Bolehkah Daun Semambu Merawat COVID-19? | Daun semambu ni daun apa sebenarnya? Saya baru kenal daun ni beberapa tahun lepas, bila veterinar bagi krim yang mengandungi daun semambu atau dalam bahasa yang lebih dikenali - daun neem; untuk merawat luka lepas pembedahan ke atas kucing saya yang dipotong kakinya.

Baca sini: Kiki Takde Kaki

Kenali Pokok Semambu

Kredit: Wikipedia

Mula-mula saya sebut pasal daun neem ni masa sapu kat luka Kiki, kak Ajan terus cakap, '"owh, orang India selalu pakai ni." Bau dia memang tak boleh tahan. Bertabah je lah masa rawat luka Kiki tu, lepas dah sapu kat luka, terus cuci tangan guna sabun banyak-banyak sebab bau dia adoiiii busuk lerrr.

Menurut Wikipedia, pokok semambu dianggap sebagai pokok perubatan dan telah digunakan dengan tujuan ni kat India selama lebih 2,000 tahun lalu.

Namun begitu, kajian-kajian masih kurang mencukupi untuk mengesahkan manfaat kesihatan minyak semambu. Amalan minyak semambu secara kecil-kecilan dalam kalangan orang dewasa adalah selamat, tetapi amalan dalam jangka masa panjang boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang dan hati; malah minyak semambu adalah beracun terhadap kanak-kanak dan boleh membawa maut.

Dalam makanan, pucuk dan daun pokok semambu dimakan sebagai ulam-ulaman di India dan tanah besar Asia Tenggara. Manakala dari segi kebudayaan, pokok semambu juga digunakan dalam upacara keagamaan Hindu dan banyak ditanam berhampiran kuil.

Penggunaan Daun Semambu bagi Wabak COVID-19

Kebelakangan ni tular kononnya daun semambu boleh merawat COVID-19. Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mengupas isi viral daun semambu ni dalam satu forum Live di laman Facebook MOSTI bersama pakar imunologi dan virologi, Profesor Dr Shamala Devi Sakaran.

Menurut Profesor Dr Shamala, takde bukti perubatan dan kajian saintifik menunjukkan bahawa penggunaan daun semambu atau neem dapat merawat koronavirus (COVID-19) seperti yang tersebar dalam media sosial.

Fahami MITOS dan FAKTA mengenai daun semambu (neem) melalui info grafik dari twitter KKM Portal My Health ni.


Dari segi MITOS, daun semambu digunakan secara tradisional untuk pelbagai jenis demam dan jangkitan, tapi dari segi FAKTA, takde rekod yang jelas bagi dos yang perlu diambil untuk merawat demam dan jangkitan tu.

Dari segi MITOS, daun semambu dikatakan boleh digunakan ke atas manusia bagi merawat wabak COVID-19, tapi dari segi FAKTA, buat masa ni hanya ada kajian ke atas sel (in vitro) dan haiwan (in vivo) yang dijalankan ke atas virus hepititis C, denggi dan polio. Takde kajian dijalankan ke atas coronavirus yang menyebabkan COVID-19.

Dari segi MITOS, daun semambu dikatakan boleh merangsang sel imunisasi atau pertahanan badan, tapi dari segi FAKTA, takde kajian keberkesanan ke atas sistem imunisasi manusia kecuali kajian sel (in vitro) yang fokus ke atas bakteria dan bukan virus.

Dari segi MITOS juga, penggunaan daun semambu tak mendatangkan kesan sampingan dan selamat digunakan, tapi dari segi FAKTA, boleh baca balik kat perenggan ketiga bahagian Kenali Pokok Semambu kat atas tadi. Malah, penggunaan daun semambu oleh wanita hamil boleh menyebabkan keguguran.

Haa, begitu lah perbandingan antara MITOS dan FAKTA tentang daun semambu ni.

Semoga bermanfaat.