Ticker

6/recent/ticker-posts

Aku Terima Nikahnya? - Mas Kahwin

"Sebaik-baik mas kahwin itu ialah yang paling senang dan paling rendah." [HR Abu Daud]
Perkongsian daripada Ustazah Naemah dalam kuliah TM HEWI: "Aku Terima Nikahnya?" tengahari tadi betul-betul berjaya menarik perhatian mahasiswi UTM untuk menghadirinya. Dewan Kuliah 1 C17 (ana tiada gambar, boleh rujuk vB) agak penuh dengan kelibat mahasiswi yang dahagakan ilmu pengetahuan. Alhamdulillah, tidak mengira umur, warna kulit dan latar belakang, semuanya membuka hati untuk menerima perkongsian daripada ustazah bermula daripada sejarah perkahwinan beliau hingga ke pesanan terakhir. Topik yang sangat-sangat menarik perhatian ana adalah yang berkaitan dengan mas kahwin dan wang hantaran. Seperti yang tertera di atas, mas kahwin yang paling mudah adalah yang terbaik. Kenapa yang paling mudah? Yang paling mudah ini yang bagaimana pula? Mas kahwin yang mudah bermaksud yang tidak akan membebankan bakal suami dan ahli keluarganya. Bayangkan bakal suami masih lagi dalam usaha menstabilkan kewangan dan perlu membiayai keluarga pula, adalah tidak wajar untuk wanita yang ingin dikahwininya meletakkan mas kahwin yang begitu tinggi. Ini belum termasuk lagi wang hantaran yang sebenarnya langsung tiada dalam tuntutan Islam. Wang hantaran yang merupakan adat perkahwinan masyarakat Melayu zaman kini hanyalah sebagai pelengkap adat-adat perkahwinan.
Adat seperti ini dibenarkan oleh Islam tetapi sepatutnya kadar hantaran itu tidaklah membebankan lelaki, malah sebaiknya mengikut keikhlasan bakal suami berdasarkan kemampuannya. Dalam keadaan ini, ramai yang tidak menyedari bahawa adat yang dilaksanakan di kebanyakan tempat melanggar hukum dan adab Islam. Sebenarnya hantaran mengikut adat itu ditentukan keluarga wanita. Malah sesetengah tempat bukan ibu bapa yang menentukannya tetapi ada wakil yang diberi kuasa menentukannya. Di sinilah kadang-kadang kadarnya membebankan pihak lelaki terutama yang tidak berpendapat tinggi.
Mas kahwin dan hantaran yang terlalu tinggi hanya akan menyebabkan masjid yang ingin didirikan semakin lambat untuk dibina. Lebih buruk lagi, kemungkinan besar mas kahwin dan wang hantaran yang tinggi akan melibatkan bakal suami dengan hutang piutang. Keadaan ini akan merumitkan pasangan suami isteri selepas perkahwinan kerana perlu menggantikan atau membayar semula segala pinjaman dan hutang. Adalah lebih baik sekiranya wanita itu meletakkan nilai mas kahwin yang rendah kerana kadar yang rendah itu menggambarkan wanita yang baik. Sebenarnya mas kahwin bukan harga bagi wanita atau isteri tetapi pemberian yang selayaknya diberikan oleh suami sebagai tanda dia rela mengambil tanggungjawab menjaganya. Kalaulah wanita itu hendak dinilai dengan harga dan perlu ditawarkan dengan maskahwin, sudah tentu tidak ternilai dengan wang, mungkin satu juta pun bukan nilainya. Mas kahwin pula tidak semestinya dalam bentuk wang, tetapi boleh juga dalam apa-apa bentuk barangan yang bernilai. Sangat indah seandainya mas kahwin perkahwinan itu adalah senaskhah al-Quran, subhanallah. Malah, pada zaman baginda Rasulullah s.a.w, pernah sekali dalam sejarah Islam, mas kahwin seorang lelaki soleh kepada seorang wanita solehah adalah diri lelaki itu sendiri bagi memudahkan urusan baitul muslim yang ingin didirikan. Maha Suci ALLAH... Maka, untuk apa menyukarkan sesuatu yang sudah diberi kemudahan oleh ALLAH s.w.t?

Post a Comment

0 Comments