Ticker

6/recent/ticker-posts

Kemurungan atau Depresi: Jenis dan Tanda-tanda Anda Mengalaminya

Kemurungan atau Depresi: Jenis dan Tanda-tanda Anda Mengalaminya | Kesedihan adalah satu daripada emosi yang normal bagi seorang manusia. Perasaan sedih ini akan hadir dalam beberapa episod kehidupan dan akan pergi setelah beberapa ketika. Walau bagaimanapun, bagi individu lain, kesedihan yang dialami mungkin sedikit berbeza daripada apa yang dialami oleh orang lain. Kesedihan yang dialaminya itu boleh menyebabkan satu keadaan yang disebut sebagai kemurungan atau depresi, kerana kesedihan yang melampau adalah salah satu daripada simptom-simptom kemurungan. Apa lagi simptom-simptom bagi depresi ini? Jemput baca perkongsian dari Hello Doktor tentang jenis dan tanda-tanda kemurungan.

Kemurungan atau Depresi: Jenis dan Tanda-tanda Anda Mengalaminya

Simptom-simptom kemurungan

Sekiranya anda mengalami kemurungan, kesedihan atau rasa kekosongan yang anda rasai itu tidak menghilang dalam masa beberapa minggu. Antara simptom-simptom emosi yang berlaku termasuklah:
  1. Berasa cepat marah atau sensitif terhadap perkara-perkara kecil yang berlaku
  2. Keresahan dan kegelisahan
  3. Mempunyai kesukaran dengan pengurusan kemarahan
  4. Hilang minat dalam pelbagai aktiviti
  5. Obsesi terhadap perkara yang sudah lepas atau perkara yang berlaku secara salah
  6. Terfikir untuk mati atau membunuh diri

Simptom-simptom fizikal pula termasuklah:
  1. Insomia atau terlebih tidur
  2. Keletihan yang melemahkan
  3. Selera makan yang meningkat naik atau menurun
  4. Kehilangan atau pertambahan berat badan
  5. Kesukaran untuk memberikan tumpuan atau membuat keputusan
  6. Kesakitan atau sengal-sengal pada tubuh yang tidak diketahui puncanya

Bagi golongan kanak-kanak atau remaja, kemurungan yang berlaku boleh menyebabkan kurangnya keyakinan diri, rasa bersalah, penumpuan yang lemah dan sering tidak hadir ke sekolah. 

Apakah penyebab dan faktor risiko kemurungan?

Sebenarnya, tidak terdapat satu penyebab kukuh bagi depresi. Ia melibatkan pelbagai faktor seperti bahan kimia dalam otak, hormon dan juga genetik. Faktor-faktor risiko lain yang boleh menyebabkan kemurungan termasuklah:
  1. Kurang keyakinan diri
  2. Gangguang kebimbangan melampau, gangguan personaliti sempadan, dan gangguan tekanan selepas trauma atau PTSD
  3. Gangguan fizikal atau seksual
  4. Penyakit-penyakit kronik seperti diabetes, multiple sclerosis atau kanser
  5. Gangguan penyalahgunaan dadah atau alkohol
  6. Kesan sampingan sesetengah ubat-ubatan
  7. Sejarah kemurungan dalam keluarga
  8. Umur, jantina, bangsa dan juga geografi

Jenis-jenis kemurungan

Tahukah anda, terdapat beberapa kategori atau jenis kemurungan yang wujud, bergantung kepada keadaan tertentu. Ini kerana, keadaan yang khusus boleh mencetuskan jenis kemurungan lain atau subset bagi keadaan tersebut. Berikut merupakan 6 jenis kemurungan yang boleh berlaku:

#1. Gangguan kemurungan utama (major depressive disorder)
Ia juga dikenali sebagai kemurungan klinikal. Ia boleh menjejaskan emosi, kelakuan, dan juga fungsi fizikal kehidupan anda yang lain seperti selera makan dan juga kualiti tidur. Individu yang mengalami kemurungan jenis ini seringkali hilang minat dalam aktiviti yang pernah mereka gemari, selain mempunyai masalah dalam melakukan aktiviti harian mereka. Mereka yang mempunyai kemurungan juga kadangkala berasa bahawa hidup mereka tidak lagi bermakna. Di Amerika Syarikat, gangguan kemurungan utama ini adalah antara gangguan mental yang paling kerap berlaku. 

#2. Gangguan kemurungan berterusan (persistent depressive disorder)
Bagi mereka yang mengalami kemurungan utama, mereka mungkin akan mengalami satu episod sahaja atau mungkin juga dengan episod yang berulang. Gangguan kemurungan berterusan atau juga disebut sebagai dysthymia, adalah kemurungan tahap rendah yang kronik. Tahap keterukannya adalah lebih rendah berbanding daripada kemurungan utama. Antara simptom-simptomnya ialah perasaan kesedihan yang mendalam, rasa putus asa yang berterusan selain kekurangan tenaga dan ketidakpastian dalam membuat keputusan. Ia lebih kerap berlaku dalam kalangan wanita berbanding lelaki, dan separuh daripada kes-kes yang berlaku adalah kes yang dikategorikan sebagai kes yang serius.

