Isterinya menghidangkan makanan. Lauk kegemarannya, ayam masak lemak cili padi nampak begitu menyelerakan. Semuanya sudah tersedia. Mereka tidak duduk di atas meja, sengaja menghadirkan suasana romantik dengan duduk di anjung rumah. Karpet berbulu tebal menjadi alas. Ditarik tangan isterinya yang mahu melangkah pergi lagi.

"Dah lah tu sayang. Cukup-cukup dah ni."

Isterinya duduk bersimpuh di sebelahnya. Diambil pinggan kosong di hadapan suaminya dan dicedokkan nasi ke dalamnya. Hampir saja dia mencapai pinggan di hadapannya pula, tetapi ditegah si suami.

"Kita kongsi, yee~" Suaminya menolak pinggannya ke arah isterinya, biar dekat sedikit untuk dicapai. Isterinya menurut. Dicedok sedikit lauk ayam masak lemak cili padi tadi ke dalam pinggan. Kemudian si suami menadah tangan. Si isteri mengikut sekali. Doa makan dibaca.

Si suami mencuit sedikit nasi dan ayam, kemudian menyuap isterinya. Kemudian si isteri pula membalas perbuatan yang sama.

"Pedas tak?" tanya si isteri.

"Tak, ok jee... Abang suke. Pandai sayang masak..." Si suami tersenyum. Makanan dihabiskan. Gelas dicapai oleh isterinya. Jus oren dituangkan ke dalam gelas. Disua gelas berisi jus oren kepada suami.

"Sayang minum dulu..." Si isteri menurut sahaja kata suaminya. Kemudian gelas bertukar tangan.

"Sayang minum kat sini eh, tadi?" Si suami melihat bekas tempat isterinya minum. Si isteri mengangguk. Si suami pun minum di tempat isterinya minum.

"Alhamdulillah... Terima kasih sayang, masak untuk abang..."

Nah, romantik kan? Itu cara siapa? Ini bukan cerita Nora Elena! Dan si suami itu bukan Seth Tan! Tapi dia nyata mengikut seseorang...


Itu sunnah Rasulullah s.a.w. Kenapa tidak jadikan idola anda dalam berumahtangga itu Rasulullah s.a.w? Ya, memang jauh sangat untuk menjadi seperti baginda, kita tidak sesempurna baginda atau isteri-isteri baginda, tetapi kita boleh saje mengamalkan sunnah baginda dalam kehidupan rumahtangga kita. Tak semua, sikit pun jadi lah... Bahagia dapat, romantis dapat, pahala pun dapat!