sakura ini sudah bosan melihat engkau setiap hari dengan rutinmu."

Sakura terkejut. Bosan? Tidak!!! Sakura tidak pernah bosan! Sakura bersyukur kerana selama ini samurai menjaganya daripada sang kumbang. Sakura tahu dan yakin samurai boleh menjaganya sampai bila-bila. Eh, siapalah samurai baru ini, berani sungguh mencabar samurai yang setia. Tetapi...sakura tidak dapat memberitahu samurai tentang itu. Sakura hanya boleh mendiamkan dirinya.

"Bosan? Aku tidah pasti dengan sakura, tetapi aku sendiri tidak pernah bosan menjaga taman ini. Dan aku juga tidak gentar untuk mengusir apa sahaja yang akan mengganggu aku menjaganya," kata samurai.

Mendengarkan kata-kata samurai itu, si pemuda tidak menunggu lagi, pedang dikeluarkan dari sarungnya.

"Kau mahu mempertahankan taman ini? Aku mahu melihat sejauh mana kau rasa bertanggungjawab pada pohon sakura ini...dan mungkin saja pohon sakura boleh memilih selepas pertarungan ini, siapa yang lebih berhak untuk menjaganya!" Pemuda itu mencabar samurai.

Samurai menyentap pedang terbalik. Pantang sekali dia dicabar. Sakura pula hanya mampu melihat, tetapi sakura tidah berhenti-henti meminta agar diberikan ilham tentang ini. Sakura bimbang tersalah pilih. Mungkin saja samurai itu pilihannya kerana selama ini samurai yang bersama-samanya menghadapi segala ujian musim panas, luruh dan sejuk, dan mungkin juga samurai yang baru itu terbaik untuknya walaupun dia tidak pernah tahu sejauh mana pemuda itu mempunyai rasa tanggungjawab terhadap taman ini. Sakura tidak tahu, tetapi Allah lah yang Maha Mengetahui.

"Pantang menyerah sebelum kalah!" Samurai mara. Pertarungan dimulakan, burung-burung lari berterbangan. Bimbang tercantas sayap. Pohon sakura bergoyang, gugur lagi kelopak-kelopaknya yang lemah semangat.

samurai...antum samurai yang mana satu?

Sementara itu di luar taman...seorang lagi pemuda meninjau-ninjau ke dalam pagar besi yang terbuka. Di pinggangnya tersisip juga pedang bersarung, tetapi di tangan kirinya kelihatan sekaki payung berwarna keemasan.

--adakah akan ada sambungan?

Previous Episode: Sakura Dalam Taman Larangan



8 comments:

Sunah Mohammad said...

sambungan yang ditunggu-tunggu...

ms. ck said...

oh..nampaknya sakura dalam dilema...
cerita smkn suspen..apakah tujuaannya pemuda baru tersebut muncul?? adakah perebutan mereka hanya semata-mata dek keindahan sakura?? kecantikan semata-mata??? sambung2...=)

NORA BELLA said...

Salam kak,
mesej y bermakna
LIKE2

lagenda pejuang islam said...

bhee..rasa macam mau masuk campur pulak

Sunah Mohammad said...

ms. ck>pemuda baru yang mana satu? yang sedang bertarung atau yang di luar? :) sambung? hurmmmm.....~

bella>salam dik~ teruskan mengeLIKE..

kamsar>nak masuk campur? masuk la..tapi sebagai 'mujahid', bukan sebagai 'samurai'...~

Muhammad Hafiz said...

Uish. Byakuya Kuchiki tu... Captain of Gotei's 13 6th Division. Pergh, lepas ni perkenalkan pula Samurai X, Himura Kenshin, teh Battousai...

Kalau jadi Mujahid Samurai pun ok juga.

Samurai cukup dipandang tinggi ketika zaman Edo. Semasa zaman Tokugawa, samurai semakin dipinggirkan...

Sunah Mohammad said...

akh hafiz> perkenalkan, my favourite shinigami~ kebetulan pula bankai beliau adalah scattering sakura~ ya, lepas ni Kenshiin pula...mungkinkah beliau yang sedang meninjau2 di luar taman sambil memegang payung keemasan?

bagus, sejarah yang kurang diketahui umum apatah lagi yang bukan berasal dari Jepun...

Muslimah Optimis said...

:-) baca tak habis lagi.. hihi.. nanti kena sambung.. ngantuk dah

Novelog Miss Ran: Aku, Dia, dan Paparazzi

Kuntuman Sakura

Blog (167) Blog Review (110) Blogger (57) BM (17) Books (26) Cerpen (14) Cici (41) cinta (34) Dakwah (65) Eh Ustazah (42) gathering (8) iklan (24) Info Sihat (26) Jalan-jalan (46) lirik (22) Motivasi (52) muhasabah (34) Nukilan Jiwa (55) Palestine (21) perkahwinan (38) Puisi (45) Puisi Islamik (15) Ramadhan (21) Review Filem (3) Sakura (33) Tazkirah (87) Tutorial (27) WordlessWednesday (54)
Ini adalah blog peribadi. Sebarang pendapat yang saya nukilkan di sini adalah dari saya sendiri, tidak melibatkan sesiapa kecuali jika saya letakkan nama pemiliknya. Sebarang COPYPASTE dari laman Sunah Suka Sakura dot com adalah dibenarkan dengan syarat dikreditkan ke blog ini. Sama-sama menyebarkan perkara yang bermanfaat. Terima kasih.