#3. Gangguan bipolar (bipolar disorder)
Gangguan bipolar adalah salah satu daripada jenis-jenis kemurungan. Di Amerika Syarikat, ia telah menjejaskan seramai 2.9 peratus daripada keseluruhan populasi di sana dalam masa setahun. Kedua-dua lelaki dan wanita berpotensi untuk mengalaminya dengan 83% daripada keseluruhan kes-kes yang berlaku adalah kes yang dikategorikan sebagai teruk. Gangguan ini melibatkan kewujudan episod mood atau emosi yang bertenaga. Kadangkala, ia diikuti dengan episod-episod kemurungan. Kewujudan episod-episod inilah yang menentukan jenis gangguan bipolar manakah yang didiagnosis. 

#4. Kemurungan bermusim (seasonal depression)
Sekiranya anda memiliki gangguan kemurungan utama dengan corak bermusim yang juga dikenali sebagai gangguan afektif bermusim, mood anda akan terjejas dengan perubahan bermusim. Kemurungan bermusim ini biasanya dicetuskan melalui permulaan musim luruh dan berterusan sepanjang musim sejuk. Ia jarang sekali berlaku pada musim panas dan musim bunga. Keadaan geografi dan jarak daripada khatulistiwa memainkan peranan yang signifikan bagi gangguan jenis ini. Wanita mewakili setiap 4 daripada 5 individu yang mempunyai gangguan kemurungan bermusim.

#5. Kemurungan selepas bersalin (postpartum depression)
Sebanyak 80 peratus ibu baharu akan mengalami “baby blues” dan simptom yang berlaku termasuklah perubahan emosi, kesedihan dan keletihan. Walau bagaimanapun, emosi ini akan hilang dalam tempoh seminggu atau dua minggu. 

Jika simptom-simptom yang berlaku tersebut terus wujud lebih daripada beberapa minggu dan keparahannya meningkat naik, ia mungkin tanda berlakunya kemurungan selepas bersalin atau postpartum depression. Simptom-simptom lain termasuklah sindrom penarikan diri, kurang selera makan dan pemikiran yang negatif. Menurut American Psychological Association atau APA, sekitar 10 hingga 15 peratus wanita di Amerika Syarikat mempunyai episod kemurungan dalam tempoh tiga bulan setelah melahirkan anak. 

#6. Kemurungan psikotik (psychotic depression)
Apabila kemurungan utama atau gangguan bipolar diikuti dengan keadaan halusinasi, khayalan atau paranoia, ia disebut sebagai gangguan kemurungan utama dengan ciri-siri psikotik. Sekitar 25% daripada pesakit yang dimasukkan ke hospital akibat kemurungan sebenarnya mempunyai kemurungan psikotik. Gangguan kemurungan utama dengan ciri psikotik danggap sebagai kecemasan psikiatri dan memerlukan kemasukan ke wad psikiatri

Bagaimana kita boleh bersama-sama mengelakkan kejadian bunuh diri?

Sekiranya anda mengenali seseorang individu yang mempunyai risiko untuk membahayakan diri mereka sendiri atau membahayakan individu lain, ini adalah antara tindakan yang boleh anda lakukan.
  • Hubungi nombor kecemasan 999 yang akan menghubungkan anda dengan pihak yang berkaitan
  • Sentiasa bersama-sama dengan individu tersebut sehinggan bantuan tiba
  • Jauhkan sebarang senjata, pisau, ubat-ubatan atau benda-benda yang boleh memberikan bahaya
  • Dengar apa yang ingin mereka sampaikan. Jangan sesekali menghakimi mereka, berbalah, mengugut atau menengking mereka
  • Anda juga boleh mendapatkan bantuan daripada befrienders di talian 24 jam mereka: 0379568145

Kesimpulan

Di saat anda terfikirkan bahawa ramai yang tidak bersama dengan anda, sebenarnya masih ramai lagi di luar sana yang menyayangi anda dan tidak meninggalkan anda berseorangan. Jika anda sering keseorangan atau cuba menyembunyikan kesedihan anda, mungkin ada rakan anda yang ingin sentiasa menemani dan mendengar segala luahan anda. Kongsikan apa yang anda alami, mungkin ada jalan untuk anda menghadapinya.

Post a Comment

4 Comments

  1. Kadang kemurungan juga sekejap bila orang tanya soalan cepu emas tu. Alhamdulillah dapat kawal emosi diri lagi. Semoga kita semua terhindar dari kemurungan yang teruk dan membawa kepada perkara perkara yang tak elok. Aaminn...

    ReplyDelete
  2. Nice sharing. Akak ada juga buat kajian ttg DASS measurements ni

    ReplyDelete
  3. Aishhh teringat test aku tu...ermmmm nak kena buat date plak jumpa pakar huwaaaaa

    ReplyDelete

Thank you for coming by. Comments are your responsibility. Any comments are subjected to the Act 588 MCMC 1988. Comment wisely, and do it with pure intentions. Any comment with link(s) will be deleted to avoid spam.

For any inquiries, email: sunahsakura@gmail.com